GR GT Cup Asia 2024: Taj Aiman muncul juara, wakili Asia ke peringkat global Disember ini


Pusingan akhir Toyota Gazoo Racing (GR) GT Cup Asia 2024 melabuhkan tirainya pada hujung minggu yang lepas, menyaksikan Taj Izrin Aiman muncul juara mengalahkan 14 peserta yang lain dari lima negara Asean.
Dengan jumlah pungutan mata 65 poin, Taj Aiman dinobatkan sebagai juara individu GR GT Cup Asia 2024 membawa pulang hadiah tunai US$8,000, diikuti Andika Rama dari Indonesia selaku juara kategori individu tahun 2023 dengan jumlah 57 poin dan hadiah US$4,500.
Rakan seperjuangannya Moreno Pratama menduduki tempat ketiga podium dengan 48 poin dan hadiah wang tunai US$3,000.
Ini bermakna, Taj Aiman dan Andika Rama akan mewakili Asia ke GR GT Global Finals pada 6 Disember ini di Amsterdam.
Sebanyak tiga perlumbaan disediakan, bermula dengan aksi jentera GR Yaris di litar rali Sardegna Windmills, diikuti GR Corolla Morizo Edition dalam litar Nurburgring GP yang basah, dan akhir sekali jentera GR010 Hybrid di Fuji International Speedway.
“Saya benar-benar kehilangan kata-kata. Walaupun berdepan dengan kesukaran teknikal dan tidak mampu menghabiskan perlumbaan tahun lepas, saya amat berbangga dengan dedikasi dan latihan yang membuahkan hasil,” ujar Taj Aiman.
“Saya amat teruja untuk meneruskan latihan dengan Andika Rama sebagai persiapan untuk ke Global Cup di Amsterdam.”
Andika Rama yang mewakili Asia untuk kali kedua tahun ini menambah, “saya amat berbesar hati untuk mewakili Asia sekali lagi tahun ini. Bertanding dengan Taj Aiman merupakan satu cabaran yang luar biasa.
“Saya memaksa diri, namun konsistensi dan strategi Aiman dalam ketiga-tiga perlumbaan sukar untuk diatasi. Saya teruja mempunyai Aiman sebagai rakan sepasukan ketika kami membuat persiapan untuk ke pusingan akhir, dan tidak sabar untuk membanggakan nama Asia.
Tiga anugerah khas turut diberikan sebagai pengiktirafan kepada prestasi luar biasa peserta seperti berikut:
• Driver of the Day – Taj Izrin Aiman (MY)
• Best Racecraft Driver – Russel Reyes (PH)
• Fastest Race Pace – Andika Rama (ID)
GR GT Cup Asia 2024 turut mengalu-alukan Razer Inc. sebagai rakan rasmi yang menaja set kepala Razer BlackShark V2 X yang mampu memastikan komunikasi yang lancar, jelas dan selesa antara pelumba.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.