EV Honda bakal tampilkan bunyi enjin kereta ikonik S2000, NSX, serta HondaJet!
Pemanduan sesebuah kenderaan elektrik (EV) yang terlalu senyap dan lancar tanpa sebarang gegaran mekanikal itu mungkin tidak sesuai untuk semua orang, lebih-lebih lagi mereka yang berjiwa olskool.
Jadi, Honda mahu memastikan model EV mereka akan datang mempunyai ciri dan pengalaman pemanduan yang unik.
Bertempat di 0 Tech Meeting 2024 yang berlangsung baru-baru ini, Honda memperlihatkan konsep pemanduan bersimulasi yang mampu meniru karakteristik model-model ikonik berprestasi tinggi jenama itu.
Antaranya ialah generasi pertama Honda NSX, hot hatch Civic Type R, roadster S2000, jentera F1, Honda CRX serta tidak ketinggalan jet peribadi HondaJet!
Selain memaparkan panel meter mengikut tema jentera yang dipilih, sistem Honda e Digital UX Concept ini boleh mensimulasikan not enjin model-model yang disebutkan tadi.
Peminat deruman enjin VTEC yang nyaring pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba ciri ini apabila ia ditawarkan kelak.
Honda juga akan menggunakan sistem gegaran dalam kabin untuk menghasilkan pengalaman pemanduan seakan kereta berenjin pembakaran dalaman.
Menurut laman The Drive, selain daripada paparan tema meter panel dan runut bunyi enjin, Honda juga sedang bereksperimen untuk menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh, termasuklah memperkenalkan talaan yang berbeza pada roda stereng, pemetaan pedal pendikit serta ketinggian sistem suspensi.
Tidak ketinggalan, ciri penukaran gear bersimulasi menggunakan paddle shifter seperti yang telah wujud pada model Hyundai Ioniq 5 N.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.