Arkib Tag: bateri

Toyota elektrik hibrid (HEV) cekap dan sporti, sesuai untuk anda?

SEDAR atau tidak, Toyota sebenarnya telah mempelopori teknologi hibrid hampir suku abad lamanya. Teknologi ini terus diberikan inovasi dan penambahbaikan, dan ia kini semakin cekap seperti yang anda boleh dapati dalam model-model seperti Corolla Cross Hybrid Electric dan Innova Zenix Hybrid Electric.

Teknologi hibrid Toyota direka untuk memberikan pengalaman memandu unik, menggunakan dua sumber kuasa lalu menghantar kuasa yang lancar dan cekap.

Kebanyakan pemanduan anda dalam bandar boleh dibuat menggunakan motor elektrik sahaja, bermakna tiada langsung pelepasan asap dari ekzos. Dengan kurangnya pelepasan ekzos, maka kurang juga penggunaan petrol.

Ini menjadikan elektrik hibrid antara kenderaan paling cekap tenaga atas jalan raya, terutamanya di Malaysia.

Bagaimana elektrik hibrid berfungsi

Kenderaan elektrik hibrid menggunakan dua sumber kuasa berbeza – sebuah enjin petrol dan satu motor elektrik, maka lahirlah nama hibrid.

Kenderaan sebegini lebih menjimatkan berbanding kereta biasa, tetapi ia tidak memerlukan anda mengecas kerana enjin akan mengecas bateri secara automatik.

Ini membuatkan kenderaan hibrid praktikal kerana anda hanya perlu isi minyak untuk menikmati dua jenis sumber kuasa. Enjin dan motor dalam kenderaan hibrid Toyota mampu beroperasi berasingan – atau bersama – bergantung kepada keadaan.

Anda juga tidak akan ada masalah kerisauan jarak perjalanan (range anxiety) seperti kenderaan elektrik sepenuhnya kerana enjin petrol masih ada jika motor elektrik kehabisan bateri.

Mengapa pilih elektrik hibrid Toyota?

1. Bateri tahan lama

Bateri hibrid Toyota direka supaya selamat dan tahan lama, dan ia dibina dengan teknik serta kualiti yang anda boleh jangkakan dari jenama seperti Toyota.

Bateri-bateri hibrid ini hadir dengan jaminan 8 + 2 untuk ketenangan minda anda. Maklumat lanjut berkenaan jaminan bateri boleh didapati di sini.

2. Kos penyelenggaraan rendah

Secara keseluruhan, kos pemilikan elektrik hibrid adalah rendah, dari segi pengisian petrol dan penyelenggaraan.

Mengapa? Kos penyelenggaraan hibrid ini lebih rendah kerana tidak terdapat banyak komponen serta ketahanan komponen bateri dan elektrik. Sebagai contoh, penggunaan regenerative braking bermakna kurangnya kelusuhan pada pad brek.

3. Kecekapan bahan api lebih baik

Dengan dua sumber kuasa, hibrid boleh dipandu sepenuhnya dengan kuasa elektrik pada kelajuan rendah dan bila enjin melahu atau mula bergerak. Enjin hanya berfungsi pada kelajuan tinggi, bermakna kecekapan bahan api keseluruhan juga lebih baik.

Ini semua menyumbang kepada kecekapan bahan api dan penjimatan minyak tanpa mengorbankan prestasi.

4. Seronok dipandu

Hibrid hari ini tidak seperti dulu, ia kini sangat responsif dan sporti disebabkan tork segera yang boleh dibekalkan oleh motor elektrik dan kelajuan lebih tinggi yang boleh diberikan oleh enjin.

Dua sumber kuasa ini bekerjasama dengan harmoni untuk memberikan anda kuasa dan prestasi pada bila-bila masa.

Perubahan bermula dengan anda

Anda boleh mulakan perubahan demi masa depan lebih cerah dengan barisan model elektrik hibrid Toyota.

Apa kata anda cuba pandu uji Corolla Cross Hybrid atau Innova Zenix Hybrid hari ini.

Bateri CATL cas 10 minit mampu dapat 400km, jarak maksima hingga 700km

SYARIKAT gergasi bateri, CATL baru mempersembahkan produk terbaharu mereka, iaitu ShenXing yang dikatakan mampu memperoleh jarak 400km dengan hanya mengecas selama 10 minit.

CATL berkata bateri baharu untuk EV itu akan mampu membekalkan sehingga 700km jarak pemanduan, walaupun mereka tidak mendedahkan jenis kenderaan untuk angka ini (saiz, berat, dan sebagainya).

Tetapi ini tetap suatu angka dan prestasi menarik walaupun jika dipasang pada kenderaan EV saiz sederhana.

Menurut CATL, nama ShenXing diambil dari frasa purba China, yang bermaksud laju atau pantas. Dan ia memang pantas untuk mengecas jika mampu mendapat 400km dalam hanya 10 minit. Ini bersamaan dengan pengecasan dari 20 hingga 80 peratus dalam masa 10 minit.

Pengecasan super pantas ini bukan satu-satunya ciri menarik bateri ShenXing. Ia juga membekalkan sehingga 700km yang menyamai kenderaan ICE biasa. CATL turut berkata pecutannya tetap mantap walaupun pada suhu rendah.

Kebolehan pengecasan pantas bateri ShenXing boleh dibuat pada julat suhu yang luas. Ia dikatakan prestasi mengecasnya pada suhu rendah adalah sama dengan suhu tinggi. Menurut pembentangan CATL, tiada masalah untuk mengecas walaupun pada suhu -10 darjah Celsius.

ShenXing merupakan bateri LFP (lithium ion phosphate) pertama dunia dengan pengecasan pantas 4C. Antara teknologi yang dibawa adalah cathode rangkaian super elektronik, graphite ring ion pantas, elektrolit superkonduktor, filem Solid Electrolyte Interface (SEI) ultra-nipis, dan high porosity separator.

CATL berkata bateri ShenXing ini akan mula didapati pada kereta-kereta EV mewah, tetapi mereka berhasrat menawarkan bateri itu pada lebih banyak jenis kenderaan. Buat masa ini, rakan kongsi CATL termasuklah Chery Automobile, Changan Auto, Neta Auto, Zeekr, dan Great Wall Motor.

https://www.youtube.com/watch?v=XyymechmV2g

Bateri kereta EV di China ini tiba-tiba jatuh semasa dipandu

SEBUAH kereta elektrik (EV) China yang direka dengan fungsi bateri boleh ditukar telah terjatuh keseluruhan baterinya semasa sedang dipandu.

Beberapa syarikat EV telah mencuba teknik penukaran bateri ini sebagai alternatif kepada mengecas, tetapi secara realiti, kebanyakannya gagal, kecuali di China. Terdapat syarikat EV China yang berjaya melakukannya, sebagai contoh Nio yang mempunyai lebih 1,500 stesen penukaran bateri di negara itu.

Tetapi insiden dipaparkan ini menunjukkan pentingnya menitik beratkan keselamatan dalam melakukan panukaran bateri. Sebuah EV telah terjatuh baterinya semasa berada di jalan raya di China.

Kereta itu difahamkan merupakan Cao Cao 60, sebuah EV yang dikeluarkan oleh Cao Cao Auto untuk ride-hailing. Cao Cao ialah syarikat di bawah Geely, yang juga memiliki jenama seperti Volvo, Polestar, dan Proton.

Syarikat itu dilancarkan awal tahun ini, dan Cao Cao 60 mempunyai kebolehan menukar bateri bagi mengurangkan masa mengecas dan memastikan masa dapat dimanfaatkan, jadi kereta itu boleh aktif dengan aktiviti ride-hailing. Baterinya mampu ditukar dalam masa kurang 60 saat.

Ia tidak dijual kepada umum, tetapi menurut Car News China, pemandu-pemandu dalam program ride-hailing Cao Cao boleh memilikinya pada harga 119,800 Yuan (RM76,930).

Dari kejadian yang difahamkan berlaku di 2nd Ring Road di Chengdu, Sichuan, kereta itu nampaknya telah berhenti kira-kira 20 kaki dari bateri yang tercabut itu.

Bateri Proton X50 ‘kong’ dua kali dalam 3 bulan, SC masih mahu cas

SEORANG pemilik Proton X50 telah mengalami kehabisan bateri untuk kali kedua dalam masa tiga bulan memiliki SUV itu.

Menurut pemilik yang tidak memaparkan namanya itu, semasa kali pertama kehabisan bateri, dia telah menghantar X50 miliknya ke pusat servis (SC) di Cyberjaya. Untuk kali kedua baru-baru ini, dia menghantar ke SC lain kerana cawangan di Cyberjaya tiada stok bateri.

“Pertama kali flat, hantar SC Cyberjaya untuk cas semula kerana prosedur katanya,” tulisnya di dalam forum Proton X50 Community Malaysia (PX50CM) di Facebook.

“Kali kedua flat kena pagi ini, simptomnya tiga hari lepas tingkap belah pemandu tidak boleh dibuka. Sudah buat temujanji hantar hari ini, tetapi habis (bateri) dulu.

“Minggu depan nak raya, telefon SC Cyberjaya yang cas dulu kata bateri tiada stok. Sekarang hantar ke SC lain.

Menurutnya, dia tidak mempunyai kereta lain, dan hanya bergantung kepada X50 itu. Kos ketiadaan kereta untuk dua kali ini juga sudah melebihi kos membeli bateri baharu.

“Kereta masih di SC, bila dah petang dah tak dapat hubungi untuk tanya perkembangan. Risau tak dapat balik raya,” luahnya.

“Nak tukar sendiri bateri baharu pun SC cakap nanti ada masalah lain,” tambahnya.

Rata-rata komen mencadangkan pemilik itu untuk terus tukar sendiri bateri tanpa pengetahuan pihak Proton memandangkan proses di SC terlalu rumit dan memakan masa.

Menariknya, ada juga yang berkongsi memorandum rasmi pihak Proton berkenaan penggantian bateri Camel X50 tanpa membuat proses cas semula bateri.

Memorandum itu dikeluarkan oleh bahagian teknikal Proton, bertarikh 27 Mac 2023 lepas.

Tidak dapat dipastikan apakah solusi terkini pihak SC untuk bateri Proton X50 ini, tetapi tidak mungkin mereka perlu cas semula memandangkan telah keluar memo untuk mengganti terus bateri itu.

Toyota dakwa ada data buktikan EV tidak elok untuk alam sekitar

KETIKA pengeluar automotif sedang berlumba-lumba mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) masing-masing, Toyota mendakwa ia mempunyai data yang membuktikan bahawa EV boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

Buat pengetahuan anda, Toyota menceburi pasaran EV agak lewat jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya walaupun ia begitu rancak menghasilkan teknologi hibrid.

Ini menyebabkan Toyota dikritik hebat namun syarikat itu berpendirian bahawa komitmen sepenuhnya terhadap EV borpentsi mendatangkan impak negatif kepada alam sekitar.

Menurut ketua saintis Toyota, Gill Prat, adalah lebih masuk akal jika syarikat-syarikat kenderaan menawarkan kereta dengan sumber tenaga yang berbeza termasuk hibrid dan hidrogen.

“Tetapi bukankah EV tidak mengeluarkan sebarang emisi, kenapa pula kita nak menghasilkan lebih banyak kereta hibrid?”

Menurut Pratt, ini bergantung kepada ketersediaan litium, mineral yang digunakan dalam pengeluaran pek bateri. Beliau meramalkan industri kereta akan dilanda kekurangan litium serta mineral lain yang digunakan dalam pengeluaran bateri tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, lonjakan permintaan EV juga akan menyebabkan kekurangan fasiliti pengecasan, ramal Pratt.

Beliau berkata jika tiada litium yang mencukupi untuk menjana puluhan juta EV, adalah lebih baik jika bahan itu digunakan untuk menghasilkan kereta hibrid. Ini kerana jutaan kereta hibrid mempunyai impak lebih hebat ke atas output karbon dioksida (CO2) daripada menggunakan kuantiti litium yang sama untuk menghasilkan EV.

Dalam satu model hipotesis, Pratt bermula dengan 100 kenderaan pembakaran dalaman (ICE) dengan emisi CO2 sebanyak 250 g/km. Jika terdapat cukup litium untuk menghasilkan batteri 100 kWh, anda boleh menghasilkan sebuah Tesla ‘long range’ tetapi baki 99 kenderaan tadi masih akan mempunyai ICE, memberikan angka CO2 sebanyak 248.5 g/km.

Bagaimanapun, jika kapasiti bateri 100 kWh tersebut dibahagikan antara 90 kenderaan hibrid, dengan baki 10 kenderaan ICE, purata emisi akan jatuh kepada 205 g/km.

Ini tidak bermakna Toyota tidak berminat dengan EV. Pada Oktober 2021, syarikat itu memperkenalkan bZ4X yang dibangunkan secara bersama dengan Subaru, disusuli dengan konsep bZ Compact SUV yang bersaiz lebih kecil untuk pasaran China.

Namun begitu, Toyota tetap dengan pendiriannya bahawa pesaing-pesaingnya sedang melakukan kesilapan dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap EV.

Tips selamatkan kereta sebelum, semasa dan selepas banjir

BANJIR ialah salah satu bencana alam yang sering berlaku di negara kita selain tanah runtuh, ribut taufan dan sebagainya.

Banjir kita boleh berlaku jika hujan berpanjangan di bandar-bandar besar, dan banjir juga sering berlaku disebabkan hujan monsun setiap tahun.

Kali ini, kami akan kongsikan tips menyelamatkan kereta anda sebelum, semasa, dan selepas banjir.

Tiada siapa mahu terlibat menjadi mangsa bencana alam, tetapi selain berdoa memohon perlindungan dari Tuhan, kita juga boleh membuat persediaan dan perkara sepatutnya untuk mengurangkan kesan.

Sebelum kereta tenggelam banjir

1. Alihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi: Jika sempat, alihkan dulu kereta ke tempat yang anda rasa tidak akan dinaiki air.

2. Tutup/sumbat ekzos untuk elak dimasuki air: Sebelum meninggalkan kereta, tutup ekzos kereta anda, mungkin boleh guna beg plastik dan kemudian ikat. Untuk sumbat ekzos, anda boleh gunakan barang seperti bola atau buah yang kecil (limau atau oren) dan balut juga dengan beg plastik. Ini akan membantu mengurangkan kerosakan enjin jika kereta anda ditenggelami air.

3. Cabut terminal bateri: Selepas itu, cabut terminal bateri, ini penting untuk melindungi sistem dan komponen elektrik dalam kereta.

4. Selamatkan barang-barang penting: Akhir sekali, bawa keluar barang-barang penting jika ada seperti dokumen (geran, buku servis) dan barang peribadi. Elakkan juga meninggalkan barang berharga.

Semasa kereta tenggelam banjir

1. Jangan sesekali hidupkan kereta: Jika ekzos kereta anda tenggelam bawah paras air, JANGAN cuba menghidupkan kereta untuk mengelakkan air memasuki sistem enjin. Selain itu, semasa anda menghidupkan kereta, terdapat juga risiko kerosakan komponen elektrik.

2. Jangan cuba meredah banjir: Mungkin ini pesanan paling penting dalam senarai ini, kerana melibatkan nyawa. Lebih baik anda berhenti atau berpatah balik jika terdapat banjir di depan. Ini kerana kita tidak pasti apa yang ada di bawah permukaan air, mungkin ada lubang, longkang atau sebarang halangan lain.

Kereta anda juga mungkin hanyut jika air terlalu dalam atau arus terlalu deras. Ingat, harta benda boleh dicari, tapi nyawa tiada ganti.

Selepas banjir surut

Imej: Bernama

1. Jangan terus hidupkan kenderaan: Selepas banjir surut dan semua kering, anda tidak perlu cuba menghidupkan kereta. Terus ke langkah seterusnya.

2. Gunakan khidmat towing (trak tunda) untuk bawa kereta ke bengkel: Serahkan pada mereka yang pakar untuk membuat pemeriksaan dan baikpulih pada kereta anda.

Apa guna bayar insurans, bukan? Inilah masa kita gunakannya.

Diharap tips-tips ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelamatkan kereta anda atau mengurangkan kos kerosakan.

Peringatan: Jika enjin terus dihidupkan selepas ditenggelami banjir, kemungkinan besar enjin akan mengalami kerosakan sangat parah.

Toyota labur AS$3.4 bilion hasilkan bateri EV di Amerika Syarikat

TOYOTA meneruskan langkah berani dengan memperuntukan dana cukup besar bagi projek pembangunan penghasilan bateri kenderaan elektrik.

Memetik laporan media, syarikat itu dikatakan telah memperuntukan lebih AS$3.4 bilion bagi projek tersebut.

Projek dijangka mengambil masa lebih 10 tahun itu turut melibatkan pembinaan kilang di Amerika Syarikat khusus bagi memproduksi bateri kenderaan elektrik.

Setakat ini, Toyota menyasarkan keseluruhan projek pembinaan fasiliti pengeluaran bateri kenderaan elektrik akan bermula seawal tahun 2025.

Bagi tujuan itu, lebih 1,750 peluang pekerjaan juga bakal diwujudkan oleh Toyota.

Sebelum ini, Toyota mendedahkan memperuntukan dana keseluruhan 1.5 trilion yen atau RM54.65 bilion untuk pembangunan dan pembekalan bateri kenderaan elektrik.

Menjelang tahun 2030, Toyota mensasarkan penjualan sebanyak 2 juta unit kenderaan elektrik.

Ia turut melibatkan penghasilan 15 buah model kenderaan elektrik sebelum tahun 2025.

Geely sasar buka 5,000 stesen penukaran bateri EV di China

SYARIKAT subsidiary Geely iaitu Geely Technology Group bercadang membina lebih 5,000 stesen penukaran bateri electric vehicle (EV) di China.

Sasaran dibuat selepas syarikat itu berjaya menghasilkan proses perkhidmatan penukaran bateri E-Energee sebelum ini.

Pada acara Wuzhen Internet Conference 2021, Geely Technology Group menunjukkan bahawa mereka berjaya menghasilkan proses penukaran bateri dalam tempoh kurang seminit.

Foto ihsan Geely

Apa yang menarik, Geely Technology Group mendakwa proses penukaran bateri hanya mengambil masa 59 saat berbanding 90 saat.

Pelanggan boleh melakukan pembayaran secara dalam talian dan lebih mudah, pemandu tidak perlu keluar dari kenderaan ketika proses penukaran bateri dibuat.

Setakat ini, Geely Technology Group telah membina lebih 10 stesen E-Energee dengan hub pertama dibina di Chongqing pada September 2020.

Foto ihsan Geely

Untuk rekod, terdapat sebuah lagi syarikat automotif China dikenali sebagai NIO turut mempunyai sistem penukaran bateri EV.

Bagaimanapun, proses penukaran lengkap memakan masa lebih tiga minit.

Bateri kereta cepat ‘kong’? Cuba ikuti lima langkah ini!

PENJAGAAN bateri kereta merupakan perkara yang sering diabaikan oleh kebanyakan individu.

Tanpa disedari bateri memainkan peranan tersangat penting bagi sesebuah kenderaan.

Bayangkan jika anda lewat untuk ke suatu lokasi dan secara tiba-tiba bateri kereta bermasalah, tidakkah ia menyusahkan?

Jadi, sebelum bateri kereta menyusahkan hidup kita jom lihat beberapa tips penting yang boleh diamalkan.

Tips penjagaan bateri kereta

Terdapat lima tips utama bagi memastikan bateri kereta tahan lama atau setidak-tidaknya berfungsi sehingga tarikh luput.

Apa yang penting semua tips ini tidak memerlukan modal besar selain hanya menuntut kerajinan daripada anda.

Berikut ada beberapa tips yang boleh anda cuba. Check it out!

#1 Pastikan terminal bateri sentiasa dalam keadaan bersih

Terminal yang kotor menjadi salah satu sebab jangka hayat bateri kereta tidak dapat bertahan lama.

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan sentiasa memastikan terminal bateri berada dalam keadaan bersih.

Langkah pertama, tanggalkan kabel terminal yang disambungkan kepada bateri.

Kedua, keluarkan bateri dari tapak terminal bagi mengelak berlaku lintar pintas apabila proses pembersihan dijalankan.

Ketiga, gunakan berus dawai untuk bersihkan terminal bateri. Ingat, lakukan proses ini dengan cermat ya!

Keempat, masukkan semula bateri dan sambungkan kembali kabel terminal.

#2 Gunakan minyak gris tahan panas

Anda boleh sapukan minyak gris tahan panas pada bahagian terminal bateri.

Langkah ini boleh mengelak bateri kereta daripada berkarat atau berlaku hakisan.

#3 Jangan cuai

Antara penyebab paling utama bateri kereta tidak dapat bertahan lama adalah disebabkan kecuaian manusia.

Ramai individu sering terlupa mematikan lampu kereta sehingga menjejaskan bateri.

Jadi, salah satu perkara paling asas adalah jangan lupa tutup lampu!

Apa yang anda boleh lakukan jika berdepan masalah ini adalah dengan menggunakan jumper dan biarkan kereta berada dalam keadaan idle sekurang-kurangnya 15 minit.

#4 Kerap uji ketahanan bateri

Penggunaan battery tester dapat mengesan sejauh mana keadaan bateri kereta.

Untuk pengetahuan anda, kaedah ini perlu dilakukan sekurang-kurang tiga atau empat kali bagi setiap bateri yang digunakan.

#5 Pasang bateri dengan betul

Kegagalan memasang bateri kereta dengan betul pada tempatnya boleh menyebabkan berlaku masalah yang tidak diduga.

Bateri yang tidak ketat pada tempatnya boleh menyebabkan gegaran apabila kereta bergerak.

Ini boleh menyebabkan berlaku risiko kerosakan bahagian komponen dalaman bateri dan sekaligus menyebabkan ia tidak tahan lama.

Bagaimanapun, jangan pula anda terlalu mengetatkan nat kekunci bateri kerana ia juga dikhuatiri merosakkan bateri.

Itu sahaja antara lima tips utama penjagaan bateri kereta.

Jika anda ada sebarang tips lain sila kongsikan di mana-mana ruangan komen platform media sosial EnGear.

Jumpa lagi!