fbpx

Mercedes-Benz Malaysia lancar 3 model EV – EQS 450+, EQB 350 dan EQC 400

Mercedes-EQ pelancaran

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkukuhkan komitmen terhadap masa depan elektrik di negara ini dengan melancarkan tiga model kenderaan elektrik (EV) di bawah sub-jenama Mercedes-EQ iaitu EQS 450+, EQB 350 4Matic dan EQC 400 4Matic.

Mercedes-EQS 450+ – RM698,888

EQS merupakan salon mewah elektrik pertama daripada Mercedes-EQ yang menggunakan seni bina modular. Falsafah reka bentuk Sensual Purity yang digunakan memberikan model ini pekali seretan serendah 0.20, menjadikannya model produksi paling aerodinamik di dunia.

Untuk pasaran Malaysia, EQS 450+ didatangkan dengan pakej AMG Line, rim aloi ringan AMG berukuran 21 inci dan pakej Digital Light yang merangkumi lampu Digital Lighting, jalur reflektor pada bahagian depan dan juga Adaptive Highbeam Assist Plus.

Ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit nappa yang membaluti tempat duduk (digelar Comfort Seats) dan stereng multifungsi, sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan trim kayu Anthracite pada konsol tengah.

Tarikan utama di sini adalah MBUX Hyperscreen yang menampilkan sistem navigasi realiti tambahan (augmented reality), dua set kepala wayarles, serta Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan adalah sistem audio Burmester 3D dan Keyless-Go Comfort Package dengan Hands-Free Access.

EQS 450+ mempunyai bateri berkapasiti 107.8 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 782 km dengan satu cas penuh. Motor elektriknya pula menjana 333 hp dan 565 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

Mercedes-EQB 350 4Matic – Harga anggaran RM330,000

Menurut MBM, EQB merupakan EV mewah pertama di Malaysia yang menawarkan tujuh tempat duduk. Tempat duduk barisan ketiga boleh memuatkan dua penumpang dengan ketinggian sehingga 1.65 meter, malah kerusi keselamatan kanak-kanak juga boleh dipasang di sini.

Dengan ukuran tapak roda sepanjang 2,829 mm, EQB mampu menawarkan ruang kabin yang luas dan kapasiti but maksimum sebesar 1,710 liter. Tempat duduk barisan kedua boleh dilaras dalam beberapa peringkat mengikut keperluan.

Untuk bahagian luaran, model ini didatangkan dengan Electric Art, di samping rim aloi berukuran 19 inci, rel bumbung aluminium dan lampu depan LED High Performance. Pelanggan juga mendapat kunci yang dalam warna Rose Gold.

Di dalam, anda akan menemui upholsteri kulit Artico dan fabrik Cupertino dalam warna dwi tona Rose Gold dan Titanium Grey Pearl, dan balutan kulit nappa pada stereng. Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access, pendingin hawa Thermotronic dan Easy-Pack Tailgate.

Dengan bateri berkapasiti 66.5 kWh, EQB 350 4Matic boleh dipandu sejauh 423 km. Pengecasan dari 10% hingga 80% kuasa bateri mengambil masa kira-kira 6 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW atau 32 minit dengan pengecas pantas DC berkapasiti 100 kW.

Mercedes-EQC 400 4Matic – Harga anggaran RM390,000

EQC 400 tampil agresif dengan kit badan AMG Line yang merangkumi rim AMG multi-spoke berukuran 20 inci dan pemijak sisi aluminium. Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu depan Multibeam LED, manakala pengelap cermin automatik dengan sensor hujan turut disertakan secara standard.

Selaras dengan tema AMG, ruang dalaman menampilkan paddle shifter Direct Select, stereng sport multifungsi, karpet AMG dan upholsteri kulit nappa berwarna hitam pada papan pemuka. Bagi menambah lagi keselesaan, ia juga mendapat cermin akustik, pelarasan elektrik dan fungsi memori pada tempat duduk depan serta sokongan lumbar empat hala.

Ciri-ciri lain seperti pencahayaan ambien, pendingin hawa Thermotronic, Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access dan Easy Pack Tailgate turut disertakan. Tidak dilupakan juga sistem multimedia MBUX, paparan Head-Up, MBUX Interior Assistant dan sistem bunyi Burmester.

EQC 400 didatangkan dengan bateri berkapasiti 80.0 kWh yang dikatakan cukup untuk jarak pemanduan antara 373 km hingga 437 km. Prestasinya juga cukup mengagumkan – pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 5.1 saat, manakala kelajuan maksimum boleh mencecah 180 km/j.

Dari segi keselamatan dan sistem bantuan pemandu pula, model ini didatangkan dengan pakej Driving Assistance yang merangkumi Active Distance Assist Distronic, Pre-Safety System dan Active Steering Assist. Turut disertakan dalam pakej adalah Adaptive Highbeam Asisst Puls dan Urban Guard dengan sistem penggera anti-kecurian dan sistem pemantauan kabin.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved