Arkib Kategori: BERITA

Morbidelli F252 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM14,888

Mforce Bike Holdings secara rasmi melancarkan model streetfighter 250 cc terbaharu iaitu Morbidelli F252 2026 untuk pasaran Malaysia.

Hadir dalam dua pilihan warna iaitu Bulk Black dan Tundra White, jentera ini dijual pada harga RM14,888.

Spesifikasi

Morbidelli F252 dikuasakan oleh enjin parallel-twin 249.5 cc sejukan cecair menghasilkan 31.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 21.0 Nm @ 9,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi 6-kelajuan, klac slipper dan unit pacuan akhir rantai.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis teleskopik terbalik dan penyerap hentak tunggal Pro-Link yang dilengkapi larasan pra-beban.

Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal terapung depan 300 mm dan rotor tunggal 240 mm di belakang.

Secara standard, F252 dilengkapi dengan sistem ABS dua-saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan tiga mod tunggangan (Standard, Sport & Expert).

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • skrin paparan TFT 5-inci
  • sokongan aplikasi Morbidelli dan Bluetooth
  • sistem pencahayaan LED penuh
  • port pengecasan USB Type-A & Type-C
  • sistem kunci mekanikal
  • suis keselamatan tongkat sisi
  • rim 17 inci
  • tangki bahan api 15 liter
  • tinggi pelana 790 mm

Proton X70 Sport Edition 2026 – 600 unit terhad, harga RM112,800

Proton secara rasmi melancarkan SUV Proton X70 Sport Edition (SE) 2026 untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan dari RM112,800.

Unit produksi dihadkan kepada 600 unit sahaja.

Ciri eksklusif

Proton X70 Sport Edition ini menampilkan beberapa ciri eksklusif, antaranya:

  • kit badan penuh (skirt depan, sisi, belakang)
  • rim aloi 19 inci warna hitam
  • emblem eksklusif Sport Edition
  • warna Quartz Black

Untuk ruang kabin pula, ia diserikan dengan kemasan jahitan merah pada roda stereng, tempat duduk dan perehat tangan.

Tidak dilupakan, sulaman logo Sport Edition pada tempat duduk, dan dulang but untuk praktikaliti kegunaan harian.

Spesifikasi asas tidak berubah

X70 Sport Edition ini menggunakan asas varian Premium, dan dilengkapi dengan ciri seperti:

  • sistem infohibur 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar
  • sistem ADAS Tahap 2 dengan 13 ciri keselamatan

Enjin 4-silinder sebaris 1.5TD i-GT mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

Morbidelli T502X 2026 tiba di Malaysia – harga RM28,888

Sebuah lagi jentera kembara dilancarkan oleh pihak Mforce Bike Holdings, iaitu Morbidelli T502X 2026.

Ia dijual pada harga RM28,888 dan hadir dalam dua pilihan warna iaitu Bulk Black dan Thunder Blue.

Spesifikasi

Morbidelli T502X dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris 486 cc sejukan cecair, menghasilkan kuasa 46.9 hp @ 8,500 rpm dan 45.0 Nm @ 6,750 rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan, klac slipper dan sistem pacuan akhir rantai.

Terdapat dua mod tunggangan iaitu Standard dan Off-road.

Jentera ini dilengkapi dengan fork depan jenis terbalik dengan larasan redaman dan jarak gerak 180 mm, dibantu dengan penyerap hentak tunggal belakang dengan larasan redaman dan jarak gerak 69 mm.

Brek pula menggunakan sistem J.Juan yang terdiri daripada angkup dua-omboh dan rotor berkembar 300 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Ciri lain yang tersedia termasuklah:

  • skrin paparan TFT 7-inci
  • port pengecasan USB Type-A & Type-C
  • sistem kunci mekanikal
  • sistem pencahayaan LED penuh
  • sistem T-BOX
  • sokongan aplikasi Morbidelli & Bluetooth
  • rim 19 inci depan/17 inci belakang
  • cermin penghadang angin boleh laras
  • tangki minyak 18 liter
  • tinggi pelana 830 mm

T502X turut dilengkapi dengan sistem ABS dua-saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Secara standard, pembeli akan dibekalkan dengan pelindung bar hendal, serta set kotak simpanan yang terdiri daripada dua kotak sisi 32 liter setiap satu dan kotak atas 45 liter.

Morbidelli T252X 2026 rasmi di Malaysia – harga RM16,888

Mforce Bike Holdings baru-baru ini memperkenalkan jentera kembara 250 cc Morbidelli T252X 2026 untuk pasaran Malaysia.

Ia dijual pada harga RM16,888 dan hadir dalam dua pilihan warna iaitu Bulk Black dan Tundra White.

Spesifikasi

Morbidelli T252X 2026 dikuasakan oleh enjin dua-silinder 249.5 cc sejukan cecair menghasilkan 33.5 hp @ 12,000 rpm dan 20.0 Nm @ 10,000 rpm.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dan sistem pacuan akhir rantai.

Terdapat tiga mod tunggangan iaitu:

  • Standard
  • Sport
  • Off-road

Suspensi jentera ini terdiri daripada fork hadapan teleskopik jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang.

Brek pula menggunakan angkup 4-omboh yang mencengkam rotor tunggal 300 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • skrin paparan TFT 7-inci menegak
  • port pengecasan USB Type-A & Type-C
  • sistem kunci mekanikal
  • sistem pencahayaan LED penuh
  • sistem T-BOX
  • sokongan aplikasi Morbidelli & sambungan Bluetooth
  • rim 19 inci depan/17 inci belakang
  • cermin penghadang angin boleh laras
  • tangki bahan api 18 liter
  • tinggi pelana 820 mm

Jentera ini turut dilengkapi dengan sistem ABS dua-saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Secara standard, pembeli Morbidelli T252X akan dibekalkan dengan set kotak simpanan (dua sisi, satu kotak atas), crash bar dan pelindung bar hendal.

Keeway RKR250 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM13,888

Mforce Bike Holdings mengumumkan ketibaan model sportsbike Keeway RKR250 2026 untuk pasaran tempatan.

Jentera ini ditawarkan pada harga RM13,888 dan hadir dalam dua pilihan warna iaitu Night Black dan Flame Red.

Spesifikasi

Keeway RKR250 dikuasakan oleh enjin dua silinder 249.3 cc sejukan cecair menghasilkan 31.5 hp @ 10,500 rpm dan 22.5 Nm @ 9,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi 6-kelajuan, klac slipper dan sistem pacuan rantai.

Suspensi terdiri daripada fork depan teleskopik 40 mm (jarak gerak roda 100 mm) dibantu dengan penyerap hentak tunggal di belakang (jarak gerak roda 42.5 mm).

Sistem brek pula menggunakan angkup 4-omboh dan rotor tunggal 320 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Jentera ini turut dilengkapi dengan sistem ABS dua saluran (boleh dimatikan), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Kelengkapan lain termasuklah:

  • rim saiz 17 inci
  • skrin paparan TFT 5 inci dengan sokongan Bluetooth
  • port pengecasan USB Type-A & Type-C
  • sistem pencahayaan LED penuh
  • sistem kunci mekanikal
  • tangki bahan api 12 liter
  • tinggi pelana 770 mm

Aeon Credit labur dalam Cardinals Racing Team hadapi cabaran ARRC 2026

AEON Credit Service (M) Berhad mengumumkan pelaburan rasmi dalam Cardinals Racing Team bagi musim 2026 Asia Road Racing Championship (ARRC).

Inisiatif terbaharu ini dilihat mengukuhkan peranannya sebagai peneraju pembiayaan motosikal dengan lebih 20% pegangan pasaran.

Kerjasama ini meluaskan komitmen AEON Credit dalam ekosistem dua roda, merangkumi pembangunan bakat, prestasi dan sukan permotoran serantau.

Timbalan CEO, Lee Tyan Jen berkata pasukan Cardinals mencerminkan nilai ketepatan, ketahanan dan semangat kompetitif yang selari dengan AEON Credit.

Cardinals Racing Team dikenali dengan prestasi konsisten dalam ARRC, dan sokongan baharu ini dijangka meningkatkan daya saing serta peluang podium sepanjang musim 2026.

AEON Credit turut mengukuhkan kehadiran dalam perlumbaan antarabangsa dengan menyokong penampilan wildcard Hakim Danish dalam MotoGP.

Untuk tahun 2026, mereka bekerjasama dengan ZK Racing untuk membawa beliau ke kempen penuh Moto3™ World Championship.

Pelaburan ini meningkatkan keterlihatan jenama di platform global serta menyokong pembangunan bakat muda.

“Sukan permotoran ialah platform yang memacu inovasi dan disiplin. Kami komited menyokong bakat masa depan,” jelas Lee lagi.

Prinsipal Pasukan Cardinals Racing, K.F. Wong menyifatkan kerjasama ini sebagai pemangkin untuk bersaing lebih kuat dalam ARRC 2026.

Michelin Malaysia umum tayar Primacy 5 khusus untuk SUV

Michelin Malaysia mengumumkan kehadiran tayar terkenal Michelin Primacy 5 yang direka untuk kenderaan utiliti sukan (SUV).

Terdapat sehingga 34 saiz baharu diperkenalkan untuk rim 16 hingga 22 inci.

Perluasan ini menambah lebih banyak pilihan saiz untuk model-model berenjin pembakaran dalaman (ICE) dan elektrik (EV).

Kelebihan Michelin Primacy 5

Michelin Primacy 5 menawarkan prestasi cengkaman di permukaan basah serta ketahanan yang luar biasa.

Varian tayar SUV baharu ini mempunyai dinding sisi yang diperkukuh untuk kestabilan yang lebih baik serta rintangan hentakan yang lebih tinggi.

Ia turut dilengkapi teknologi Michelin yang tersendiri seperti:

  • Silent Rib Gen-3 – tahap kesenyapan dan keselesaan premium
  • EverGrip, EverTread & Functional Elastomers 3.0 – jarak brek atas jalan basah 16 peratus lebih pendek dan prestasi cemerlang dalam ujian mengelak halangan wet moose
  • MaxTouch – memaksimumkan sentuhan dengan permukaan jalan dan memastikan jangka hayat bunga tayar lebih panjang
  • Sebatian bunga tayar berprestasi tinggi – mengurangkan rintangan golekan sebanyak 10 peratus, menyumbang kepada kecekapan tenaga dan memanjangkan jarak perjalanan EV

Selain diiktiraf oleh pengguna, wartawan automotif terkemuka, serta pengedar di seluruh dunia, Primacy 5 turut menerima pengiktirafan berprestij daripada:

  • Anugerah Tayar Terbaik Auto Magazine 2025
  • Anugerah Pemenang Ujian Tayar Musim Panas 2025 oleh Tekniikan Maailma

Michelin Primacy 5 ditawarkan dalam 76 saiz untuk rim 16 hingga 22 inci, dengan harga jualan bermula dari RM467 – RM1,639.

UMW Toyota catat jualan 5,814 unit sepanjang Mac 2026

UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jualan sebanyak 5,814 unit sepanjang bulan Mac 2026.

Jumlah keseluruhan setakat tahun ini sebanyak 15,370 unit, sekali gus mengekalkan UMWT sebagai jenama bukan nasional No. 1.

Strategi Multi-Pathway diperkukuh dengan 3 model BEV

Bulan lalu, UMWT melancarkan tiga model kenderaan elektrik bateri (BEV), terdiri daripada:

  • Toyota Urban Cruiser BEV
  • Toyota Hilux BEV
  • Toyota bZ4X

Terdahulu, jenama itu turut melancarkan model Toyota Harrier 2.5 HEV, menawarkan sistem hibrid pengecasan sendiri yang mengimbangi prestasi dan kecekapan untuk pemanduan harian atau jarak jauh.

Inisiatif Toyota Extra Mile & Promosi Raya

UMWT terus memperkukuh pengalaman pemilikan melalui inisiatif Toyota Extra Mile, berasaskan enam tonggak:

  • Extra Rewards
  • Extra Protection
  • Extra Convenience
  • Extra Peace of Mind
  • Extra Security
  • Extra Care

Inisiatif ini disokong oleh lebih 100 pusat servis Toyota di seluruh negara, bersama program Toyota Service Savers dan Toyota Extend yang membantu pelanggan merancang kos penyelenggaraan dengan lebih mudah.

UMWT juga meningkatkan pengalaman digital melalui Toyota MY App. Bermula April hingga Jun 2026:

  • Muat turun & daftar aplikasi: 500 mata ganjaran Loyal-T
  • Tempah servis melalui pusat servis sah Toyota: tambahan 500 mata ganjaran

Mata ganjaran tersebut boleh ditebus untuk baucar servis, menyokong nilai pemilikan jangka panjang.

Sempena musim perayaan yang berlanjutan hingga April, UMWT turut menawarkan promosi terpilih dengan penjimatan sehingga RM7,500.

Pelanggan juga boleh mendapatkan pelan pembiayaan fleksibel untuk menikmati mobiliti yang boleh diharap sepanjang tempoh selepas musim perayaan.

KTM 1390 Super Duke RR 2026, jentera ekstrem 350 unit!

KTM secara rasmi memperkenalkan KTM 1390 Super Duke RR 2026, sebuah jentera yang dibangunkan sebagai model flagship paling berkuasa dalam rangkaian jalanan jenama itu.

Model yang turut dikenali sebagai BEAST RR ini direka dengan ketelitian kejuruteraan yang tinggi bagi memenuhi permintaan penunggang yang mahukan prestasi mutlak atau Pure Performance.

Evolusi Falsafah Hypernaked Austria

Dibina sepenuhnya oleh jurutera KTM di Austria, jentera ini merupakan evolusi paling ekstrem bagi kategori hypernaked.

Setiap komponen dan pemilihan bahan dilakukan secara terperinci bagi memastikan ia kekal sebagai penanda aras dalam kelasnya.

Fokus utama pembangunan bukan sekadar rupa paras, tetapi keupayaan dinamik yang tidak boleh dipertikaikan.

Berbanding dengan model asas KTM 1390 Super Duke R, varian RR ini 11 kg lebih ringan.

Pengurangan jisim ini secara langsung mengubah keseluruhan dinamik pengendalian sama ada di litar lumba mahupun ketika tunggangan di jalan raya.

Casis yang digunakan juga adalah lebih kaku dan fokus bagi memberikan kestabilan maksimum ketika jentera dipacu pada had limit.

Komponen Ringan dan Suspensi Gred MotoGP

Bagi mencapai tahap prestasi ini, jabatan R&D KTM menggunakan bahan premium seperti gentian karbon secara meluas pada pelbagai komponen.

Penggunaan bahan ini bukan sahaja menyumbang kepada penjimatan berat yang ketara, malah memperkukuhkan bahasa reka bentuk yang berinspirasikan jentera perlumbaan sebenar.

Sistem suspensi jentera ini dilengkapi dengan WP PRO COMPONENTS yang diambil secara langsung daripada teknologi MotoGP.

Ia menawarkan pelbagai tahap pelarasan untuk prestasi litar lumba.

Pengendalian jentera diperkukuhkan lagi dengan penggunaan roda jenis tempa yang dipadankan dengan tayar Michelin Power GP Hypersport.

Rangkaian Kuasa Enjin LC8 1,350 cc

Unit kuasa jentera ini dijana oleh enjin generasi baharu KTM iaitu 1,350 cc LC8 V-twin.

Enjin ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 193 ps dan tork maksimum 145 Nm.

Kecekapan pembakaran bahan api ditingkatkan melalui teknologi CAMSHIFT baharu yang berfungsi di seluruh julat putaran enjin.

Kuasa besar ini diimbangi dengan sistem brek yang mantap melalui penggunaan angkup hadapan Brembo HyPure Sport.

Bagi melengkapkan prestasi enjin, sistem ekzos titanium Akrapovič Slip-On dipasang secara standard bagi memberikan gertakan bunyi yang lebih garang.

Gabungan roda ultra ringan dan komponen suspensi gred tinggi memastikan setiap hantaran kuasa dapat disalurkan ke permukaan jalan dengan berkesan.

Teknologi Digital dan Pakej Elektronik Lengkap

KTM 1390 Super Duke RR 2026 memiliki pakej elektronik paling lengkap yang pernah dihasilkan oleh KTM untuk model jalanan.

Jentera ini didatangkan dengan TECH PACK yang telah diaktifkan sepenuhnya sebagai ciri standard.

Ia turut menampilkan papan pemuka skrin sentuh TFT bersaiz 8.8 inci serba baharu.

Sistem paparan ini memuatkan fungsi laptimer dan data telemetri di dalam TRACK MODE.

Selain itu, fungsi BEAST MODE diperkenalkan buat kali pertama bagi mengoptimumkan semua sistem bantuan penunggang, mod tunggangan dan fungsi ABS.

Dari sudut aerodinamik, penambahan winglets pada bahagian tangki membantu meningkatkan daya mendap bagi mengurangkan kesan tayar hadapan terangkat.

Jentera ini dijadualkan mula berada di pengedar KTM pada April atau Mei 2026.

Sebagai model eksklusif, pengeluarannya dihadkan kepada 350 unit sahaja di seluruh dunia.

Spesifikasi Utama KTM 1390 Super Duke RR 2026

  • Enjin: 1,350 cc LC8 V-twin dengan teknologi CAMSHIFT
  • Kuasa Maksimum: 193 ps
  • Tork Maksimum: 145 Nm
  • Sistem Ekzos: Titanium Akrapovič Slip-On
  • Berat: Pengurangan 11 kg berbanding model standard
  • Sistem Suspensi: WP PRO COMPONENTS (daripada MotoGP)
  • Sistem Brek: Angkup hadapan Brembo HyPure Sport
  • Roda & Tayar: Roda tempa (forged) dengan tayar Michelin Power GP Hypersport
  • Paparan Digital: Skrin sentuh TFT 8.8 inci
  • Ciri Elektronik: TECH PACK (Standard), TRACK MODE, BEAST MODE, telemetri dan laptimer
  • Aerodinamik: Winglets pada bahagian tangki untuk daya mendap
  • Jumlah Unit: Terhad kepada 350 unit sahaja di seluruh dunia

Chery Malaysia pamer ketelusan menerusi Cabaran Keselamatan Bateri CSH

Chery Malaysia berjaya melaksanakan Cabaran Keselamatan Bateri Chery Super Hybrid (CSH) yang pertama di Malaysia.

Inisiatif ini mengukuhkan komitmen berterusan jenama automotif tersebut terhadap keselamatan bateri menerusi ujian dunia sebenar yang telus dan berfokuskan keselamatan.

Menurut Men Lin Bo, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia berkata, “Keselamatan merupakan teras kepada proses pembangunan kami.”

Jelasnya lagi, proses demonstrasi ini dijalankan secara terbuka bagi membantu orang ramai memahami teknologi serta piawaian yang diguna pakai.

Demonstrasi langsung kepada media

Majlis tersebut disaksikan oleh lebih 100 hadirin terdiri daripada pegawai agensi kerajaan dan wakil media.

Sebelum sesi ujian tersebut berlangsung, satu sesi perkongsian bersama pakar bateri Chery, Zhang Wei Bo telah diadakan.

Ia membolehkan pihak media memahami konteks teknikal sebelum menyaksikan demonstrasi tersebut.

Dalam sesi ujian yang dijalankan, pihak Chery menggunakan unit bateri yang sama pada model Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV.

Unit bateri tersebut menjalani ujian kebakaran bersuhu tinggi merangkumi fasa pra-pemanasan dan pendedahan berterusan kepada api selama 1 minit 20 saat.

Sepanjang ujian tersebut, bateri kekal stabil tanpa peningkatan kebakaran, kegagalan elektrik atau deformasi yang tidak terkawal.

Pihak media juga diberikan peluang untuk memerhati keadaan bateri sebelum, semasa dan selepas didedahkan kepada api.

Kesinambungan program peringkat global

Cabaran Keselamatan Bateri di Malaysia merupakan kesinambungan kepada program yang dijalankan di peringkat global.

Dalam siri ujian tersebut, sistem bateri Chery diuji di bawah pelbagai senario ekstrem, seperti contoh:

  • China – ujian pelanggaran hadapan dan ujian guling spiral
  • Indonesia – ujian rendaman air laut selama 53 jam
  • Afrika Selatan – ujian pelanggaran hadapan beralih pada kelajuan 50 km/j
  • Ecuador – ujian enam das tembakan untuk membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri
  • Timur Tengah – ujian rendaman air laut suhu 60 darjah Celcius selama 48 jam, dan ditanam dalam pasir gurun Kuwait selama 48 jam
  • Mexico – ujian geseran bawah kenderaan

Prestasi keselamatan terbukti

Selain Cabaran Keselamatan, Chery Malaysia turut menonjolkan pencapaian keselamatan kukuh bagi rangkaian kenderaan elektrik hibridnya.

Chery TIGGO 7 PHEV telah memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP dengan skor tertinggi 94.68 sepanjang masa.

Chery Malaysia turut menawarkan jaminan bateri lanjutan sehingga 10 tahun atau 200,000 kilometer merangkumi pek bateri, motor pemacu, dan unit kawalan kenderaan.

Perlindungan menyeluruh ini direka untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggan, menyokong keyakinan pemilikan jangka panjang serta mengukuhkan fokus Chery terhadap teknologi hibrid yang boleh dipercayai.

Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia menjelaskan penawaran model PHEV mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap aspek keselamatan serta keyakinan pemilikan.

“Daripada menjalankan ujian keselamatan yang ketat dan ekstrem, menyediakan sokongan jaminan bateri jangka panjang, hinggalah pencapaian skor 5-Bintang ASEAN NCAP, setiap elemen ini dibina atas komitmen jangka panjang kami untuk melindungi pelanggan.

“Pencapaian ini adalah tentang menyampaikan model PHEV yang lengkap menggabungkan prestasi keselamatan terbukti, teknologi yang boleh diharap, serta jaminan sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” ujarnya lagi.

Kempen Golden Test Drive Proton e.MAS tawar 30 jongkong emas, dari 13 April hingga 17 Mei 2026

Pro-Net selaku anak syarikat milik penuh Proton mengumumkan Kempen Golden Test Drive Proton e.MAS bermula 13 April hingga 17 Mei 2026.

Kempen terbaharu ini mengajak rakyat Malaysia untuk merasai pengalaman mobiliti elektrik dengan memandu uji model berikut:

Dengan tema 30 Jongkong Emas dalam 30 Hari, kempen ini menawarkan 30 unit jongkong emas seberat 3g untuk dimenangi sepanjang lima minggu berturut-turut.

Cara penyertaan

Terdapat empat langkah mudah untuk menyertai kempen ini:

  1. Ikuti Proton e.MAS di media sosial (Instagram, Facebook, Tiktok atau Xiao Hong Shu)
  2. Kunjungi mana-mana pengedar rasmi Proton e.MAS
  3. Pandu uji dan buat tempahan mana-mana model Proton e.MAS
  4. Lengkapkan borang dan hantar penyertaan melalui pengedar rasmi yang terlibat

Seramai enam pemenang dari seluruh negara akan dipilih setiap minggu untuk membawa pulang jongkong emas seberat 3g.

Hadiah utama eksklusif

Selain itu, kempen ini turut menawarkan hadiah utama eksklusif termasuklah:

  • 1x Hadiah Utama – Percutian 5H4M untuk dua orang ke Gold Mine Tour, Australia
  • 3x Hadiah Gold Class – Jongkong emas 5g

Golden Roadshow di lokasi terpilih

Proton akan mengadakan Golden Roadshow dengan membawakan barisan EV lebih dekat kepada rakyat Malaysia di beberapa lokasi terpilih:

  • Queensbay Mall, Penang (15-19 April)
  • AEON Melaka (19-24 Mei)
  • East Coast Mall, Kuantan (24-28 Jun)

Toyota GR Yaris 2026 kini tiba di Malaysia dengan roda stereng DNA perlumbaan

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan kemas kini bagi model hot hatch Toyota GR Yaris 2026.

Perubahan yang ketara dibawakan sudah pasti rekaan roda stereng yang diinspirasikan daripada sukan permotoran.

Toyota GR Yaris iMT

Berbanding model sedia ada, GR Yaris kini dilengkapi roda stereng dengan diameter lebih kecil.

Ia juga turut menampilkan susun atur suis serba baharu untuk aspek kawalan yang lebih tepat dan lebih fokus semasa pemanduan agresif.

Toyota GR Yaris dikuasakan enjin 3-silinder sebaris 1.6L turbo G16E-GTS menghasilkan 300 PS dan 400 Nm.

Toyota GR Yaris AT

Pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 5.2 saat.

Hot hatch tersebut kini ditawarkan pilihan transmisi 6-kelajuan iMT atau 8-kelajuan Direct Automatic Transmission (DAT).

Di Malaysia, Toyota GR Yaris dijual pada harga dari RM315,600.

Jenama ZXMoto bakal masuk Malaysia, Mforce dilantik sebagai pengedar eksklusif

Mforce Bike Holdings kini dilantik sebagai pengedar eksklusif bagi jenama motosikal baharu ZXMoto di pasaran Malaysia.

Kerjasama strategik ini bermula pada Oktober 2025 susulan kunjungan pengasas jenama ZXMoto, iaitu Zhang Xue ke kilang Mforce Pulau Pinang.

Lawatan itu menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama di rantau ini.

Hasil perbincangan konstruktif, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menjalin kerjasama, sekaligus menandakan satu langkah penting dalam industri motosikal tempatan.

Pihak Mforce sendiri telah menerima tiga buah model motosikal ZXMoto untuk menjalani ujian ketahanan di Malaysia.

Ia bagi memastikan setiap model memenuhi piawaian prestasi, ketahanan dan kesesuaian dengan keadaan jalan raya dan iklim setempat sebelum diperkenalkan secara rasmi.

Pengenalan rasmi di Malaysia Bike Show 2026

Kredit: Evan Bros. Racing

Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce mendedahkan jenama itu akan diperkenalkan secara rasmi pada 29 Mei 2026 sempena acara Malaysia Bike Show 2026.

Jelasnya lagi, semua peminat ZXMoto berpeluang menyaksikan barisan motosikal terkini termasuklah model berprestasi tinggi.

Pengujung juga boleh melihat sendiri jentera lumba yang meraih dua kemenangan dalam kelas WorldSSP di Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) Portugal.

Pengasas ZXMoto juga dijadualkan akan hadir bagi memeriahkan suasana.

Model apa yang bakal tiba di Malaysia?

ZXMoto membuat kemunculan di EICMA 2025, menampilkan barisan model motosikal yang cukup mencuri tumpuan seperti:

  • 820RR – sports bike dengan enjin 3-silinder 819 cc berkuasa 135 hp
  • 820RR-R – versi lebih bertenaga dengan kuasa 145 hp
  • 820R – streetfighter dengan enjin 819 cc, kuasa 130 hp
  • 820 ADV – jentera adventure dengan enjin 819 cc, kuasa 117 hp
  • 500RR – sports bike dengan enjin 4-silinder 470 cc berkuasa 84 hp
  • 450 Rally – jentera off-road diinspirasikan oleh Rali Dakar, enjin 450 cc berkuasa 59 hp
  • 600 V – cruiser dengan enjin v-twin 578 cc

Antara model lain termasuklah motocross MX250 dan MX450, serta model enduro ZX300 dan ZX350.

Daripada senarai di atas, yang mana satu bakal masuk Malaysia nanti?

Mercedes-Benz EQS 2027, kemewahan elektrik dengan jarak 926 km

Mercedes-Benz secara rasmi memperkenalkan Mercedes-Benz EQS baharu yang hadir dengan peningkatan besar melibatkan teknologi, kecekapan dan dinamik.

Model baharu ini dibina berasaskan seni bina elektrik yang diperbaharui.

Seni bina ini merangkumi teknologi 800-volt, motor elektrik yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes-Benz, transmisi dua kelajuan pada gandar belakang serta bateri lebih besar dengan kimia sel yang dioptimumkan.

Evolusi Bateri Mercedes-Benz EQS dan Jarak Sehingga 926 km!

Mercedes-Benz EQS 450+ kini menawarkan jarak gerak sehingga 926 km mengikut kitaran WLTP, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding model terdahulu.

Peningkatan ini disokong oleh bateri dengan kandungan tenaga boleh guna sebanyak 122 kWj.

Sel bateri menggunakan anod silikon oksida yang dicampur dengan grafit bagi membolehkan simpanan tenaga lebih tinggi.

Unit pemacu elektrik (EDU) kini lebih kompak, cekap dan tahan lasak.

Bagi model 4MATIC, EDU hadapan dilengkapi dengan disconnect unit (DCU) yang boleh diaktifkan atau dinyahaktifkan secara automatik dalam sekelip mata mengikut keperluan pemanduan.

Kapasiti tunda bagi model pacuan roda belakang kini meningkat kepada 1,600 kg manakala model 4MATIC mencecah 1,700 kg.

Mercedes-Benz turut memperkenalkan varian EQS 400 sebagai model aras mula dengan output 270 kW (367 ps) dan bateri 112 kWj.

Sistem transmisi dua kelajuan pada gandar belakang menggabungkan gear pertama untuk pecutan pantas dari pegun dan gear kedua untuk penyampaian kuasa kelajuan tinggi serta kecekapan di lebuh raya.

320 km dalam 10 Minit

Teknologi 800-volt membolehkan kapasiti pengecasan sehingga 350 kW yang mampu menambah jarak gerak sehingga 320 km dalam tempoh 10 minit.

Apabila mengecas di stesen 400-volt, sistem pintar membahagikan bateri kepada dua bahagian secara maya untuk dicas pada kadar 175 kW melalui ciri Plug & Charge.

Bateri EQS juga bertindak sebagai sumber tenaga fleksibel melalui ciri vehicle-to-grid (V2G) dan vehicle-to-home (V2H).

Sistem ini membolehkan tenaga bateri disalurkan semula ke rangkaian grid awam atau ke kediaman peribadi sebagai unit storan tenaga pintar.

Pemulihan Tenaga Membrek dan Stereng Steer-by-Wire

Kuasa pemulihan tenaga semasa membrek telah dipertingkatkan sebanyak satu pertiga kepada 385 kW.

Nyahpecutan dalam pemanduan harian kini boleh dicapai hampir sepenuhnya melalui sistem ini sahaja.

Mercedes-Benz juga menjadi pengeluar Jerman pertama memperkenalkan teknologi steer-by-wire dalam model pengeluaran umum.

Sistem ini menyingkirkan sambungan mekanikal antara stereng dan roda sekali gus menghapuskan getaran tidak diingini daripada permukaan jalan.

Ia menawarkan rasa stereng yang jitu dan nisbah stereng yang fleksibel.

Sistem ini berfungsi bersama pembelokan gandar belakang dengan sudut sehingga 10 darjah.

Selain teknologi steer-by-wire, Mercedes-Benz turut menawarkan pilihan stereng elektromekanikal konvensional sebagai pilihan.

Reka Bentuk Luar dan Aerodinamik

Walaupun menggunakan seni bina elektrik yang dipertingkatkan, reka bentuk luaran EQS kekal dengan konsep One-Bow yang membujur.

Pendekatan ini berbeza dengan pesaing senegaranya iaitu BMW i7 yang menggunakan reka bentuk profil sedan tiga kotak yang lebih tradisional.

EQS mengekalkan status antara kereta paling aerodinamik dengan pekali seretan 0.20. Luas bahagian hadapan adalah 2.51 m² dengan rintangan efektif 0.5 m², iaitu lebih rendah daripada penunggang basikal jalan raya.

Penambahan turut melibatkan pengoptimuman pada cermin sisi untuk aliran udara yang lebih baik.

Keselesaan Suspensi Mercedes-Benz EQS dan MB.OS

Sistem suspensi AIRMATIC menampilkan kawalan peredam pintar berasaskan awan.

Melalui teknologi Car-to-X, kenderaan melaras peredam secara elektronik sejurus sebelum melintasi bonggol jalan berdasarkan maklumat masa nyata daripada kenderaan Mercedes-Benz lain yang telah melalui laluan tersebut.

Sistem Operasi Mercedes-Benz (MB.OS) menyatukan kawalan setiap aspek kenderaan melalui AI dan sambungan awan.

MBUX Virtual Assistant menggunakan AI daripada Microsoft untuk interaksi peribadi.

Navigasi berasaskan Google Maps pula merancang laluan dengan mengambil kira ramalan angin dan suhu bateri untuk pengecasan pantas DC yang optimum.

Kunci Digital dan Pembayaran Dalam Kereta

EQS menyokong kunci kenderaan digital yang serasi dengan peranti iPhone dan Android di mana pintu akan terbuka secara automatik apabila pemandu mendekati kereta.

Ciri Mercedes pay+ membolehkan pembayaran pelbagai perkhidmatan digital dilakukan terus dari dalam kereta. Kamera dalaman multifungsi digunakan untuk pengesahan identiti tanpa perlu memasukkan PIN.

Ruang Kabin dan Inovasi Keselamatan

MBUX Hyperscreen bersaiz melebihi 55 inci menggabungkan tiga paparan di bawah satu permukaan kaca.

Inovasi pemanas tali pinggang keledar hadapan mampu mencapai suhu 44 darjah Celsius.

Bagi penumpang belakang, tersedia dua paparan 13.1 inci dan beltbags yang boleh mengembang untuk perlindungan dada semasa impak hadapan.

Kabin dilindungi penapis HEPA bersaiz 9.82 m³ yang mengandungi 600 gram karbon aktif.

Luas permukaan penapis ini bersamaan kira-kira 150 padang bola sepak dan mampu menapis sehingga 99.65 peratus zarah udara.

Untuk pembeli yang mahukan citarasa peribadi, program MANUFAKTUR Made to Measure pula menawarkan sehingga 125 pilihan warna cat.

Berikut adalah senarai spesifikasi yang telah dibersihkan sepenuhnya, mengekalkan mata wang Euro dan Ringgit Malaysia (RM):

Spesifikasi Mercedes-Benz EQS 400

  • Output Kuasa: 270 kW (367 ps)
  • Tork Maksimum: 505 Nm
  • Kapasiti Bateri (Tenaga Boleh Guna): 112 kWj
  • Kadar Pengecasan DC Maksimum: 330 kW
  • Jarak Gerak (WLTP): Sehingga 817 km
  • Pecutan (0-100 km/j): 6.2 saat
  • Harga (Jerman): €94,403 (RM440,106)

Spesifikasi Mercedes-Benz EQS 450+

  • Output Kuasa: 300 kW (408 ps)
  • Tork Maksimum: 505 Nm
  • Kapasiti Bateri (Tenaga Boleh Guna): 122 kWj
  • Kadar Pengecasan DC Maksimum: 350 kW
  • Jarak Gerak (WLTP): Sehingga 926 km
  • Pecutan (0-100 km/j): 5.9 saat
  • Masa Pengecasan DC: Tambahan jarak 320 km dalam 10 minit
  • Harga (Jerman): €108,635 (RM506,456)

Spesifikasi Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC

  • Output Kuasa: 350 kW (476 ps)
  • Tork Maksimum: 750 Nm
  • Kapasiti Bateri (Tenaga Boleh Guna): 122 kWj
  • Kadar Pengecasan DC Maksimum: 350 kW
  • Jarak Gerak (WLTP): Sehingga 876 km
  • Pecutan (0-100 km/j): 4.5 saat
  • Harga (Jerman): €123,284 (RM574,750)

Spesifikasi Mercedes-Benz EQS 580 4MATIC

  • Output Kuasa: 430 kW (585 ps)
  • Tork Maksimum: 800 Nm
  • Kapasiti Bateri (Tenaga Boleh Guna): 122 kWj
  • Kadar Pengecasan DC Maksimum: 350 kW
  • Jarak Gerak (WLTP): Sehingga 876 km
  • Pecutan (0-100 km/j): 4.1 saat
  • Masa Pengecasan DC: Tambahan jarak 305 km dalam 10 minit
  • Harga (Jerman): €134,732 (RM628,120)

Nissan Juke EV 2027 diperkenalkan!

Nissan telah mendedahkan Juke generasi ketiga di acara Vision yang berlangsung di ibu pejabat global syarikat di Jepun.

Juke EV merupakan lonjakan evolusi bagi crossover kompak ikonik Nissan, sekali gus menandakan langkah besar bagi strategi elektrifikasi mereka di Eropah.

Dengan pasaran EV Eropah yang semakin berkembang, Nissan menggunakan kepakaran selama 15 tahun untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam pasaran yang kompetitif.

Sejarah dan Evolusi Nissan Juke

Jika Nissan GT-R menggegarkan dunia pada 2007, Nissan Juke pula lahir pada 2010 dan menggegarkan dunia kerana reka bentuknya yang funky dan unik.

Nissan juga membuat kerja gila dengan melahirkan Juke-R yang menggunakan enjin GT-R R35 dan ditawarkan dalam jumlah yang sangat terhad.

Juke generasi kedua diperkenalkan pada 2019 dan meneruskan rekaan funky tersebut untuk pasaran global.

Nissan membuat kejutan sekali lagi dengan Juke EV yang mengekalkan karakter asal sambil memperkenalkan rangkaian kuasa elektrik.

Sejak dilancarkan, Juke memikat 1.5 juta pelanggan di Eropah dan membentuk semula segmen crossover kompak melalui reka bentuk yang menyerlah.

Laluan Fleksibel Menuju Elektrifikasi Penuh

Juke EV akan hadir dalam siri EV Eropah Nissan seperti Micra, Leaf, Ariya dan Townstar selain model segmen A yang bakal menyusul.

Ia turut dilengkapi teknologi Vehicle to Grid seperti model Leaf.

Walaupun fokus kepada EV, model hibrid e-POWER dan HEV seperti Qashqai tetap ditawarkan bagi memberi pilihan teknologi bersesuaian kepada pelanggan sebelum beralih kepada kuasa elektrik.

Rangkaian Kuasa Juke EV dan Pengeluaran di Sunderland

Juke generasi ketiga menggunakan platform CMF-EV dan bakal dikeluarkan di Kilang Sunderland, United Kingdom.

Menurut Pengerusi Nissan AMIEO, Massimiliano Messina, Eropah kekal menjadi pusat strategi elektrifikasi syarikat.

Fasa ujian pengeluaran akan bermula dalam beberapa minggu lagi bagi memastikan kualiti terbaik.

Komitmen ini turut disokong oleh rangkaian reka bentuk dan kejuruteraan Nissan di UK, Sepanyol, serta Jerman sebagai hab inovasi serantau.

Juke EV dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada musim bunga (Mac hingga Mei) 2027.

Nissan dedah teaser Skyline generasi baharu

Setelah 12 tahun berlalu, Nissan akhirnya bersedia untuk menggantikan sedan Skyline sedia ada dengan model generasi baharu.

Pengeluar Jepun itu turut sama mendedahkan beberapa keping gambar acah yang menunjukkan rupa depan dan belakang sedan sporti itu.

Ilham model Skyline terdahulu

Menurut pengarah rekaan global Nissan Alfonso Albaisa, Skyline baharu ini mengambil ilham daripada model Skyline yang lama.

Pengaruh sedan terdahulu (terutama Hakosuka) boleh dilihat pada bentuk lampu depan yang bersegi dan agresif.

Terdapat juga logo ‘S’ pada bahagian depan.

Bahagian belakang pula menampilkan unit lampu berbentuk bulat berkembar, diikuti dengan tulisan berangkai ‘Skyline’ pada bahagian fender sisi.

Buat masa ini, tiada sebarang perincian lanjut tentang spesifikasi enjin yang bakal digunakan pada model Skyline baharu ini.

Kemunculan versi GT-R?

Kehadiran sedan Skyline generasi baharu sayang sekali tidak memberikan petunjuk tentang kehadiran model baharu GT-R.

Ini kerana GT-R merupakan plet nama prestasi tinggi yang berdiri sendiri sejak berpisah daripada model R34 dan diguna pakai pada model R35 sejak tahun 2007.

Tiga model baharu selain Skyline

Dalam masa yang sama, Nissan turut mendedahkan tiga buah model serba baharu, iaitu Nissan Juke EV, Nissan Rogue/X-Trail e-Power dan Nissan XTerra.

Nissan Juke EV dibina berdasarkan platform CMF-EV, menampilkan rekaan yang jauh lebih radikal.

Nissan Rogue e-Power pula dilengkapi dengan sistem rangkaian kuasa yang terdiri daripada enjin 3-silinder dan dua motor elektrik.

Akhir sekali Nissan XTerra, sebuah SUV body-on-frame yang bakal tiba pada tahun 2028, dan membawakan rekaan hadapan yang agresif.

Proton X70 Sport Edition 2026: Terhad 600 unit, tempahan kini dibuka

Proton bakal melancarkan sebuah lagi model SUV edisi terhad pada 16 April ini, iaitu Proton X70 Sport Edition 2026.

Model baharu ini akan mula dipamerkan di bilik pameran terpilih hujung minggu ini.

Perincian X70 Sport Edition

Terhad kepada 600 unit, X70 Sport Edition ditawarkan berdasarkan varian Premium dan warna eksklusif Quartz Black.

Antara perincian pada model ini termasuklah:

  • kit badan khas (skirt hadapan, sisi dan belakang)
  • rim aloi hitam 19 inci
  • emblem Sport Edition

Untuk ruang kabin pula, terdapat ciri berikut:

  • logo Sport Edition pada tempat duduk depan
  • kemasan jahitan merah pada tempat duduk, roda stereng dan perehat tangan depan
  • dulang but

Model penting terhadap jenama Proton

Menurut Dato’ Ir Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata, “Proton X70 merupakan model penting yang mengubah persepsi pelanggan terhadap jenama Proton.

“Ia menjadi titik permulaan kepada era baharu syarikat dari segi produk, teknologi dan kerjasama global.”

“Pengenalan X70 Sport Edition menawarkan pilihan yang lebih bergaya dan eksklusif kepada pelanggan. Ia mencerminkan evolusi berterusan X70 selaras dengan jangkaan pasaran,” jelasnya lagi.

Aveta Serra 125 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM5,088

Aveta Motor Malaysia melancarkan sebuah lagi model skuter yang lebih mampu milik, iaitu Aveta Serra 125 2026.

Ia dijual pada harga dari RM5,088 atas jalan tanpa insurans.

Spesifikasi

Skuter ini dipacu oleh enjin silinder tunggal sejukan udara 124 cc menghasilkan 8.7 hp @ 7,500 rpm dan 9.5 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

Serra 125 menggunakan tetapan fork teleskopik di depan dan spring gegelung teleskopik di belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera di depan dan dram di belakang.

Antara kelengkapan lain Aveta Serra 125 termasuklah:

  • panel meter LCD
  • rak pembawa barang
  • lampu LED penuh (termasuk DRL)
  • rim 14 inci
  • tangki bahan api 6 liter
  • tinggi pelana 770 mm

Terdapat tiga warna disediakan iaitu Ash Grey, Mystic Mint dan Pixel Blue.

Aveta VS115 2026 V3 rasmi mendarat di Malaysia – harga RM3,488

Aveta Malaysia terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran Malaysia menerusi pengenalan model kapcai Aveta VS115 2026 V3.

Sesuai dengan tagline “Motor Madani, pilihan semua”, ia dijual pada harga RM3,488.

Spesifikasi

Aveta VS115 V3 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara SOHC 113 cc menghasilkan 8.7 hp @ 8,000 rpm dan 9.0 Nm @ 6,000 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan kotak gear manual empat-kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.

Kapcai ini menggunakan tetapan brek dram dan rim saiz 17 inci untuk kedua-dua roda.

 

Antara ciri lain termasuklah:

  • panel meter analog yang mudah dibaca
  • sistem penghidup elektrik/tendang
  • tangki bahan api 4 liter
  • slot pengecasan USB (Type-A & Type-C)
  • lampu isyarat belakang LED

Terdapat tiga warna disediakan iaitu biru, kelabu dan maroon.

Koleksi Nissan dan Nismo Musim Bunga/Panas 2026 untuk yang teristimewa

Bagi isteri, ibu, atau adik-beradik perempuan yang mahukan menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada orang tersayang, koleksi dari Nissan dan Nismo ini mungkin boleh dipertimbangkan.

Sama ada untuk suami, bapa, mahupun saudara lelaki yang meminati dunia automotif, koleksi ini menawarkan pelbagai pilihan gaya hidup yang eksklusif dan berkualiti tinggi.

Nissan baru sahaja mengumumkan produk Koleksi NISSAN/NISMO terbaru dengan penambahan 115 barangan baharu.

Pecahan produk tersebut melibatkan 52 barangan Koleksi Nissan dan 63 barangan Koleksi Nismo yang direka khusus untuk musim Bunga/Panas 2026.

Koleksi boleh dibeli di pengedar Nissan di seluruh Jepun, Galeri Ibu Pejabat Global, Nissan Boutique di NISSAN CROSSING atau Kedai Dalam Talian Nissan (atau personal shopper).

Koleksi Nissan

Koleksi Nissan kali ini menumpukan kepada gabungan elemen gaya hidup dan warisan ikonik model sport. Antara produk utama yang diperkenalkan termasuklah jam tangan kerjasama dan aksesori harian.

Nissan GT-R G-SHOCK

Ini merupakan model kerjasama ketujuh antara GT-R dan G-SHOCK.

Jam tangan ini menggunakan model gabungan digital-analog yang mempunyai bentuk oktagon yang tersendiri.

Struktur pelindung teras karbon yang digunakan menggabungkan elemen ringan dan lasak, manakala kemasan rona merah GT-R memberikan penampilan yang menyerlah namun tetap mengekalkan ciri kehalusan.

Pakaian dan Aksesori Gaya Hidup

Satu lagi barangan menarik ialah baju-T R34 Engine Illustration yang memaparkan ilustrasi terperinci ruang enjin R34 GT-R dengan potongan oversized yang santai.

Selain itu, terdapat cawan The Fairlady Z yang ringkas dengan hiasan logo Z dan logo Nissan.

Bagi kegunaan harian, beg tote kanvas Nissan ditawarkan dengan kapasiti penyimpanan yang luas serta mempunyai banyak poket, menjadikannya sesuai untuk aktiviti luar.

Rantai kunci logam ini mempunyai tekstur yang kukuh dan memberikan rasa kualiti yang mantap. Rekaan ringkas dan malar hijau yang dibawanya juga merupakan antara daya tarikan utama produk ini.

Model Miniatur Warisan

Bagi pengumpul model skala, Nissan memperkenalkan Nissan Skyline 2000 Turbo intercooler RS-X dalam skala 1/18.

Model ini merupakan varian berprestasi tinggi daripada keluarga R30 Skyline yang lebih dikenali dengan jolokan Iron Mask (topeng besi) kerana rekaan hadapan tanpa gril.

Model miniatur ini dihasilkan semula dengan penuh ketelitian bagi memaparkan semula aura kereta sport Jepun ikonik dari era 1980-an.

  • Nissan GT-R G-SHOCK (KWA20-03W00): 24,200 yen (RM602.10)
  • R34 Engine Illustration T-Shirt (KWA00-03W11 hingga 14): 5,500 yen (RM136.84)
  • Fairlady Z Mug (KWA62-01W00): 1,870 yen (RM46.53)
  • Nissan Canvas Tote Bag (KWA40-00W00): 3,630 yen (RM90.31)
  • Metal Key Ring (KWA10-00WS0/KWA10-00WZ0): 2,090 yen (RM52.00)
  • Nissan Skyline 2000 Turbo intercooler RS-X 1/18 (KWAM0-00010): 26,400 yen (RM656.83)

Koleksi Nismo

Koleksi Nismo pula lebih menekankan aspek prestasi dan elemen retro-sporty yang sinonim dengan bahagian perlumbaan Nissan tersebut.

Pakaian dan Kelengkapan Perjalanan

Baju-T Nismo ringer menampilkan logo warisan ikonik masa lalu.

Riasan pada bahagian kolar dan lengan membawa gaya retro, manakala bahan 100% kapas memastikan keselesaan kepada pemakai.

Untuk pengurusan ruang kargo, Nismo Folding Container Box bersaiz 20L disediakan untuk menyusun barangan di dalam but dengan lebih kemas dan boleh dilipat secara kompak apabila tidak digunakan.

Aksesori Teknikal dan Inovatif

Koleksi ini turut menampilkan botol keluli tahan karat Revomax Standard yang boleh digunakan dengan satu tangan.

Penutup botol ini mempunyai struktur dua sisi untuk mengelakkan kebocoran serta mengekalkan suhu minuman dengan berkesan, malah ia juga mampu menyimpan minuman berkarbonat.

Tuala penyejuk ini memberikan sensasi sejuk yang berterusan hanya dengan membasah dan mengebaskannya.

Memandangkan ia diperbuat daripada bahan pelindung UV, tuala ini juga boleh dililit pada leher sebagai perlindungan daripada sinaran matahari.

Aksesori Karbon dan Jam Penggera

Peminat bahan eksklusif boleh mendapatkan rantai kunci yang diperbuat daripada karbon tempa yang dimesin daripada bahan pepejal.

Rantai kunci ini menggunakan karbon tempa yang dimesin khusus.

Karbon tempa merupakan bahan komposit yang dihasilkan melalui campuran gentian karbon pendek dengan resin, kemudian dimampatkan melalui proses acuan di bawah suhu dan tekanan tinggi.

Berbeza dengan karbon tenunan tradisional, ia mempunyai ciri unik dengan corak rawak yang tersendiri.

Akhir sekali, jam penggera dua loceng dengan reka bentuk retro turut ditawarkan yang dilengkapi lampu latar untuk kegunaan waktu malam.

  • Nismo Heritage Ringer T-Shirt (KWA00-50WW1 hingga WK9): 5,500 yen (RM136.84)
  • Nismo Folding Container Box 20L (KWA6A-50W00): 5,280 yen (RM131.37)
  • Revomax Standard Stainless Steel Bottle (KWA62-50WK0/KWA62-50WR0): 6,600 yen (RM164.21)
  • Cool Towel Long (KWA60-50W00): 1,980 yen (RM49.26)
  • Forged Carbon Key Ring (KWA10-50W60): 3,300 yen (RM82.10)
  • Twin-Bell Alarm Clock (KWA20-50W00): 3,630 yen (RM90.31)

Senarai koleksi dan barangan Nissan dan Nismo boleh didapati di pautan ini.

Kredit gambar: Nissan