Selain model GLC electric, Mercedes-Benz Malaysia turut mempertontonkan sedan CLA 200 AMG Line sebagai pelengkap kepada CLA elektrik sedia ada.
CLA 200 AMG Line bakal ditawarkan sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) dengan harga jualan anggaran dari RM275,000.
Spesifikasi
Sedan CLA 200 AMG Line ini dikuasakan oleh enjin bersesaran 1,499 cc menghasilkan 163 hp dan 250 Nm.
Kuasa disalurkan kepada roda menerusi transmisi 8G-eDCT.
Dengan padanan motor elektrik 22 kW, ia mampu menjana kuasa keseluruhan 184 hp dan 330 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.0 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 232 km/j.
CLA 200 AMG Line juga berkebolehan untuk dipandu dalam mod sifar emisi pada kelajuan sehingga 100 km/j terima kasih kepada bateri 1.3 kWh.
Kelengkapan
Secara standard, CLA 200 AMG Line hadir dengan kemasan luar AMG Line, rim aloi AMG 19 inci, jeriji radiator bercahaya, jalur lampu belakang melintang, bumbung kaca panorama, serta sistem lampu LED Multibeam.
Ruang kabin mendapat tetapan skrin paparan MBUX Superscreen terdiri daripada:
skrin kluster digital 10.25 inci
skrin tengah 14 inci
skrin paparan penumpang hadapan 14 inci
Selain itu, ia turut mendapat sokongan Apple CarPlay & Android Auto, sistem navigasi MBUX dan informasi trafik langsung MBUX.
Antara ciri lain yang disertakan termasuklah:
slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
tempat duduk sports AMG Line dengan fungsi pemanas
upholsteri kulit Artico/mikrofiber Microcut
trim karbon ringan
roda stereng sports kulit Nappa
sistem pencahayaan ambien
Ciri keselamatan pula termasuklah MB.Drive Standard, Parking Assist 360, bunyi akustik, sistem pemantauan tekanan tayar serta peringatan tali pinggang keledar belakang.
Tawaran istimewa
100 orang pelanggan pertama yang menempah CLA 200 AMG Line akan mendapat pas eksklusif ke parti F1 Mercedes-AMG.
Stellantis Malaysia mengumumkan Leapmotor C10 dan B10 kini rasmi dipasang di kilang Stellantis Gurun, Kedah dan bakal berada di semua pengedar sah di seluruh negara.
Menurut Stellantis, pelaburan sebanyak EUR 5.3 juta telah disalurkan bagi membangunkan keupayaan produksi tempatan, termasuk naik taraf barisan produksi dan infrastruktur di sana.
Selaras dengan pengembangan ini, Leapmotor dan Stellantis beroperasi di bawah rangka kerja pematuhan global yang seragam bagi memastikan standard pembuatan yang konsisten dan berkualiti tinggi untuk semua unit CKD.
Kemas kini penawaran
Leapmotor C10 versi CKD kini ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu Violet dan Lightning White bagi melengkapi warna Canopy Grey dan Glazed Green sedia ada.
Ia masih kekal dengan motor elektrik 218 hp/320 Nm yang dipadankan dengan bateri 69.9 kWh, menawarkan jarak pandu WLTP sehingga 424 km.
Leapmotor B10 pula diringkaskan kepada varian tunggal Design, dan mengekalkan penawaran warna sedia ada, iaitu Starry Night Blue, Tundra Grey, Metallic Black dan Light White.
Dibina atas pelantar LEAP3.5, SUV segmen C ini dipacu motor elektrik 218 hp/240 Nm dengan padanan bateri 67.1 kWh dan jarak pandu WLTP sejauh 434 km.
Selain itu, semua pemilik Leapmotor C10 dan B10 kini boleh mendapatkan aksesori fob kunci fizikal.
Leapmotor C10 CKD kini ditawarkan pada harga RM125,000 sementara B10 CKD pula dari RM118,800.
Kedua-dua model hadir dengan jaminan bateri selama 8-tahun atau had perbatuan 160,000 km yang mana tiba dahulu.
Proton New Energy Technology (Pro-Net) secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model Proton e.MAS 7 PHEV di Automotive High Tech Valley Tanjong Malim.
Peluncuran keluar e.MAS 7 PHEV telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta timbalannya YB Sim Tze Tzin.
Turut sama hadir ialah Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton; Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, serta Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Prestasi jualan & ciri baharu
Proton e.MAS 7 PHEV muncul sebagai kenderaan plug-in hybrid (PHEV) yang paling laris di Malaysia dengan jumlah pendaftaran setakat ini mencecah 4,500 unit.
Jumlah tempahan secara keseluruhan melangkaui 11,000 unit.
Dalam pada itu, Proton mengumumkan penambahan ciri baharu untuk e.MAS 7 PHEV iaitu fungsi urut untuk pemandu dan penumpang hadapan.
Ciri baharu ini dikhususkan untuk varian Premium dan Premium Plus.
Ia mencerminkan komitmen Pro-Net dalam menambah baik produknya berdasarkan maklum balas pelanggan serta perubahan jangkaan pengguna bagi memastikan produk kekal praktikal dan relevan untuk pemanduan harian.
Program CKD e.MAS 7 PHEV ini menandakan langkah seterusnya dalam usaha lokalisasi Pro-Net melibatkan pembekal tempatan merentasi rantaian nilai automotif.
Difahamkan 30% komponen kenderaan diperoleh daripada sumber tempatan.
Ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, memperluaskan keupayaan pembuatan tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Kilang EV baharu Proton itu kini mempunyai seramai 391 kakitangan.
Rancangan meningkatkan kandungan tempatan
Proton awal tahun ini mengumumkan perancangan untuk memperluaskan kilang pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) di AHTV Tanjong Malim.
Dengan nilai pelaburan sebanyak RM37 juta, Proton mahu meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 42,000 unit setahun.
Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam barisan produknya.
iCaur Malaysia mengumumkan model iCaur V23 versi pemasangan tempatan (CKD) bakal tiba di bilik pameran menjelang akhir bulan ini.
Program CKD iCaur V23 bermula secara rasmi pada bulan Julai, sekali gus menjadi satu lagi perkembangan penting dalam perancangan jangka panjang iCaur untuk pasaran tempatan.
Varian tunggal iWD
iCaur V23 versi CKD hanya ditawarkan dalam varian pacuan semua roda pintar (iWD).
Namun, pihak iCaur Malaysia menjamin spesifikasi dan tahap kualiti yang sama seperti versi import sepenuhnya (CBU).
Harga jualan asal turut dikekalkan pada RM132,780.
Versi iWD dipacu oleh tetapan dua motor elektrik berkuasa 211 PS dan 292 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat.
Pek bateri NMC 81.76 kWh pula menawarkan jarak pandu NEDC sehingga 430 km.
Ia turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW, pengecasan pantas DC sehingga 104 kW, serta fungsi V2L sehingga 3.3 kW.
Spesifikasi penuh iCaur V23 boleh dibaca pada pautan INI.
Kia Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Stellantis Malaysia bagi menyokong operasi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.
Ia turut menandakan satu pencapaian penting dalam strategi penyetempatan dan pembuatan jangka panjang Kia di sini.
Stellantis Malaysia sebagai pemasang kontrak
Di bawah kerjasama ini, Stellantis Malaysia berperanan sebagai pemasang kontrak bagi operasi CKD Kia di fasiliti Gurun, Kedah.
Fasiliti tersebut dilengkapi dengan infrastruktur pengeluaran yang komprehensif, serta keupayaan pembuatan yang mematuhi piawaian terkini Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 (QMS).
Ia juga turut menyokong pemasangan pelbagai model merentasi pelbagai jenis rangkaian kuasa.
Jadi dengan ini, ia mampu menampung pengeluaran semua model semasa Kia termasuk Sportage dan Carnival, serta model baharu pada masa hadapan.
Operasi CKD dijadualkan bermula pada suku ketiga (Q3) 2026.
Perkukuh kedudukan Kia di Malaysia
Kolaborasi ini dijangka memperkukuh ekosistem pembuatan Kia di Malaysia sambil meningkatkan fleksibiliti operasi, kemampuan skala dan persediaan memperkenalkan model-model baharu.
Perkembangan ini menandakan fasa seterusnya dalam pertumbuhan jenama tersebut di Malaysia dan pasaran ASEAN yang lebih luas.
Ia juga sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang Kia terhadap pembangunan dan perluasan serantau.
Hyung Ho Kim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Malaysia serta Kia Sales Malaysia menyifatkan kolaborasi ini penting untuk memperkukuh kedudukan Kia di Malaysia.
Isaac Yeo, Pengarah Urusan ASEAN Stellantis menambah pihaknya kekal komited untuk menyokong ekosistem automotif dan pembuatan yang lebih luas sambil mewujudkan nilai bersama kepada rakan kongsi, pembekal dan industri.
iCaur Malaysia mengumumkan SUV elektrik iCaur 03 versi CKD bakal tiba di pengedar menjelang akhir bulan Mei ini.
Program pemasangan model CKD tersebut telah bermula pada suku kedua 2026 di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam.
Spesifikasi kekal tidak berubah
iCaur 03 CKD akan ditawarkan dalam varian tunggal iWD tanpa sebarang perubahan spesifikasi.
Ia dipacu tetapan dwi-motor menghasilkan 279 PS dan 385 Nm, sementara pek bateri 69.8 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 418 km (data NEDC).
SUV ini menyokong pengecasan AC 6.6 kW, pengecasan pantas DC 80 kW, serta fungsi Vehicle-to-load (V2L) 3.2 kW.
Harga jualan bermula dari RM129,880 atas jalan tanpa insurans.
iCaur Malaysia turut menawarkan pakej merangkumi pengecas rumah AC 7 kW serta pakej servis berjadual percuma selama 2-tahun atau had perbatuan 45,000 km yang mana tiba dahulu.
Prestasi jualan April 2026
Sepanjang April 2026, iCaur merekodkan 547 unit berdaftar merentasi modelnya.
Pencapaian ini menandakan minat pasaran yang semakin meningkat terhadap kenderaan tenaga baharu (NEV) keluarannya yang menggabungkan rekaan retro, teknologi pintar dan praktikal.
Menurut Francis Chin selaku Pengarah Kanan iCaur Malaysia menjelaskan peralihan kepada pemasangan tempatan merupakan satu langkah penting.
“Ia menggabungkan kebanggaan tempatan dengan teknologi global, sambil membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat tanpa mengubah apa yang pelanggan sedia gemari pada iCaur 03,” ujarnya lagi.
iCaur Malaysia kekal fokus terhadap strategi jangka panjang untuk memperkenalkan lebih banyak model NEV pada masa akan datang.
Perodua merancang untuk melakukan pengeluaran model Ativa Hybrid secara tempatan, lapor Bernama.
Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua berkata, pihaknya sedang memuktamadkan perbincangan membabitkan perkara termasuklah tempoh pengeluaran, penetapan harga dan butiran lain.
“Sebaik sahaja dapat memuktamadkan perkara-perkara berkaitan, kami akan membuat pengumuman rasmi kemudiannya.
“Apa yang pasti, model Ativa hibrid ini akan dikeluarkan di peringkat tempatan,” katanya pada sidang media bersempena lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata ke kilang Perodua baru-baru ini.
Difahamkan, Perodua menerima pelaburan bernilai 1.5 bilion yen (lebih RM37 juta) daripada Global South Fund bagi menyokong teknologi hibrid Jepun di sini.
Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi pada tahun 2021, dan merupakan model pertama Perodua yang dibina berdasarkan platform DNGA.
Buat masa ini, Ativa hanya ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo 1KR-VET yang dipadankan dengan transmisi D-CVT.
Ativa Hybrid pernah ada di Malaysia
Pada September 2022, Perodua melancarkan kajian terhadap mobiliti kenderaan elektrik melibatkan 300 orang pelanggan.
Menerusi program ini, sebanyak 300 unit Ativa Hybrid disediakan di mana kesemuanya merupakan unit CBU daripada pasaran Jepun.
Perodua Ativa Hybrid menggunakan trenkuasa sistem hibrid bersiri di mana hanya motor elektrik digunakan untuk menggerakkan roda kenderaan.
Manakala enjin 1.2 liter WA-VEX hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk mengecas bateri dan menggerakkan motor elektrik.
Kembarnya di Jepun (Daihatsu Rocky Hybrid) ditawarkan dengan e-Smart Hybrid terdiri daripada:
enjin tiga-silinder 1.2 liter WA-VEX (102 hp/105 Nm)
Aveta International mengumumkan ketibaan jenama motosikal Perancis, iaitu Peugeot Motocycles untuk pasaran Malaysia.
Serentak dengan pengenalan tersebut, empat buah model skuter dilancarkan serentak, terdiri daripada:
XP400 GT – RM43,990
Django Cafe Racer 150 – RM16,990
Django Classic 150 – RM14,990
Speedfight 4+ – RM9,990
Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta International mengesahkan beberapa model (termasuk Django dan Speedfight 4+) akan dipasang secara CKD di bawah inisiatif Eco 5 Aveta.
Sepanjang tahun 2026, Peugeot Motocycles Malaysia menyasarkan pembukaan 10 hingga 15 pengedar eksklusif di beberapa lokasi urban.
Pusat pengalaman mercu pertama yang terletak di Bukit Tambun, Pulau Pinang akan dibuka 9 Mei ini, diikuti di Johor Bahru dan Lembah Klang seawal Jun 2026.
Berikut merupakan informasi untuk setiap model yang dilancarkan:
Peugeot Speedfight 4+
Enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair
Kuasa 12.5 hp @ 7,500 rpm, 13.2 Nm @ 5,500 rpm
Fork teleskopik terbalik depan, penyerap hentak tunggal belakang
Skrin paparan digital LCD
Sistem ABS dua-saluran
Rim 13 inci
Tangki bahan api 7.4 liter
Tinggi pelana 780 mm
Peugeot Django Classic 150
Enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair
Kuasa 12.5 hp @ 7,500 rpm, 13.2 Nm @ 5,500 rpm
Fork teleskopik depan, penyerap hentak tunggal belakang
Skrin paparan digital TFT
Sistem ABS dua-saluran
Rim 12 inci
Tangki bahan api 8.5 liter
Tinggi pelana 780 mm
Peugeot Django Cafe Racer 150
Enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair
Kuasa 12.5 hp @ 7,500 rpm, 13.2 Nm @ 5,500 rpm
Fork teleskopik depan, penyerap hentak tunggal belakang
Skrin paparan digital TFT
Sistem ABS dua-saluran
Rim 12 inci
Tangki bahan api 8.5 liter
Tinggi pelana 780 mm
Cermin sisi pada penghujung bar hendal
Penutup pelana pembonceng
Penghadang angin yang lebih tinggi
Peugeot XP400 GT
Enjin silinder tunggal 400 cc PowerMotion sejukan cecair
Kuasa 36.7 hp @ 8,150 rpm, 38.1 Nm @ 5,400 rpm
Fork teleskopik terbalik depan, penyerap hentak tunggal belakang
Bersempena dengan ulang tahun kedua, MG Motor Malaysia meraikan permukaan cemerlang bagi tahun 2026.
Sepanjang tempoh suku pertama tahun ini, MG Motor Malaysia berjaya menjual sebanyak 807 unit kenderaan.
Ini diterjemahkan kepada peningkatan 57 peratus berbanding suku keempat 2025, dan peningkatan 39 peratus berbanding suku pertama 2025.
Pencapaian ini mencerminkan minat pasaran yang berterusan serta keyakinan yang semakin meningkat terhadap jenama tersebut.
Selain itu, MG Cyberster turut dianugerahkan sebagai ‘Performance Car of The Year’ oleh MARii.
MGS5 EV CKD mula dijual
Pada bulan Mac, MG Motor mencatatkan satu pencapaian penting menerusi Majlis Pelancaran MGS5 EV versi pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka.
MGS5 EV versi CKD kini ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga RM116,900.
SUV elektrik ini mendapat naik taraf kuasa, di mana motor elektrik pacuan belakang mampu menjana kuasa sehingga 202 hp dan 350 Nm.
Selain itu, ciri lain termasuklah:
pengecasan pantas DC 150 kW (10-80 peratus dalam 26 minit)
tempat duduk hadapan kuasa elektrik dan fungsi ventilasi
pek bateri 62 kWh
jarak pandu sehingga 446 km (data WLTP)
pintu tailgate berkuasa
7-beg udara SRS
fungsi ADAS 2.5
Model ini sedia untuk tontonan dan pandu uji di semua bilik pameran MG, serta tampil dengan promosi khas bernilai RM9,000.
MG di KLIMS 2026
MG Motor Malaysia akan menyertai acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang bakal berlangsung tahun ini.
Naib Presiden Reka Bentuk Global SAIC Motor, Jozef Kaban juga akan turut hadir dan berkongsi pandangan tentang falsafah reka bentuk serta evolusi identiti reka bentuk global MG.
Melangkah ke depan, MG Motor Malaysia akan memperkukuh rangkaian serta keupayaan selepas jualan, seperti penambahan pusat 3S MG di Kuantan dan Pahang.
Dengan 11 pusat badan & cat di seluruh negara, MG akan memastikan pelanggan menerima sokongan selepas jualan yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi sepanjang tempoh pemilikan.
Quill Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FAW Group, menyaksikan kumpulan itu dilantik sebagai pengimport rasmi dan pengedar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi jenama automotif mewah China, Hongqi.
Kerjasama strategik ini membuka laluan kepada Hongqi untuk menembusi pasaran kenderaan ultra-mewah dan kenderaan elektrik (EV) premium di Malaysia.
Bakal lancar menjelang pertengahan tahun ini
Hongqi, yang bermaksud “Bendera Merah,” terkenal sebagai kenderaan rasmi pemimpin negara China dan melambangkan kebanggaan industri automotif negara itu. Jenama ini dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang pertengahan tahun 2026.
Melalui MoU ini, Quill Group akan bertindak sebagai rakan strategik dan pengedar utama, di samping menerajui aspek pengimportan, operasi CKD, serta pelantikan pengedar sah di seluruh negara.
Quill Group manfaat kepakaran untuk pemasaran dan sokongan perkhidmatan
Pengarah Urusan Quill Group, Dato’ Dr. Jennifer Low berkata pelantikan ini mencerminkan keyakinan Hongqi terhadap kepakaran korporat Quill Group serta potensi pasaran Malaysia.
“Dengan memanfaatkan kepakaran korporat luas Quill Group serta komitmen terhadap kecemerlangan, kami akan memperkukuh keyakinan pengguna melalui program pemasaran yang komprehensif, sokongan perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh tanpa kompromi, serta ketersediaan alat ganti yang lancar,” katanya.
Model apa yang bakal dilancar?
FAW Group kini mengeksport kenderaan Hongqi ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia. Pelaksanaan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.
Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal dan rangkaian pengedar akan diumumkan dalam masa terdekat.
TQ Wuling baru-baru ini mencatatkan satu pencapaian penting apabila kumpulan pertama Bingo EV versi CKD telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia.
Ia menandakan peralihan jenama itu daripada fasa pengenalan kepada pemilikan sebenar.
Menurut Wan Wei Sun selaku Ketia Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd berkata, “Detik ini lebih daripada sekadar menyerahkan kenderaan, ia melambangkan kepercayaan, keyakinan dan permulaan kepada lebih banyak perjalanan pemilikan.
“Kami amat menghargai pelanggan pertama kami kerana mempercayai TQ Wuling dan menjadi sebahagian daripada perjalanan EV kami di Malaysia.
Pelanggan awal Bingo EV kongsi pengalaman
Kebanyakan pemilik awal berkongsi faktor seperti praktikaliti, nilai dan ketenangan minda merupakan ciri utama yang menentu keputusan pembelian mereka.
“Saya amat tertarik dengan rekaan retro-moden Bingo EV sejak dari mula.
“Selepas memandu uji, saya amat teruja dengan respons dan mudah untuk dipandu di dalam bandar.
“Selain rupa paras, sokongan penyelenggaraan yang wujud di Malaysia memberikan ketenangan minda. Ia bergaya, praktikal dan sesuai dengan bajet saya,” ujar Intan, salah seorang pemilik terawal Bingo EV.
Seorang lagi pelanggan, Christine berkata, “Sejak menerima unit Bingo EV, kami sangat menikmatinya. Ia mempunyai ruang yang luas, sistem pendingin hawa yang sesuai dengan cuaca panas kita, dan keupayaan pemanduan yang hebat.
“Untuk kegunaan harian, ia satu pilihan yang tepat. Apa yang mengagumkan ialah harga yang berpatutan dan betapa mudahnya ia bergerak dalam kesesakan trafik.
ADAS sebagai ciri standard
Seiring dengan penyerahan pertama, TQ Wuling turut mengumumkan Bingo EV CKD ini hadir dengan ciri bantuan ADAS sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.
Antara ciri ADAS yang dimuatkan termasuklah:
Amaran Titik Buta (BSW)
Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki
Amaran Bukaan Pintu (DOW)
Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Bingo EV turut dilengkapi pengelap cermin automatik, sistem kunci/nyahkunci ketika beredar dan sistem nyahkunci automatik selepas impak.
Tambahan pula, Bingo EV didatangkan dengan enam beg udara, menjadikan Malaysia pasaran pertama menerima konfigurasi ini.
Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.
Stellantis meraikan satu lagi pencapaian penting dengan memulakan produksi model Peugeot 408 baharu di kilang Gurun.
Peugeot 408 itu dipasangkan enjin PureTech 1.6L turbo spesifikasi Euro 6 menghasilkan 225 hp setara dengan varian plug-in hybrid (PHEV).
Unit CKD ini turut dieksport ke pasaran Taiwan – pasaran eksport ketiga selepas Thailand (2024) dan Kemboja (2025).
Beberapa pasaran lain di rantau Asia Pasifik sedang dinilai untuk eksport model ini.
Kilang Stellantis terima naik taraf
Dengan pelaburan bernilai €1.5 juta (RM6.97 juta), kilang Stellantis Gurun menerima naik taraf pada bahagian pengeluaran, termasuk kerja R&D khusus untuk talaan rangkaian kuasa serta pembangunan komponen tempatan.
Pencapaian ini merupakan elemen penting dalam pelan strategik Stellantis untuk menjadikan kilang Gurun sebagai hab pembuatan serantau dengan standard kualiti bertaraf industri.
Ia dijangka mampu mencapai kapasiti penuh menjelang 2028, termasuklah eksport sehingga 280,000 unit ke 20 negara Asia Pasifik.
Selain pemasangan kenderaan enjin konvensional (ICE), kilang Gurun juga mampu memasang kenderaan elektrik (EV) serta kenderaan hibrid ringan (MHEV).
Pemasangan EV CKD akan dimulakan dengan model Leapmotor C10 hasil pelaburan khusus bernilai €5 juta (RM23.19 juta).
Menurut Isaac Yeo selaku Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, “Visi kami untuk menjadikan Gurun sebagai pemacu utama rantau ini direalisasikan melalui pelaburan strategik bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk pasaran tempatan dan eksport.
“Perkembangan ini mengukuhkan komitmen kami untuk meningkatkan output produksi di Malaysia sambil memperluas rangkaian jenama dan model dalam portfolio Stellantis.”
GWM Malaysia mengumumkan model MPV Wey G9 mencatatkan tempahan lebih 800 buah dalam tempoh seminggu selepas dilancarkan.
Pencapaian ini menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap MPV tenaga baharu mewah pertama yang dipasang secara tempatan (CKD).
Bukti keupayaan ekosistem tempatan
Menurut Encik Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia berkata, “Pencapaian ini turut menggambarkan keupayaan ekosistem pemasangan tempatan di Malaysia.
“Dengan kelebihan tenaga kerja mahir dan rangkaian vendor sedia ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan.
Jarak pandu Wey G9 lebih 1,000 km
GWM Wey G9 dikuasakan oleh sistem hibrid pintar Hi4 PHEV yang mampu menjanjikan jarak pemanduan sifar emisi sejauh 170 km.
Jarak pandu keseluruhan pula mampu melebihi 1,000 km, di samping menawarkan pengalaman pemanduan yang cekap dan senyap.
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan produksi bagi model SUV baharu Xforce 2026 sudah pun bermula di kilang Pekan.
Tempahan bagi model baharu itu akan dibuka dalam masa terdekat.
Pengenalan model baharu Xforce ini mencerminkan komitmen berterusan MMM untuk meluaskan lagi portfolio produk sedia ada.
Naik taraf fasiliti sedia ada
Untuk itu, MMM telah menaik taraf operasi pengeluaran di Pekan termasuklah pembinaan ‘Sub-Assembly Body Shop’ serba baharu.
Selain itu, MMM turut memasang perkakasan moden di bahagian pengecatan, pemasangan akhir serta bahagian pemeriksaan.
MMM menjamin kesemua proses pengeluaran Xforce di Pekan mematuhi piawaian pengeluaran global Mitsubishi Motors.
Menurut Takashi Sakamaki selaku Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, “Pengeluaran massa Mitsubishi Xforce serba baharu mencerminkan penerapan falsafah pembuatan Jepun Mitsubishi Motors di kilang Pekan.
Berasaskan ketepatan, disiplin proses dan penambahbaikan berterusan, standard ini memastikan setiap Xforce yang dihasilkan mencapai penanda aras kualiti yang sama seperti kenderaan Mitsubishi di seluruh dunia.
Keutamaan kami adalah untuk menyerahkan kenderaan yang memenuhi standard global tertinggi Mitsubishi Motors, memberikan keyakinan, kebolehpercayaan dan rasa bangga kepada pemilik sejak hari pertama.”
Sasar serah 800 unit pertama April ini
MMM menyasarkan untuk menyerahkan 800 unit pertama Xforce serba baharu April ini.
Pengeluaran rasmi Xforce dari kilang Pekan ini mengukuhkan lagi komitmen jangka panjang MMM terhadap pengeluaran tempatan.
GWM Malaysia mencapai satu lagi kejayaan penting dengan penghantaran model pemasangan pertama (CKD) GWM WEY G9 ke Thailand baru-baru ini.
Langkah ini menunjukkan komitmen GWM untuk bekerjasama lebih rapat di peringkat serantau, mengukuhkan keupayaan kenderaan tenaga baharu (NEV), dan membangunkan industri merentas sempadan.
Penghantaran ini dibuat selepas kejayaan pengeluaran pertama WEY G9 pemasangan tempatan di Malaysia, dan menjadi fasa seterusnya dalam rancangan GWM untuk membina rantaian bekalan serta ekosistem pembuatan yang kukuh di ASEAN.
Eksport CKD ke Thailand ini turut membuktikan keyakinan GWM terhadap kemampuan Malaysia dalam kerja pemasangan automotif bernilai tinggi, pemindahan teknologi dan potensi eksport pada masa depan.
Usaha ini dijangka meningkatkan daya saing industri tempatan, membangunkan vendor, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam strategi serantau GWM.
Menurut En. Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, penghantaran CKD ini membuktikan asas kukuh yang sedang dibina GWM di ASEAN.
“Malaysia kini berperanan sebagai hab pemasangan strategik yang menyokong pasaran jiran dengan produk tenaga baharu yang lebih maju, sambil mengukuhkan integrasi rantaian bekalan serantau.
Mr. Cui Anqi selaku Pengarah Urusan GWM Malaysia pula menambah, “WEY G9 menggabungkan kejuruteraan bertaraf dunia dengan mutu kerja tempatan.
“Penghantaran ke Thailand ini menunjukkan kemampuan Malaysia menyokong pengembangan GWM di rantau ini dan menjadi permulaan kepada pelan jangka panjang GWM dalam teknologi tenaga baharu.
GWM Wey G9 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada bulan ini.
TQ Wuling mengumumkan permulaan program pemasangan tempatan (CKD) bagi model TQ Wuling Bingo EV di Malaysia.
Hatchback elektrik kecil itu dipasang di kilang milik Kumpulan Tan Chong yang terletak di Segambut.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran EV global daripada SAIC-GM-Wuling (SGMW) dengan pengalaman luas Kumpulan Tan Chong dalam pembuatan tempatan bagi memastikan kualiti bertaraf antarabangsa yang disesuaikan khas untuk pasaran Malaysia.
Menurut Wan Wei Sun selaku Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd, “Permulaan pemasangan tempatan TQ Wuling Bingo EV bukan sekadar pelancaran sebuah model, tetapi mencerminkan pelaburan jangka panjang serta keyakinan kami terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan hab pengeluaran.
“Dengan menggabungkan keupayaan global EV daripada SGMW bersama warisan pembuatan kukuh Tan Chong yang telah terbina selama berdekad, kami membina kepercayaan melalui kualiti, memperkukuh ekosistem tempatan serta meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan pada masa hadapan.
Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.