Arkib Tag: ckd

Mercedes-Benz C-Class W206 kini dipasang secara tempatan – harga dari RM287,888

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini secara rasmi melancarkan Mercedes-Benz C-Class generasi kelima dalam versi pemasangan tempatan atau CKD.

Seperti versi import CBU yang memasuki pasaran pada Februari lalu, sedan eksekutif kompak yang dipasang di Pekan, Pahang ini ditawarkan dalam dua varian iaitu C200 Avantagarde Line dan C300 AMG Line, dengan harga masing-masing bermula dari RM287,888 dan RM327,888.

Melihat kepada spesifikasi yang diberikan, C-Class CKD mempunyai kelengkapan yang sama seperti versi CBU, cuma ia telah dikemas kini dengan penambahan Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access dan juga sistem keselamatan Pre-Safe.

Dari segi penampilan, C200 boleh dibezakan dengan C300 menerusi kit badan Avantgarde Line dan rim aloi berukuran 18 inci. C300 pula menggayakan kit badan AMG Line yang lebih agresif, rim aloi AMG berukuran 19 inci dan bumbung panoramik.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist, cermin sisi boleh lipat dan juga perlindunan bawah badan.

Ruang dalaman pula menampilkan sistem infohibur Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah 11.9 inci. Turut disertakan adalah sistem navigasi, modul komunikasi LTE untuk perkhidmatan Mercedes me, Apple CarPlay dan Android Auto.

C200 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan 204 hp dan 300 Nm, manakala C300 pula hadir dengan enjin 2.0-liter yang mampu menjana 258 hp dan 400 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic dan Integrated Starter Generator yang membekalkan kuasa tambahan sebanyak 15 kW dan 200 Nm.

Selain itu, C200 dan C300 juga berkongsi suspensi Agility Control dengan sistem peredam selektif, serta sistem Dynamic Select.

Volkswagen Tiguan Allspace kini dengan varian asas 1.4 TSI Life, RM173k

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan varian ketiga untuk Tiguan Allspace facelift, iaitu 1.4 TSI Life. Varian ini akan menyertai dua lagi versi iaitu 1.4 TSI Elegance dan 2.0 TSI R-Line 4Motion yang diperkenalkan sebelum ini.

Secara visual, Volkswagen Tiguan Allspace 1.4 TSI Life berkongsi rekaan facelift termasuklah lampu LED baharu, kemasan ‘Allspace’, perumah cermin sisi berwarna perak, dan rim aloi 18-inci Frankfurt.

Tiada perubahan besar pada bahagian kabin dimana varian 1.4 TSI Life ini juga mendapat konfigurias tujuh tempat duduk dan ruang but sehingga 1,775 liter.

Ciri lain merangkumi sistem infotainmen Discover Pro bersaiz 9.2-inci dengan ketersambungan aplikasi tanpa wayar, sistem navigasi, kawalan suara, pendingin hawa Climatronic tiga-zon dan stereng sport multi-fungsi dibalut kulit.

Tiguan 1.4 TSI Life dikuasakan oleh enjin 1.4-liter turbo yang menjana 150PS dan 250Nm tork. Output dihantar ke roda depan melalui kotak gear DSG 6-kelajuan. Gabungan ini penggunaan bahan api serendah 7.7L/100km.

Aspek keselamatan tidak dikompromi, dimana Tiguan ini juga mendapat kelengkapan menyeluruh. Ini termasuklah enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Lane Assist dan sistem-sistem Driver Alert.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata: “Dengan Life, kami menawarkan sebuah SUV berprestasi tinggi yang akan memberikan nilai terbaik kepada pelanggan. Ia juga boleh menjadi pilihan ideal untuk keluarga muda yang ingin membeli kenderaan mereka.”

Tiguan Allspace 1.4 TSI Life ditawarkan pada harga RM172,990 dan hadir dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 5-tahun, dan penyelenggaraan percuma 3-tahun. Lima warna boleh dipilih iaitu Atlantic Blue, Platinum Grey, Pyrite Silver, Deep Black, dan Oryx White.

Tempahan serta pandu uji kini boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.volkswagen.com.my.

Inilah harga VW Golf Mk8 R-Line, RM169,990 dengan 150hp, 250Nm

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) akhirnya mendedahkan harga rasmi Golf Mk8 R-Line untuk pasaran negara ini, iaitu RM169,990.

Harga ini walaubagaimanapun sedikit lebih tinggi dari anggaran RM155,000 hingga RM165,000 semasa tempahannya dibuka pada Februari lepas.

Volkswagen Golf R-Line ini dipasang CKD di Pekan, Pahang dan kerana itu harganya agak menarik, sama seperti GTI.

Golf Mk8 ini dipacu oleh enjin 1.4 TSI yang sama, dengan output 150PS dan 250Nm. Tetapi kotak gear adalah baharu, kini menggunakan automatik 8-kelajuan (torque-converter) yang menggantikan dwi-klac DSG sebelumnya.

Seterusnya, Golf R-Line seperti pada namanya, bermaksud ia mendapat pakej penggayaan seperti Golf R. Kelengkapan luaran adalah rim 17-inci, tayar Bridgestone Turanza T005, lencana R, lampu LED depan dan belakang, serta kemasan ekzos krom.

Di bahagian dalam pula, Golf Mk8 ini mendapat kokpit minimalis dengan kebanyakan kawalan adalah dari skrin dan panel sentuhan haptik.

Tempat duduk adalah fabrik Sardegna dengan pelarasan manual, dan nampak cukup sporti. Panel instrumen di depan pemandu bersaiz 10.25-inci manakala unit infotainmen di tengah bersaiz 10-inci, dengan fungsi navigasi serta Apple Carplay dan Android Auto tanpa-wayar.

Golf R-Line Mk8 hadir dengan pilihan lima warna iaitu Moonstone Grey, Kings Red, Atlantic Blue, Deep Black dan Oryx White.

Seperti biasa, Golf Mk8 dilindungi dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma 3-tahun dan bantuan tepi jalan 5-tahun.

Kia Carnival CKD rasmi dilancar – Dari RM231k, pilihan 7 dan 8 tempat duduk

SELEPAS hanya beberapa hari mengumumkan pengeluaran Kia Carnival CKD, hari ini MPV itu dilancarkan secara rasmi oleh Dinamikjaya Motors Sdn Bhd.

Kia Carnival CKD ini dipasang di fasiliti Inokom di Kulim, Kedah, dan hadir dengan varian 7 dan 8 tempat duduk, serta harga seperti berikut:

Kia Carnival 2.2L 8-Seater Mid: RM231,228.80
Kia Carnival 2.2L 8-Seater High: RM247,228.80
Kia Carnival 2.2L 7-Seater High: RM261,228.90

Tiada perubahan dari segi enjin, dimana Carnival ini akan terus menggunakan unit 2.2-liter turbo diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan.

MPV bersaiz besar ini padat dengan ciri terkini dan premium untuk menawarkan keselesaan dan kemudahan kepada penumpang.

Varian 7-seater mendapat tempat duduk dengan pemanas untuk depan dan belakang, tempat duduk Premium Relaxion di baris kedua yang boleh dibaringkan, dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Varian 8-seater pula menampilkan ciri unik Child Care Mode dimana tempat duduk tengah barisan kedua boleh dipusing menghadap ke belakang dan digelungsur ke depan untuk posisi lebih baik bagi tempat duduk kanak-kanak.

Selain itu, terdapat juga pencahayaan kabin, paparan infotainmen 12.3-inci, pintu gelungsur pintar dengan ciri satu sentuhan, dan pintu but berkuasa.

Untuk keselamatan pula, Kia Carnival CKD hadir standard dengan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist dengan Junction Turning (FCA), Smart Cruise Control (SCC), Lane Following Assist (LFA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-spot Collision-Avoidance Assist (BCA), High Beam Assist (HBA) dan Safe Exit Assist (SEA).

Kia Carnival CKD boleh didapati dalam lima pilihan warna; Astra Blue, Sonic Silver, Jet Black, Snowflake White Pearl dan Meteor Gray.

MPV ini juga dilindungi oleh jaminan dan penyelenggaraan percuma 5-tahun atau 100,000km (yang mana dahulu).

Nantikan video pandu uji Kia Carnival CKD ini nanti. Sementara itu, jemput tonton pandu uji Kia Carnival versi CBU yang kami terbitkan di Youtube:

Kia Carnival bakal ditawarkan dalam versi CKD 7 dan 8 tempat duduk, pelancaran tidak lama lagi

KIA Malaysia Sdn Bhd telah secara rasmi mengeluarkan Carnival versi CKD (pemasangan tempatan), dengan kerjasama Kia Corporation dan Bermaz Auto. MPV itu dipasang di fasiliti Inokom di Kulim, Kedah.

Kia Carnival CKD ini bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia dan akan ditawarkan dengan konfigurasi 7 dan 8 tempat duduk. Ini sedikit berbeza dari Carnival CBU sebelum ini yang mendapat konfigurasi 11 tempat duduk.

Tiada perubahan dari segi enjin, dimana Carnival ini akan terus menggunakan unit 2.2-liter turbo diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan.

MPV bersaiz besar ini padat dengan ciri terkini dan premium untuk menawarkan keselesaan dan kemudahan kepada penumpang.

Antaranya adalah tempat duduk dengan pemanas untuk depan dan belakang, tempat duduk Premium Relaxion di baris kedua yang boleh dibaringkan, dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Selain itu, terdapat juga pencahayaan kabin, paparan infotainmen 12.3-inci, pintu gelungsur pintar dengan ciri satu sentuhan, dan pintu but berkuasa.

Untuk keselamatan pula, Kia Carnival CKD hadir standard dengan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist dengan Junction Turning (FCA), Smart Cruise Control (SCC), Lane Following Assist (LFA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-spot Collision-Avoidance Assist (BCA), High Beam Assist (HBA) dan Safe Exit Assist (SEA).

Kia Malaysia berharap kerjasama CKD ini akan membantu menjadikan harga Carnival lebih kompetitif dalam pasaran, serta membantu bekalan MPV ini untuk pasaran tempatan dan eksport.

Nantikan laporan penuh kami selepas pelancaran rasmi Kia Carnival CKD ini nanti. Sementara itu, jemput tonton video pandu uji Carnival versi CBU yang kami telah terbitkan.

Pengeluar alat ganti automotif rugi RM2 bilion kerana kekurangan tenaga kerja

PENGELUAR alat ganti automotif berdepan kerugian kira-kira RM2 bilion dalam eksport setahun disebabkan kesan daripada kekurangan tenaga pekerja sejak pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA), Chin Jit Sin, berkata kerugian itu juga disebabkan oleh pengeksport terpaksa menolak tempahan berikutan beroperasi pada tahap 70 peratus daripada kapasiti pemasangan kilang.

“Pihak industri alat ganti automotif bimbang jika perkara itu berlarutan ia juga akan memberi kesan kepada sumbangan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Setiap tahun industri ini menyumbang sebanyak dua peratus kepada KDNK, di mana pada 2019 ia menyumbang sebanyak RM26.2 bilion,” kata Jit Sin.

“Selain itu, industri ini juga mengeksport kira-kira RM5 bilion alat ganti (tidak termasuk tayar) ke lebih 60 negara di seluruh dunia setahun,” tambahnya.

Sebelum ini, dalam laporan media, industri pembuatan automotif Malaysia sedang menghadapi isu kekurangan pekerja yang meruncing dan situasi ini boleh menjejaskan ekosistem pembuatan automotif nasional (NAM) jika tidak diselesaikan segera.

Ekosistem NAM mungkin musnah dengan kehilangan lebih 500,000 pekerjaan dan menghapuskan sehingga 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekiranya isu tenaga kerja dalam industri ini tidak ditangani segera.

Jit Sin berkata, kesan kelembapan operasi itu turut menjejaskan kelewatan dalam penghantaran kenderaan.

“Kekurangan tenaga kerja yang serius secara tidak langsung boleh menjejaskan pemulihan ekonomi industri permotoran, pengeluaran kenderaan rendah kerana pengilang tidak mampu mengeluarkan produk pada kapasiti lebih tinggi.

“Sekiranya perkara ini tidak diatasi, lebih ramai pembeli kereta terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki kenderaan masing-masing,” katanya.

Harga Volvo XC40 Recharge Pure Electric diumum: RM262k, jaminan 5-tahun

VOLVO Car Malaysia (VCM) beberapa minggu lepas telah melancarkan XC40 Recharge Pure Electric yang merupakan SUV elektrik sepenuhnya.

Walaupun spesifikasinya telah diperincikan, harganya belum didedahkan pada masa itu. Pagi ini, VCM secara rasmi mengumumkan harga XC40 ini iaitu pada RM262,459.75.

Harga ini juga termasuk dengan dengan jaminan kenderaan selama 5 tahun, jaminan bateri HV selama 8 tahun, dan pakej bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Volvo XC40 Recharge EV ini dipasang di Malaysia (CKD) dan menariknya, ia merupakan kenderaan EV CKD pertama di negara ini.

XC40 Recharge EV dilengkapi pek bateri lithium-ion 78kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 418km. Pecutan ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam 4.9 saat sahaja, sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j.

Untuk pengecasan, tahap bateri boleh mencapai 80 peratus dalam hanya 40minit menggunakan pengecaj pantas DC. Jika menggunakan pengecaj AC biasa dengan kapasiti 11kW, pengecasan ke tahap 80 peratus akan mengambil masa kira-kira 7 jam setengah.

Volvo XC40 Recharge EV boleh dibezakan dari varian-varian lain melalui satu ciri unik di luar iaitu gril depannya yang bertutup. Bahagian lain nampak serupa dengan varian bukan EV, dimana slot pengecajnya di lokasi sama dengan XC40 Recharge T5 PHEV.

Volvo XC40 Recharge EV dilengkapi dengan navigasi yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Google Maps akan diintegrasi sepenuhnya dan disokong oleh Google Assistant yang akan memberikan maklumat seperti trafik dalam masa sebenar.

Dengan semangat mapan dan mesra alam, Volvo XC40 Recharge EV dibina menggunakan bahan-bahan yang boleh diberbaharui. Sebagai contoh, karpet di dalam kabin adalah dari plastik kitar semula.

Dari sudut praktikaliti, Volvo XC40 versi elektrik ini membawakan rekaan ruang simpanan pintar di dalam kabin. Anda akan jumpa ruang-ruang simpanan ini untuk botol air, beg gymnasium, telefon pintar, komputer riba, makanan bungkus, malah ruang untuk wayar-wayar pengecaj.

Bahagian lain adalah sama dengan XC40 versi enjin biasa, dimana Recharge EV didatangkan dengan panel instrumen digital 12.3-inci, paparan infotainmen Android Automotive OS dan disokong oleh fungsi-fungsi keterhubungan seperti Volvo On Call.

Ciri lain pula adalah sistem pendingin hawa dwi-zon dengan Clean Zone, kemasan kulit Nubuck dan Nappa, bumbung panoramic, dan sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan Quantum Logic.

Sime Darby, Porsche mula operasi pemasangan Cayenne di Kulim

SEJARAH baharu tercipta bagi Sime Darby dan Porsche selepas secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan bagi model Cayenne di Kulim, Kedah.

Ia secara tidak langsung juga menjadi operasi pemasangan tempatan pertama yang dibuat di luar Eropah.

Memetik laporan media, pengeluaran model Cayenne ini hanya dikhaskan untuk pasaran Malaysia sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad Group berkata, pihaknya akan terus berusaha memberikan kualiti terbaik kepada para pelanggan.

Selain itu, Datuk Jeffry Salim Davidson turut berbesar hati dengan kerjasama yang dimeterai bersama Porsche.

“Kami berbesar hati dengan kepercayaan berterusan daripada Porsche kepada Sime Darby.

“Pada masa sama kami bertekad menawarkan produk berkualiti Porsche serta prestasi dan pengalaman pemanduan mengujakan,” katanya.

Operasi di Kulim itu turut membuka lebih peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Fasiliti tersebut juga dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sekaligus menyokong pertumbuhan rantaian industri automotif negara.

Porsche turut berharap perniagaannya berkembang di rantau ini malah, menerima penerimaan positif daripada pengguna.

Volvo XC40 Recharge EV dilancar, jarak pemanduan 418km, 0-100 dalam 4.9 saat

XC40 Recharge EV telah didedahkan secara rasmi oleh Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini. XC40 Recharge EV ini juga merupakan model elektrik sepenuhnya yang pertama untuk Volvo.

Harga untuk SUV masih belum ada, hanya akan diumumkan pada 4 April nanti, tetapi tempahan sudah boleh dibuat. Penghantaran pula akan mula dibuat pada penghujung April.

Volvo XC40 Recharge EV ini dipasang di Malaysia (CKD) dan menariknya, ia merupakan kenderaan EV CKD pertama di negara ini. Syabas Volvo!

Tambahan lagi, XC40 Recharge EV ini juga akan dieksport ke pasaran-pasaran lain di ASEAN, menjadikan Malaysia hab untuk kenderaan EV Volvo.

XC40 Recharge EV dilengkapi pek bateri lithium-ion 78kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 418km. Pecutan ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam 4.9 saat sahaja, sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j.

Untuk pengecasan, tahap bateri boleh mencapai 80 peratus dalam hanya 40min menggunakan pengecaj pantas DC. Jika menggunakan pengecaj AC biasa dengan kapasiti 11kW, pengecasan ke tahap 80 peratus akan mengambil masa kira-kira 7 jam setengah.

Volvo XC40 Recharge EV boleh dibezakan dari varian-varian lain melalui satu ciri unik di luar iaitu gril depannya yang bertutup. Bahagian lain nampak serupa dengan varian bukan EV, dimana slot pengecajnya di lokasi sama dengan XC40 Recharge T5 PHEV.

Volvo XC40 Recharge EV dilengkapi dengan navigasi yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Google Maps akan diintegrasi sepenuhnya dan disokong oleh Google Assistant yang akan memberikan maklumat seperti trafik dalam masa sebenar.

XC40 Recharge EV juga didatangkan dengan fungsi kemaskini automatik over-the-air atau secara online. Walaubagaimanapun fungsi ini belum boleh didapati untuk pasaran Malaysia, dan menurut VCM, “akan datang”.

Dengan semangat mapan dan mesra alam, Volvo XC40 Recharge EV dibina menggunakan bahan-bahan yang boleh diberbaharui. Sebagai contoh, karpet di dalam kabin adalah dari plastik kitar semula.

Dari sudut praktikaliti, Volvo XC40 versi elektrik ini membawakan rekaan ruang simpanan pintar di dalam kabin. Anda akan jumpa ruang-ruang simpanan ini untuk botol air, beg gymnasium, telefon pintar, komputer riba, makanan bungkus, malah ruang untuk wayar-wayar pengecaj.

Bahagian lain adalah sama dengan XC40 versi enjin biasa, dimana Recharge EV didatangkan dengan panel instrumen digital 12.3-inci, paparan infotainmen Android Automotive OS dan disokong oleh fungsi-fungsi keterhubungan seperti Volvo On Call.

Ciri lain pula adalah sistem pendingin hawa dwi-zon dengan Clean Zone, kemasan kulit Nubuck dan Nappa, bumbung panoramic, dan sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan Quantum Logic.

Toyota Corolla Cross Hybrid dilancar: RM137k, kecekapan 23.3km/L, jaminan bateri 8-tahun

UMW Toyota Motor akhirnya melancarkan Corolla Cross Hybrid hari ini. SUV hibrid ini dipasang secara CKD di kilang Toyota di Shah Alam dan telah mula dibuka tempahannya pada November lepas.

Toyota Corolla Cross ditawarkan pada harga RM136,550 seperti yang dijangka sebelum ini. Harga ini adalah termasuk jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan serta jaminan 8-tahun untuk bateri, inverter dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa. Anda juga boleh melanjutkan jaminan bateri ini ke 10-tahun dengan kos tambahan.

Toyota Corolla Cross Hybrid akan dipacu oleh padanan enjin 2ZR-FXE 1.8-liter 4-silinder kitaran Atkinson bersama sebuah motor elektrik.

Enjin tradisional itu sahaja menjana 98hp dan 142Nm tork, manakala motor elektrik menyumbang tambahan 72hp dan 163Nm tork. Ini memberikan output total SUV ini sebanyak 122hp.

Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi e-CVT, dan kuasa dari motor elektrik dibekalkan oleh bateri nikel-metal hydride berkapasiti 6.5Ah. Menurut Toyota, SUV ini mampu mencapai kecekapan penggunaan bahan api sehingga 23.3km per liter.

Toyota Corolla Cross Hybrid ini dapat dikenalpasti dengan beberapa elemen berwarna biru di sekitar badannya selain emblem ‘HYBRID’ di pintu but belakang.

Kelengkapan lain adalah lampu depan Bi-LED dengan kemasan biru, gril berwarna Gun Metallic, cermin sisi berkuasa, dan antena sirip jerung.

Di dalam, Corolla Cross Hybrid dilengkapi suis mod pemanduan (Eco, Sport dan EV), paparan MID 7-inci, sistem pendingin hawa automatik dwi-zon, tempat duduk balutan kulit, paparan infotainmen 9-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, perakam video digital, serta Vehicle Telematics System.

SUV ini juga didatangkan dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dengan bantuan stereng, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist (LTA) dan Automatic High Beam (AHB).

Proton mahu pulun habis sehingga hujung tahun, Pakistan bakal terima stok baharu X70 dan Saga

SETELAH hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan Covid-19, Proton kini mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2021 dengan impak yang nyata.

Ini berikutan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport kembali beroperasi yang dijangkakan akan meningkatan hasil jualan bermula bulan September.

Dari bulan Jun hingga Ogos 2021, Proton berjaya memperolehi jumlah jualan sebanyak 5,354 unit yang merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport.

Produksi terhad telah dijalankan di kilang Tanjung Malim selepas pegumuman negeri Perak sebagai negeri Fasa 2 pada 5 Julai, tetapi ini hanya untuk seketika akibat kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.

Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, iaitu satu peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, Proton juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara.

Sebagai contoh, Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada bulan September termasuk pek CKD untuk model Saga. Operasi CKD sedan segmen-A itu akan bermula di sana pada akhir Oktober.

Salah satu kunci kepada kebolehupayaan syarikat untuk membuka semula kilang adalah atas kejayaan pelan vaksinasi PIKAS.

Data terkini menunjukkan lebih 93 peratus daripada warga kerja Proton telah divaksinasi sepenuhnya manakala lebih 75 peratus pekerja dari pembekal dan wakil jualan juga talah mendapat vaksin penuh.

Oleh itu, keseluruhan ekosistem PROTON hampir dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100 peratus berdasarkan SOP semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.

Porsche akan mula operasi CKD di Malaysia tahun depan, pertama di luar Eropah!

BERITA tergempar! Porsche secara rasmi mengumumkan bahawa mereka akan memulakan operasi CKD (pemasangan tempatan) di Malaysia. Kilang ini difahamkan akan menjadi yang pertama di luar Jerman!

Menurut Porsche, langkah ini dalam mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran-pasaran membangun di rantau Asia Tenggara yang memperlihatkan perkembangan meyakinkan.

Operasi CKD ini akan dijalankan oleh rakan niaga Porsche di sini iaitu Sime Darby, yang merupakan pengimport dan pengedar rasmi jenama itu di Malaysia (Sime Darby Auto Performance atau SDAP).

Pada masa ini, jenama-jenama CKD di bawah Sime Darby Motors adalah BMW, MINI, Mazda dan Hyundai yang mempunyai kompleks fasiliti di Kulim, Kedah.

Buat masa ini, Porsche tidak mendedahkan secara spesifik model mana dahulu yang akan dipasang di sini, tetapi mereka berkata, “kenderaan itu akan disesuaikan khas dengan piawaian tempatan dan akan didapati di Malaysia sahaja.”

Menurut hemat kami, SUV akan menjadi model pertama untuk operasi CKD ini, mungkin Cayenne atau Macan. Walaubagaimanapun, pasti lebih menarik jika ada pemasangan model sports seperti 911 atau 718 Boxster/Cayman.

“Kami bertuah kerana dengan perancangan yang teliti, kilang-kilang sedia ada kami lebih dari mampu untuk memenuhi kehendak semasa dan masa depan kereta-kereta kami,” kata Albrecht Reimold, ahli lembaga eksekutif pengeluaran dan logistik di Porsche.

Sementara itu, Detlev von Platen, ahli lembaga eksekutif bahagian jualan dan pemasaran Porsche berkata, “Malaysia dan keseluruhan ASEAN ialah satu rantau dengan potensi besar dan kami tidak sabar untuk menyerahkan model CKD pertama kepada pelanggan kami tahun depan.”