Honda Civic Type R 2027 tampil lebih garang, sistem Rev Match dan suspensi dipertingkat

Honda Civic Type R 2027 exterior

Honda Civic Type R generasi keenam (FL5) telah dikemas kini untuk tahun 2027, dengan penampilan lebih agresif, kabin lebih selesa serta beberapa penambahbaikan pada aspek pemanduan dan teknologi.

Hot hatch ini akan mula tiba di pengedar Honda di Amerika Syarikat bulan ini, dengan harga bermula AS$48,695 (sekitar RM199,000). Seperti sebelum ini, Civic Type R hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Muka baharu lebih agresif

Honda Civic Type R 2027 exteriorUntuk 2027, Civic Type R tampil dengan bukaan gril yang lebih besar serta splitter hadapan yang lebih dalam. Menurut Honda, ini membantu melancarkan aliran udara, meningkatkan penyejukan enjin dan menambah daya turun (downforce).

Warna baharu Meteorite Gray Metallic turut diperkenalkan di samping warna sedia ada iaitu Boost Blue Pearl, Sonic Gray Pearl dan warna ikonik Championship White.

Kabin lebih selesa

Honda Civic Type R 2027 interiorDi dalam, Civic Type R buat julung kalinya mendapat fungsi pemanas pada kerusi hadapan. Sistem pemanas tersebut didatangkan dengan tiga tahap yang dikawal melalui butang berhampiran kawalan pendingin hawa.

Selain itu, kerusi sport berwarna merah dengan material cengkaman tinggi itu turut menerima corak baharu dengan perincian hitam. Honda turut menggunakan Ultrasuede pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintu hadapan, selain kemasan corak berlian baharu pada papan pemuka.

Honda Civic Type R 2027 interiorTombol gear aluminium, kemasan konsol tengah dan pemegang pintu kini menggunakan kemasan kelabu gelap, manakala cermin pandang belakang dengan fungsi malap automatik turut disertakan secara standard.

Enjin dan dinamik pemanduan dipertingkat

Di bawah bonet masih terdapat enjin K20C 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 315 hp dan 420 Nm, dipadankan secara eksklusif dengan transmisi manual enam kelajuan.

Walaupun trenkuasa itu tidak disentuh, sistem Rev Match kini memberikan tindak balas enjin lebih pantas ketika penurunan gear, manakala rasa pedal brek turut dipertingkat untuk memberikan tindak balas yang lebih segera.

Selain itu, talaan peredam suspensi dalam mod +R telah dioptimumkan bagi meningkatkan keupayaan kereta mengikut permukaan jalan, selain mengurangkan lantunan dan hentakan.

Lebih banyak teknologi dan ciri keselamatan

Honda Civic Type R 2027 exteriorDari segi teknologi, Civic Type R 2027 didatangkan dengan Google built-in, termasuk Google Gemini, Google Maps dan Google Play, selain Alexa built-in. Dua port USB-C baharu turut ditambah pada konsol tengah.

Sistem Honda Sensing pula dipertingkat dengan pengesanan motosikal dan basikal yang lebih baik, tindak balas kawalan jelajah adaptif yang dipertingkat serta operasi bantuan kekal lorong yang lebih lancar.

Honda Civic Type R 2027 exteriorCiri Post-Collision Braking turut menjadi kelengkapan standard, membantu mengurangkan risiko kerosakan akibat pelanggaran susulan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved