Proton X70 2025 jelas lebih baik berbanding sebelum ini – Pandu Uji Ringkas
Ia bukanlah model bread and butter seperti Saga tetapi X70 akan selamanya dikenang sebagai model yang memainkan peranan terbesar dalam transformasi Proton.
Seperti yang anda tahu, X70 merupakan model pertama yang ‘dilahirkan’ menerusi kerjasama antara Proton dan Geely yang terjalin pada 2017.
Selain itu, ia juga bertanggungjawab membawa Proton meneroka segmen pasaran SUV yang sangat mencabar. Jadi penulis boleh katakan yang X70 sememangnya mempunyai tempat dalam lipatan sejarah pengeluar kenderaan nasional itu.
Dalam sedar tak sedar, sudah enam tahun X70 berada dalam pasaran Malaysia dan dalam tempoh itu, SUV segmen C itu pernah dikemas kini sekali iaitu pada 2022, di mana ia mendapat enjin tiga silinder X50 dan beberapa ciri baharu lain.
Kini, setelah hampir dua tahun berlalu, X70 sekali lagi diberikan penambahbaikan namun kali ini, perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh kerana turut melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.
Secara ringkasnya, X70 versi facelift ini tampil dengan ‘wajah’ yang diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu. Rupanya sudah dua tahun berlalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di mata.
Dengan lampu LED yang lebih tajam dan langsing, ditemani dengan gril lebih lebar yang dihiasi krom pin ala Mercedes-Benz, X70 kini kelihatan jauh lebih tampan berbanding sebelum ini.
Pendek kata, anda tidak akan mempunyai sebarang masalah mengenal pasti model facelift ini di jalan raya. Namun ia mungkin sedikit sukar jika anda melihatnya dari belakang kerana selain bamparnya yang diubah sedikit, bahagian belakang X70 baharu tidak banyak berubah.
Ruang dalaman turut diberikan penampilan lebih segar. Perkara pertama yang anda akan perasan adalah upholsteri kulit Nappa berwarna kelabu Stone Grey pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan.
Ia tidak semewah warna coklat sebelum ini namun sekurang-kurangnya penggunaan warna lebih cerah membuatkan ruang kabin terasa seolah-olah lebih luas.
Selain itu, terdapat juga pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang boleh berubah mengikut rentak muzik yang dimainkan. Cuma sayangnya, X70 kini tidak lagi menggunakan sistem audio Kenwood sembilan pembesar suara.
Perubahan paling besar bagi penulis adalah ketibaan sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, menjadikan X70 kereta Proton pertama yang mempunyai sistem berkenaan.
Walau bagaimanapun, ciri ini masih belum tersedia atas sebab-sebab tertentu. Proton berkata ia akan dimasukkan ke dalam skrin sentuh 12.3 inci menerusi kemas kini atas udara (OTA) kelak.
Sebenarnya banyak penambahbaikan lain yang diterapkan ke dalam model facelift ini. Menurut Proton, SUV ini mempunyai 360 bahagian baharu, manakala proses R&D pula mengambil masa 290,000 jam.
Penulis rasanya inilah sebabnya kenapa syarikat itu mengadakan sesi pandu uji media di Kota Kinabalu. Kepelbagaian bentuk muka bumi dan keadaan jalan raya yang kononnya tidak sebaik di Semenanjung menjadikan KK ‘lapangan’ terbaik untuk menguji prestasi keseluruhan X70.
Pertama sekali, penulis boleh mengatakan dengan yakin yang X70 adalah sebuah SUV yang selesa. Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.
Pengendaliannya juga dirasakan lebih responsif berbanding sebelum ini tetapi agak mengecewakan kerana stereng masih agak ringan bagi penulis. Menukar mod EPS dari Comfort kepada Sport juga tidak memberikan sebarang perubahan ketara dari segi rasa.
Namun penulis agak berpuas hati dengan aspek NVH. Bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang dengan baik.
Mereka yang mengharapkan kuasa lebih tinggi akan kecewa kerana enjin TGDI 1.5-liter tiga silinder itu masih menghasilkan kuasa yang sama iaitu 177 PS pada 5,500 rpm dan 255 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm.
Namun ini tidak bermakna enjin itu tidak disentuh langsung. Menurut Proton, ia telah menambahbaik beberapa aspek seperti kecekapan pembakaran, pengurusan termal dan pengurangan geseran.
Hasilnya, enjin itu mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api 4% lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu 7.3 liter/100 km. 4% adalah angka yang sangat kecil tetapi lebih baik daripada tak ada langsung kan?
Dari segi kuasa, X70 membuktikan yang ia tidak ada masalah memecut dan memotong kenderaan lain walaupun sedang mendaki bukit dengan empat orang penumpagn dewasa.
Masih tiada paddle shifter, jadi untuk menukar gear secara manual, anda perlu menggunakan tuil cuma anda perlu membiasakan diri menggerakkan tuil ke kiri dan ke kanan dan bukannya ke atas dan ke bawah seperti kebanyakan kereta lain.
Bagi penulis, X70 jauh dari sempurna namun rekaan lebih menonjol, serta pelbagai ciri baharu yang dibawakan menerusi kemas kini terbaru ini menjadikannya satu penawaran yang lebih baik dalam segmen yang sengit.
Spesifikasi Proton X70 2025
Harga: RM98,800-RM126,800
Enjin: TGDI 1.5-liter, tiga silinder
Kotak gear: Automatik tujuh kelajuan
Kuasa: 177 PS @ 5,500 rpm
Tork: 255 Nm @ 1,500-4,000 rpm
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.
7i5b2i