fbpx

Hyundai Kona Electric rasmi dilancar di Malaysia, SUV elektrik bermula RM150k!

hyundai kona electric 2021 01

KENDERAAN elektrik sepenuhnya (EV) mungkin menarik untuk dicuba oleh pengguna tetapi faktor harga dan jarak jangkauan pemanduan dikatakan menjadi isu utama yang menghalang hasrat ini.

Mungkin perkara ini berubah dengan Hyundai Kona Electric, kerana ia menawarkan harga yang agak menarik serta jarak pemanduan 300km hingga 480km.

Ia sebenarnya model facelift, dan kini rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia dengan tiga varian dan harga seperti berikut:

Kona Electric Lite: RM149,888
Kona Electric Plus: RM169,888
Kona Electric Max: RM199,888

Terdapat dua pakej powertrain untuk Kona Electric ini. Pertamanya untuk Lite dan Plus – 39.2kWh dengan 100kW (136hp) dan 395Nm yang mampu mencapai jarak pemanduan sekitar 305km.

Versi yang lebih berkuasa iaitu Max mendapat 64kWh yang manjana 150kW (204hp) dan 395Nm, jarak pemanduannya mencapai 484km.

Dari segi prestasi, versi 39.2kWh (Lite dan Plus) mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 9.9 saat dan mempunyai kelajuan maksima 155km/j.

Untuk 64kWh (Max) pula, pecutan ke 100km/j dicapai dalam 7.9 saat dan kelajuan maksima lebih tinggi sedikit iaitu 167km/j.

Bagi pengecasan, menggunakan pengecas pantas DC dengan 50kW akan mengecaj bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 48 minit untuk model 39.2kWh, dan 64 minit untuk versi 64kWh.

Sementara itu, pengecaj AC biasa akan mengambil masa lebih lama untuk mencapai 80 peratus, iaitu kira-kira enam jam untuk 39.2kWh dan sembilan jam untuk 64kWh.

Dari segi rupa luaran Kona Electric tidak nampak terlalu biasa dari model biasa. Hanya dapat dibezakan dari rekaan depan (Electric tiada gril, dan tempat pengecaj di depan), rekaan rim berbeza, dan tulisan ‘electric’ di pintu but belakang.

Harus diketahui juga bahawa Kona Electric mempunyai tinggi sama dengan model biasa, tetapi ia mempunyai lantai lebih rendah kerana mempunyai pelindung bateri di bawah.

Satu lagi perkara yang tersorok tapi penting, ialah suspensi belakang. Hyundai Kona Electric menggunakan suspensi multi-link berbanding Kona biasa yang menggunakan torsion beam. Jadi secara teori, Kona Electric akan mempunyai pengendalian lebih baik.

Hyundai Kona Electric hadir dengan tiga pilihan warna (Chalk White, Misty Jungle Two Tone dan Dive in Jeju Two Tone). Warna kabin pula mempunyai dua pilihan iaitu hitam atau kelabu.

Bahagian dalaman nampak hampir sama dengan Kona biasa secara keseluruhan, tetapi masih terdapat beberapa perbezaan kecil.

Pertamanya, tiada tombol gear, Kona Electric menggunakan butang penukar gear sama seperti Hyundai Staria dan Sonata.

Kelengkapan lain termasuklah pendingin hawa automatik satu zon, tiga soket USB, kluster instrumen digital 10.25-inci, paparan infotainmen 8-inci, dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri keselamatan pula merangkumi enam beg udara, ESC, ABS, VSM, traction control, dan hill-start assist.

SmartSense juga ditawarkan sebagai standard, yang mempunyai Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, High Beam Assist, Autonomous Emergency Braking dan Forward Collision Assistance.

Varian Plus dan Max mendapat tambahan Rear Cross Traffic Collision Avoidance Assist dan Blind Spot Collision Avoidance Assist.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved