EICMA 2026: Honda CRF1150L Africa Twin 2027 jadi motosikal pertama dengan ciri Honda SENSING RIDE

Bertempat di acara EICMA 2026, Honda memperkenalkan CRF1150L Africa Twin 2027 membawakan peningkatan kapasiti enjin, pengurangan berat dan teknologi bantuan tunggangan baharu.

Menggantikan CRF1100L, generasi baharu ini dibangunkan berkonsepkan “Shaped by You. True Adventure for All.”, dengan tumpuan kepada prestasi, keseimbangan serta kemudahan pengendalian.

Tiga varian ditawarkan:

  • Africa Twin
  • Africa Twin Adventure Sports
  • Africa Twin Enduro Sports

Rekaan berbeza mengikut varian

Africa Twin standard mengekalkan identiti lampu berkembar “Twin Eyes”, kini dengan rekaan lebih kecil dan tajam serta susun atur badan ringkas dan berfungsi.

Adventure Sports pula tampil lebih tegap dengan penekanan kepada perlindungan angin dan keselesaan perjalanan jauh.

Varian baharu Enduro Sports mengambil ilham daripada CRF450 RALLY, dengan garisan badan “CRF streamline” yang mengalir dari fender hadapan ke belakang bagi menyerlahkan karakter rali.

Spesifikasi enjin & casis

Honda CRF1150L Africa Twin menggunakan enjin dua silinder selari 1,131 cc sejukan cecair, menghasilkan kuasa 117 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 119 Nm @ 5,700 rpm.

Enjin tersebut telah disemak semula termasuklah penambahbaikan pada sistem kemasukan, ekzos serta nisbah gear untuk pecutan yang lebih baik dan keselesaan semasa tunggangan.

Rangka dan lengan ayun baharu mempunyai keseimbangan ketegaran yang disemak semula, dengan pengurangan berat keseluruhan kedua-dua komponen sebanyak 1.4 kg berbanding generasi terdahulu.

Tangki bahan api tambahan di bawah pelana pula merendahkan pusat graviti bagi memudahkan kawalan dan pengendalian pada kelajuan rendah.

Tetapan suspensi

Varian Africa Twin dan Adventure Sports menggunakan suspensi elektronik Showa EERA dengan kawalan Honda Skyhook.

Sistem ini memantau pergerakan motosikal dalam masa nyata dan melaraskan redaman secara berterusan untuk mengurangkan pergerakan badan yang tidak diingini.

Sementara itu, Enduro Sports menerima suspensi hadapan dengan spesifikasi setara CRF450 RALLY, jentera yang bersaing dalam Rali Dakar.

Antara kelengkapan yang diketengahkan termasuklah:

  • Penghadang angin boleh laras elektrik pada Africa Twin standard
  • Sistem kunci pintar Honda pada Africa Twin standard
  • Tangki bahan api 24 liter pada Adventure Sports
  • Roda hadapan 19 inci pada Adventure Sports
  • Penghadang angin besar pada Adventure Sports
  • Emblem Honda Flagship WING berwarna perak dan hitam

Siri ini turut menawarkan enam mod tunggangan pratetap, yang menyelaraskan karakter kuasa, kawalan cengkaman, ABS, DCT dan suspensi elektronik mengikut kelengkapan varian.

Honda SENSING RIDE

Africa Twin Adventure Sports menjadi motosikal Honda pertama menawarkan Honda SENSING RIDE yang tersedia untuk varian Adventure Sports DCT.

Menggunakan radar gelombang milimeter di hadapan dan belakang, sistem ini menyediakan fungsi seperti:

  • Kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • ACC dengan fungsi Stop & Go
  • Group Ride Assist untuk tunggangan berkumpulan
  • Distance Assist
  • Amaran pelanggaran hadapan
  • Bantuan brek kecemasan
  • Maklumat titik buta
  • Maklumat jarak kenderaan belakang
  • Amaran pelanggaran dari belakang

Penggunaan bahan mampan

Honda turut menggunakan bahan lebih mampan, termasuk akrilik dan nilon kitar semula secara kimia, plastik berasaskan tumbuhan DURABIO™ pada penghadang angin serta deflektor, selain bahan kitar semula pada komponen badan dan tapak pelana.

EICMA 2026: Honda CBR1000RR-R Fireblade 2027 diperkenal, tambah varian HRC Works Edition

Di acara EICMA 2026, Honda memperkenalkan CBR1000RR-R Fireblade 2027 dengan reka bentuk semula menyeluruh dan penawaran tiga varian.

Dibangunkan berkonsepkan “Total Control for the Track”, kira-kira 75% komponen motosikal direka baharu bagi meningkatkan daya saing di litar serta keseronokan tunggangan.

Barisan model terdiri daripada:

  • Fireblade standard
  • Fireblade SP
  • HRC Works Edition

Untuk info, versi HRC Works Edition merupakan varian homologasi baharu untuk Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan turut direka untuk kegunaan jalan raya.

Spesifikasi

Fireblade 2027 menggunakan enjin empat silinder sebaris 999 cc DOHC sejukan cecair dengan kuasa 218 hp @ 14,000 rpm dan 114 Nm @ 10,500 rpm.

Buat pertama kali pada motosikal produksi Honda, enjin ini dilengkapi sistem corong kemasukan udara boleh ubah dua peringkat.

Pada 11,750 rpm dan ke atas, bahagian atas corong bergerak naik dan terpisah daripada bahagian bawah. Sistem ini meningkatkan kuasa pada putaran rendah hingga sederhana sambil mengekalkan prestasi pada rpm tinggi.

Sistem pendikit elektronik dua motor turut diperhalusi untuk meningkatkan respons pecutan, kawalan brek enjin dan kelancaran peralihan daripada nyahpecutan kepada pecutan.

Penggunaan magnesium menggantikan aluminium pada komponen tertentu, termasuk penutup kepala silinder, pula mengurangkan berat lebih 200 gram pada Fireblade SP.

Casis & suspensi

Rangka aluminium jenis twin-tube baharu mengurangkan ketegaran sisi sebanyak 20% sambil mengekalkan ketegaran kilasan. Berat rangka turut dikurangkan sebanyak 440 gram.

Lengan ayun aluminium juga direka semula dengan diameter aci pangsi dikurangkan daripada 20 mm kepada 17 mm.

Ketegaran sisinya berkurang 12% tanpa menjejaskan ketegaran kilasan bagi meningkatkan rasa sentuhan tayar belakang ketika membelok.

Varian Fireblade standard menggunakan tetapan fork hadapan Showa Big Piston Fork (BPF) dan penyerap hentak belakang Showa BFRC-lite.

Sementara Fireblade SP pula menggunakan suspensi elektronik Öhlins Smart-EC3.0 terdiri daripada fork hadapan NXP dan penyerap hentak belakang TTX36.

Tetapan redaman setiap varian dioptimumkan untuk kegunaan litar serta penyerapan permukaan tidak rata ketika tunggangan harian.

Tangki bahan api titanium tanpa penutup plastik luaran turut digunakan untuk mengurangkan berat.

Varian SP menerima kemasan hairline buatan tangan yang mendedahkan sebahagian permukaan titanium.

HRC Works Edition khusus untuk litar

Sementara varian HRC Works Edition pula direka untuk tunggangan solo.

Ia menampilkan komponen yang diperbuat daripada bahan CFRP seperti:

  • winglet hadapan
  • fender hadapan
  • reraup saluran udara

Suspensinya menggunakan fork Öhlins NPX dan penyerap hentak TTX36 dengan pelarasan mekanikal, manakala sistem brek menggunakan komponen Brembo Hypure Sports.

Pilihan komponen HRC Racing Kit turut merangkumi:

  • Unit kawalan PGM-FI dan pencucuhan
  • Sistem pertukaran gear dengan kedudukan neutral paling bawah
  • Kolar kepala stereng
  • Kolar pangsi lengan ayun
  • Komponen perlumbaan lain

Penggunaan bahan lebih mampan

Semua varian menggunakan empat kategori bahan mampan, termasuk penghadang angin DURABIO™ berasaskan tumbuhan, bahan kitar semula pada tapak tempat duduk, perumah penapis udara dan penutup sisi.

Emblem baharu Honda Flagship WING berwarna perak dan hitam pula menggunakan resin akrilik kitar semula secara kimia.

Honda City Hatchback 2026 facelift rasmi di Malaysia, harga bermula RM95,900

Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Honda City Hatchback 2026 facelift untuk pasaran Malaysia.

Ditawarkan dalam tiga varian, harga jualan City Hatchback facelift adalah seperti berikut:

  • City V: RM95,900
  • City RS: RM100,900
  • City e:HEV RS: RM112,900

Penampilan diperbaharui

Honda City Hatchback kini tampil dengan reka bentuk yang diperbaharui, ciri sambungan yang dipertingkatkan serta teknologi keselamatan yang lebih komprehensif untuk segmen B.

Semua varian kini dilengkapi susun atur lampu hadapan baharu yang menggabungkan Connected Headlights serta lampu hadapan Bi-LED baharu.

Varian RS pula menerima rim aloi dua tona bersaiz 16 inci dengan kemasan Berlina Black dan Dark Clear, manakala varian V menggunakan kemasan Shark Gray.

Bagi pilihan warna, pelanggan boleh memilih antara:

  • Platinum White Pearl
  • Meteoroid Gray Metallic
  • Stellar Diamond Pearl
  • Blazing Red Pearl (warna baharu)

Kabin lebih moden dan praktikal

Ruang dalaman turut menerima sentuhan baharu menerusi kemasan papan pemuka dengan 3D Pattern Mid Garnish serta pencahayaan ambien yang mewujudkan suasana kabin lebih premium.

Varian RS turut dilengkapi tempat duduk sport dengan rekaan baharu yang dipadankan dengan jahitan merah.

Sistem infohibur juga dipertingkatkan dengan penggunaan skrin Display Audio bersaiz 10 inci, selain turut menawarkan pengecas tanpa wayar untuk kemudahan pengguna.

Dari aspek praktikaliti, City Hatchback masih mengekalkan kelebihan ULTRA Seats yang menawarkan empat mod konfigurasi iaitu:

  • Utility Mode
  • Long Mode
  • Tall Mode
  • Refresh Mode

Teknologi keselamatan dipertingkat

Honda turut memperkukuh aspek keselamatan dengan menjadikan beberapa ciri penting sebagai standard untuk semua varian.

Antaranya ialah:

  • Blind Spot Information (BSI) dengan Cross Traffic Monitoring
  • Honda LaneWatch
  • Honda SENSING

Selain itu, varian RS turut menerima 360° Multi-View Camera System.

Pilihan enjin petrol atau hibrid

City Hatchback ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5L DOHC i-VTEC atau sistem hibrid 1.5L e:HEV.

Varian e:HEV RS menghasilkan kuasa maksimum 109 PS dan tork 253 Nm, menawarkan pemanduan yang responsif serta cekap bahan api.

Bagi memberikan ketenangan minda kepada pelanggan, Honda Malaysia turut menawarkan jaminan bateri hibrid selama 10 tahun tanpa had perbatuan untuk varian e:HEV.

Sementara itu, semua varian petrol dan hibrid hadir dengan jaminan kenderaan selama lapan tahun tanpa had perbatuan.

Promosi pelancaran

Sempena pelancaran, pelanggan yang mendaftarkan mana-mana varian model ini akan menerima ganjaran tunai RM4,000.

Honda Malaysia turut menawarkan rebat RM2,000 kepada pemilik Honda sedia ada yang menukar kenderaan mereka menerusi program Honda Certified Used Car (HCUC).

Selain itu, melalui kerjasama bersama CARSOME, pelanggan yang menukar kenderaan daripada mana-mana jenama di pengedar Honda yang mengambil bahagian akan menerima rebat tambahan RM1,000 untuk pembelian Honda baharu.

 

Honda PCX160 2026 rasmi di Malaysia, harga RM12,998

Selepas enam tahun menyepi, Boon Siew Honda akhirnya mengumumkan kemunculan semula Honda PCX160 2026 untuk pasaran Malaysia.

Ia dijual pada harga RM12,998 (atas jalan tanpa insurans).

Spesifikasi

Honda PCX160 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 156.9 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 14.1 Nm @ 6,500 rpm.

Dengan kadar penggunaan bahan api 2.3 liter per 100 km, skuter ini boleh mencapai jarak tunggangan sejauh 350 km.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, dibantu penyerap hentak berkembar yang lengkap dengan sub-tangki di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera tunggal pada roda depan dan belakang.

Ciri keselamatan terdiri daripada ABS saluran tunggal serta Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Ciri lain termasuklah:

  • rim 14 inci depan/13 inci belakang
  • tangki bahan api 8.1 liter
  • U-box 30 liter
  • sistem kunci pintar
  • port pengecasan USB Type-C
  • sistem lampu LED
  • tinggi pelana 764 mm
  • skrin paparan TFT 5-inci
  • sokongan Honda RoadSync
  • Idling Stop System (ISS)

Terdapat dua pilihan warna iaitu kelabu dan juga putih.

Percanggahan maklumat, Honda Malaysia tarik balik bahan promosi City facelift

Honda Malaysia tampil menjelaskan sistem brek belakang bagi Honda City varian E sememangnya menggunakan brek gelendong.

Ini adalah susulan kepada satu hantaran yang tular di media sosial berkenaan percanggahan maklumat yang dipaparkan pada brosur produk.

Menurut kenyataan, pihak Honda merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang membangkitkan isu tersebut.

Honda Malaysia juga telah menghubungi individu terbabit bagi menyelesaikan perkara itu secara baik.

Honda Malaysia turut menegaskan bahawa penggunaan sistem brek gelendong berkenaan mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan serta kualiti yang ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, Honda Malaysia menarik balik bahan pemasaran bagi model City baharu dan akan mengedarkan versi yang dikemas kini kepada semua pengedar sah serta platform dalam talian dengan kadar segera.

Honda ADV160 Trico Edition 2026 kini di Malaysia, harga dari RM14,149

Boon Siew Honda secara rasmi melancarkan skuter kembara Honda ADV160 2026 Trico Edition yang membawakan liveri ikonik Honda untuk pasaran tempatan.

Honda ADV160 edisi Trico ini dijual pada harga RM14,149.

Setiap pembelian akan disertakan dengan fon putik (earbuds) jenama JBL dan balaclava Motowolf sementara stok masih ada.

Spesifikasi

Edisi Trico ini menggunakan spesifikasi ADV160 with Honda RoadSync yang membawakan ciri seperti:

  • skrin paparan TFT 5-inci dengan sokongan sambungan peranti pintar
  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • sistem brek anti-kunci (ABS)
  • sistem kunci pintar
  • U-Box 30 liter

ADV160 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 157 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm.

Kerangka jenis double cradle itu disokong dengan tetapan suspensi fork teleskopik di depan diikuti penyerap hentak berkembar lengkap dengan sub-tangki di belakang.

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • pelana 780 mm
  • tangki bahan api 8.1 liter
  • slot USB Type-C
  • lampu LED
  • skrin penghadang angin boleh laras

Selain edisi Trico (dan Spider-Man Edition), BSH masih menawarkan pilihan warna Matte Grey dan Brown pada harga RM13,649.

Sementara Honda ADV160 Standard (RM13,249) pula hadir dalam pilihan warna putih dan kelabu.

 

Honda Civic Type R 2027 tampil lebih garang, sistem Rev Match dan suspensi dipertingkat

Honda Civic Type R generasi keenam (FL5) telah dikemas kini untuk tahun 2027, dengan penampilan lebih agresif, kabin lebih selesa serta beberapa penambahbaikan pada aspek pemanduan dan teknologi.

Hot hatch ini akan mula tiba di pengedar Honda di Amerika Syarikat bulan ini, dengan harga bermula AS$48,695 (sekitar RM199,000). Seperti sebelum ini, Civic Type R hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Muka baharu lebih agresif

Untuk 2027, Civic Type R tampil dengan bukaan gril yang lebih besar serta splitter hadapan yang lebih dalam. Menurut Honda, ini membantu melancarkan aliran udara, meningkatkan penyejukan enjin dan menambah daya turun (downforce).

Warna baharu Meteorite Gray Metallic turut diperkenalkan di samping warna sedia ada iaitu Boost Blue Pearl, Sonic Gray Pearl dan warna ikonik Championship White.

Kabin lebih selesa

Di dalam, Civic Type R buat julung kalinya mendapat fungsi pemanas pada kerusi hadapan. Sistem pemanas tersebut didatangkan dengan tiga tahap yang dikawal melalui butang berhampiran kawalan pendingin hawa.

Selain itu, kerusi sport berwarna merah dengan material cengkaman tinggi itu turut menerima corak baharu dengan perincian hitam. Honda turut menggunakan Ultrasuede pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintu hadapan, selain kemasan corak berlian baharu pada papan pemuka.

Tombol gear aluminium, kemasan konsol tengah dan pemegang pintu kini menggunakan kemasan kelabu gelap, manakala cermin pandang belakang dengan fungsi malap automatik turut disertakan secara standard.

Enjin dan dinamik pemanduan dipertingkat

Di bawah bonet masih terdapat enjin K20C 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 315 hp dan 420 Nm, dipadankan secara eksklusif dengan transmisi manual enam kelajuan.

Walaupun trenkuasa itu tidak disentuh, sistem Rev Match kini memberikan tindak balas enjin lebih pantas ketika penurunan gear, manakala rasa pedal brek turut dipertingkat untuk memberikan tindak balas yang lebih segera.

Selain itu, talaan peredam suspensi dalam mod +R telah dioptimumkan bagi meningkatkan keupayaan kereta mengikut permukaan jalan, selain mengurangkan lantunan dan hentakan.

Lebih banyak teknologi dan ciri keselamatan

Dari segi teknologi, Civic Type R 2027 didatangkan dengan Google built-in, termasuk Google Gemini, Google Maps dan Google Play, selain Alexa built-in. Dua port USB-C baharu turut ditambah pada konsol tengah.

Sistem Honda Sensing pula dipertingkat dengan pengesanan motosikal dan basikal yang lebih baik, tindak balas kawalan jelajah adaptif yang dipertingkat serta operasi bantuan kekal lorong yang lebih lancar.

Ciri Post-Collision Braking turut menjadi kelengkapan standard, membantu mengurangkan risiko kerosakan akibat pelanggaran susulan.

Tempahan untuk Honda City Hatchback 2026 facelift kini dibuka

Selepas pelancaran model sedan, Honda Malaysia membuka tempahan bagi model Honda City Hatchback 2026 versi facelift.

Dari segi luaran, City Hatchback facelift ini menampilkan perubahan yang hampir sama dibawakan pada model City Sedan.

Yang paling jelas ketara ialah muka hadapan yang membawakan unit lampu yang lebih tirus, diikuti rekaan bampar baharu.

Selain itu, ia turut membawakan rekaan rim 16 inci yang dikemas kini dengan kemasan berbeza mengikut varian.

Masuk ke dalam ruang kabin, City Hatchback menerima perubahan seperti:

  • skrin Display Audio 10-inci
  • sistem lampu ambien
  • kemasan baharu pada papan pemuka

City Hatchback turut mengekalkan fungsi praktikaliti menerusi penawaran tempat duduk Ultra yang menawarkan konfigurasi Utility, Long, Tall dan Refresh.

Dari segi keselamatan, model ini menerima sistem kamera keliling 360 darjah, sistem informasi titik buta dan sistem pemantauan trafik silang.

Sama seperti sedan, City Hatchback ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 1.5 liter (121 PS/145 Nm) serta sistem e:HEV (109 PS/253 Nm).

Honda Malaysia turut menawarkan pakej jaminan selama 8-tahun tanpa had perbatuan untuk setiap pembelian model baharu Honda (petrol & hibrid).

Honda City 2026 facelift rasmi di Malaysia – 4 varian, harga serendah RM89,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan sedan segmen B Honda City 2026 versi facelift untuk pasaran tempatan.

Harga jualan bagi setiap varian adalah seperti berikut:

  • City 1.5L E – RM89,900
  • City 1.5L V – RM94,900
  • City 1.5L RS – RM99,900
  • City 1.5L e:HEV RS – RM111,900

Honda Malaysia menawarkan jaminan kenderaan sehingga 8-tahun tanpa had perbatuan yang turut sah untuk semua model petrol dan hibrid Honda.

Perubahan

Berbeza dengan versi terdahulu, City facelift menampilkan imej kosmetik yang diperbaharui, serta beberapa naik taraf pada ruang kabin.

Dari segi luaran, City facelift membawakan lampu utama LED yang lebih nipis, struktur jeriji serta bampar yang disemak semula.

Varian RS pula hadir dengan ciri eksklusif seperti bar LED melintang penuh, perumah lampu belakang jernih Albino Design serta rim aloi 16 inci warna dua tona (Berlina Black/Dark Clear).

Untuk ruang kabin, terdapat skrin paparan Display Audio 10 inci baharu yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, diikuti dengan lampu suasana.

Varian RS mendapat ciri tambahan berikut:

  • pedal sport
  • brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Auto Hold
  • kamera keliling 360 darjah

Sementara varian e:HEV RS hadir dengan ciri eksklusif slot pengecas peranti pintar tanpa wayar.

Pilihan enjin

Honda City facelift masih lagi dibekalkan dengan pilihan enjin i-VTEC 1.5L DOHC (121 PS/145 Nm) yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Varian e:HEV RS pula menawarkan kuasa keseluruhan 109 PS/253 Nm yang menggerakkan roda depan menerusi kotak gear e-CVT.

Keselamatan

Secara standard, City facelift dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, cagak ISOFIX, serta bantuan kestabilan kenderaan.

Kelengkapan Honda SENSING ditawarkan kepada semua varian, merangkumi fungsi seperti:

  • sistem informasi titik buta (BSI)
  • sistem pemantauan trafik silang (CTM)
  • amaran pelanggaran hadapan (FCW)
  • sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS)
  • bantuan pengekalan lorong (LKAS)
  • amaran keluar lorong (LDW)
  • bantuan mengikut kelajuan rendah (LSF)
  • mitigasi keluar jalan (RDM)
  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • peringatan pergerakan kenderaan hadapan (LCDN)

 

Honda CB750 Hornet ‘Mugen’ dari Portugal juara Honda Customs 2026

Honda Customs 2026 melabuhkan tirai dengan kemenangan Mugen, sebuah Honda CB750 Hornet yang diubah suai oleh pengedar Honda, Mototrofa dari Portugal.

Untuk makluman, pertandingan Honda Customs sudah memasuki edisi ketujuh dan turut memperkenalkan konsep On Road Vs Off Road pada tahun ini.

Honda CB750 Hornet dan XL750 Transalp menjadi asas kepada projek-projek ubah suai edisi 2026.

Sebanyak 42,119 undian diterima secara dalam talian dari 102 negara, meningkat 39 peratus berbanding edisi 2025.

Mugen Menang Dengan 10,092 Undian

Mugen hasil binaan Mototrofa memenangi kategori On-Road dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Honda CB750 Hornet itu menerima 10,092 undian, hampir 24 peratus daripada keseluruhan undian dan 36 peratus undian kategori On Road.

Mototrofa menghasilkan motosikal tersebut dengan konsep “form should follow function”.

Ia menampilkan gaya streetfighter yang agresif dengan kemasan hijau gelap, perincian emas dan gentian karbon.

Beberapa komponen khas turut digunakan untuk melengkapkan ubah suai tersebut.

Kemenangan ini turut menjadikan Mototrofa pengedar kedua yang memenangi pertandingan Honda Customs sebanyak dua kali.

Mereka sebelum ini menang pada 2021 menerusi CB650R Fenix.

Saharja Menang Kategori Off-Road

Bagi kategori Off-Road, kemenangan menjadi milik Saharja dari Itali.

Dihasilkan oleh DRS Custom Cycles berasaskan XL750 Transalp, motosikal ini mengambil inspirasi daripada perlumbaan Dakar.

Antara perubahan utama ialah navigation tower buatan tangan dengan buku jalan digital dan meter TFT.

Turut dilengkapi lampu LED berkuasa tinggi, pelindung tangan, palang perlindungan keluli serta pelindung bawah aluminium.

Motosikal projek ini turut menerima tangki bahan api sisi aluminium, tayar berjejari kasar dan sistem ekzos dipasang pada kedudukan tinggi.

Saharja memperoleh lebih 4,800 undian, bersamaan 36 peratus daripada keseluruhan undian kategori Off-Road.

Last Lap Di Tempat Kedua

Tempat kedua kategori On-Road menjadi milik Last Lap dari Sepanyol, hasil binaan pengedar Stilmoto.

Projek berasaskan CB750 Hornet itu menggunakan gaya motosikal perlumbaan GP era 1980-an dengan rekaan badan yang lebih berkotak.

Last Lap menerima lebih 6,900 undian, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan undian.

Antara perubahan yang dibuat ialah race fairing penuh di bahagian hadapan, tangki bahan api dan bahagian belakang yang dibina khas.

Ia turut menggunakan lengan ayun satu sisi serta sistem ekzos khas.

Sting Honey Lengkapkan Podium

Tempat ketiga kategori On-Road pula menjadi milik Sting Honey dari Poland.

Projek hasil kerjasama Honda Sokół dan Steel Choppers itu menggunakan CB750 Hornet sebagai asas.

Rekaan bahagian belakang, fairing, tangki bahan api, pelana dan pemegang hendal semuanya dihasilkan khas.

Ia turut menggunakan lampu hadapan CB125R dan roda jejari daripada skuter X-ADV.

’86 Dakar Tribute Di Tempat Kedua Off-Road

Tempat kedua kategori Off-Road dimenangi ’86 Dakar Tribute dari United Kingdom.

Berasaskan XL750 Transalp, projek oleh CJ Ball mengambil inspirasi daripada kemenangan Cyril Neveu dalam perlumbaan Dakar 1986 menggunakan NXR750.

Antara perubahan yang dibuat ialah sistem ekzos berkembar kedudukan tinggi, suspensi dengan jarak gerakan lebih panjang, pelindung lumpur hadapan yang dinaikkan serta tayar off-road.

Projek tersebut memperoleh 20 peratus undian kategori Off-Road.

Tempat ketiga pula menjadi milik Ocean Nomad dari Perancis.

42,119 Undian Untuk Honda Customs 2026

Jumlah 42,119 undian yang diterima tahun ini merupakan rekod baharu bagi pertandingan Honda Customs.

Daripada jumlah tersebut, kategori On Road menerima 28,775 undian atau 68.32 peratus, manakala kategori Off Road memperoleh 13,344 undian atau 31.68 peratus.

Selain undian orang ramai, projek-projek tahun ini turut dinilai oleh pereka asal CB750 Hornet dan XL750 Transalp dari pusat penyelidikan dan pembangunan Honda di Rome.

Boon Siew Honda lancar NX500, CB750 & Transalp E-Clutch, harga dari RM34,099

Boon Siew Honda secara rasmi mengumumkan ketibaan tiga model motosikal yang dilengkapi dengan teknologi E-Clutch, iaitu Honda NX500, Honda CB750 Hornet dan Honda XL750 Transalp.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Honda NX500 E-Clutch – RM34,099
  • Honda CB750 Hornet E-Clutch – RM44,999
  • Honda XL750 Transalp E-Clutch – akan diumumkan kelak

Teknologi E-Clutch

Honda E-Clutch bukanlah sebuah transmisi automatik seperti sistem DCT (dual-clutch transmission).

Sebaliknya, ia direka untuk kelancaran gerak mula, serta memudahkan penukaran gear tanpa perlu menarik tuil klac tangan.

Ia juga tidaklah direka untuk mengenepikan terus peranan klac tangan.

Penunggang boleh menggunakannya pada bila-bila masa, atau boleh mematikan fungsi E-Clutch ini menerusi menu dalam skrin TFT.

Honda NX500 E-Clutch dikuasakan oleh enjin parallel-twin 471 cc menghasilkan kuasa hp dan 45 Nm.

Ia turut dilengkapi dengan ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Dua warna disediakan iaitu Pearl Horizon White dan Matte Gunpowder Black Metallic.

Honda CB750 pula merupakan model pertama yang menggandingkan teknologi E-Clutch dengan sistem pendikit Throttle-by-Wire (TBW).

Ia dikuasakan enjin parallel-twin 755 cc menghasilkan kuasa hp dan 75 Nm.

CB750 hadir dengan sistem suspensi terdiri daripada fork USD SFF-BP 41 mm Showa serta penyerap hentak Pro-Link di belakang.

Terdapat lima mod tunggangan (Sport, Rain, Standard, User 1 & User 2), HSTC 3-tahap, Wheelie Control dan larasan brek engin.

Honda CB750 E-Clutch ditawarkan dalam warna Gold Finch Yellow.

Honda Transalp E-Clutch dikuasakan enjin parallel-twin 755 cc menghasilkan hp dan 75 Nm.

Dengan gandingan sistem TBW, ia menawarkan sehingga enam mod tunggangan iaitu Sport, Standard, Rain, Gravel, User 1 & User 2.

Tetapan suspensi pula terdiri daripada fork USD SFF-CATM 43 mm Showa diikuti penyerap hentak dengan larasan mampatan dan lantunan.

Terdapat pilihan warna Ross White dan Pearl Deep Mud Grey.

Honda NSX ditenggelami banjir ini raih bidaan lebih RM200,000

Semua orang tahu jentera JDM sememangnya bernilai tinggi pada masa kini. Namun, siapa sangka sebuah Honda NSX generasi pertama yang rosak akibat ditenggelami banjir pun masih mampu menarik bidaan lebih 8 juta yen (kira-kira RM207,000).

NSX berwarna Formula Red ini bukan sahaja pernah berada dalam air dengan paras melebihi pintu, malah sudah mencatatkan perbatuan lebih 236,000 km.

Model keluaran 1991 (NA1) yang dilengkapi enjin V6 3.0 liter itu ditawarkan melalui Yahoo Auctions Japan selepas mengalami kerosakan akibat banjir pada Julai lalu.

Dilabel sebagai sampah

Penjual tidak cuba menyembunyikan keadaan sebenar kereta tersebut. Iklannya jelas menyatakan NSX berkenaan mengalami kerosakan akibat banjir dan dijual dalam keadaan sedia ada sebagai asas projek restorasi. Malah, ia secara terus terang dilabel sebagai “sampah”.

Gambar yang disertakan menunjukkan NSX itu berada dalam air keruh yang hampir menenggelami bahagian pintunya.

Bidaan bermula pada 1 juta yen (sekitar RM26,000), namun apa yang menarik, atau mungkin pelik, harganya semakin lama semakin tinggi. Selepas 93 bidaan, harga akhir mencecah 8.004 juta yen (kira-kira RM207,000), sebelum lelongan berakhir pada 15 Ogos.

Kos pemulihan bukan kecil

Harga tersebut agak mengejutkan kerana kereta ini mempunyai beberapa kekurangan besar selain sejarah banjir. Ia bukan versi manual yang lebih diminati, manakala perbatuannya juga sudah tinggi.

Lebih penting, memulihkan kereta yang ditenggelami air sedalam itu bukan kerja mudah. Air boleh merosakkan pendawaian, penyambung elektrik, modul kawalan, suis dan pelbagai komponen elektronik, selain meningkatkan risiko kakisan pada masa akan datang.

Keadaan enjin dan transmisi juga menjadi persoalan, bergantung kepada berapa lama kereta berada dalam air dan sama ada air sudah memasuki sistem mekanikal.

NSX tetap NSX

Walaupun begitu, ia masih sebuah Honda NSX. Penggunaan aluminium yang meluas menjadikan kereta ini masih menarik untuk dijadikan projek restorasi, manakala komponen khusus NSX juga semakin bernilai kepada pengumpul.

Mungkin pemenang bidaan melihat kereta ini sebagai projek yang berbaloi untuk diselamatkan, atau tertarik dengan statusnya sebagai sebuah supercar Jepun yang pada asalnya dibangunkan untuk menyaingi Ferrari.

Apa pun alasannya, mengeluarkan belanja yang tinggi untuk sebuah kereta berusia 35 tahun, dengan perbatuan tinggi, transmisi automatik dan kerosakan akibat banjir sememangnya satu pertaruhan besar.

Honda mahu pembekal guna lebih banyak komponen China, sasar penjimatan RM39 bilion

Honda dilaporkan menyasarkan penjimatan kos sebanyak kira-kira 1.5 trilion yen (sekitar RM38.9 bilion) menjelang 2030, dalam usahanya meningkatkan daya saing bagi menghadapi tekanan daripada pengeluar kenderaan China.

Menurut dokumen dalaman yang dilihat Reuters serta dua sumber yang mengetahui perkara tersebut, Honda telah meminta pembekalnya mengurangkan harga sehingga 30% bagi tiga kategori utama: komponen acuan dan tempa, komponen elektrik serta komponen berkaitan kenderaan ditakrifkan perisian (Software-Defined Vehicle atau SDV).

Pembekal diminta kurangkan kos

Pengurusan Honda dilaporkan telah membentangkan pelan pengurangan kos tersebut kepada pembekal utama dalam satu pertemuan di Utsunomiya. Setiap pembekal kemudiannya diberikan sasaran pengurangan kos masing-masing, yang disifatkan sebagai “amat besar” oleh salah seorang sumber Reuters.

Honda turut menggesa pembekal peringkat pertama (Tier 1) mengkaji semula kaedah mendapatkan bahan dan komponen, termasuk meningkatkan penggunaan komponen standard daripada pembekal peringkat kedua dan ketiga.

Lebih banyak komponen dari China

Menurut Reuters, Honda juga menggalakkan pembekalnya meningkatkan penggunaan komponen buatan China jika sesuai, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kos.

Langkah adalah berikutan persaingan yang semakin sengit daripada jenama China seperti BYD, yang semakin menguasai pasaran di Asia Tenggara, Eropah dan Amerika Latin dengan kenderaan berharga kompetitif serta teknologi bateri dan perisian yang semakin maju.

Honda ubah fokus daripada EV kepada hibrid

Usaha mengurangkan kos ini berlaku ketika Honda berdepan kerugian besar daripada strategi kenderaan elektriknya. Syarikat itu menjangkakan kerugian berkaitan EV bakal melebihi $12 bilion (sekitar RM49 bilion), dan kini memberi tumpuan lebih besar kepada kenderaan hibrid.

Honda mencatatkan kerugian tahunan buat kali pertama sebagai syarikat yang didagangkan secara terbuka pada Mei lalu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toshihiro Mibe.

Honda tidak memberikan komen mengenai sasaran pengurangan kos khusus atau butiran perbincangannya dengan pembekal. Bagaimanapun, syarikat itu berkata ia sedang bekerjasama dengan pembekal di seluruh dunia untuk meningkatkan daya saing dan mengurangkan kos, termasuk menerusi penggunaan lebih banyak komponen standard.

Honda City 2026 facelift: Tempahan kini dibuka

Honda Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi model sedan segmen B Honda City 2026 versi facelift.

Bermula 27 Ogos hingga 30 September, Honda Malaysia menawarkan ganjaran Early Bird bernilai RM3,000 untuk pelanggan yang membuat tempahan (tertakluk kepada terma dan syarat).

Ciri dipertingkatkan

Ia menampilkan beberapa ciri yang dipertingkatkan seperti skrin paparan Display Audio 10-inci lengkap dengan lampu suasana.

Selain itu, aspek keselamatan turut dipertingkatkan dengan sistem kamera 360°, sistem informasi titik buta (BLIS) dan sistem pemantauan lintasan trafik (CTM).

Dari segi kosmetik, City facelift membawakan lampu utama LED yang lebih nipis diikuti dengan bar LED melintang penuh serta rekaan bampar yang disemak semula.

Varian RS pula hadir dengan ciri eksklusif seperti rim aloi 16 inci warna dua tona (Berlina Black/Dark Clear).

Pilihan unit rangkaian kuasa

Honda City facelift masih kekal dengan pilihan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC (121 PS/145 Nm) berserta padanan transmisi CVT.

Sementara varian hibrid pula mendapat tetapan e:HEV 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi e-CVT, menghasilkan 109 PS dan 253 Nm.

Honda SENSING sebagai ciri standard

Kesemua varian turut dilengkapi dengan ciri Honda SENSING secara standard, merangkumi fungsi seperti:

  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Peringatan Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN)
  • Bantuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF) khas untuk varian e:HEV RS

 

Honda WR-V 2026 rasmi di Malaysia: ciri dipertingkat, harga dari RM94,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan SUV Honda WR-V 2026 dengan ciri yang dipertingkatkan.

Tidak seperti penawaran terdahulu, Honda WR-V kini diringkaskan kepada tiga varian dengan harga jualan seperti berikut:

  • WR-V E – RM94,900
  • WR-V V – RM98,900
  • WR-V RS – RM104,900

Ciri dipertingkatkan

Secara standard, kesemua varian kini hadir dengan rim aloi hitam 17 inci.

Varian RS pula mendapat kemasan jeriji hitam baharu disusuli dengan penawaran warna dua tona Blazing Red Pearl (bumbung hitam).

Ruang kabin kini mendapat rekaan papan pemuka yang dikemas kini, serta tempat duduk balutan kulit yang dihiasi jahitan merah.

Selain itu, terdapat juga skrin paparan Display Audio 10-inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Antara ciri lain yang dikekalkan termasuklah:

  • ruang kargo 380 liter
  • tempat duduk belakang nisbah 60:40
  • tiga konfigurasi kargo (Utility Mode/Long Mode/Tall Mode)

Eksklusif untuk varian WR-V RS ialah lampu ambien merah, pengecas peranti tanpa wayar, dan sistem kamera keliling 360°.

Honda SENSING standard

Secara standard, kesemua varian hadir dengan enam beg udara, ciri Honda LaneWatch, kamera undur, serta cagak ISOFIX.

Ciri keselamatan Honda SENSING juga standard untuk ketiga-tiga varian, merangkumi fungsi berikut:

  • Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
  • Notifikasi Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN)

Enjin dan transmisi

Honda WR-V dipacu enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC menghasilkan kuasa 121 PS dan 145 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 11 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.

Honda Super-One (2026) buat kemunculan di Indonesia – 95 PS, Ultra Seats dan sistem audio Bose

Indonesia menjadi negara ASEAN terbaru yang menerima kehadiran Honda Super-One, selepas Singapura yang terlebih dahulu melancarkan kei car elektrik itu pada awal tahun ini.

Model yang dibangunkan berasaskan N-One itu membuat kemunculan sulungnya di negara berkenaan menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show 2026 (GIIAS 2026).

Super-One buka langkah elektrifikasi Honda Indonesia

Menurut Honda Indonesia, kehadiran Super-One dilihat sebagai ‘pembuka jalan’ kepada hala tuju elektrifikasi Honda di pasaran tersebut.

Harga rasmi Super-One akan diumumkan pada 5 Ogos ini, dengan hanya 100 unit diperuntukkan untuk pasaran Indonesia bagi tahun ini.

Boost Mode lonjak kuasa sehingga 95 PS

Super-One menggunakan sebuah motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan. Dalam mod standard, motor tersebut menghasilkan 64 PS dan 162 Nm, angka yang hampir dengan kebanyakan kei car EV moden di Jepun.

Namun dengan adanya mod Boost yang boleh diaktifkan dengan menekan butang berwarna ungu pada stereng, output motor elektrik itu boleh ditingkatkan sementara sehingga 95 PS untuk prestasi yang lebih mengujakan.

Tenaga disimpan dalam bateri litium-ion berkapasiti 29.6 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 252 km berdasarkan kitaran NEDC.

Dari segi pengecasan, bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW, membolehkan tahap pengecasan meningkat daripada 20% hingga 80% dalam masa 30 minit. Ia turut menyokong pengecasan AC 6 kW dengan masa pengecasan penuh sekitar 4.5 jam.

Rekaan sporty, kabin moden dan Honda Sensing

Dari segi penampilan, Honda Super-One hadir dengan lampu utama LED penuh, rim aloi 15 inci serta kit badan yang memberikan imej lebih agresif. Unit yang dipamerkan tampil dalam warna Boost Violet Pearl.

Ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen 9 inci, paparan instrumen TFT 7 inci, pencahayaan ambien, sistem audio Bose bersama subwoofer serta konfigurasi tempat duduk Ultra Seats.

Walaupun bersaiz kompak, aspek keselamatan tidak diabaikan. Super-One hadir dengan enam beg udara serta sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang merangkumi ciri seperti Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, Lane Keeping Assist System dan Collision Mitigation Braking System.

Honda NC750X 2027 diperkenalkan, 2 warna baharu untuk Eropah

Honda memperkenalkan Honda NC750X 2027 untuk pasaran Eropah dengan kemas kini pilihan warna baharu.

Model adventure touring ini terus mengekalkan gabungan praktikaliti, kecekapan bahan api dan keselesaan tunggangan yang menjadi identiti sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu.

Meskipun X-ADV 750 lebih popular, anda boleh mendapatkan motosikal ini di pasaran tempatan dan mempunyai peminat tersendiri.

Bagi model tahun 2027, perubahan utama NC750X tertumpu kepada pengenalan dua warna baharu.

Pakej mekanikal, teknologi dan kelengkapan yang diperkenalkan pada model 2025 pula dikekalkan.

Dua warna baharu untuk Honda NC750X 2027

27YM Honda NC750X

Honda menawarkan dua pilihan warna baharu bagi NC750X 2027, iaitu Glint Wave Blue Metallic dan Mat Deep Mud Gray.

Dua lagi pilihan warna sedia ada, Earth Black dan Earth Khaki, terus ditawarkan kepada pelanggan.

Rekaan praktikal dengan bahan lestari

NC750X masih mengekalkan rekaan lasak bercirikan kembara bersama lampu hadapan LED, skrin pelindung angin dan tunggangan tegak yang sesuai dalam bandar atau perjalanan jarak jauh.

Keunikan utama model ini ialah ruang simpanan berkapasiti 23 liter yang menggantikan kedudukan tangki minyak konvensional.

Ruang tersebut mampu memuatkan sebuah topi keledar jenis adventure atau full-face.

27YM Honda NC750X

Honda turut meneruskan penggunaan bahan berasaskan bio Durabio™ serta komponen kitar semula pada panel badan.

Bagi model 2026, penggunaan bahan lestari itu dipertingkatkan sehingga merangkumi 34 peratus daripada keseluruhan panel badan. Spesifikasi tersebut dikekalkan untuk model 2027.

Skrin TFT berwarna lima inci disediakan bersama sistem Honda RoadSync.

Melalui suis empat hala bercahaya pada bahagian kiri hendal, penunggang boleh mengakses fungsi navigasi, panggilan telefon, muzik dan pelbagai maklumat daripada telefon pintar.

Enjin 745 cc kekal tanpa perubahan

27YM Honda NC750X

Honda terus menggunakan enjin dua silinder selari SOHC lapan injap berkapasiti 745 cc.

Enjin tersebut menghasilkan 58.6 ps pada 6,750 rpm dan 69 Nm pada 4,750 rpm.

Sistem Throttle By Wire (TBW) menawarkan tiga mod tunggangan pratetap iaitu Sport, Standard dan Rain.

Turut disediakan ialah mod User yang boleh disesuaikan mengikut keutamaan penunggang.

Honda Selectable Torque Control (HSTC) pula menyediakan tiga tahap kawalan cengkaman bersama pilihan OFF.

27YM Honda NC750X

Mod Rain turut menerima talaan semula bagi menghasilkan campur tangan yang lebih lancar.

Bagi pasaran tertentu, Honda turut menawarkan pilihan transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) enam kelajuan.

Sistem itu menerima talaan sebelum ini bagi meningkatkan kelancaran ketika bergerak pada kelajuan rendah.

Honda mendakwa penggunaan bahan api sekitar 28.3 km/l mengikut piawaian WMTC. Dengan tangki bahan api 14.1 liter, jarak perjalanan hampir 400 km mampu dicapai.

Casis, brek cakera berkembar

27YM Honda NC750X

NC750X menggunakan kerangka keluli jenis diamond yang dipadankan dengan fork teleskopik Showa Dual Bending Valve (SDBV) bersaiz 41 mm di hadapan.

Di belakang pula ialah suspensi monoshock Pro-Link dengan pelarasan pra beban spring.

Sistem brek hadapan menggunakan cakera berkembar 296 mm bersama angkup dua omboh. Brek belakang menggunakan cakera 240 mm, manakala ABS dua saluran ditawarkan sebagai ciri standard.

Roda aloi ringan rekaan 3by3 bersaiz 17 inci di hadapan dan belakang dipadankan dengan tayar 120/70 ZR17 di hadapan serta 160/60 ZR17 di belakang.

Honda Vario 160 2026 kini dengan tiga warna baharu, harga RM10,498

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran tiga warna baharu bagi skuter Honda Vario 160 2026.

Warna yang dimaksudkan itu ialah:

  • Matte Black
  • Silver Blue
  • Gray Gold

Harga jualan bermula dari RM10,498 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Spesifikasi tidak berubah

Skuter ini masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 156.9 cc sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Casis kerangka eSAF itu ditampung oleh tetapan suspensi fork teleskopik di depan diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada tetapan cakera depan dan belakang, dibantu dengan sistem ABS saluran tunggal.

Antara ciri lain termasuklah

  • unit lampu LED
  • panel meter LCD
  • sistem kunci pintar
  • soket pengecasan USB
  • Idling Stop System (ISS)
  • ruang storan bawah pelana 18 liter

Honda N-BOX 2026 facelift dengan kit badan Mugen, tampil lebih sporti!

Honda N-BOX 2026 mula dijual secara rasmi di Jepun selepas diperkenal pada 16 Julai lalu. Honda memberi tumpuan kepada penampilan dan penambahan pilihan varian baharu.

Antara perubahan utama ialah rekaan muka hadapan N-BOX Custom yang lebih garang.

Honda turut memperkenalkan varian khas BLACK STYLE untuk N-BOX JOY, selain pilihan warna bumbung dua tona baharu bagi N-BOX Fashion Style.

Kemasan cat badan juga dipertingkat menerusi penggunaan lapisan clear coat baharu yang memberikan permukaan lebih berkilat.

Honda N-BOX CUSTOM Turbo Coordinate Style 2026

Bersempena pelancaran model 2026, Mugen turut memperkenalkan kit badan, aksesori dan komponen prestasi untuk N-BOX dan N-BOX Custom.

Dari segi rangkaian kuasa, Honda N-BOX 2026 menggunakan enjin petrol tiga silinder 658 cc DOHC yang dipadankan bersama transmisi CVT.

Enjin aspirasi biasa (NA) menghasilkan 58 PS dan 65 Nm manakala varian turbo menghasilkan 64 PS dan 104 Nm.

Model ini ditawarkan dengan pilihan pacuan roda depan (FF) atau pacuan empat roda (4WD).

Konsep My Special BOX

Mugen membangunkan rangkaian aksesori ini berasaskan konsep My Special BOX.

Konsep tersebut memberi lebih banyak pilihan kepada pemilik untuk mengubahsuai N-BOX mengikut gaya hidup dan citarasa masing-masing.

Tumpuan utama diberikan kepada N-BOX Custom menerusi pakej aerodinamik yang menjadikan penampilannya lebih sporty dan agresif.

Kit badan aerodinamik

Antara komponen utama yang ditawarkan ialah spoiler bawah hadapan (Front Under Spoiler) yang menampilkan rekaan lebih tajam dan agresif.

Turut ditawarkan ialah spoiler sisi yang memberikan visual lebih lebar, serta spoiler bawah belakang (Rear Under Spoiler) untuk melengkapkan penampilan sporti.

Mugen turut menawarkan kemasan gril hadapan (Front Grille Garnish) yang menghitamkan bahagian gril bagi menyerlahkan imej hadapan.

Selain itu, terdapat juga pelekat gril bawah hadapan yang memberikan sentuhan lebih sporti pada bampar hadapan.

Rim dan komponen prestasi

Selain aksesori luaran, Mugen turut menawarkan beberapa komponen prestasi.

Antaranya ialah Performance Damper yang ditala khas bagi meningkatkan kestabilan serta pengendalian.

Turut ditawarkan rim aloi MDY bersaiz 15 inci dengan rekaan tujuh jejari berkembar yang menyerlahkan imej sporti.

Aksesori praktikal

Mugen turut menyediakan pelbagai aksesori praktikal untuk kegunaan harian.

Antaranya ialah:

  • Visor berventilasi (Ventilated Visor)
  • Karpet sport
  • Alas kargo sport
  • Pelindung ambang pintu (Scuff Plate)
  • Pelindung bahagian dalaman pintu (Door Inner Protector)

Harga aksesori utama Mugen

  • Spoiler bawah hadapan: ¥66,000 (RM1,647)
  • Spoiler bawah belakang: ¥66,000 (RM1,647)
  • Kemasan gril hadapan: ¥44,000 (RM1,098)
  • Pelekat gril bawah hadapan: ¥8,800 (RM220)

Semua produk aksesori akan dipasarkan secara berperingkat menerusi pengedar Honda Cars serta pengedar rasmi Mugen di seluruh Jepun.

Kredit gambar: Mugen

Boon Siew Honda lancar ADV160 tema adiwira Spider-Man, 300 unit sahaja, harga RM14,149

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran skuter kembara Honda ADV160 bertemakan adiwira Super-Man untuk pasaran Malaysia.

Unit produksi dihadkan kepada 300 unit sahaja, setiap satu dijual pada harga RM14,149 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Skuter ini boleh didapati di semua pengedar Honda Impian X dan pengedar terpilih bermula 3 Ogos 2026.

Ciri unik

Honda ADV160 Spider-Man Edition ini didatangkan dengan perincian seperti tema warna dan logo Spider-Man.

Setiap pembeli akan menerima set hadiah Spider-Man Edition berupa:

  • kotak hadiah premium
  • termos LED
  • penutup tangki bahan api
  • emblem Honda dan ADV160
  • kad sijil pemilik bernombor 2 hingga 301

Spesifikasi

Model ini dibina berdasarkan varian Honda ADV160 RoadSync, di mana ia dilengkapi dengan sokongan sambungan Honda RoadSync dan skrin paparan TFT 5-inci.

Antara ciri lain termasuklah skrin penghadang angin boleh laras, storan bawah pelana 30 liter, Idling Stop System (ISS), sistem pencahayaan LED penuh, serta pelana ergonomik.

Honda ADV160 dipacu enjin silinder tunggal 156.9 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm.

Suspensi terdiri daripada tetapan fork teleskopik di depan dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang.

Ciri keselamatan yang tersedia termasuklah ABS, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Emergency Stop Signal (ESS).