Arkib Tag: EON

EON & Sahabat Autofest 2024 tawar jualan pelbagai jenama kereta, 1-3 Mac 2024

EON & Sahabat Autofest 2024 dirasmikan hari ini, berlangsung di ibu pejabat EON di Glenmarie.

Acara jualan itu adalah bersempena dengan ulang tahun EON yang ke-40 tahun ini, dan akan diadakan bermula hari ini, Jumaat, 1 Mac hingga hujung minggu ini, 3 Mac 2024. Ia dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang.

CEO EON, Akkbar Danial berkata: “Kami telah menyerahkan kereta kepada rakyat Malaysia selama empat dekad. Sepanjang tempoh itu, kami telah berevolusi dari pengedar eksklusif Proton sehingga hari ini – pengedar pelbagai jenama terbesar di Malaysia, bawah satu bumbung.”

“EON & Sahabat Autofest 2024 dengan pelbagai diskaun dan pakej menarik adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan penyokong kami,” katanya.

Di acara Autofest ini, anda akan disajikan dengan pameran dan jualan jenama-jenama di bawah EON seperti Proton, Volkswagen, Mitsubishi, smart, Audi, Isuzu, Honda, Daihatsu, dan Kawasaki (Modenas).

Anda juga berpeluang memandu uji dan tunggang uji model-model terpilih, kemudian jika berkenan, boleh terus buat tempahan.

Wakil-wakil seperti Avis, Petromin, Pos Malaysia, Puspakom, dan DRB-Hicom University of Automobile Malaysia juga ada membuat pameran.

Semasa hari pelancaran pagi tadi, EON memperkenalkan platform pembiayaan digital mereka, iaitu EON Capital. Ia menawarkan kelulusan pinjaman dan pembiayaan dengan pantas dari pihak bank.

Tidak dilupakan, bagi anda yang membuat tempahan dan memohon pembiayaan melalui platform digital EON semasa hari carnival sehingga 3 Mac ini, akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah berjumlah RM100,000. Hadiah utama adalah sebuah Proton S70 baharu.

Pelbagai jualan dan pameran lagi turut diadakan seperti Bazaar Raya, makanan, penampilan selebriti, dan zon kanak-kanak.

EON rasmi pembukaan pengedar 3S smart pertama di Malaysia

EDARAN Otomobil Nasional Berhad (EON) membuka lembaran baharu dengan perasmian pembukaan wakil pengedar 3S smart pertama di Glenmarie, hari ini. Ini juga menandakan kehadiran EON dalam pasaran kenderaan elektrik (EV).

Dengan keluasan 4,362 kaki persegi, bilik pameran ini mampu memuatkan tiga kereta di ruang pameran utama dan satu unit untuk ruang penyerahan.

Selain itu untuk keselesaan pengunjung dan pelanggan, ia turut dilengkapi dengan ruang menunggu khas lengkap dengan kafe, ruang perbincangan, bilik permainan kanak-kanak, dan WiFi percuma.

Untuk bahagian selepas jualan, ruang seluas 3,716 kaki persegi mempunyai empat tempat servis, termasuk dua daripadanya untuk servis dan baik pulih, satu untuk penjajaran tayar, dan satu untuk servis bervoltan tinggi.

Terdapat juga lapan ruang parkir pelanggan, dua pengecas AC (22kW) dan satu parkir pengecas DC (60kW).

Akkbar Danial, Ketua Pengedaran Automotif DRB-Hicom berkata: “Kami menjangkakan pembukaan wakil pengedar 3S smart ini akan memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan smart #1 yang meningkat, dan memberikan impak signifikan dalam pasaran EV tempatan.”

EON telah melaburkan hampir RM4 juta untuk bilik pameran smart Glenmarie ini. Ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu pada 8:30 pagi hingga 5:30 petang, dan bagi Ahad serta cuti umum, dibuka dari 10:00 pagi hingga 4:00 petang.

Untuk maklumat lanjut, layari www.eon.com.my.

EON Berhad dilantik sebagai pengedar rasmi smart Malaysia

Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) hari ini mengumumkan pelantikan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia.

Ini menjadikan EON, yang merupakan cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, sebagai pengedar sah smart kedua di negara ini selepas Hap Seng Smart.

Menurut PRO-NET, pelantikan EON sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia telah menambah jumlah pengedar elit bagi kenderaan jenama smart. Ini akan disusuli dengan lima lagi pengedar baru yang bakal diumumkan kelak.

Kerjasama ini juga akan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama EV itu di kalangan pembeli kereta di Malaysia menjelang pelancaran smart #1 pada suku keempat tahun ini.

Pelantikan EON yang merupakan pengedar pelbagai jenama mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia.

Perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi Proton dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta Proton eksklusif dan yang pertama.

“PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM berkata,”EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan.”

DRB-HICOM, Petromin jalin kerjasama tawar perkhidmatan selepas jualan pantas

DRB-HICOM Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) akan meluaskan kehadirannya dalam pasaran perkhidmatan selepas jualan melalui usaha sama dengan jenama servis pantas kelima terbesar di dunia, Petromin Express, anak syarikat Petromin Corporation.

Usaha sama dalam bidang servis kenderaan pantas ini dicadangkan dikongsi 51:49 antara Petromin dan EON. Ia bertujuan untuk menggabungkan keupayaan dan penglibatan EON dan DRB-HICOM dalam rantaian nilai automotif dengan kepakaran operasi dan rekod prestasi Petromin dalam model francais selepas jualan pantas.

Menerusi usaha sama ini, Petromin dan EON berpeluang merebut peluang segmen selepas jualan yang pesat berkembang sejajar dengan objektif strategik kedua-dua pihak. Pasaran selepas jualan automotif Malaysia telah menjana perolehan kira-kira RM42b pada 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar percaya usaha sama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Outlet Petromin Express

“Kerjasama Petromin dengan DRB-HICOM akan membolehkan ia memasuki pasaran perkhidmatan selepas jualan Malaysia yang menguntungkan hasil dari kerjasama dengan jenama korporat yang terkenal dan dipercayai dalam sektor automotif.”

Syarikat usaha sama ini mensasarkan untuk memulakan operasi perintis pada Januari 2023, dengan empat cawangan dalam tempoh 18 bulan projek perintis dilaksanakan.

Berpandukan kepada model cawangan Petromin Express, yang sangat berjaya di Arab Saudi, syarikat usaha sama ini akan menawarkan perkhidmatan selepas jualan pantas dengan masa membaik pulih yang cepat untuk kenderaan lepas jaminan yang berumur antara 5 dan 10 tahun.