Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Perodua lancar EV pertama akhir tahun 2025, harga antara RM50k-RM100k

Perodua dijangka akan melancarkan dua buah model baharu pada tahun 2025, iaitu Perodua D66B pada awal tahun diikuti model kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun yang sama.

Menurut penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, kumpulan automotif itu membayangkan 2025 akan menjadi satu tahun yang sangat menarik dengan kemunculan dua model baharu yang disebutkan tadi.

 

 

“Model EV Perodua keluaran tempatan dijangka berharga dalam julat RM50,000 hingga RM100,000, dan diharapkan dapat dijual 10,000 unit dalam tempoh awal projek EV Nasional oleh Perodua,” jelasnya dalam satu nota penyelidikan.

Pada Malaysia Autoshow 2024 yang baru berlangsung tempoh hari, Perodua telah mempamerkan model prototaip EV pertama yang dinamakan sebagai emo-1 (Electric Motion Online).

 

 

Menggunakan Perodua Myvi sebagai asas, emo-1 digerakkan oleh motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 161 hp dan 220 Nm, dipadankan dengan pek bateri 55.7 kWh untuk jarak gerak sejauh 350 km.

Menurut Perodua, pembangunan prototaip EV ini dibuat dengan kerjasama daripada tiga universiti tempatan, iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM), sementara pembangunan teknologi rangkaian kuasa pula dibuat dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.

 

Alpine A290 GT – hot hatch EV gaya retro, 217 hp/300 Nm, 0-100 kmsj 6.4s

Peranan hot hatch berenjin pembakaran dalaman (ICE) kian lenyap ditelan zaman, dan ia kini digantikan dengan kehadiran hot hatch berkuasa elektrik.

Ucapkan selamat datang kepada Alpine A290 GT 2025, EV supermini berprestasi tinggi dengan membawakan penggayaan luaran retro moden.

 

 

Alpine A290 GT menggunakan asas daripada model EV Renault 5 E-Tech, dan masih lagi mengekalkan layout pacuan roda hadapan yang sama.

Terdapat dua varian ditawarkan, di mana versi aras mula A290 GT dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 178 hp dan 285 Nm, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j sepantas 7.4 saat.

Varian paling bertenaga A290 GT Performance pula mendapat hamburan kuasa 217 hp dan 300 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j kini sepantas 6.4 saat.

 

 

Kedua-dua varian hot hatch ini mendapat pek bateri 52 kWh, dengan jarak gerak sejauh 380 km, kurang 20 km berbanding Renault 5.

Pengecasan pantas DC 100 kW pula membolehkan pek bateri A290 GT ini dicas selama 30 minit dari 15-80 peratus SoC.

Rekaan luaran A290 GT ini banyak mengingatkan kita pada model Renault 5 Turbo yang popular era 1980-an, dengan kehadiran garis badan yang bersegi, fender yang lebih lebar, dan jarak trek yang lebih panjang (+60 mm).

Antara ciri lain termasuklah motif X pada lampu utama dan jeriji, rim 19 inci dengan dua rekaan berbeza, penampilan hot hatch tiga pintu walaupun asalnya ialah lima pintu, serta sistem brek Brembo dengan angkup empat omboh untuk roda hadapan.

 

Susun atur ruang kabin adalah lebih kurang sama sahaja dengan model Renault 5, namun ditambah dengan ciri unik seperti pedal sports, butang pemilihan transmisi, roda stereng bespoke, serta butang khas OV (overtake).

Menurut Alpine, A290 GT akan dijual pada harga bermula dari €38,000 (RM192,103), menjadikannya lebih mahal berbanding MINI Cooper E/SE.

Alpine A290 GT versi pemanduan sebelah kiri akan mula diedarkan pada penghujung tahun ini, diikuti pasaran pemanduan sebelah kanan bermula awal tahun 2025.

 

Setelah 17 tahun, Nissan GT-R akhirnya mempunyai batu nisan sendiri

Nissan dalam satu kenyataan secara rasmi mengumumkan produksi bagi model kereta sports Nissan GT-R akan ditamatkan untuk pasaran Amerika Utara pada Oktober ini.

Serentak dengan pengumuman tersebut, dua model edisi terhad Nissan GT-R turut dilancarkan sebagai satu penghormatan kepada sejarah plet nama yang sangat panjang dan ikonik itu, iaitu Nissan GT-R Skyline Edition dan Nissan GT-R Takumi Edition.

 

 

Nissan GT-R Skyline Edition membawakan kembali nama Skyline ke dalam daftar nama GT-R selepas digugurkan pada tahun 2007, dan dibina berdasarkan varian GT-R Premium.

Ia juga turut mengembalikan semula warna Bayside Blue yang sebelum ini pernah ditawarkan pada GT-R R34, sebelum digunakan kembali untuk model ulang tahun yang ke-50 pada tahun 2019.

 

 

Nissan GT-R Takumi Edition pula menggunakan asas daripada model T-Spec, di mana nama ‘Takumi‘ itu merujuk kepada craftmen, atau pakar yang bertanggungjawab memasang setiap satu unit enjin menggunakan tenaga tangan.

Berbeza dengan Skyline Edition, Takumi Edition pula dilayangkan dengan warna ikonik GT-R, iaitu Midnight Purple, diikuti warna eksklusif Mori Green untuk ruang kabin.

Selain itu, versi ini turut mendapat naik taraf seperti sistem brek seramik karbon Nismo, rim Nismo Rays bersaiz 20 inci, kawalan dinamik kenderaan talaan Nismo dan fender hadapan yang lebih lebar.

 

 

Kedua-dua model edisi khas ini akan ditawarkan kurang dari 200 unit, dan boleh didapati di beberapa pengedar Nissan yang terpilih di pasaran US musim panas ini.

Adakah ini satu pengakhiran buat plet nama GT-R?

Mungkin tidak, kerana Nissan sebelum ini menjanjikan GT-R akan digantikan dengan sebuah model baharu yang akan muncul menjelang tahun 2030, sebelum ini diperlihatkan menerusi konsep Hyper Force berkuasa elektrik.

 

Spesifikasi smart #5 versi produksi terdedah, kuasa cecah 637 hp, saiz GLC-Class

Beberapa minggu yang lepas, smart telah memperlihatkan model konsep SUV berkotak smart Concept #5 dalam acara Beijing Auto Show 2024.

Kini, spesifikasi model produksi sebenar smart #5 boleh didapati secara rasmi menerusi laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China.

Seperti yang dijangka, smart #5 versi produksi sebenar mengurangkan beberapa aspek keterlaluan yang wujud pada model konsep, namun masih lagi mengekalkan bentuk badan yang berkotak.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan smart #5:

 

1. Saiz macam Mercedes-Benz GLC-Class

Dari segi ukuran, smart #5 membawakan dimensi sepanjang 4,705 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,705 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Secara asasnya, smart #5 merupakan SUV yang jauh lebih besar berbanding smart #3 dan #1.

Sebagai sebuah SUV saiz pertengahan, smart #5 bakal menyaingi model-model seperti BMW X3, Audi Q5, Mercedes-Benz GLC-Class, Tesla Model Y serta Honda CR-V.

 

2. Penampilan yang lebih mesra jalanan

 

Tidak seperti Concept #5, smart #5 mempunyai jarak kelegaan tanah yang lebih rendah, serta tetapan yang lebih konvensional.

Ia juga tidak didatangkan dengan tayar all-terrain, rak bumbung, pintu jenis suicide serta skrin kecil pada fender untuk suspensi.

Namun begitu, ia tetap tampil dengan unit pencahayaan LED yang ranggi, pemegang pintu yang tertanam kemas, serta bentuk badan asal secara keseluruhannya.

 

3. Varian sporti Brabus turut ditawarkan

 

Selain daripada varian standard, smart #5 juga boleh didapati dalam varian Brabus yang lebih sporti.

Ia membawakan kemasan aksen merah, angkup brek berwarna merah, rekaan rim aloi yang berbeza, serta penampilan bampar yang lebih agresif.

 

4. Empat pilihan rangkaian kuasa

smart Concept #5

 

SUV elektrik ini ditawarkan dengan empat pilihan rangkaian kuasa, dimulakan dengan tetapan pacuan roda belakang atau pilihan pacuan semua roda.

Versi RWD mempunyai dua output kuasa, iaitu 335 hp atau 358 hp yang dipadankan dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP).

Versi AWD pula menggandingkan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) dengan dua motor elektrik, terdiri daripada motor hadapan 221 hp dengan pilihan motor elektrik gandar belakang berkuasa 358 hp atau 416 hp.

Versi yang paling berkuasa mampu menghamburkan kuasa keseluruhan berjumlah sehingga 637 hp.

 

5. Jarak gerak 549 km

smart Concept #5

Dengan senibina elektrik 800-voltan yang disumberkan daripada syarikat induk Geely, pek bateri 100 kWh itu boleh dicas 10-80 peratus dalam tempoh masa 15 minit sahaja.

smart turut mendakwa #5 ini mampu bergerak melebihi jarak 549 km mengikut data WLTP.

Syarikat kerjasama antara Mercedes-Benz dan Geely ini turut mengesahkan smart #5 akan dilancarkan secara rasmi pada separuh kedua 2024.

 

smart #5 versi produksi sebenar


smart Concept #5

smart Concept #5, crossover saiz pertengahan yang lebih versatil, lebih luas!

Lexus Monogram GX Concept ini siap ada ketuhar pizza di belakang!

Lexus GX merupakan sebuah SUV off-road yang kini sudah pun memasuki generasi ketiga, dan secara asasnya berkongsi platform yang sama dengan model Toyota Land Cruiser Prado (250 Series).

Perkataan Lexus itu sendiri sudah cukup untuk melambangkan ciri kemewahan yang dibawakan pada GX.

Namun, Lexus baru-baru ini memperlihatkan kerjasama dengan pengeluar pekakasan mewah Monogram menerusi model Lexus Monogram GX Concept.

 

 

Daripada sudut luaran, Lexus GX serba hitam ini dilihat sama sahaja dengan GX versi jalanan, namun boleh dibezakan dengan kehadiran pintu belakang jenis terbelah (split liftgate).

Sebaik sahaja pintu tersebut dibuka, anda akan dapat melihat kehadiran sebuah ketuhar elektrik bersaiz 30 inci buatan Monogram yang boleh digunakan untuk memasak pizza, roti atau apa jua makanan yang dirasakan sesuai.

Segala perkakasan memasak boleh disimpan pada rak yang dibuat khas pada panel pintu tersebut.

 

 

Bukan itu sahaja, terdapat ruang penyimpanan luaran yang dibina pada tingkap belakang yang memuatkan gelas wain, pembuka botol serta botol minuman keras.

Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan disambut dengan tempat duduk balutan kulit unta dua tona dengan corak khas, diikuti kemasan loyang, besi titanium dan aksen batu sabak Dekton.

Menurut Lexus, konsol tengah kabin GX ini menempatkan peti sejuk khas untuk minuman, serta mesin khas yang mampu menghasilkan ketulan ais berbentuk sfera. yang terletak antara tempat duduk belakang.

Konsep GX Monogram ini akan membuat kemunculan rasmi pada Food and Wine Classic di Aspen, Colorado.

 

Lexus Monogram GX Concept

Lexus GX 2024

GR GT Cup 2024: Pendaftaran kini dibuka, hadiah terkumpul cecah RM120,500!

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan siri perlumbaan dalam talian Toyota Gazoo Racing GT Cup Malaysia kembali untuk musim 2024 dengan membawakan hadiah terkumpul yang cukup lumayan.

Ketika siri ini mula diperkenalkan pada tahun 2018 menggunakan nama Toyota GR Velocity eSports Championship, ia menawarkan hadiah bernilai RM70,000.

Untuk penganjuran musim ketujuh tahun ini, peserta GR GT Cup Malaysia berpeluang untuk merebut hadiah bernilai sehingga RM120,500!

 

 

Dengan purata penyertaan seramai 1,000 orang setiap musim, GR GT Cup Malaysia akan membuka tirainya pada 22 Jun 2024, di mana seramai 40 orang pelumba simulasi terpantas akan terpilih untuk menyertai Grand Finals yang akan diadakan di Sunway University pada 27-28 Julai nanti.

Acara akhir selama dua hari itu bakal menyaksikan 20 orang pelumba terpantas dalam pusingan suku akhir mara ke peringkat separuh akhir untuk menentukan 10 orang pelumba terbaik bagi merebut gelaran juara Toyota GR GT Cup Malaysia 2024.

Sebagai satu-satunya pertandingan perlumbaan maya yang dianjurkan di Malaysia, siri Toyota GR GT Cup Malaysia turut meraih lebih daripada tiga juta tontonan dalam talian.

 

Tahun lepas, Taj Izrin Aiman Taj Madira telah muncul sebagai juara, sekaligus merangkul gelaran juara ketiga secara keseluruhan sejak siri tersebut dianjurkan, disusuli oleh Dhanesh Wigneswaran di tempat kedua dan Chong Kai Chang di tempat ketiga.

Ketiga-tiga pelumba tersebut mewakili Malaysia dalam pusingan Toyota GR GT Cup Asia, dan meraih gelaran naib juara dalam kategori pasukan.

Musim ketujuh juga akan menyaksikan kemunculan semula GR Tour di lapan universiti di Semenanjung Malaysia – Sunway University, UiTM Pasir Gudang, MMU Cyberjaya, UNITAR, UiTM Shah Alam, UKM Bangi, UIA Gombak dan USM Nibong Tebal.

GR Tour yang mula diperkenalkan pada tahun lepas turut menjadi platform bagi mencungkil bakat-bakat terpendam di kalangan pelajar universiti.

Untuk tahun ini, 10 orang pelumba terpantas daripada GR Tour terpilih untuk menyertai pusingan Grand Finals Toyota GR GT Cup Malaysia.

 

 

Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Tujuh tahun yang lalu telah menjadi satu perjalanan yang menarik, bukan sahaja untuk peminat perlumbaan dalam talian, malah juga untuk kami di Toyota.

“Penglibatan kami dalam sukan permotoran Malaysia sentiasa menyumbang untuk menjadikannya lebih dinamik, dan kami akan terus mengembangkan inisiatif lebih daripada sekadar menganjurkan siri perlumbaan kereta saloon keluaran tunggal (one-make) dan termasuk perlumbaan dalam talian.

“Gabungan aktiviti perlumbaan fizikal dan dalam talian telah menjadi platform bagi pelumba simulasi membuat peralihan berjaya kepada perlumbaan kereta yang sebenar, malah beberapa individu telah mencapai kejayaan memenangi perlumbaan di peringkat antarabangsa secara bersendirian dan di luar program Toyota sedia ada.

“Bagi mereka yang mempunyai impian yang sama, siri perlumbaan dalam talian Toyota GR GT Cup Malaysia merupakan langkah pertama yang penting untuk ke arah itu,” jelasnya lagi.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi UMWT di www.toyota.com.my/gtcupmalaysia, serta laman media sosial Facebook, YouTube dan Instagram Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Honda N-VAN e: mula dijual di Jepun Oktober ini, jarak 245 km, dari RM73 ribu

Di Jepun, Honda N-VAN merupakan antara kenderaan komersial ringan yang sangat popular, disebabkan pakej praktikaliti dan verstatiliti yang ditawarkan secara standard.

Selain daripada versi petrol, pembeli di sana juga kini boleh mendapatkan varian berkuasa elektrik yang digelar sebagai N-VAN e:, di mana model ini akan dijual bermula 10 Oktober nanti.

Berikut merupakan perincian ringkas spesifikasi N-VAN e: untuk pasaran Jepun:

 

1. Empat varian

 

N-VAN e: boleh didapati dalam empat varian utama, iaitu e: L4, e: FUN, e: G dan e: L2 yang mampu memenuhi pelbagai keperluan daripada sektor komersial hinggalah kepada kegunaan peribadi.

 

 

e: L4 merupakan varian aras mula dengan tetapan empat tempat duduk, dan kapasiti ruang kargo yang menyamai apa yang ditawarkan pada N-VAN versi petrol, serta dilengkapi dengan skrin LCD sebesar tujuh inci.

e: FUN pula secara asasnya merupakan versi L4 dengan penawaran warna luaran dan dalaman yang lebih ceria. Selain daripada lampu LED, e:FUN turut didatangkan dengan keupayaan pengecasan pantas.

 

 

e: G direka untuk keperluan komersial, di mana hanya ada satu tempat duduk sahaja ditawarkan. Ia menawarkan ruang kargo yang jauh lebih besar dengan lantai direndahkan sebanyak 120 mm dan panjang bertambah sebanyak 95 mm.

e: L2 membawakan konfigurasi tempat duduk tandem, di mana hanya ada satu penumpang yang boleh duduk di belakang pemandu. Ia juga masih lagi mampu menawarkan ruang kargo yang cukup besar, dibantu dengan bukaan pintu gelangsar yang besar tanpa kehadiran tiang B.

 

2. Motor elektrik tunggal

 

Kesemua varian N-VAN e: dibekalkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan.

Sayang sekali, angka kuasa kuda dan daya kilas tidak didedahkan secara rasmi.

3. Jarak gerak 245 km

Secara standard, N-VAN e: mempunyai pek bateri yang diletakkan di bawah lantai, dengan kapasiti 29.6 kWh.

Ia menawarkan jarak gerak sejauh 245 km untuk sekali cas penuh (data WLTC), memadai untuk kegunaan penghantaran barang di dalam kawasan bandar.

 

4. Pengecasan pantas

Menariknya, N-VAN e: turut menyokong fungsi pengecasan pantas sehingga 50 kW, di mana bateri boleh dicas penuh dalam tempoh 30 minit sahaja.

Pengecasan AC 6.0 kW pula membolehkan bateri dicas penuh dalam tempoh 4.5 jam sahaja.

N-VAN e: turut mempunyai sistem pemanasan dan penyejukan bateri yang tersendiri bagi mengelakkan prestasi bateri merudum disebabkan perubahan suhu yang mendadak.

 

5. Sistem keselamatan

 

Untuk varian e: G dan e: L2, Honda melengkapkannya dengan ciri keselamatan seperti Sistem Brek Pengelakan Pelanggaran (CMBS), Sistem Stereng Pengelakan Pelanggaran Pejalan Kaki, Sistem Mitigasi Keluar Jalan (RDM), lampu suluhan tinggi automatik dan penderia parkir belakang.

Varian e: L4 dan e: FUN pula mendapat tambahan ciri seperti Kawalan Pendikit Mitigasi Pelanggaran depan dan belakang, Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Notifikasi Pergerakan Kenderaan Hadapan, Pengesanan Papan Tanda Trafik, serta penderia parkir hadapan.

 

6. Harga dari RM73 ribu

 

N-VAN e: akan dijual di pasaran Jepun bermula Oktober nanti, dengan harga jualan bermula dari JPY 2,439,800 (RM73,122) hingga JPY 2,919,400 (RM87,496) untuk varian e: FUN.

 

Khidmat Shinkansen “Doctor Yellow” dihentikan tahun 2027

Pengendali kereta api penumpang utama di Jepun, JR Central dan JR West mengumumkan khidmat kereta api pemeriksaan khusus “Doctor Yellow” akan ditamatkan secara berperingkat.

Menurut laporan NHK News, operasi Doctor Yellow JR Central akan berakhir pada Januari tahun depan, manakala Doctor Yellow yang dikendalikan oleh JR West akan ditamatkan perkhidmatannya sekitar tahun 2027.

Tiada sebarang model pengganti dirancang, memandangkan pihak Japan Railway mahu mengintegrasikan segala peralatan diagnosis keadaan landasan dan wayar dalam kereta api peluru baharu N700S bermula tahun 2027.

 

sumber: Japan Today

 

Doctor Yellow merupakan kereta api peluru terpantas yang beroperasi di dalam jaringan Shinkansen, dengan keupayaan bergerak selaju 443 km/j.

Sesuai dengan namanya, Doctor Yellow ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan dan diagnosis terhadap keadaan landasan kereta api dan pendawaian punca kuasa elektrik.

Dari segi rupa, Doctor Yellow memiliki binaan yang sama sahaja dengan kereta api peluru versi penumpang.

Namun, sebagai sebuah kereta api pemeriksaan khusus, Doktor Yellow mempunyai beberapa ciri yang unik, antaranya:

 

1. Warna badan kuning terang

Warna kuning digunakan supaya dapat membezakannya dengan kereta api penumpang Shinkansen yang lain.

Selain itu, warna kuning dipilih berbanding warna putih supaya ia lebih jelas kelihatan pada waktu malam.

 

2. Bilangan gerabak yang kurang

Doctor Yellow memiliki hanya tujuh unit gerabak sahaja, jauh lebih pendek berbanding kebanyakan tren Shinkansen sedia ada disebabkan tiada keperluan untuk membawa penumpang.

Namun begitu, setiap satu gerabak itu sarat dengan bermacam-macam kelengkapan pemantauan yang diperlukan sepanjang operasi pemeriksaan dijalankan.

 

 

Kebiasaannya, Doctor Yellow akan membawa sembilan orang kru, terdiri daripada 2 pemandu, tiga juruteknik landasan dan empat pekerja awam.

 

3. Jenis pemeriksaan yang dibuat

Biasanya, Doctor Yellow menjalankan dua jenis kaedah pemeriksaan, iaitu:

• Nozomi Inspection – bergerak atas landasan kelajuan tinggi yang sama digunakan oleh kereta api penumpang
• Kodama Inspection – menguji stesen-stesen di mana kereta api tidak melaluinya pada kelajuan tinggi

Namun sekiranya berlaku sebarang kejadian gempa bumi atau gegaran yang luar biasa pada landasan Shinkansen, tren Doktor Yellow akan segera digegaskan ke tempat kejadian untuk melakukan penilaian keselamatan.

 

4. Tiada jadual tetap

 

Tidak seperti operasi Shinkansen sedia ada, waktu operasi Doctor Yellow tidak didedahkan secara rasmi oleh pihak JR.

Namun begitu, Doctor Yellow kebiasaannya akan melakukan Nozomi Inspection tiga kali setiap bulan dari stesen Tokyo ke stesen Hakata di Fukuoka.

Bermakna dalam tempoh masa satu tahun, ia akan melakukan sebanyak 36 perjalanan pergi dan balik.

Kodama Inspection pula biasanya tidak sekerap Nozomi Inspection, hanya lapan perjalanan pergi dan balik dibuat setiap tahun.

Tren Doctor Yellow juga akan melakukan perjalanan ke fasiliti penyelenggaraan di Hamamatsu sekali dalam tempoh sembilan bulan.

Jadi, agak sukar untuk orang awam mengesan kelibat Doctor Yellow di atas landasan, sehinggakan ada orang percaya dapat melihat Doctor Yellow mampu membawa tuah yang baik.

 

Hayat Suzuki Swift Sport dilanjutkan sehingga 2025, tiada perancangan hasilkan pengganti

Pelaksanaan peraturan pelepasan emisi yang semakin ketat mungkin akan meletakkan paku terakhir pada keranda hot hatch mampu milik Suzuki Swift Sport.

Menurut laporan media Australia Drive, Suzuki buat masa ini masih lagi tiada perancangan jelas untuk menghasilkan Swift Sport berdasarkan model generasi baharu.

Ini bermakna, Suzuki Swift Sport generasi ketiga akan terus dijual bersama-sama dengan model Swift generasi keempat, di mana jangka hayat hot hatch itu akan bertahan sehingga akhir tahun 2025.

 

 

Pengurus Besar Suzuki Australia, Michael Pachota menjelaskan, pelan untuk menghasilkan Swift Sport masih lagi belum disahkan oleh ibu pejabat Suzuki di Jepun.

Ketika ditanya berkenaan kebarangkalian pembangunan Swift Sport di tengah-tengah pelaksanaan peraturan emisi yang ketat, beliau menjawab, “ia tertakluk kepada jenis emisi yang dihasilkan, dan/atau cara mencipta kuasa untuk sesebuah kereta diklasifikasikan sebagai kereta sports.”

Beliau menambah, ia akan menjadi satu perkara yang rumit untuk terus berkecimpung dalam wilayah hot hatch di pasaran Australia disebabkan oleh peraturan NVES (New Vehicle Efficiency Standard) yang akan menjadi semakin ketat setiap tahun bermula 2025.

 

 

Suzuki Swift Sport telah pun berada di pasaran sejak tahun 2017 lagi, dan telah dikemas kini pada tahun 2020 dengan pengenalan enjin 1.4 liter turbo hibrid ringan 48V yang mampu menjana kuasa setinggi 127 hp/235 Nm.

Sebagai perbandingan, Suzuki Swift Sport yang wujud di pasaran Malaysia masih lagi kekal dengan enjin 1.4 liter turbo dengan hamburan kuasa 140 hp dan 230 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Sekiranya Suzuki Swift Sport diberikan lampu hijau kelak, ia mungkin sekali akan menjadi salah satu hot hatch terakhir di dalam segmennya.

Hot hatch subkompak (segmen B) kini sudah menjadi satu perkara yang ‘rare‘ selepas beberapa pengeluar membuat keputusan untuk menghentikan model-model ikonik seperti Hyundai i20 N, Ford Fiesta ST, Peugeot 208 GTI dan Renault Clio RS.

 

 

Di pasaran Jepun, Suzuki Swift generasi baharu kini didatangkan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter (Z12E) VVT dengan hamburan kuasa 82 PS @ 5,700 rpm dan daya kilas 108 Nm @ 4,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan pilihan transmisi manual atau CVT, serta sistem hibrid ringkas ISG yang mampu menawarkan kadar penggunaan bahan api yang lebih jimat (serendah 3.94 liter untuk setiap 100 km).

Rekaan luaran Suzuki Swift generasi keempat telah diolah semula supaya mampu mengurangkan kesan rintangan udara sebanyak 4.6 peratus berbanding model terdahulu.

 

Yamaha NMax 2024 muncul di Indonesia, siap fungsi “Turbo”

Yamaha Indonesia baru-baru ini melancarkan skuter maxi NMax 2024 bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 yang bakal disambut pada bulan depan.

Skuter Yamaha NMax 2024 itu bukan sahaja membawakan pembaharuan dari segi rupa paras, spesifikasinya turut ditambah baik dengan pelbagai ciri standard yang biasanya wujud pada skuter bersesaran yang lebih besar.

Apa yang baru?

 

1. Enjin 155 cc dengan transmisi Y-ECVT

Usah salah sangka, Yamaha NMax 2024 sebenarnya masih lagi kekal dengan nadi silinder tunggal 155 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 15 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 14.2 Nm @ 6,500 rpm.

Cuma, untuk model baharu ini, enjin 155 cc Bluecore VVA itu kini dibekalkan dengan teknologi Y-ECVT (Yamaha Electric CVT) bagi menggantikan kotak gear CVT konvensional.

 

2. Ada teknologi “Turbo”

Walaupun bernama turbo, tapi NMax 2024 tidak didatangkan dengan unit turbo yang sebenar.

“Turbo” di sini merujuk kepada dua perkara.

Yang pertama, mod tunggangan di mana ada dua mod yang boleh dipilih iaitu T-Mode (Town Commuting) yang dikhaskan untuk tunggangan dalam bandar, atau S-Mode (Sport Touring) untuk tunggangan jarak jauh yang lebih responsif.

Yang kedua, ciri yang dikenali sebagai Y-Shift. Terdapat satu butang khas pada bahagian kiri bar hendal yang menawarkan tiga tahap pecutan, iaitu Low, Medium dan High, selain boleh digunakan untuk fungsi brek enjin terutama ketika menurun cerun atau melayan selekoh.

 

3. Ciri dipertingkatkan

Bergantung kepada varian, NMax 2024 mendapat ciri seperti sistem pencahayaan LED penuh, skrin paparan bertingkat Multi-Infotainmen Display dengan sokongan aplikasi Y-Connect dan navigasi Garmin, slot pengecasan peranti pintar USB-C, sistem kekunci pintar, serta sistem Start & Stop.

Varian yang lebih tinggi pula mendapat pelana Comfort Seat dengan balutan bahan khas dan jahitan berwarna emas.

Untuk semua varian, NMax 2024 menyediakan ruang barangan sebesar 25 liter di bawah pelana, serta tangki bahan api sebesar 7.1 liter.

 

4. Ciri keselamatan

Selain daripada penawaran mod tunggangan yang disebutkan tadi, Yamaha NMax 2024 juga datang dengan ciri keselamatan standard.

Seperti contoh, sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran, serta sistem kawalan cengkaman (TCS).

Penggunaan lampu LED depan dan belakang juga turut meningkatkan lagi tahap keselamatan penunggang terutama pada waktu malam.

 

5. Varian istimewa NMax Turbo Techmax Ultimate

Yamaha Indonesia turut melancarkan sebuah varian istimewa yang digelar sebagai NMax Turbo Techmax Ultimate.

Berbanding beberapa varian lain, varian khas ini mendapat tambahan ciri iaitu peredam prestasi (Performance Damper) bertujuan untuk tahap kestabilan dan pengendalian yang lebih baik.

 

6. Harga

Terdapat lima varian NMax 2024 yang boleh didapati di pasaran Indonesia, dengan harga jualan seperti berikut:

NMax Neo 2024 – Rp 32,700,000 (RM9,377)
NMax Neo S 2024 – Rp 33,700,000 (RM9,664)
NMax Turbo 2024 – Rp 37,750,000 (RM10,827)
NMax Turbo Techmax – Rp 43,250,000 (RM12,406)
NMax Turbo Techmax Ultimate – Rp 45,250,000 (RM12,981)

Akio Toyoda kongsi pengalaman terbabas dalam GR Yaris di fasiliti R&D Shimoyama

Tidak salah untuk penulis sifatkan Toyota sebagai sebuah syarikat automotif yang paling ‘cool‘ di atas muka bumi.

Jika dibandingkan dengan rakan pesaing, ia mempunyai barisan model kereta sports yang cukup menarik seperti GR Yaris, GR Corolla dan GR86, serta beberapa model yang sedang dibangunkan kelak.

Tidak cukup dengan itu, Toyota juga dipimpin oleh seorang insan yang tidak langsung takut untuk mengotorkan tangan memandu uji dan bergiat aktif dalam sukan perlumbaan, iaitu Akio Toyoda selaku pengerusinya.

 

 

Bulan April yang lalu, Akio Toyoda telah merasmikan pembukaan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Toyota Technical Center Shimoyama, Toyota City.

Dalam masa yang sama beliau turut berkongsi pengalaman pernah terbabit dalam satu insiden kemalangan di fasiliti tersebut.

Insiden kemalangan tersebut berlaku pada Disember 2023, di mana Akio Toyoda pada ketika itu memandu sebuah jentera rali GR Yaris bersama-sama juara rali Jepun sembilan kali, Norihiko Katsuta sebagai jurupandu arah.

 

 

Berdasarkan rakaman yang disiarkan, jentera yang dipandu Akio Toyoda itu terbalik dengan keempat-empat tayar menghala ke langit setelah terlanggar satu longgokan batu di salah sebuah selekoh laluan batu kerikil.

Mujur kedua-dua pemandu dan jurupandu arah terselamat tanpa sebarang kecederaan, dan mengambil kesempatan untuk menyampaikan sendiri kisah pengalaman tersebut semasa pembukaan pusat R&D tersebut.

 

 

Jentera rali GR Yaris yang terbabas itu turut sama dipamerkan dalam acara tersebut, di mana idea di sebalik keputusan ini adalah untuk memperlihatkan mantera yang Toyoda mahu semua pekerja di Shimoyama amalkan, iaitu “Pandu, Rosak, Baiki” (Drive, Break, Fix).

Ini adalah bertepatan dengan apa yang diungkapkan sendiri oleh Akio Toyoda yang menyifatkan pusat R&D baharu ini sebagai lokasi terbaik untuk memandu, merosakkan dan menambahbaik kereta yang sedang dibangunkan.

Pusat R&D Shimoyama ini turut mempunyai sebuah litar ujian yang diinspirasikan daripada Litar Nurburgring sepanjang 5.3 km serta rekaan ruang pit yang turut menepati tema litar Neraka Hijau yang terkenal itu.

 

Toyota Technical Center Shimoyama kini lengkap, fasiliti seakan Litar Nurburgring

VW Golf GTI kalis peluru ini mampu menahan serangan raifal AK-47

Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka ini ialah sebuah Volkswagen Golf GTI yang standard badak keluar dari kilang yang telah ditambah bar lampu mata arah dan liveri pasukan keselamatan.

Namun, disebalik rupa paras yang sopan itu, Golf GTI Mk8 ini sebenarnya telah menjalani ubah suai yang lebih mendalam dan menyeluruh untuk disesuaikan dengan tugasan pasukan tindakan pantas.

 

 

Dibangunkan oleh SVI Engineering dari Afrika Selatan, Golf GTI Armoured Rapid-Response ini telah dilengkapi dengan sistem perisai yang dapat bertahan di bawah serangan peluru raifal AK-47, terima kasih kepada pemasangan plet keluli 3.5 mm dan gelas balistik yang ringan.

Plet keluli berperisai gred tinggi itu digunakan pada beberapa tempat seperti pintu, tiang, bumbung serta bulkhead belakang kustom.

Terdapat juga perlindungan tambahan pada fender hadapan bagi melindungi enjin dan tidak ketinggalan bateri.

 

 

Hanya tingkap sebelah pemandu sahaja yang boleh dibuka, itu pun hanya boleh buka separuh manakala tiga tingkap kuasa yang lain terpaksa dikunci untuk tujuan keselamatan.

Penambahan perisai menyebabkan berat badan Golf GTI ini bertambah sebanyak 340 kg, bersamaan berat tiga orang dewasa.

Disebabkan itu, pecutan 0-100 km/j akan menjadi jauh lebih perlahan berbanding catatan standard enam saat pada model Golf GTI tanpa perisai.

 

 

Penambahan berat sebanyak 340 kg menjadikan berat keseluruhan hot hatch ini mencecah hampir 1,800 kg, jadi pihak SVI Engineering telah menala kembali aspek gantungan hot hatch ini.

Dengan perisai badan bergred B4+, Golf GTI ini mampu bertahan di bawah serangan peluru pistol dan raifal sehingga 7.62×39 mm, sementara gelas balistik yang disebutkan tadi mampu menahan empat tembakan daripada raifal AK-47.

Pakej naik taraf perisai untuk Golf GTI ini bernilai hampir $35,000 (RM165,218), tidak termasuk cukai dan kos untuk mendapatkan sebuah Golf GTI.

 

Apple CarPlay baharu tawar lebih banyak fungsi penyesuaian, ada opsyen meter analog!

Siapa yang ada memiliki peranti pintar Apple iPhone sudah pasti arif dengan sistem Apple CarPlay yang diintegrasikan dalam kebanyakan kenderaan masa kini – ringkas dan mudah untuk digunakan.

Generasi baharu Apple CarPlay telah pun diperlihatkan pada tahun 2022, di mana Apple merancang untuk mula menawarkannya secara rasmi pada tahun ini.

 

 

Berbanding sistem sedia ada yang dihadkan kepada skrin infohibur semata-mata, generasi baharu Apple CarPlay telah direka supaya dapat disesuaikan dan diintegrasikan untuk semua jenis kenderaan yang mempunyai jumlah skrin paparan melebihi dua unit.

Ini bermakna, selain daripada skrin tengah anda juga boleh menukar paparan skrin kluster digital dan skrin tambahan dengan antara muka CarPlay yang lebih moden dan seragam.

 

 

Generasi baharu CarPlay ini mempunyai satu ciri unik, ia menawarkan fungsi penyesuaian (customization) yang lebih meluas di mana pelbagai kandungan dinamik boleh disusun dan dipaparkan mengikut keperluan dan cita rasa.

Paling penting, anda boleh memilih untuk menggunakan pelbagai jenis rekaan grafik meter analog untuk dipaparkan pada skrin di belakang stereng bagi mengubat kerinduan terhadap ciri meter analog klasik yang kini diambang kepupusan.

Sistem terbaharu ini juga dikatakan mampu untuk menyokong pelbagai fungsi kenderaan termasuklah kawalan iklim, pilihan mod pemanduan, tetapan bantuan pemandu, kawalan kamera dan sebagainya, bergantung kepada bagaimana pengeluar menetapkan sistem tersebut untuk berfungsi.

 

 

Setakat ini, dua pengeluar sudah mengesahkan akan menawarkan sistem Apple CarPlay generasi baharu ini pada kenderaan mereka, iaitu Aston Martin dan Porsche.

Anda boleh mengetahui dengan lebih mendalam sistem terbaharu Apple CarPlay ini menerusi penerangan Pereka Antara Muka Manusia Apple CarPlay, Ben Crick pada pautan video YouTube dibawah:

 

Pengalaman Pandu Uji Proton S70 Flagship X Yang Kurang Memuaskan

Bila sebut pasal mana-mana kereta jenama Proton, ia akan menimbulkan sesi perdebatan yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi bila melibatkan barisan model yang ditukarkan lencananya daripada pasaran Tanah Besar China.

Cakaplah apa sahaja yang anda mahu, kerana hakikatnya inilah pendekatan yang sesuai untuk Proton masa kini.

Lihat sahaja betapa banyak kelibat model-model SUV Proton di atas jalan raya pada masa kini.

 

 

Kalau dulu boleh tahan bersepah model X70, kini tempat SUV popular tempatan telah digantikan dengan model Proton X50 yang lebih lincah dan sporti. Bagaimana dengan Proton X90? Mungkin tak ramai yang pakai, tapi masih ada.

Tapi cerita kali ini penulis tidak akan menyentuh soal SUV, akan tetapi lebih berminat untuk berbicara tentang model kereta terbaharu Proton.

Lebih tepat lagi, sedan Proton S70 yang baru sahaja dilancarkan pada penghujung tahun yang lepas.

 

 

Hendak bercerita tentang spesifikasi, rasanya semua sudah arif dan tahu yang Proton S70 ini dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS @ 5,500 rpm dan 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm.

Ia juga datang dengan kotak gear yang jauh lebih moden berbanding pesaing dalam segmen harga bawah RM100k, iaitu DCT tujuh nisbah kelajuan.

Selain itu, Proton S70 juga datang dengan rekaan sedan tiga kotak yang lebih tradisional, jauh lebih senonoh berbanding bentuk sedan yang digantikannya, iaitu Proton Preve dan adiknya Proton Persona.

Rekaan sisi sedan ini juga mengingatkan kita pada sebuah lagi sedan, iaitu Proton Waja (bak kata Amirul Hazmi).

 

Jika dibandingkan dengan model-model pesaing (tak kira segmen B atau C), Proton S70 boleh disifatkan sebagai sebuah sedan mampu milik yang menawarkan kelengkapan yang lebih menyeluruh dan premium.

Jadi, bagaimana pula dengan pengalaman pemanduan? Adakah ia mampu menjadi model Proton yang terbaik?

Adakah S70 ini satu model yang berbaloi jika mahu naiktaraf daripada sedan Proton sedia ada? Kami ada pendapat sebaliknya:

 

1. Sedan bertenaga, dengan kuasa yang sukar dikawal

Dalam banyak-banyak pesaing, Proton S70 datang dengan tetapan rangkaian kuasa yang agak unik – enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tatkala model lain hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT.

Canggih bermakna lebih baik?

Tidak juga. Walaupun S70 ini mampu menghasilkan kuasa pecutan yang agak baik di atas lebuh raya, lain pula ceritanya ketika ia mahu mula bergerak dari keadaan pegun.

 

Ini kerana ia mewarisi satu sifat malas bergerak yang hampir sama dengan abang besarnya Proton X70, walaupun kadar kemalasan itu kurang sedikit sahaja jika dibandingkan.

Lebih memburukkan keadaan, tayar hadapan Proton S70 ini ada kalanya gemar untuk berputar (buat aksi wheelspin) melebihi kadar cengkaman yang diperlukan sewaktu pedal pendikit ditekan agresif.

Ya, kedengaran cool bila dapat buat wheelspin depan orang ramai, tapi silap haribulan anda mungkin terpaksa mengira duit simpanan untuk melantak mee segera. Mungkin berpuasa lebih afdal.

 

2. Posisi pemanduan yang tidak selesa

Ini antara perkara yang membuatkan penulis bingung, kerana Proton sebelum ini sangat terkenal dengan penawaran tempat duduk yang selesa, jauh mengatasi keselesaan tempat duduk Perodua.

Tempat duduk hadapan balutan kulit palsu yang wujud pada S70 ini sukar menawarkan tahap keselesaan yang diperlukan, di mana kaki rasa agak tergantung bila ia diposisikan rendah. Keadaan ini lebih terasa sekiranya penulis terpaksa membuat perjalanan jarak jauh merentas negeri.

Acap kali juga penulis terpaksa mengubah kedudukan beberapa kali untuk mencapai posisi yang selesa dan ergonomik. Takkan la nak pandu sedan tapi posisi tempat duduk tinggi macam pandu SUV, kan?

Lebih aneh, penulis sebelum ini pernah duduk dalam varian Proton S70 yang dilengkapi dengan kerusi balutan fabrik, dan ia dirasakan jauh lebih selesa berbanding S70 Flagship X ini.

Untuk penumpang belakang, usah risau kerana tempat duduk baris kedua memang direka khas untuk anda menikmati keselesaan, dibantu dengan sistem pendingin hawa yang boleh tahan sejuk sepanjang masa.

 

3. Ciri shift-by-wire yang paling menyusahkan

Dalam dunia ini, terdapat pelbagai jenis sistem penukaran gear yang telah dicipta oleh pengeluar semata-mata untuk faktor cool di mata pengguna. Ada yang wujud dalam bentuk garis lurus, ada yang bengkang-bengkok, bersegi-segi dan ada yang mula menggunakan butang khas PRND.

Salah satu sistem yang menyusahkan pengguna sebenarnya wujud pada Proton S70.

Ciri penukaran gear shift-by-wire yang nampak ringkas ini memerlukan anda menarik dan menolak tuil gear berkali-kali untuk masuk ke dalam posisi gear yang diperlukan, dan ada kalanya ia langsung tidak masuk ke dalam posisi yang diinginkan.

Sistem yang rumit ini memang menyusahkan pemandu, terutama ketika sedang masuk parkir di kawasan yang sibuk waktu tengah hari, seperti contoh di kawasan sekitar Sunway Pyramid.

Bayangkan nak masuk petak parkir tapi tempoh masa yang diambil mengalahkan budak yang baru nak belajar memandu.

Lagi satu, sedan S70 ini langsung tiada paddle shifter! Jadi jika anda mahu menikmati penukaran gear secara manual pun kena tarik tolak tuil gear ke kiri atau ke kanan.

 

 

Ibarat abam Dominic Toretto acah tukar gear automatik Dodge Charger empat pintu dalam filem Fast Furious…

 

4. Kabin senyap, tapi luar bising macam trak pikap

Seperkara yang membuatkan Proton S70 ini terasa mahal dipandu ialah tahap kesenyapan kabin yang baik, walaupun ada kalanya diganggu dengan bunyi bising yang datang daripada golekan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 atas turapan jalan yang tidak berkualiti.

Bunyi bising angin yang datang dari arah luar tidak jelas kedengaran dari dalam kabin, malah bunyi bising enjin juga berjaya ditapis dengan baik bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan sepanjang pemanduan.

Setelah penat memandu, anda semestinya memerlukan masa untuk berehat.

Masa inilah anda boleh keluar dari kereta untuk menikmati bunyi enjin S70 melahu seakan bunyi trak pikap berenjin diesel. Orang sebelah pun mungkin terkejut bila mendengar S70 anda berperangai macam trak pikap.

 

5. Aspek pemanduan, bukan untuk mereka yang mahukan kepuasan

Usah salah sangka, penulis bukanlah bermaksud pemanduan Proton S70 ini langsung tidak sedap.

Berdasarkan pengalaman beberapa hari menguji, penulis juga amat suka dengan apa yang ditawarkan oleh S70.

Pertama, talaan respons stereng yang ringan dan mudah untuk dikawal, dan patuh pada setiap arahan pemandu, di mana maklum balas yang diterima agak baik.

Terdapat juga beberapa mod talaan termasuklah Comfort, Normal dan Sport untuk pemanduan yang lebih..err.. sporti!

 

Kedua, sistem suspensi yang telah diubah mengikut citarasa tempatan.

S70 secara standard datang dengan tetapan topang MacPherson di depan, dan torsion beam di belakang. Agak ringkas di situ. Menurut Proton, ia telah disesuaikan dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman, sistem gantungan S70 ini dirasakan mampu menyerap segala hentakan dan ketidakrataan jalan dengan baik, tanpa menghasilkan gegaran dan bunyi bising ketara yang mampu mengganggu kesejahteraan penumpang.

 

Ketiga, casis Proton S70 yang memang mantap dan terasa mahalnya di situ.

Semasa menikmati jalan-jalan lama, boleh dirasakan casis S70 ini menghasilkan olengan badan yang terkawal, tidak terlalu agresif sehingga menyebabkan pemandu terpaksa bersilat dengan stereng.

Ketiga-tiga aspek ini bekerja dengan harmoni bagi memastikan pemanduan yang lebih mengujakan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia, terutama di kawasan yang berselekoh.

Cuma, bagi jiwa-jiwa yang sensitif, aspek pemanduan dan pengendalian Proton S70 ini masih lagi belum cukup sifat seperti yang pernah ditawarkan pada model-model sedan Proton terdahulu (Waja, Preve, Persona).

Respons stereng bantuan elektrik tersebut dirasakan tidak cukup sensitif dan sporti (walaupun dalam mod Sport), dan had yang ditunjukkan oleh suspensi torsion beam belakang sewaktu kereta ini dibelasah di selekoh juga menyebabkan S70 ini rasa sedikit tidak sempurna.

 

Tapi untuk golongan kebanyakan, tetapan standard yang dibawakan pada Proton S70 ini rasa sudah pun memadai.

Cuma kalau ada bajet lebih, tukar sahaja tayar asal kepada tayar yang lebih berprestasi.

Tahukah anda, penulis tidak pernah menyukai pemanduan X70, tapi Proton sebenarnya berjaya menjadikan pemanduan SUV tersebut lebih dinamik dengan penggunaan tayar Continental UltraContact UC6.

 

6. Kokpit ringkas, dah macam Tesla Model 3

Antara perkara yang membuatkan pengalaman pemanduan penulis rasa tidak teruja ialah susun atur ruang kabin yang mengingatkan penulis pada EV Tesla Model 3.

Ya, jujur kami cakap, rekaan papan pemuka Proton S70 merupakan antara yang terkemas Proton pernah tawarkan kepada pengguna, dengan kehadiran butang fungsi yang agak minimum untuk penampilan yang minimalis.

Namun, terlalu ringkas mungkin akan menyusahkan pengguna di kemudian hari, terutama bagi mereka yang masih lagi rindukan butang kawalan fizikal.

 

Seperti contoh, untuk membuka bumbung kaca, anda perlu mencari fungsi tersebut di dalam skrin infohibur, memandangkan tiada langsung butang fungsi khas disediakan pada tempat yang sepatutnya.

Sistem arahan berbentuk suara ‘Hi Proton’ ada kalanya lambat untuk bertindak, mungkin sekali disebabkan oleh sistem terpaksa memahamkan loghat Nismilan yang tak sengaja dikeluarkan semasa bersuara.

Samalah juga halnya apabila pemandu mahu mengubah mod pemanduan, jari jemari terpaksa menari di skrin infohibur terlebih dahulu sebelum dapat mengubah mod yang diinginkan.

Jadi, kebanyakan masa penulis lebih gemar membiarkan mod pemanduan dikekalkan pada mod Comfort.

 

7. Skrin kluster digital, tapi masih lagi ada perangai X70

 

Ciri skrin kluster digital merupakan satu perkara yang normal untuk kereta-kereta baharu, di mana untuk S70 anda boleh mendapatkan ciri ini menerusi dua varian tertinggi, iaitu Flagship dan Flagship X.

Skrin ini membawakan antaramuka (UI) yang lebih ringkas, mudah untuk dibaca dengan dua mod paparan iaitu cerah atau gelap.

Biarpun jauh lebih ringkas berbanding skrin yang wujud pada X70, ia tetap mewarisi satu ciri yang biasa didapati pada kereta buatan China, iaitu masalah paparan info yang berterabur dan cenderung untuk membuatkan pemandu rasa serabut.

Selain itu, penulis mendapati tidak banyak penyesuaian yang boleh dibuat seperti memilih paparan meter kelajuan berbentuk analog, atau tema grafik yang mampu membuatkan pemandu rasa teruja.

Mujur juga skrin tersebut boleh ditetapkan mod paparannya mengikut masa, jadi untuk tidak menyakitkan mata pada waktu siang, ubah saja paparan kepada mod gelap yang lebih menyenangkan pemandangan.

 

Cukup sudah tujuh perkara yang kami kurang gemar, ini pula senarai lima perkara yang membuatkan S70 ini satu model yang berbaloi untuk anda miliki:

 

1. Kelengkapan keselamatan lebih menyeluruh untuk sebuah sedan Proton

Sejak bertahun-tahun lamanya penulis mengimpikan Proton untuk menaik taraf sedan Persona dan Saga dengan ciri keselamatan yang lebih maju.

Sayang sekali, impian tersebut sukar untuk direalisasikan walaupun sudah beberapa model facelift bertaraf lima bintang ASEAN NCAP itu dilancarkan.

Kekecewaan tersebut akhirnya terubat dengan kehadiran Proton S70 Flagship X, di mana secara standard ia didatangkan dengan bermacam-macam akronim yang boleh membuatkan lidah terbelit.

Paling penting, sedan S70 kini datang dengan ciri pengesanan titik buta yang diintegrasikan ke dalam fungsi Bantuan Penukaran Lorong (LCA) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Ciri lain termasuklah enam beg udara, Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Informasi Papan Tanda Trafik (TSI), Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IIHBC) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) membuatkan S70 ini satu model yang agak berbaloi untuk dipertimbangkan.

 

2. Sistem kamera keliling yang jelas, terang dan nyata

 

Terlupa pula, skrin infohibur sebesar 12.3 inci itu sebenarnya masih lagi tidak menawarkan sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Nak bising lebih-lebih pun, memang Proton takkan buat untuk barisan model sedia ada. Tunggu sahaja kehadiran model baharu yang akan muncul kelak.

Cuma, penulis agak suka dengan tahap ketajaman grafik paparan yang wujud, ditambah pula dengan menu yang ringkas dan intuitif.

Walaupun ada kalanya rasa jengkel untuk tangan menari seketika pada skrin, sistem menu yang wujud pada skrin infohibur Proton S70 ini sebenarnya amat mudah untuk digunakan.

Selain itu, S70 juga datang dengan sistem kamera 360 darjah dengan paparan yang cukup jelas dan tajam, mengalahkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

3. Sedan Proton yang paling jimat minyak?

Berdasarkan pengalaman memandu mana-mana sedan Proton (termasuklah sedan milik sendiri) sebelum ini, agak sukar untuk penulis mendapatkan satu bacaan yang positif.

Ini kerana Proton amat sinonim dengan barisan kereta yang sedap dipandu, akan tetapi pelahap bahan api. Sebut sahaja apa jua versi enjin empat silinder yang pernah Proton lancarkan sebelum ini.

Rata-rata model kereta Proton yang pernah penulis pandu uji sebelum ini sukar untuk melepasi angka 400 km untuk setangki minyak penuh, walaupun penulis sehabis baik memaksa kaki kanan untuk menjadi ringan semasa pemanduan.

Tapi dengan S70, penulis agak teruja kerana setangki penuh bahan api berkapasiti 50 liter itu membolehkan pemanduan melebihi 600 km berjaya dibuat tanpa perlu singgah stesen minyak dengan kerap.

Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 8.5 liter untuk setiap 100 km. Jadi, jimat ke tak jimat?

 

4. Tidak kedekut ruang

 

Secara asasnya, Proton S70 merupakan sebuah sedan yang dibina atas pelantar segmen B, namun dengan dimensi yang mampu menyaingi sedan dalam segmen C yang lebih besar.

Ukuran panjang kali lebar kali tinggi memang jauh mengatasi mana-mana model sedan dalam segmen B (Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera), malah dengan ruang kabin memang jauh lebih besar, luas dan selesa berbanding Proton Persona segmen B dan Persona segmen C.

Selain itu, Proton S70 mampu menawarkan ruang kargo yang jauh lebih praktikal di mana sehingga 500 liter muatan boleh diisi pada ruang but belakang.

Tidak cukup dengan itu, anda boleh mendapatkan ruang barangan ekstra untuk meletakkan peranti pintar atau barangan lain pada ruang bawah konsol tengah, terima kasih kepada penggunaan sistem shift-by-wire yang menyusahkan.

 

5. Harga jualan yang memang berbaloi-baloi

Proton S70 varian Flagship X yang kami pandu uji ini dijual pada harga bermula dari RM94,800 sahaja, di mana anda akan mendapat kelengkapan tambahan seperti bumbung suria dan alat perakam video digital (DVR) tunggal.

Jelas sekali di penghujung hari, Proton S70 Flagship X ini merupakan satu pembelian yang sangat berbaloi jika anda merasakan kereta-kereta segmen B pada julat harga tersebut tidak cukup premium, atau harga sedan segmen C Jepun yang masih lagi di luar kemampuan.

Namun jika anda langsung tidak mementingkan elemen moden, kemewahan dan keselamatan canggih yang wujud pada varian Flagship X, masih wujud varian asas Executive dengan harga bermula dari RM73,800.

Bagi penulis, varian standard ini sudah lebih daripada mencukupi di mana ia masih lagi didatangkan dengan lampu halogen, lampu DRL LED, rim 16 inci, kelengkapan keselamatan ADAS asas (RCW, LCA, DOW, & RCTA).

Paling penting, varian asas ini juga dirasakan lebih selesa untuk pemandu dengan kehadiran tempat duduk balutan fabrik yang lebih menyokong postur pemandu dan paling penting, paparan meter analog tradisional!

Kejap, ini ulasan S70 Flagship X atau S70 Executive?

 

Spesifikasi ringkas Proton S70 2024

Enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa 150 PS @ 5,500 rpm
Daya kilas 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm
Kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan
Sistem pacuan roda depan
Suspensi topang MacPherson hadapan/torsion beam belakang
Ruang kargo 500 liter
Tangki bahan api 50 liter
Harga RM94,800

 

Lotus Emeya pecah rekod pengecasan DC terpantas, 10-80 peratus dalam 14 minit

Diumumkan secara rasmi pada tahun lepas, Lotus Emeya merupakan sebuah hyper-GT berkuasa elektrik sebagai pencabar ampuh kepada sedan elektrik pantas seperti Tesla Model S, Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT.

Dengan motor elektrik berkembar berkuasa 905 hp/984 Nm, Emeya mampu memecut sepantas 2.8 saat dari 0-100 km/j.

 

 

Tahukah anda, Emeya bukan sahaja pantas memecut, hyper-GT itu juga sebenarnya mampu menawarkan kadar pengecasan DC terpantas?

Berdasarkan ujian yang dibuat oleh firma perundingan global P3 Group, Lotus Emeya memecahkan rekod terpantas pengecasan 10 hingga 80 peratus pek bateri dalam masa 14 minit sahaja apabila menggunakan pengecas DC 400 kW.

Ia merupakan satu angka yang cukup impresif, di mana Lotus Emeya berjaya mengalahkan model-model EV terkemuka seperti Mercedes-Benz EQS, BMW i7, Tesla Model Y, Genesis G80, Xpeng G9, Kia EV9, Hyundai Ioniq 6, Nio ET5 dan BYD Atto 3.

 

 

Laporan P3 Group itu turut mendapati Emeya mampu mencapai kuasa pengecasan puncak 402 kW, dengan kuasa pengecasan purata sekitar 331 kW sepanjang tempoh pengecasan 10 hingga 80 peratus itu.

Digandingkan dengan kadar penggunaan tenaga 18.7 kWh/100 km, Lotus Emeya mampu menawarkan jarak gerak 310 km selepas sesi pengecasan selama 10 minit – tempoh masa yang hampir sama diambil oleh sebuah kereta untuk membuat pengisian bahan api petrol di stesen minyak.

Menurut Lotus, Emeya menggunakan struktur bateri cell-to-back, di mana ia mengandungi kandungan sel 20 peratus lebih banyak yang boleh dimuatkan dalam ruang yang sama berbanding senibina modul standard.

 

 

Secara standard, pek bateri 102 kWh yang dibekalkan pada Emeya membolehkan sedan tersebut bergerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

Sama seperti Eletre, Lotus Emeya turut menampilkan sistem aerodinamik aktif untuk mengurangkan kesan seretan dan dalam masa yang sama bertindak sebagai sistem penyejuk untuk bateri dan brek.

 

Masalah perisian, 71,956 unit Volvo EX30 dipanggil semula beberapa hari selepas produksi EX90 bermula

Beberapa hari yang lepas, Volvo baharu sahaja memulakan produksi SUV elektrik Volvo EX90 di kilang Charleston, South Carolina.

Produksi SUV elektrik yang paling besar dalam keluarga Volvo itu berdepan isu kelewatan disebabkan oleh masalah berkaitan perisian yang cuba diselesaikan oleh Volvo setelah dua tahun diperkenalkan di peringkat global.

 

 

Ironinya, masalah yang sama kini menjejaskan lebih 70,000 unit SUV elektrik bersaiz paling kecil syarikat itu, Volvo EX30.

Menurut laporan Bloomberg, sebanyak 71,956 unit Volvo EX30 telah dipanggil semula untuk menyelesaikan masalah berkaitan perisian.

 

 

Difahamkan, terdapat kewujudan pepijat komputer yang mengakibatkan paparan meter kelajuan digital pada skrin infohibur tengah 12.3 inci  bertukar kepada mod ‘ujian’ apabila kereta dihidupkan.

Mujur masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah menerusi kemaskini over-the-air yang tidak memerlukan pemilik membawa kereta mereka ke pusat pengedar untuk diperiksa.

 

 

Volvo EX30 secara standard dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 268 hp/343 Nm, dengan pek bateri 49 kWh (jarak pemanduan 322 km) atau pek bateri 64 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 443 km.

Versi dua motor elektrik pula menawarkan sistem pacuan semua roda, dengan kuasa setinggi 422 hp/543 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan jarak gerak sejauh 426 km.

Di Eropah, Volvo EX30 merupakan EV nombor tiga paling laris terjual di belakang Tesla Model Y dan Tesla Model 3.

 

Nissan tidak sehaluan dengan rakan pengeluar Jepun lain, henti bangunkan enjin ICE

Minggu lalu, Toyota telah mengumumkan kerjasama dengan dua lagi rakan pengeluar iaitu Subaru dan Mazda untuk menubuhkan satu pakatan baharu bagi membangunkan enijn pembakaran dalaman (ICE) generasi baharu.

Setiap pengeluar masing-masing akan bertanggungjawab membangunkan enjin tersendiri, seperti contoh Toyota dengan enjin inline-4, Subaru dengan enjin boxer manakala Mazda dengan nadi rotari.

Hasrat untuk memperkasakan peranan ICE demi mencapai neutraliti karbon nampaknya tidak dikongsi oleh Nissan, di mana pengeluar itu membuat keputusan untuk berhenti melabur membangunkan enjin pembakaran dalaman baharu.

 

 

Dalam satu temubual bersama penerbitan Drive AU, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Perancangan bagi wilayah Afrika, Timur Tengah, India, Eropah dan Oceania (AMIEO), Francois Bailly mendedahkan, “Masa depan kami ialah EV. Kami tidak akan melabur untuk menghasilkan enjin ICE baharu, itu sudah pasti.”

Beliau menambah, peralihan daripada kenderaan berenjin konvensional kepada model elektrik penuh akan dilakukan menerusi teknologi e-Power.

“(Rangkaian kuasa) e-Power merupakan batu loncatan untuk mencapai ke arah itu, dan setiap pasaran akan bergerak mengikut rentak masing-masing.”

 

 

Teknologi e-Power Nissan merupakan sebuah sistem hibrid di mana enjin ICE tidak digunakan untuk menggerakkan roda secara terus.

Sebaliknya, ia digunakan sebagai unit penjana kuasa untuk motor elektrik dan mengecas pek bateri, sama seperti apa yang diperlihatkan oleh Mazda menerusi model MX-30 e-Skyactiv R-EV.

Lamborghini dedah enjin V8 turbo berkembar, jana 789 hp untuk pengganti Huracan V10

Bulan lepas, Lamborghini telah mengumumkan kehadiran model supercar baharu bagi menggantikan Huracan V10 yang akan ditamatkan produksinya kelak.

Buat masa ini, tiada sebarang perincian berkenaan model baharu yang diberikan kod nama ‘634’ itu.

 

 

Namun, apa yang pasti Lamborghini bakal menawarkan supercar pengganti Huracan itu dengan nadi serba baharu – enjin bentangan V8 turbo berkembar.

Nadi baharu itu merupakan sebuah enjin V8 flat-plane – pertama untuk sebuah Lamborghini – dalam konfigurasi “hot-vee” di mana unit pengecas turbo diposisikan antara bank silinder.

 

 

 

Nadi baharu bentangan V8 itu bersesaran 4.0 liter dengan output maksimum sekitar 789 hp @ 9,000-9,750 rpm, dan daya kilas 729 Nm @ 4,000-7,000 rpm.

Ia juga mempunyai garis merah putaran enjin setinggi 10,000 rpm!

 

 

Untuk membolehkan enjin beroperasi pada rpm yang tinggi, para jurutera Lamborghini menghasilkan beberapa komponen istimewa yang ringan, seperti rod penyambung titanium, serta sistem valvetrain ‘finger follower‘ yang biasanya digunakan dalam enjin perlumbaan.

Enjin baharu ini akan digandingkan dengan motor elektrik axial-flux berkuasa 147 hp dan 300 Nm, transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan, serta dua lagi motor elektrik tambahan yang mungkin akan diletakkan pada gandar hadapan – sama macam Revuelto.

 

 

Menurut laporan, supercar hibrid Lamborghini 634 akan dilancarkan secara rasmi pada tahun ini, di mana lebih banyak info dan perincian bakal diketahui kelak.

Harga diesel tanpa subsidi RM3.35 per liter mulai tengah malam ini (10 Jun)

Kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 per liter bermula 12.00 tengah malam nanti (10 Jun 2024).

Menurut Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga baharu itu akan berkuatkuasa di semua stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada harga RM2.15/liter.

Menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor-sektor yang layak seperti berikut:
• Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 menggunakan kaedah fleed card bagi kenderaan logistik, ditetapkan pada harga RM2.15/liter
• Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat termasuklah bas sekolah, bas ekspres, ambulans, dan bomba pada harga RM1.88/liter
• Diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65/liter

Penyasaran subsidi diperkenalkan dalam bentuk bantuan tunai melalui inisiatif berikut:
• Bantuan tunai BUDI Individu sebanyak RM200/bulan bagi warganegara yang memiliki kenderaan diesel persendirian
• Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi RM200/bulan bagi petani kecil dan pekebun kecil komoditi

Difahamkan, kumpulan pertama sebanyak lebih 30,000 penerima bakal memanfaatkan bantuan BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi bermula esok (10 Jun 2024).

 

Proton Waja pernah jadi teksi di Iran 17 tahun lepas

Siapa yang tidak kenal dengan sedan Proton Waja?

Ia merupakan antara produk ‘asli’ terawal yang lahir dari Proton pada tahun 2000 dengan membawakan rekaan yang lebih segar dan lari daripada pengaruh Mitsubishi.

 

 

Tempoh pembangunan sedan ini hanya memakan masa tiga tahun, di mana rekaan luaran Waja dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan sementara platform casis pula masih lagi berkongsi teknologi daripada Mitsubishi.

Disebabkan itu, model-model terawal Proton Waja menggunakan nadi 4G18 1.6 liter yang disumberkan daripada Mitsubishi, diikuti penawaran enjin 1.8 liter Renault, nadi Campro standard 1.6 liter serta nadi CPS daripada Proton.

 

 

Tidak ketinggalan, terdapat versi Waja Chancellor dengan jarak antara roda yang lebih panjang, serta dipadankan dengan enjin 2.0 liter bentangan V6 6A12 yang sama digunakan oleh Perdana V6.

Pada zaman kegemilangannya, Proton Waja mendapat pujian kerana pengendalian yang baik, terima kasih kepada talaan Lotus Ride & Handling yang menjadi identiti kereta-kereta Proton pada masa itu.

Tidak dilupakan, masalah tingkap kuasa yang kini masih lagi menghantui kereta-kereta Proton walaupun kita sudah pun menapak dalam era 2020-an.

 

 

Sepanjang tempoh jualan antara tahun 2000 hingga 2012, Proton Waja telah berjaya dijual sebanyak 292,556 unit.

Selain dijual di pasaran Malaysia, Proton Waja turut dieskport ke beberapa pasaran luar negara, seperti Australia (menggunakan nama Proton GX), United Kingdom (Proton Impian), Indonesia, Iran dan Pakistan.

 

 

Tahukah anda, Proton Waja pernah digunakan sebagai teksi rasmi di Iran?

Pada tahun 2007, Proton telah mengeksport kira-kira 5,000 unit Proton Waja untuk dijadikan sebagai teksi di Iran menerusi kumpulan Zagross Khodro.

Sumber: Instagram Malaysia Cars Overseas

Menggunakan nama Proton Impian, kesemua 5,000 unit Waja itu dilayangkan dengan warna hijau khas di kilang Proton Shah Alam sebelum dieksport.

Menurut rakan media Motoqar, pada ketika itu kerajaan Iran sedang dalam usaha untuk memperbaharui barisan teksi di Tehran, di mana terdapat 70,000 unit teksi yang sudah terlalu berusia dan ketinggalan zaman.