Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Hodaka Motoworld lancar koleksi jaket tunggangan terbaharu daripada jenama Komine

Bertempat di Malaysia Bike Show 2026, Hodaka Motoworld Sdn Bhd secara rasmi melancarkan koleksi musim bunga dan panas (2026SS) daripada jenama Komine.

Koleksi 2026SS ini menampilkan penggunaan bahan telap udara yang direka untuk memberikan keselesaan maksimum, sesuai untuk keadaan iklim di Malaysia.

Koleksi musim bunga & panas

Antara produk yang dilancarkan baru-baru ini termasuklah:

  • JK-185 Enigma G2 – parka urban kalis air
  • JK-186 Enigma G2 – jaket full mesh
  • JK-187 Enigma G2 – jaket half mesh
  • JK-191 Enigma G2 – jaket full mesh

Kesemua produk jaket Komine dilengkapi dengan pelindung Enigma G2 generasi kedua yang direka untuk memberikan tahap perlindungan dan keselesaan yang lebih tinggi.

Ia mudah dibentuk mengikut kontur sendi dan badan pemakai untuk keselesaan tanpa menjejaskan tahap serapan hentakan yang tinggi.

Lubang-lubang kecil pula bertujuan untuk aliran udara maksimum yang menyumbang kepada keselesaan.

Dibantu dengan penggunaan bahan telap udara, ia mampu menghasilkan penyerapan peluh dan penyejatan lembapan yang lebih cepat untuk tunggangan kekal sejuk.

Selain itu, ia juga dapat memastikan pakaian ini cepat kering selepas berdepan dengan situasi hujan lebat yang tidak dijangka.

Dalam masa yang sama, pihak Hodaka memperkenalkan kipas penyejuk KK-923 Peltier Wearable Brain Cooler yang boleh dipakai pada bahagian leher.

Jenama popular di Jepun

Menurut Michael Chang, Pengarah Perniagaan Luar Negara Komine menjelaskan, “Komine merupakan jenama pakaian penunggang paling popular di Jepun dan menjadi pilihan di kalangan polis trafik sana.”

Jelasnya lagi, produk Komine direka untuk memenuhi keperluan dan kehendak penunggang, dan dalam masa yang sama mematuhi falsafah Keselamatan & Inovasi jenama itu.

James Lim, Pengarah Urusan Hodaka Motoworld menjelaskan pihaknya merupakan pengedar rasmi dan eksklusif Komine sejak 1999.

“Model yang kami lancarkan ini memberikan perlindungan terbaik, keselesaan dan gaya pada harga yang berpatutan.

Biarpun kos logistik meningkat, pihak Hodaka Motoworld mengumumkan tiada kenaikan harga bagi tahun 2026.

Kelengkapan tunggangan Komine kini boleh didapati di beberapa pengedar sah di seluruh Malaysia.

Komine JK-185

Komine JK-186

Komine JK-187

 

Komine JK-191

 

Toyota GRMN Corolla 2027, hot hatch yang lebih ‘hardcore’ untuk tawan Nurburgring

Empat tahun selepas Toyota GR Corolla diperkenalkan, anda kini boleh dapatkan versi yang lebih ‘hardcore‘ dalam bentuk GRMN Corolla.

Sama seperti model-model GRMN terdahulu, pembangunan GRMN Corolla ini tertumpu di Litar Nurburgring selain menerapkan pengalaman daripada penglibatan dalam sukan permotoran.

Ia menampilkan casis yang lebih tegar, kuasa yang lebih tinggi, kit badan yang lebih ekstrem, dan paling penting ia kini boleh muat dua orang sahaja.

Lebih aerodinamik

GR Corolla versi standard telah pun menerima struktur casis yang lebih tegar, terima kasih kepada penambahan struktur perekat sebanyak 13.9 meter kepada 32.7 meter.

Versi GRMN pula menggunakan asas tersebut dan menambah komponen aerodinamik untuk pemanduan berkelajuan tinggi.

Antaranya ialah liang hud enjin, liang fender serta spoiler hadapan yang diperbuat daripada gentian karbon.

Selain itu, sayap belakang gentian karbon juga mempunyai mekanisme larasan manual 1 darjah sebanyak 5-tahap.

Suspensi talaan eksklusif

Hot hatch ini turut dipadankan dengan suspensi talaan khusus untuk cengkaman yang lebih baik ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Setiap komponen tersebut diberikan larasan ke tahap milimeter untuk memastikan keseimbangan yang optimum.

Aspek pemanduan dibantu dengan penggunaan getah Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih lebar 10 mm berbanding GR Corolla standard.

Akhir sekali, GRMN Corolla diberikan talaan semula pada sistem stereng EPS dan pacuan GR-Four untuk kestabilan pemanduan yang lebih baik.

Enjin lebih bertenaga

Selain casis dan aspek pengendalian, Toyota turut menaik taraf enjin sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, 300 hp dan 415 Nm!

Angka tersebut boleh dicapai terima kasih kepada penglibatan dalam Super Taikyu Series menerusi GR Corolla yang dipadankan dengan enjin berkuasa hidrogen.

Untuk mengekalkan kestabilan prestasi, GRMN Corolla turut hadir dengan sistem penyembur intercooler tambahan.

Buat masa ini, GRMN Corolla hanya ditawarkan eksklusif dengan transmisi manual iMT 6-kelajuan.

Lebih ringan

Sebagai sebahagian daripada pakej pengurangan berat, Toyota telah membuang tempat duduk belakang.

Dengan ini, GRMN Corolla 30 kg lebih ringan berbanding GR Corolla, menyumbang kepada nisbah kuasa-ke-berat yang lebih baik.

Kokpit lebih mesra pemandu

Untuk menjadikan pemandu lebih fokus, GRMN Corolla didatangkan beberapa kelengkapan eksklusif.

Antaranya ialah tempat duduk pemandu bucket penuh berdasarkan posisi pelumba Super Taikyu Series, dengan binaan bahan polimer bertetulang gentian kaca (GFRP).

Ruang kabin GRMN Corolla menggunakan skema warna yang lebih gelap, diikuti dengan kemasan gentian karbon.

Akhir sekali, logo GRMN yang disulam pada perehat kepala, trim Alumite Red pada trim pintu dan tombol gear, tandatangan Morizo pada papan pemuka dan plet nombor bersiri GRMN.

Unit produksi terhad untuk tiga negara sahaja

Sayang sekali, GRMN Corolla hanya akan diproduksikan dalam unit yang agak terhad.

Ia juga tidak akan dijual secara meluas, sebaliknya dikhususkan untuk pasaran Jepun, Amerika Utara dan Australia sahaja.

GR Corolla Morizo RR

Tidak cukup dengan GRMN Corolla, Toyota sedang membangunkan sebuah lagi varian GR Corolla di bawah label Morizo RR.

Jika GRMN Corolla hadir dengan transmisi manual 6-kelajuan, GR Corolla Morizo RR pula direka khas dengan transmisi automatik DAT 8-kelajuan.

Lebih penting, ia masih lagi mengekalkan konfigurasi lima tempat duduk walaupun luar tampak ekstrem.

Toyota GRMN Corolla 2027

Mitsubishi hidupkan semula plet ikonik Pajero, muncul secara rasmi musim luruh tahun ini

Mitsubishi akhirnya secara rasmi menghidupkan semula plet nama Pajero setelah kali terakhir nama ikonik tersebut digunakan pada tahun 2021.

Model SUV off-road baharu ini bakal diperkenalkan pada musim luruh 2026.

Ciri Pajero baharu

gambar sekadar hiasan

Mitsubishi Pajero serba baharu ini akan dibina berdasarkan platform ladder-frame yang diambil daripada trak pikap Triton.

Dengan cara ini, Pajero akan menjadi sebuah SUV off-road yang sebenar sekali gus mengekalkan warisan dan karakteristik yang dikenali ramai.

Antara ciri lain yang bakal dimuatkan termasuklah sistem pacuan empat roda, tetapan suspensi yang berbeza, serta reka bentuk ruang kabin yang lebih premium.

Pajero sebagai sebuah siri kenderaan


Dalam masa yang sama, Mitsubishi tidak mengehadkan nama Pajero untuk kegunaan sebuah model sahaja.

Sebaliknya, nama ikonik itu akan dilancarkan sebagai sebuah siri kenderaan off-road.

Difahamkan, sekurang-kurangnya dua lagi model baharu yang lebih kecil saiznya akan ditawarkan kepada pengguna.

Untuk info, pendekatan ini sebenarnya telah digunakan oleh Mitsubishi ketika zaman kegemilangan Pajero era 90-an dan 2000-an.

Antara model Pajero yang pernah ditawarkan sebelum ini:

  • Pajero Sport (SUV saiz pertengahan, platform ladder-frame)
  • Pajero Junior (SUV saiz kecil, platform unibodi)
  • Pajero iO (SUV saiz kecil, platform unibodi)
  • Pajero Mini (SUV kelas kei, platform unibodi)

13 model baharu Mitsubishi

Menjelang akhir Mac 2032, Mitsubishi bakal melancarkan sehingga 13 buah model baharu.

Selain daripada siri Pajero, Mitsubishi bakal menawarkan pelbagai jenis model off-road termasuklah trak pikap, SUV dan minivan.

Pasaran Jepun bakal menerima beberapa model SUV elektrik, trak pikap serta dua model kei car.

Pasaran ASEAN pula dijangka akan mendapat Xpander baharu.

Mitsubishi Pajero 

WMoto Griffin 205 2026 rasmi di Malaysia, harga RM8,888

Sebuah lagi skuter mampu milik sudah mendarat di pasaran Malaysia, iaitu WMoto Griffin 205 2026.

Ia dijual pada harga RM8,888.

Spesifikasi

Skuter ini dipacu enjin silinder tunggal 198.8 cc sejukan cecair menghasilkan 19.4 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 17.4 Nm @ 6,250 rpm.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik dibantu dengan penyerap hentak berkembar berserta subtangki.

Brek pula menggunakan tetapan cakera bersaiz 230 mm depan dan 220 mm belakang, dibantu dengan sistem ABS dua-saluran dan kawalan cengkaman (TCS).

Ciri lain termasuklah:

  • sistem pencahayaan LED penuh
  • tangki bahan api 11 liter
  • tinggi pelana 790 mm
  • winglet sporti
  • panel meter TFT
  • kamera perakam tunggangan

Terdapat 4 warna iaitu Nitro Red, Xtreme White, Action Blue dan Glacier Grey.

Voge SR450X bakal tiba di Malaysia tahun ini, harga RM29,888

Mforce Bike Holdings mengumumkan sebuah model skuter kembara yang bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi, iaitu Voge SR450X.

Skuter tersebut dilihat bakal bersaing rapat dengan Zontes 368G yang sudah pun ditawarkan di sini.

Menurut Mforce, Voge SR450X ini bakal ditawarkan dengan harga RM29,888.

Spesifikasi

Mengikut spesifikasi dari pasaran luar negara, Voge SR450X ini dipacu enjin dua silinder bersesaran 398 cc sejukan cecair.

Ia mampu menjana kuasa sekitar 41.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 43.9 Nm @ 5,750 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork hadapan KYB jenis terbalik, diikuti penyerap hentak berkembar KYB boleh laras di belakang.

Antara kelengkapan yang ada pada skuter kembara ini termasuklah:

  • skrin paparan TFT 7-inci
  • sistem brek J.Juan/Nissin
  • rim 17 inci depan/14 inci belakang
  • sistem pencahayaan LED
  • cermin penghadang angin boleh laras
  • pemanas grip bar hendal dan pelana

Ciri keselamatan pula termasuklah sistem brek ABS dua-saluran, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan kamera perakam tunggangan depan/belakang.

Voge DS625X & DS800X Rally 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM35,888

Mforce Bike Holdings mengumumkan ketibaan dua model adventure touring daripada jenama Voge, iaitu DS625X dan DS800X Rally 2026.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Voge DS625X – RM35,888
  • Voge DS800X Rally – RM39,888

Spesifikasi DS625X

Jentera ini dipacu enjin dua-silinder 581 cc sejukan cecair dengan kuasa 63 hp @ 9,000 rpm dan 57 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu disalur kepada roda menerusi transmisi 6-kelajuan serta dua mod tunggangan iaitu Eco & Sport.

Ia hadir dengan kelengkapan seperti:

  • tetapan suspensi fork teleskopik USD/penyerap hentak tunggal boleh laras
  • brek cakera depan belakang Nissin
  • sistem pencahayaan LED
  • rim 19 inci depan/17 inci belakang
  • skrin paparan LCD
  • tinggi pelana 835 mm
  • tangki bahan api 17.6 liter
  • sistem ABS dua-saluran & TCS
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • kamera perakam tunggangan (depan)
  • skrin penghadang angin boleh laras

Secara standard, DS625X hadir dengan aksesori seperti set kotak pannier (1 top box, 2 box sisi), lampu limpah dan pelindung tangan.

Terdapat dua pilihan warna iaitu Sand Yellow dan Stealth Black.

Spesifikasi DS800X Rally

Jentera adventure ini pula dikuasakan enjin 2-silinder 798 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 93.9 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 57 Nm @ 6,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan, serta dua mod tunggangan iaitu Eco & Sport.

Ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • tetapan suspensi fork teleskopik USD boleh laras/penyerap hentak tunggan boleh laras
  • brek cakera berkembar depan/cakera tunggal belakang
  • sistem pencahayaan LED
  • rim saiz 21 inci depan/18 inci belakang
  • skrin paparan TFT
  • tinggi pelana 850 mm
  • tangki bahan api 24 liter
  • sistem ABS 2-saluran & TCS
  • port pengecasan USB Type-A & Type-C
  • kamera perakam tunggangan (depan)
  • skrin penghadang angin boleh laras
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

Setiap pembelian turut disertakan dengan aksesori seperti:

  • pemanas grip dan pelana
  • set kotak pannier (1 top box, 2 box sisi)
  • lampu limpah
  • pelindung tangan
  • crash bar

Tiga warna tersedia iaitu Zenith White, Flash Yellow dan Onyx Black.

SYM Husky 200 2026 bakal tiba di Malaysia Jun ini, dari RM10,988

Mforce Bike Holdings melancarkan skuter terbaharu SYM Husky 200 2026 sempena Malaysia Bike Show baru-baru ini.

Skuter ini tersedia dalam pilihan warna Glossy Green, Silk Purple dan Pearl White, dengan harga jualan RM10,998.

Spesifikasi Husky 200

SYM Husky 200 dipacu enjin silinder tunggal sejukan cecair bersesaran 175 cc dengan kuasa 16.1 hp @ 8,000 rpm dan 15.6 Nm @ 7,000 rpm.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula menggunakan angkup 2-omboh dan rotor 260 mm di depan, dibantu rotor saiz 230 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan pada skuter ini termasuklah:

  • sistem kunci pintar
  • lampu LED depan dan belakang
  • port pengecasan USB Type-A 3.0
  • skrin penghadang angin
  • panel meter TFT
  • sistem ABS 2-saluran & TCS
  • tinggi pelana 810 mm
  • tangki bahan api 15 liter

Skuter SYM Husky 200 ini dijangka mendarat di pengedar mulai Jun 2026.

Morbidelli Vizy 125, SC200SR & C252V 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM4,988

Bertempat di Malaysia Bike Show 2026, Mforce terus memperluas penawaran motosikal daripada jenama Morbidelli menerusi pelancaran 3 model baharu yang lebih mesra lesen B2.

Model dan harga jualan adalah seperti berikut:

  • Morbidelli Vizy 125 2026 – RM4,988
  • Morbidelli SC200SR 2026 – RM7,988
  • Morbidelli C252V 2026 – RM16,988

Spesifikasi Vizy 125

Skuter ini dipacu enjin silinder tunggal 123.6 cc sejukan udara dengan kuasa 9.4 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 9.5 Nm @ 6,000 rpm.

Skuter ini hadir dengan ciri berikut:

  • tetapan suspensi fork teleskopik/penyerap hentak tunggal
  • sistem brek cakera depan/gelendong belakang
  • rim saiz 14 inci
  • skrin paparan LCD
  • tinggi pelana 750 mm
  • tangki bahan api 4.5 liter

Terdapat tiga pilihan warna iaitu Bulk Black, Stun Red dan Dash Yellow.

Spesifikasi SC200SR

Tidak seperti Vizy 125, SC200SR membawakan penampilan yang lebih agresif.

Ia dipacu enjin silinder tunggal 169 cc sejukan cecair dengan kuasa 16 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 15.1 Nm

Kelengkapan skuter ini termasuklah:

  • tetapan suspensi fork teleskopik/penyerap hentak tunggal larasan pra-beban
  • sistem brek cakera depan belakang
  • rim saiz 13 inci
  • skrin paparan LCD
  • tinggi pelana 780 mm
  • tangki bahan api 7.8 liter
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

SC200SR hadir dalam pilihan warna Kingfisher Green, Bulk Black dan Sprint Purple.

Spesifikasi C252V

Ini pula pilihan cruiser bergaya yang sesuai untuk pemegang lesen B2.

C252V dipacu enjin V2 249 cc sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 25.5 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 25 Nm @ 5,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi 6-kelajuan dan klac Slipper.

Cruiser ini hadir dengan ciri seperti:

  • tetapan suspensi fork teleskopik USD/penyerap hentak berkembar boleh laras
  • brek cakera 320 mm dengan angkup 4 omboh depan
  • brek cakera 260 mm dengan angkup 2 omboh belakang
  • ABS dua-saluran & TCS
  • skrin paparan LCD
  • rim saiz 16 inci
  • tinggi pelana 690 mm
  • tangki bahan api 15.5 liter

C252V ditawarkan dalam pilihan warna Bulk Black, Moss Green dan Urban Silver.

Cyclone RT2S & RT5 2026 kini di Malaysia, harga dari RM13,888

Mforce merancakkan lagi Malaysia Bike Show 2026 dengan melancarkan dua skuter maxi jenama Cyclone.

Model serta harga jualan adalah seperti berikut:

  • Cyclone RT2S 2026 – RM13,888
  • Cyclone RT5 2026 – RM16,888

Spesifikasi RT2S


Skuter RT2S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 247 cc sejukan cecair DOHC menghasilkan 26.1 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 24.5 Nm @ 6,500 rpm.

Antara kelengkapan skuter ini termasuklah:

  • tetapan suspensi fork teleskopik/penyerap hentak berkembar
  • sistem brek cakera depan belakang
  • rim 14 inci depan/13 inci belakang
  • tinggi pelana 750 mm
  • tangki bahan api 12.6 liter
  • skrin penghadang angin tinggi
  • sistem pencahayaan LED
  • sistem ABS 2-saluran & TCS

Dua warna ditawarkan iaitu Strong Grey dan Prestige Black.

Spesifikasi RT5

RT5 merupakan sebuah lagi skuter maxi jenama Cyclone menggunakan nadi 247 cc yang sama, namun hadir dengan ciri yang lebih premium.

Antara ciri yang ada:

  • tetapan suspensi fork teleskopik/penyerap hentak berkembar
  • sistem brek cakera depan belakang
  • rim 15 inci depan/14 inci belakang
  • panel meter TFT
  • sistem pencahayaan LED
  • peredam ekzos sporti
  • tinggi pelana 755 mm
  • tangki bahan api 18 liter
  • sistem ABS 2-saluran & TCS
  • kamera perakam tunggangan depan

Cyclone RT5 tersedia dalam pilihan warna Prestige Black, Strong Grey dan Alabaster White.

CFMoto 750SR-S & 1000MT-X 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM41,888

Segmen motosikal bersesaran tinggi di Malaysia diserikan lagi dengan kehadiran dua model baharu CFMoto bertempat di Malaysia Bike Show 2026.

Model serta harga jualan adalah seperti berikut:

  • CFMoto 750SR-S – RM41,888
  • CFMoto 1000MT-X – RM51,888

Spesifikasi 750SR-S

Sportbike ini dikuasakan oleh enjin 4-silinder sebaris 749 cc sejukan cecair dengan kuasa 110 hp @ 10,250 rpm dan daya kilas 80 Nm @ 9,000 rpm.

Pecutan 0-100 km/j adalah bawah 3.5 saat dan kelajuan maksimum melebihi 230 km/j.

Ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • tetapan suspensi fork USD 43 mm KYB/penyerap hentak tunggal KYB
  • larasan pra-beban dan lantunan
  • peredam stereng boleh laras
  • angkup brek 4-omboh depan/2-omboh belakang Brembo
  • penukaran gear pantas satu arah
  • skrin TFT 6.2 inci
  • tinggi pelana 805 mm
  • tangki bahan api 17 liter

Ciri keselamatan pula terdiri daripada:

  • ABS & Cornering ABS
  • TCS & Cornering TCS
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

750SR-S hadir dalam pilihan warna Nebula Black dan Nebula White.

Spesifikasi 1000MT-X

Jentera adventure touring ini dikuasakan enjin parallel-twin 946.2 cc sejukan cecair menghasilkan 111.3 hp @ 8,500 rpm dan 105 Nm @ 6,250 rpm.

Ia hadir dengan ciri-ciri seperti:

  • tetapan suspensi fork USD 48 mm KYB/penyerap hentak tunggal KYB boleh laras sepenuhnya
  • jarak pergerakan suspensi 230 mm depan/190 mm belakang
  • brek cakera berkembar 320 mm depan/cakera tunggal 260 mm belakang
  • rim 21 inci depan/18 inci belakang
  • skrin paparan TFT 8-inci
  • penukaran gear pantas dua-arah
  • skrin penghadang angin boleh laras
  • pemanas grip bar hendal
  • pemanas tempat duduk
  • tinggi pelana 830 mm/870 mm
  • tangki bahan api 22.5 liter

Ciri keselamatan pula terdiri daripada:

  • ABS & Cornering ABS
  • TCS boleh laras 3-tahap
  • Wheel Control System

1000MT-X boleh didapati dalam pilihan warna Aerolite Grey, Zephyr Blue dan Tactical Green.

Brixton Moucca 250 & 625V 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM12,888

Brixton Malaysia memperkenalkan dua buah model baharu sempena penganjuran Malaysia Bike Show 2026 baru-baru ini.

Berikut merupakan senarai model serta harga jualan:

  • Brixton Moucca 250 – RM12,888
  • Brixton 625V – RM26,888

Spesifikasi Moucca 250

Skuter urban ini dipacu enjin silinder tunggal 244 cc sejukan cecair berkuasa 24 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,500 rpm.

Ia hadir dengan ciri-ciri berikut:

  • tetapan suspensi fork teleskopik/penyerap hentak berkembar
  • brek cakera depan belakang
  • lampu LED depan belakang
  • panel meter TFT
  • tinggi pelana 750 mm
  • tangki bahan api 11.5 liter

Terdapat pilihan warna Enduro White, Clockwork Orange, Backstage Black dan Mint Green.

Spesifikasi 625V

625V merupakan cruiser yang dipacu nadi V2 578.2 cc sejukan cecair dengan kuasa 60 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 60 Nm @ 5,500 rpm.

Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah:

  • tetapan suspensi fork teleskopik USD/penyerap hentak berkembar boleh laras
  • angkup brek 4-omboh depan/2-omboh belakang
  • sistem ABS dua-saluran
  • panel meter digital
  • lampu LED depan belakang
  • tinggi pelana 700 mm
  • tangki bahan api 20 liter

Ariic Touch 250 & Gobi 250 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM13,688

Mforce Bike Holdings melancarkan dua buah skuter jenama Ariic bersempena Malaysia Bike Show 2026.

Berikut merupakan harga jualan bagi model skuter Ariic yang dimaksudkan:

  • Ariic Touch 250 2026 – RM13,688
  • Ariic Gobi 250 2026 – RM13,988

Spesifikasi

Kedua-dua skuter ini berkongsi enjin silinder tunggal 249 cc yang mampu menjana kuasa 22.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 23.5 Nm @ 5,000 rpm.

Dari segi penampilan, Touch 250 merupakan sebuah skuter maxi dengan ciri seperti:

  • penghadang angin boleh laras elektrik
  • sistem permulaan tanpa kunci
  • unit lampu LED
  • skrin paparan TFT 6.75 inci
  • pelana setinggi 760 mm
  • tangki bahan api 11 liter
  • tetapan suspensi fork hadapan/penyerap hentak berkembar

 

Sementara Gobi 250 pula merupakan skuter kembara dengan penampilan yang lebih lasak, disumbangkan oleh:

  • crash bar
  • tetapan suspensi fork hadapan USD/penyerap hentak berkembar
  • penghadang angin larasan manual
  • rim lidi aloi aluminium
  • sistem permulaan tanpa kunci
  • unit lampu LED
  • skrin paparan TFT 7-inci

Secara standard, kedua-dua skuter ini dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti:

  • ABS dua-saluran
  • kawalan cengkaman (TCS)
  • kamera perakam tunggangan (depan)

Ariic Touch 250 2026

Ariic Gobi 250 2026

MODENAS lancar 3 model baharu: Modenas Z650 S, Kawasaki Z1100 SE & Kawasaki Ninja ZX-10R

Bertempat di Malaysia Bike Show 2026, pihak MODENAS berkesempatan melancarkan tiga model baharu untuk pasaran Malaysia.

Model yang dimaksudkan ialah:

  • Modenas Z650 S – RM35,600
  • Kawasaki Z1100 SE – RM69,900
  • Kawasaki Ninja ZX-10R – RM114,600

Modenas Z650 S

Modenas Z650 S diperkenalkan sebagai jentera jalanan kategori pertengahan (middleweight).

Ia dipacu enjin parallel-twin 649 cc yang mampu menjana 68 PS @ 8,000 rpm dan 64 Nm @ 6,700 rpm, dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.

Antara ciri yang dimuatkan:

  • tetapan suspensi fork teleskopik 41 mm/Horizontal Back-link
  • tinggi pelana 805 mm
  • tangki bahan api 15 liter
  • Kawasaki Quickshifter (KQS)
  • Kawasaki Traction Control (KTRC)
  • skrin paparan TFT berwarna penuh
  • warna Metallic Matte Graphenesteel Gray/Metallic Flat Spark Black

Kawasaki Z1100 SE

Ini merupakan penambahan terbaharu Kawasaki Malaysia dalam segmen naked premium di Malaysia.

Kawasaki Z1100 SE ini dikuasakan oleh enjin 4-silinder 1,099 cc menghasilkan kuasa 136 PS @ 9,000 rpm dan 113 Nm @ 7,600 rpm.

Jentera ini hadir dengan kelengkapan seperti:

  • tetapan suspensi SFF-BP/Horizontal Back-Link
  • tinggi pelana 815 mm
  • tangki bahan api 17 liter
  • Kawasaki Cornering Management Function (KCMF)
  • KTRC & KQS
  • Kawalan Jelajah Elektronik
  • skrin paparan TFT 5-inci
  • warna Metallic Matte Graphenesteel Gray/Metallic Matte Carbon Gray

Kawasaki Ninja ZX-10R

Kategori supersport diserikan dengan kehadiran model Ninja ZX-10R.

Jentera ini dipacu enjin 4-silinder 998 cc menghasilkan kuasa 196 PS @ 13,000 rpm dan daya kilas 110 Nm @ 11,400 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan:

  • tetapan suspensi BFF 43 mm/Horizontal Back-link
  • kawalan redaman stereng Ohlins
  • tinggi pelana 825 mm
  • tangki bahan api 17 liter
  • KCMF, KTRC, KQS
  • skrin paparan TFT 5-inci
  • warna Lime Green/Blue 24

Boon Siew Honda lancar ADV160 2026, harga dari RM13,249

Boon Siew Honda secara rasmi melancarkan skuter kembara Honda ADV 160 2026 bersempena Malaysia Bike Show 2026.

Terdapat dua varian diperkenalkan, iaitu:

  • ADV160 dengan Honda RoadSync – RM13,649.00
  • ADV160 ABS – RM13,249.00

Spesifikasi

Kedua-dua varian mengekalkan enjin silinder tunggal 157 cc eSP+ yang mampu menjana kuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan 14.7 Nm @ 6,500 rpm.

Antara ciri standard yang dibekalkan termasuklah:

  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • Anti-lock Braking System (ABS)
  • penghadang angin boleh laras
  • sistem pencahayaan LED
  • sistem kunci pintar
  • port pengecasan USB Type-C
  • ruang storan bawah pelana 30 liter
  • tetapan suspensi belakang Showa dengan subtangki

Varian ABS didatangkan dengan panel meter digital, sementara varian tertinggi pula hadir dengan skrin paparan TFT 5-inci berserta sokongan Honda RoadSync.

Menerusi sambungan ini, penunggang boleh mengakses sistem navigasi, panggilan, muzik, dan notifikasi permesejan menerusi skrin TFT itu tadi.

Honda ADV160 ABS hadir dalam pilihan warna kelabu dan putih, sementara ADV160 dengan Honda RoadSync pula didatangkan dengan pilihan warna Matte Gray dan perang.

GIVI lancar topi keledar M33.1 Aria Neo, M35.1 Scudo II dan 52.0 Full Face, harga dari RM195

Bersempena dengan Malaysia Bike Show 2026, GIVI Asia melancarkan tiga produk topi keledar baharu untuk pasaran Malaysia.

Produk yang dimaksudkan itu ialah:

  • M33.1 Aria Neo – dari RM195.00
  • M35.1 Scudo II – dari RM370.00 (warna solid) dan RM420.00 (grafik)
  • 52.0 Full Face – dari RM350.00 (warna solid) dan RM400.00 (grafik)

Pilihan topi keledar jet urban

M33.1 Aria Neo dan M35.1 Scudo II merupakan versi tambah baik daripada model M33.0 Aria dan M35.0 Scudo yang terdahulu.

Antara penambahbaikan utama termasuklah:

  • visor yang lebih panjang
  • spoiler belakang yang dinaik taraf
  • sistem pengudaraan yang dipertingkatkan
  • lapisan dalam yang direka untuk keselesaan optimum

Kedua-dua model ini masih mengekalkan kod homologasi keselamatan ECE R22.06.

M33.1 Aria Neo tersedia dalam saiz S hingga XL, serta pilihan warna Solid Metallic Silver, Solid Dark Grey dan Solid Black.

Sementara M35.1 Scudo II pula hadir dalam dua saiz cangkerang iaitu kecil (S/M/L) dan besar (XL/2XL), serta enam pilihan warna:

  • Solid White
  • Nardo Grey
  • Graphic Utopia Titanium Yellow
  • Graphic Edge Blue Red
  • Graphic Uno White Black
  • Graphic Uno Yellow Black

Topi keledar 52.0 Full Face

Satu lagi model yang dilancarkan ialah topi keledar 52.0 Full Face yang membawakan kod homologasi keselamatan ECE R22.06 (Full-Face P).

Antara ciri topi keledar ini seperti visor berkembar, sistem pengudaraan tiga arah, lapisan dalam dan pad pipi anti-alahan, serta pelindung nafas dan penampan angin yang boleh ditanggalkan.

Terdapat empat pilihan warna:

  • Solid White
  • Matt Titanium
  • Graphic Carbon Titanium Red
  • Graphic Ever Matt Titanium Black Grey Silver Fluo

Ketiga-tiga topi keledar ini akan berada di pasaran mulai Julai 2026.

GIVI turut menawarkan hadiah eksklusif untuk 300 orang yang membuat tempahan awal sempena Malaysia Bike Show 2026 menerusi kedai dalam talian GIVI Point Malaysia.

Setiap pra-tempahan akan mendapat hadiah berikut:

  • GIVI STF500S Stainless Steel Thermal Flask (untuk model M33.1 & 52.0)
  • T-Shirt Edisi Terhad Scudo (untuk model M35.1)

M33.1 Aria Neo

M35.1 Scudo II

52.0 Full Face

Lotus Emira 420 Sport: paling berkuasa, lebih ringan dan aerodinamik setakat ini

Ucapkan selamat datang kepada Lotus Emira 420 Sport, varian tertinggi dan paling ekstrem pernah dibina.

Ini kerana ia hadir dengan pakej enjin yang lebih bertenaga, lebih ringan dan lebih aerodinamik berbanding Emira sedia ada.

Kuasa cecah 420 PS

Enjin 4-silinder sebaris 2.0 liter turbo itu kini mampu menjana kuasa setinggi 420 PS @ 6,500 rpm dan daya kilas 500 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar 8-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.

Lebih aerodinamik

Bahagian luar Emira 420 Sport mendapat ciri unik termasuklah:

  • splitter hadapan
  • liang hadapan yang disemak semula
  • bukaan kemasukan udara yang lebih besar
  • spoiler lip
  • tailgate louvre gaya Esprit Turbo

Perubahan ini menyumbang kepada peningkatan aliran udara ke radiator serta penyejukan brek 10 peratus lebih baik.

Selain itu, tetapan suspensi Emira telah disemak semula selain merendahkan ketinggian kereta sebanyak 5 mm, menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik.

Pakej lebih ringan

Emira 420 Sport turut ditawarkan dengan pakej Lightweight Handling Pack terdiri daripada:

  • peredam Multimatic boleh laras 2-tahap
  • set ekzos titanium
  • bateri lithium-ion
  • komponen gentian karbon
  • aplikasi Lotus Track Performance

Dengan pakej ini, Emira 420 Sport menjadi 25 kg lebih ringan berbanding Emira Turbo dan berupaya menjana 25 kg tambahan daya mendap.

Ruang kabin

Pemandu kini disediakan paddle shifter gentian karbon baharu serta tempat duduk larasan 12-tahap yang dapat menyokong pemanduan di atas jalan raya dan di dalam litar.

Buat pertama kalinya, semua varian Emira ditawarkan dengan panel bumbung kaca mudah alih.

Diinspirasikan daripada Esprit, pemandu boleh menikmati konfigurasi coupe dan open top pada bila-bila masa.

Panel kaca itu tadi boleh disimpan di dalam beg khas dan diletakkan di belakang tempat duduk.

Pakej opsyen

Emira 420 Sport turut tersedia dengan pakej gentian karbon di bahagian luar, seperti:

  • splitter hadapan
  • ambang sisi
  • liang gerbang roda
  • pod sisi
  • spoiler belakang
  • diffuser

Pembeli boleh mendapatkan sehingga sembilan rekaan dan kemasan rim termasuklah rim aloi tempa 20 inci warna satin dark grey.

Selain itu, terdapat dua pakej opsyen baharu yang boleh ditambah seperti:

  • Carbon Fibre Pack – kemasan geometri unik pada perumah meter kluster, jejari roda stereng dan kemasan belakang tempat duduk
  • Hand Painted Pack – kemasan warna Tangelo Orange pada konsol tengah, jejari roda stereng, tuil gear dan corong pendingin udara

Harga

Di pasaran UK, Lotus Emira 420 Sport dijual pada harga dari £105,900 (RM566 ribu).

GIVI XSPACE rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM1,600

GIVI Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan produk baharu dalam rangkaian Monokey, iaitu XSPACE.

Ia tampil dengan konsep praktikal ‘Satu kotak, dua mod tunggangan’ yang direka untuk kegunaan harian, serta ruang yang boleh ditambah mengikut keperluan.

XSPACE dijual pada harga bermula dari RM1,600 hingga RM1,850 tidak termasuk set kunci.

Sistem mekanikal berpaten

XSPACE mempunyai sistem mekanikal berpaten yang membolehkan pengembangan teleskopik dibuat dengan mudah tanpa perlu mengeluarkan barangan dari dalam.

Proses kejuruteraannya turut menitikberatkan aspek ketepatan pergerakan, prestasi aerodinamik, ketahanan jangka panjang dan integrasi struktur yang kukuh.

Sistem ini turut memastikan tahap keselamatan yang tinggi dengan mengelakkan pembukaan secara tidak sengaja.

Satu kotak, dua mod berbeza

Dalam mod kompak, ia menawarkan ruang sebesar 27 liter, dan boleh diperluas kepada 36 liter.

Dengan peningkatan ruang sebanyak 33 peratus dan tambahan kedalaman 6 cm, XSPACE boleh memuatkan sebuah helmet modular.

Tidak cukup dengan itu, XSPACE boleh berfungsi sebagai kotak simpanan atas (top case) atau kotak simpanan sisi (side case).

XSPACE dibina menggunakan bahan tahan hentakan, sinaran UV serta perubahan cuaca, dengan had muatan sehingga 10 kg.

Kotak ini didatangkan dengan jaring elastik serta pelapik dalaman kalis air bagi melindungi barangan semasa tunggangan.

Ia turut dilengkapi pemegang terbina, dan sistem Smart Security Lock yang dijual berasingan.

Pilihan warna & aksesori

GIVI XSPACE ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu hitam serta hitam/penutup aluminium.

Terdapat juga aksesori yang boleh dipadankan seperti beg, penyandar penumpang, silinder kunci untuk kunci asal BMW dan rak bagasi atas.

EV Track Day kembali gegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang 6 Jun ini

Acara EV Track Day terbesar negara kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 6 Jun 2026.

Ia bakal menghimpunkan komuniti pemilik dan peminat kenderaan elektrik dari seluruh Malaysia, bermula seawal 5.45 petang hingga tengah malam.

Dengan menggunakan layout penuh Sepang sejauh 5.543 km, ini memberi ruang kepada peserta menikmati pengalaman pemanduan EV dalam suasana litar sebenar.

Antara tarikan utama program kali ini:

  • Sesi open track – pemanduan EV di laluan penuh termasuk selekoh teknikal
  • Sesi parade lap – pemanduan yang lebih santai
  • Sesi Time Attack – mencari EV terpantas di litar
  • Sesi taxi ride – rasai sendiri prestasi EV berkuasa tinggi bersama pemandu profesional

Pemilik EV yang mahu meningkatkan skil pemanduan di litar pula boleh mendapatkan khidmat jurulatih profesional, tersedia mengikut permintaan.

Bagi memastikan kelancaran acara, pengecas DC disediakan di kawasan paddock melalui kerjasama beberapa penyedia pengecas tempatan membolehkan peserta memaksimumkan masa di litar tanpa risau soal bateri.

Pemeriksaan bateri 12V juga ditawarkan secara percuma, termasuk pilihan naik taraf kepada bateri sodium‑ion yang lebih tahan haba.

Edisi pertama sebelum ini mencuri perhatian apabila lebih 30 EV berjaya membuktikan kemampuan sebenar jentera elektrik di litar, termasuk model prestasi tinggi yang mampu memberi cabaran kepada kereta sport konvensional.

Ferrari Luce EV didedahkan secara rasmi, kuasa cecah 1,050 hp

Mungkin sukar untuk anda percaya, tapi inilah dia kereta elektrik (EV) pertama keluaran Ferrari, iaitu Ferrari Luce.

Sebuah Ferrari dengan rekaan yang tidak agresif, ada empat pintu, dan tiada ngauman ikonik enjin seperti tipikal kereta Prancing Horse.

Platform serba baharu

Ferrari Luce dibina atas platform serba baharu, membawakan ukuran sepanjang 5,026 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,544 mm dengan jarak antara roda 2,961 mm.

Antara resepi utama untuk sebuah EV ialah kadar pekali seretan yang rendah dan untuk Luce EV ini, kadar pekali seretannya adalah serendah 0.254 Cd.

Angka tersebut berjaya dicapai menerusi rekaan panel badan yang licin tanpa garis agresif, bahkan pengelap cermin turut direka semula.

Rekaan bersama firma pereka iPhone

Reka bentuk keseluruhan Ferrari Luce ini sebenarnya disumbangkan bersama oleh Centro Stile Ferrari dan LoveFrom, firma yang diasaskan oleh pereka iPhone generasi pertama Jony Ive.

Boleh dilihat rekaan hadapan yang sopan, diikuti lampu belakang bulat berkembar yang dikelilingi kemasan hitam.

Saiz rim pula merupakan yang paling besar pernah dipadankan pada sesebuah Ferrari, 23 inci di depan dan 24 inci di belakang.

4-motor elektrik

Ferrari Luce EV dibekalkan dengan empat motor elektrik yang dibangunkan sendiri berdasarkan program F80, teknologi F1 dan perlumbaan endurans.

Output kuasa motor belakang 476 hp setiap satu manakala output roda depan pula 141 hp per motor.

Terdapat empat mod E-Manettino:

  • Range: 430 hp RWD
  • Tour: 617 hp AWD
  • Performance: 986 hp AWD
  • Launch Control: 1,050 hp

Dalam mod Launch Control, Luce EV mampu memecut sepantas 2.5 saat dari pegun ke 100 km/j, sementara 0-200 km/j pula dalam masa 6.8 saat.

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 260 km/j untuk pemanduan Range, atau sehingga 310 km/j dalam mod Performance.

Bateri 800V

Pek bateri 122 kWh pula dibangunkan bersama SK On dengan keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 350 kW.

Disebabkan ia merupakan sebahagian daripada struktur casis, pusat graviti Luce EV ini 94 mm lebih rendah berbanding Purosangue.

Ditambah dengan ciri stereng gandar belakang, pengendalian Luce EV dikatakan hampir kepada 296 GTB.

EV yang ada bunyi

Disebabkan ketiadaan enjin pembakaran dalaman, Ferrari Luce EV tidak mampu untuk menghasilkan bunyi yang garang seperti Ferrari yang lain.

Untuk Luce ia tidak hadir dengan pakej bunyi palsu.

Namun begitu, Ferrari tetap menyertakan unit penjanaan bunyi yang diambil daripada getaran sebenar daripada komponen yang bergerak.

Sistem yang dipatenkan ini akan menapis frekuensi yang tidak elok dan kemudian menghasilkan bunyi dengan cara yang sama digunakan pada gitar elektrik untuk menjadikan pemanduan yang lebih mengujakan.

Kabin yang boleh muat 5 orang

Kita sudah pun melihat susun atur kabin Luce yang minimalis hasil rekaan pereka iPhone dalam artikel terdahulu. 

Biarpun terdapat kehadiran skrin yang moden, Ferrari turut menyertakan butang fungsi dan tuil fizikal untuk memudahkan urusan pemanduan.

Sebagai sebuah model Ferrari yang paling besar, Luce EV boleh memuatkan lima orang pada satu-satu masa dengan selesa.

Antara ciri lain termasuklah fungsi urut, sistem audio 3,000W dengan 21 pembesar suara terbina, serta kemasan dalaman yang lebih mewah.

Seperkara unik pada Luce EV ini ialah paddle shifter yang wujud tapi bukan untuk melakukan simulasi penukaran gear.

Menurut Ferrari, komponen ini bertujuan untuk mengawal agihan tork (paddle kanan) dan tahap brek regeneratif (paddle kiri) sebanyak lima tahap.

Harga

Harga jualan asas bagi sebuah Ferrari Luce EV bermula sekitar €550,000 (RM2.5 juta) tidak termasuk kos opsyen dan penyesuaian mengikut citarasa peribadi.

Toyota Vios HEV GR Sport: seronok berganda-ganda – pandu uji

Yang ditunggu-tunggu telah pun tiba di pasaran Malaysia, iaitu sedan hibrid Toyota Vios HEV GR Sport.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh pihak UMW Toyota Motor awal tahun yang lalu, dengan tanda harga RM109,900 untuk versi hibrid GR Sport.

Beza cuma RM6,000 berbanding model 1.5 HEV standard, atau RM13,000 lebih mahal berbanding Vios versi petrol.

Tidak seperti penawaran Vios GR Sport yang terdahulu, ia kini hadir dengan satu resepi yang cukup penting – nadi hibrid.

Hibrid biasanya berkait rapat dengan penjimatan bahan api, jadi apa pula manfaatnya pada Vios HEV GR Sport?

Beza Vios HEV dengan versi standard

Vios standard dilengkapi dengan enjin 1.5L 2NR-VE yang mampu menjana kuasa 106 PS @ 6,000 rpm dan 138 Nm @ 4,200 rpm.

Vios hibrid pula mendapat tetapan sistem hibrid generasi keempat, terdiri daripada:

  • enjin 1.5L 2NR-VEX kitaran Atkinson, 91 PS @ 5,500 rpm, 121 Nm @ 4,000 rpm
  • motor elektrik 80 PS/141 Nm
  • pek bateri lithium-ion 4.3 Ahr
  • transmisi e-CVT

Kuasa keseluruhan pula sekitar 111 PS yang hanya memacu roda depan.

Cukup?

Atas kertas, peningkatan kuasa itu tidaklah begitu ketara.

Namun dengan bantuan motor elektrik, pecutan permulaan sedan ini dirasakan lebih bertenaga berbanding versi petrol.

Manfaatnya? Daripada susur keluar lebuh raya anda boleh memecut lebih pantas untuk menyelit masuk ke dalam aliran trafik utama.

Tidak dinafikan, masih wujud deruman enjin saat pedal ditekan rapat ke lantai, namun kabin mulai beransur-ansur senyap apabila kelajuan yang diinginkan dicapai.

Aspek pemanduan lebih seronok

Bukan sekadar peningkatan kuasa yang membuatkan sedan ini terasa lebih mengujakan.

Ia juga hadir dengan pakej talaan sistem stereng EPS yang lebih responsif, dan sedikit berat berbanding model standard.

Ini menjadikan kawalan rasa lebih stabil terutama ketika memandu lebih laju.

Sistem brek turut ditala supaya titik brek masuk lebih awal – bermakna anda tidak perlu untuk menekan brek sambil berdiri dan berdoa supaya kereta ini berhenti dengan sempurna.

Yang paling dihargai ialah talaan suspensi GR Sport.

Berbanding Vios sedia ada yang memang cukup enak dipandu, resepi sistem gantungan yang lebih sporti membuatkan dua ibu jari naik ke atas secara automatik.

Sama seperti mana-mana model GR Sport yang telah diuji penulis sebelum ini, tetapan suspensi pada Vios ini sememangnya seimbang dari segi pemanduan sporti dan keselesaan yang tersendiri.

Tidak cukup dengan itu, Vios HEV GR Sport turut hadir dengan balutan getah Continental PremiumContact C yang lebih mencengkam.

Ibarat hidangan tengah hari yang sudah sedia enak diserikan dengan kehadiran sambal tempoyak dan ulam-ulaman yang mampu menaikkan lagi selera makan.

Hasil keharmonian sistem tersebut bekerja, kita dapat menikmati pakej pemanduan yang lebih seronok tanpa perlu berbelanja besar.

Tidak semua keseronokan itu perlu didorong oleh kuasa kuda semata-mata.

Ada kalanya, tetapan yang ringkas dan harmoni sebegini yang mampu buatkan kita tersenyum.

Sukar untuk penulis gambarkan dengan lebih lanjut keseronokan berganda-ganda yang ditawarkan pada Vios HEV GR Sport menerusi perkataan kali ini, anda perlu rasa dan mendalaminya sendiri.

Hibrid tapi perangai macam EV

Satu kelebihan yang nyata wujud pada model ini ialah keupayaannya untuk memandu dalam mod sifar emisi.

Biarpun tanpa kehadiran pek bateri bersaiz lebih besar, sistem hibrid generasi keempat Toyota ini boleh membenarkan ia dipandu tanpa setitik petrol bergantung kepada keadaan.

Fungsi ini amat berguna terutama ketika memandu di kawasan urban, atau sedang mencari ruang parkir yang kosong di pusat membeli belah.

Yang amat penulis suka ialah bacaan peratusan nisbah pemanduan sifar emisi yang akan dipaparkan setiap kali sistem kenderaan dimatikan.

Dengan cara ini, ia akan membuatkan pemandu lebih bersemangat untuk memandu dengan lebih cermat.

Gegaran enjin juga dirasakan sangat minimum terutama ketika peralihan antara mod kuasa dan juga mod EV.

Kelengkapan kabin

Untuk ruang kabin, Vios HEV GR Sport hadir dengan kelengkapan seperti:

  • tempat duduk balutan kulit/fabrik
  • skrin Display Audio 10.1 inci yang lebih besar
  • butang EV Mode
  • sistem pencahayaan ambien 64 warna yang diperbaharui
  • paparan spesifik hibrid untuk skrin kluster digital

Berdasarkan pengalaman, penulis mendapati skrin paparan serba baharu ini menawarkan fungsi yang stabil, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Cuma, saiznya yang agak besar (dan tinggi) itu boleh mengganggu medan penglihatan pemandu yang mahukan posisi duduk yang lebih rendah.

Kereta sporti, takkanlah nak duduk macam dalam SUV pula, kan?

Kerusi balutan fabrik/kulit itu memang selesa untuk digunakan terutama untuk perjalanan jauh dan boleh memegang erat pemandu sewaktu pemanduan berprestasi dibuat.

Gugusan butang fungsi yang wujud pada roda stereng dan konsol tengah amat mudah untuk digunakan.

Cuma, sistem kamera 360 darjah itu dirasakan agak ketinggalan zaman disebabkan resolusinya yang tidak HD untuk tahun 2026.

Praktikaliti

Disebabkan oleh bateri 12V yang telah dialihkan ke belakang, ia menyebabkan ruang kargo Vios HEV GR Sport menjadi sebesar 460 liter sahaja.

Cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan harian, itu pun jika tiada keperluan untuk memunggah barangan yang lebih panjang dimensinya.

Ini kerana tempat duduk baris kedua masih lagi tidak boleh dilipat macam model sedan lain.

Berita baik, Vios HEV GR Sport kini sudah didatangkan dengan tayar simpanan saiz penuh di bahagian belakang.

Satu ciri yang amat-amat dihargai oleh kebanyakan pemandu di Malaysia.

Ciri keselamatan

Secara standard, Vios HEV GR Sport hadir dengan ciri seperti enam beg udara, serta kelengkapan Toyota Safety Sense:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKC)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Amaran Pergerakan Hadapan (FDA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)

Kesimpulan

Toyota Vios HEV GR Sport bukanlah sekadar sebuah Vios yang ditampal dengan logo emblem GR semata-mata.

Berbanding model pesaing, ia menawarkan pemanduan yang lebih meyakinkan, sistem hibrid yang terbukti kecekapannya, serta keseimbangan antara pemanduan sporti dan keselesaan.

Sesuai untuk mereka yang mahukan sedan harian yang disuntik dengan sedikit karakter tambahan untuk membuatkan hidup lebih teruja.

Hidup ini terlalu singkat untuk menikmati perkara (baca: kereta) yang membosankan, jadi sedan ‘terpaling sporti’ ini memang sesuai untuk dipertimbangkan.