Toyota percaya majoriti pembeli akan pilih GR Corolla 2025 manual


Untuk mereka yang terlepas kapal, Toyota sebelum ini mengemaskini penawaran model hot hatch GR Corolla 2025 dengan menambah pilihan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan sebagai alternatif kepada model bertransmisi manual.
Trend peralihan kepada model automatik yang biasa kita lihat sebelum ini nampaknya sukar untuk menjangkiti para peminat GR Corolla.
Menurut laporan CarBuzz, Toyota menjangkakan 80 peratus pembeli akan memilih model GR Corolla manual, manakala selebihnya akan membeli model yang dilengkapi Direct Automatic Transmission (DAT).
Ini membuktikan pembeli GR Corolla merupakan golongan peminat yang masih mendambakan pengalaman pemanduan setulen mungkin.
Ada sedikit perbezaan antara transmisi auto yang wujud pada GR Corolla berbanding model GR Supra dan GR86.
Menurut Toyota, kotak gear GR Corolla akan menggunakan input daripada pedal brek dan pendikit untuk mengira masa optimum untuk membuat penukaran gear.
GR Corolla versi auto juga kini didatangkan dengan fungsi launch control yang tidak tersedia pada model manual.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.