fbpx

Zeekr 009: Perbandingan dengan 4 model MPV premium popular di Malaysia

ZEEKR 009 2024 (1)

Zeekr Malaysia baru-baru ini mengumumkan kemunculan model MPV premium yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Zeekr 009.

Ia bakal memberikan saingan sengit kepada segmen MPV premium, terutama sekali model kembar Alphard/Vellfire yang sangat terkenal di kalangan rakyat Malaysia.

Untuk artikel kali ini kami akan kongsikan perbezaan spesifikasi antara model Zeekr 009 bila dibandingkan dengan MPV premium seperti Alphard/Vellfire, Lexus LM dan Kia Carnival.

 

Dimensi

Majoriti model yang kami sebutkan tadi mempunyai dimensi melebihi 5 meter.

Bermula dengan Alphard/Vellfire, ia membawakan ukuran sepanjang 5,010 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,950 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Sebuah lagi kembar, Lexus LM membawakan dimensi yang lebih panjang (5,125 mm), lebih lebar (1,890 mm) namun dengan jarak antara roda yang sama panjang.

Kia Carnival pula menampilkan ukuran dimensi yang jauh lebih besar, sepanjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, jarak antara roda 3,090 mm namun lebih rendah (1,740 mm).

Yang paling besar? Sudah tentu Zeekr 009.

Dengan dimensi sepanjang 5,209 mm, ia juga lebih lebar (2,024 mm) dengan jarak antara roda yang lebih panjang (3,205 mm). Ketinggian pula sekitar 1,848 mm, bermakna ia sedikit rendah berbanding Alphard/Vellfire.

 

Enjin

Ini merupakan satu perbandingan yang cukup menarik, memandangkan kelima-lima model MPV premium ini dilengkapi dengan nadi penggerak yang berbeza.

Yang paling lemah kuasanya sudah tentu Toyota Vellfire dengan enjin 2.5 liter NA berkuasa 180 hp dan 235 Nm.

Toyota Alphard pula hadir dengan enjin 2.4 liter turbo berkuasa 274 hp dan 430 Nm, sementara Lexus LM hadir dengan enjin berkapasiti serupa namun dengan tetapan hibrid, kuasa keseluruhan mencecah 371 hp dan 550 Nm.

Kia Carnival hadir dengan enjin diesel 2.2 liter turbo yang telah ditawarkan sejak sekian lama, menghasilkan 199 hp dan 440 Nm.

Sementara Zeekr 009 pula merupakan sebuah EV dengan dua motor elektrik berkuasa 603 hp dan 693 Nm, sistem pacuan semua roda, serta pek bateri 116 kWh dengan jarak gerak sejauh 582 km (data WLTP).

Disebabkan motor elektrik yang cukup berkuasa, MPV ini mampu memecut sepantas 4.5 saat dari 0-100 km/j. Sesuai sangat digunakan untuk mengangkut para VIP yang sukar menepati masa di Malaysia.

 

Harga

Salah satu aspek yang dipertimbangkan oleh golongan pembeli (baca: baik beli) di Malaysia ialah harga jualan.

Yang paling murah dalam senarai ini sudah pasti Kia Carnival, di mana varian paling asas boleh didapati dengan harga jualan serendah RM198,500 sahaja. Carnival yang paling mahal mempunyai tanda harga RM259,888.

Beralih kepada trio Toyota/Lexus.

Yang paling murah antara ketiga-tiga model tersebut ialah Toyota Vellfire dengan harga jualan paling rendah, sekitar RM438,000.

Toyota Alphard pula sedikit mahal, berharga RM538,000 sementara Lexus LM yang jauh lebih premium pula boleh didapati dari RM1,228,000 hingga RM1,468,000!

Zeekr 009 pula nampaknya lebih selesa duduk di tengah-tengah, dengan harga jualan anggaran bawah RM370,000. Harga jualan sebenar hanya bakal diketahui selepas ia rasmi dilancarkan kelak.

Baik beli?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved