Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Chery Malaysia pamer ketelusan menerusi Cabaran Keselamatan Bateri CSH

Chery Malaysia berjaya melaksanakan Cabaran Keselamatan Bateri Chery Super Hybrid (CSH) yang pertama di Malaysia.

Inisiatif ini mengukuhkan komitmen berterusan jenama automotif tersebut terhadap keselamatan bateri menerusi ujian dunia sebenar yang telus dan berfokuskan keselamatan.

Menurut Men Lin Bo, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia berkata, “Keselamatan merupakan teras kepada proses pembangunan kami.”

Jelasnya lagi, proses demonstrasi ini dijalankan secara terbuka bagi membantu orang ramai memahami teknologi serta piawaian yang diguna pakai.

Demonstrasi langsung kepada media

Majlis tersebut disaksikan oleh lebih 100 hadirin terdiri daripada pegawai agensi kerajaan dan wakil media.

Sebelum sesi ujian tersebut berlangsung, satu sesi perkongsian bersama pakar bateri Chery, Zhang Wei Bo telah diadakan.

Ia membolehkan pihak media memahami konteks teknikal sebelum menyaksikan demonstrasi tersebut.

Dalam sesi ujian yang dijalankan, pihak Chery menggunakan unit bateri yang sama pada model Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV.

Unit bateri tersebut menjalani ujian kebakaran bersuhu tinggi merangkumi fasa pra-pemanasan dan pendedahan berterusan kepada api selama 1 minit 20 saat.

Sepanjang ujian tersebut, bateri kekal stabil tanpa peningkatan kebakaran, kegagalan elektrik atau deformasi yang tidak terkawal.

Pihak media juga diberikan peluang untuk memerhati keadaan bateri sebelum, semasa dan selepas didedahkan kepada api.

Kesinambungan program peringkat global

Cabaran Keselamatan Bateri di Malaysia merupakan kesinambungan kepada program yang dijalankan di peringkat global.

Dalam siri ujian tersebut, sistem bateri Chery diuji di bawah pelbagai senario ekstrem, seperti contoh:

  • China – ujian pelanggaran hadapan dan ujian guling spiral
  • Indonesia – ujian rendaman air laut selama 53 jam
  • Afrika Selatan – ujian pelanggaran hadapan beralih pada kelajuan 50 km/j
  • Ecuador – ujian enam das tembakan untuk membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri
  • Timur Tengah – ujian rendaman air laut suhu 60 darjah Celcius selama 48 jam, dan ditanam dalam pasir gurun Kuwait selama 48 jam
  • Mexico – ujian geseran bawah kenderaan

Prestasi keselamatan terbukti

Selain Cabaran Keselamatan, Chery Malaysia turut menonjolkan pencapaian keselamatan kukuh bagi rangkaian kenderaan elektrik hibridnya.

Chery TIGGO 7 PHEV telah memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP dengan skor tertinggi 94.68 sepanjang masa.

Chery Malaysia turut menawarkan jaminan bateri lanjutan sehingga 10 tahun atau 200,000 kilometer merangkumi pek bateri, motor pemacu, dan unit kawalan kenderaan.

Perlindungan menyeluruh ini direka untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggan, menyokong keyakinan pemilikan jangka panjang serta mengukuhkan fokus Chery terhadap teknologi hibrid yang boleh dipercayai.

Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia menjelaskan penawaran model PHEV mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap aspek keselamatan serta keyakinan pemilikan.

“Daripada menjalankan ujian keselamatan yang ketat dan ekstrem, menyediakan sokongan jaminan bateri jangka panjang, hinggalah pencapaian skor 5-Bintang ASEAN NCAP, setiap elemen ini dibina atas komitmen jangka panjang kami untuk melindungi pelanggan.

“Pencapaian ini adalah tentang menyampaikan model PHEV yang lengkap menggabungkan prestasi keselamatan terbukti, teknologi yang boleh diharap, serta jaminan sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” ujarnya lagi.

Kempen Golden Test Drive Proton e.MAS tawar 30 jongkong emas, dari 13 April hingga 17 Mei 2026

Pro-Net selaku anak syarikat milik penuh Proton mengumumkan Kempen Golden Test Drive Proton e.MAS bermula 13 April hingga 17 Mei 2026.

Kempen terbaharu ini mengajak rakyat Malaysia untuk merasai pengalaman mobiliti elektrik dengan memandu uji model berikut:

Dengan tema 30 Jongkong Emas dalam 30 Hari, kempen ini menawarkan 30 unit jongkong emas seberat 3g untuk dimenangi sepanjang lima minggu berturut-turut.

Cara penyertaan

Terdapat empat langkah mudah untuk menyertai kempen ini:

  1. Ikuti Proton e.MAS di media sosial (Instagram, Facebook, Tiktok atau Xiao Hong Shu)
  2. Kunjungi mana-mana pengedar rasmi Proton e.MAS
  3. Pandu uji dan buat tempahan mana-mana model Proton e.MAS
  4. Lengkapkan borang dan hantar penyertaan melalui pengedar rasmi yang terlibat

Seramai enam pemenang dari seluruh negara akan dipilih setiap minggu untuk membawa pulang jongkong emas seberat 3g.

Hadiah utama eksklusif

Selain itu, kempen ini turut menawarkan hadiah utama eksklusif termasuklah:

  • 1x Hadiah Utama – Percutian 5H4M untuk dua orang ke Gold Mine Tour, Australia
  • 3x Hadiah Gold Class – Jongkong emas 5g

Golden Roadshow di lokasi terpilih

Proton akan mengadakan Golden Roadshow dengan membawakan barisan EV lebih dekat kepada rakyat Malaysia di beberapa lokasi terpilih:

  • Queensbay Mall, Penang (15-19 April)
  • AEON Melaka (19-24 Mei)
  • East Coast Mall, Kuantan (24-28 Jun)

Toyota GR Yaris 2026 kini tiba di Malaysia dengan roda stereng DNA perlumbaan

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan kemas kini bagi model hot hatch Toyota GR Yaris 2026.

Perubahan yang ketara dibawakan sudah pasti rekaan roda stereng yang diinspirasikan daripada sukan permotoran.

Toyota GR Yaris iMT

Berbanding model sedia ada, GR Yaris kini dilengkapi roda stereng dengan diameter lebih kecil.

Ia juga turut menampilkan susun atur suis serba baharu untuk aspek kawalan yang lebih tepat dan lebih fokus semasa pemanduan agresif.

Toyota GR Yaris dikuasakan enjin 3-silinder sebaris 1.6L turbo G16E-GTS menghasilkan 300 PS dan 400 Nm.

Toyota GR Yaris AT

Pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 5.2 saat.

Hot hatch tersebut kini ditawarkan pilihan transmisi 6-kelajuan iMT atau 8-kelajuan Direct Automatic Transmission (DAT).

Di Malaysia, Toyota GR Yaris dijual pada harga dari RM315,600.

Jenama ZXMoto bakal masuk Malaysia, Mforce dilantik sebagai pengedar eksklusif

Mforce Bike Holdings kini dilantik sebagai pengedar eksklusif bagi jenama motosikal baharu ZXMoto di pasaran Malaysia.

Kerjasama strategik ini bermula pada Oktober 2025 susulan kunjungan pengasas jenama ZXMoto, iaitu Zhang Xue ke kilang Mforce Pulau Pinang.

Lawatan itu menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama di rantau ini.

Hasil perbincangan konstruktif, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menjalin kerjasama, sekaligus menandakan satu langkah penting dalam industri motosikal tempatan.

Pihak Mforce sendiri telah menerima tiga buah model motosikal ZXMoto untuk menjalani ujian ketahanan di Malaysia.

Ia bagi memastikan setiap model memenuhi piawaian prestasi, ketahanan dan kesesuaian dengan keadaan jalan raya dan iklim setempat sebelum diperkenalkan secara rasmi.

Pengenalan rasmi di Malaysia Bike Show 2026

Kredit: Evan Bros. Racing

Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce mendedahkan jenama itu akan diperkenalkan secara rasmi pada 29 Mei 2026 sempena acara Malaysia Bike Show 2026.

Jelasnya lagi, semua peminat ZXMoto berpeluang menyaksikan barisan motosikal terkini termasuklah model berprestasi tinggi.

Pengujung juga boleh melihat sendiri jentera lumba yang meraih dua kemenangan dalam kelas WorldSSP di Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) Portugal.

Pengasas ZXMoto juga dijadualkan akan hadir bagi memeriahkan suasana.

Model apa yang bakal tiba di Malaysia?

ZXMoto membuat kemunculan di EICMA 2025, menampilkan barisan model motosikal yang cukup mencuri tumpuan seperti:

  • 820RRsports bike dengan enjin 3-silinder 819 cc berkuasa 135 hp
  • 820RR-R – versi lebih bertenaga dengan kuasa 145 hp
  • 820R – streetfighter dengan enjin 819 cc, kuasa 130 hp
  • 820 ADV – jentera adventure dengan enjin 819 cc, kuasa 117 hp
  • 500RR – sports bike dengan enjin 4-silinder 470 cc berkuasa 84 hp
  • 450 Rally – jentera off-road diinspirasikan oleh Rali Dakar, enjin 450 cc berkuasa 59 hp
  • 600 V – cruiser dengan enjin v-twin 578 cc

Antara model lain termasuklah motocross MX250 dan MX450, serta model enduro ZX300 dan ZX350.

Daripada senarai di atas, yang mana satu bakal masuk Malaysia nanti?

Nissan dedah teaser Skyline generasi baharu

Setelah 12 tahun berlalu, Nissan akhirnya bersedia untuk menggantikan sedan Skyline sedia ada dengan model generasi baharu.

Pengeluar Jepun itu turut sama mendedahkan beberapa keping gambar acah yang menunjukkan rupa depan dan belakang sedan sporti itu.

Ilham model Skyline terdahulu

Menurut pengarah rekaan global Nissan Alfonso Albaisa, Skyline baharu ini mengambil ilham daripada model Skyline yang lama.

Pengaruh sedan terdahulu (terutama Hakosuka) boleh dilihat pada bentuk lampu depan yang bersegi dan agresif.

Terdapat juga logo ‘S’ pada bahagian depan.

Bahagian belakang pula menampilkan unit lampu berbentuk bulat berkembar, diikuti dengan tulisan berangkai ‘Skyline’ pada bahagian fender sisi.

Buat masa ini, tiada sebarang perincian lanjut tentang spesifikasi enjin yang bakal digunakan pada model Skyline baharu ini.

Kemunculan versi GT-R?

Kehadiran sedan Skyline generasi baharu sayang sekali tidak memberikan petunjuk tentang kehadiran model baharu GT-R.

Ini kerana GT-R merupakan plet nama prestasi tinggi yang berdiri sendiri sejak berpisah daripada model R34 dan diguna pakai pada model R35 sejak tahun 2007.

Tiga model baharu selain Skyline

Dalam masa yang sama, Nissan turut mendedahkan tiga buah model serba baharu, iaitu Nissan Juke EV, Nissan Rogue/X-Trail e-Power dan Nissan XTerra.

Nissan Juke EV dibina berdasarkan platform CMF-EV, menampilkan rekaan yang jauh lebih radikal.

Nissan Rogue e-Power pula dilengkapi dengan sistem rangkaian kuasa yang terdiri daripada enjin 3-silinder dan dua motor elektrik.

Akhir sekali Nissan XTerra, sebuah SUV body-on-frame yang bakal tiba pada tahun 2028, dan membawakan rekaan hadapan yang agresif.

Proton X70 Sport Edition 2026: Terhad 600 unit, tempahan kini dibuka

Proton bakal melancarkan sebuah lagi model SUV edisi terhad pada 16 April ini, iaitu Proton X70 Sport Edition 2026.

Model baharu ini akan mula dipamerkan di bilik pameran terpilih hujung minggu ini.

Perincian X70 Sport Edition

Terhad kepada 600 unit, X70 Sport Edition ditawarkan berdasarkan varian Premium dan warna eksklusif Quartz Black.

Antara perincian pada model ini termasuklah:

  • kit badan khas (skirt hadapan, sisi dan belakang)
  • rim aloi hitam 19 inci
  • emblem Sport Edition

Untuk ruang kabin pula, terdapat ciri berikut:

  • logo Sport Edition pada tempat duduk depan
  • kemasan jahitan merah pada tempat duduk, roda stereng dan perehat tangan depan
  • dulang but

Model penting terhadap jenama Proton

Menurut Dato’ Ir Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata, “Proton X70 merupakan model penting yang mengubah persepsi pelanggan terhadap jenama Proton.

“Ia menjadi titik permulaan kepada era baharu syarikat dari segi produk, teknologi dan kerjasama global.”

“Pengenalan X70 Sport Edition menawarkan pilihan yang lebih bergaya dan eksklusif kepada pelanggan. Ia mencerminkan evolusi berterusan X70 selaras dengan jangkaan pasaran,” jelasnya lagi.

Aveta Serra 125 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM5,088

Aveta Motor Malaysia melancarkan sebuah lagi model skuter yang lebih mampu milik, iaitu Aveta Serra 125 2026.

Ia dijual pada harga dari RM5,088 atas jalan tanpa insurans.

Spesifikasi

Skuter ini dipacu oleh enjin silinder tunggal sejukan udara 124 cc menghasilkan 8.7 hp @ 7,500 rpm dan 9.5 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

Serra 125 menggunakan tetapan fork teleskopik di depan dan spring gegelung teleskopik di belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera di depan dan dram di belakang.

Antara kelengkapan lain Aveta Serra 125 termasuklah:

  • panel meter LCD
  • rak pembawa barang
  • lampu LED penuh (termasuk DRL)
  • rim 14 inci
  • tangki bahan api 6 liter
  • tinggi pelana 770 mm

Terdapat tiga warna disediakan iaitu Ash Grey, Mystic Mint dan Pixel Blue.

Aveta VS115 2026 V3 rasmi mendarat di Malaysia – harga RM3,488

Aveta Malaysia terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran Malaysia menerusi pengenalan model kapcai Aveta VS115 2026 V3.

Sesuai dengan tagline “Motor Madani, pilihan semua”, ia dijual pada harga RM3,488.

Spesifikasi

Aveta VS115 V3 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara SOHC 113 cc menghasilkan 8.7 hp @ 8,000 rpm dan 9.0 Nm @ 6,000 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan kotak gear manual empat-kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.

Kapcai ini menggunakan tetapan brek dram dan rim saiz 17 inci untuk kedua-dua roda.

 

Antara ciri lain termasuklah:

  • panel meter analog yang mudah dibaca
  • sistem penghidup elektrik/tendang
  • tangki bahan api 4 liter
  • slot pengecasan USB (Type-A & Type-C)
  • lampu isyarat belakang LED

Terdapat tiga warna disediakan iaitu biru, kelabu dan maroon.

Moto Morini X-Cape 1200 2026 rasmi di Malaysia – harga RM51,888

Moto Morini Malaysia mengumumkan ketibaan jentera adventure bersesaran tinggi Moto Morini X-Cape 1200 2026 untuk pasaran tempatan.

Motosikal ini telah diperlihatkan dalam satu acara pelancaran khas yang berlangsung di White Swan Hotel, Zhejiang pada November tahun lalu.

Ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Vortex Red dan Stone Black, jentera ini dijual pada harga RM51,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Spesifikasi

Jentera ini mendapat enjin bentangan V2 87 darjah Corsa Corta Evo sesaran 1,187 cc, menghasilkan kuasa setinggi 129 hp @ 8,750 rpm dan daya kilas 106 Nm @ 7,000 rpm.

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 220 km/j.

Terdapat lima mod tunggangan disediakan seperti All-Terrain, Off Road, Road, Sport dan Wet.


Suspensi terdiri daripada fork hadapan 48 mm jenis terbalik KYB (jarak pergerakan roda 192.4 mm) yang dibantu dengan penyerap hentak tunggal KYB dengan larasan pra-beban.

Brek pula menggunakan rotor hadapan berkembar Brembo 320 mm dengan angkup 4-omboh diikuti rotor tunggal belakang 280 mm dengan angkup 2-omboh.

Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah:

  • rim jejari 19 inci depan, 17 inci belakang
  • skrin paparan TFT 7-inci dengan sokongan Bluetooth dan fungsi pemetaan
  • port pengecasan USB (Type-A & Type-C)
  • sistem lampu LED penuh serta DRL jenis spotlight
  • tinggi pelana 840 mm
  • kamera perakam tunggangan (hadapan)
  • cermin penghadang angin boleh laras
  • pemanas bar hendal dan pelana

X-Cape 1200 turut dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti:

  • ABS dua-saluran yang boleh dinyahaktifkan
  • sistem kawalan cengkaman (TCS) boleh laras
  • kawalan jelajah
  • penukaran gear pantas
  • radar pengesan titik buta

Secara standard, pembeli akan dibekalkan dengan dua kotak simpanan sisi (34 liter kiri & 25 liter kanan), serta kotak atas sebesar 39 liter untuk memenuhi keperluan pengembaraan.

Aveta Nova 200 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM8,488

Aveta Motor Malaysia baru-baru ini melancarkan model baharu dalam siri Nova, iaitu Aveta Nova 200 2026.

Skuter sporti ini dijual pada harga RM8,488 atas jalan tanpa insurans.

Spesifikasi

Aveta Nova 200 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 183.3 cc menghasilkan 18.1 hp @ 8,000 rpm dan 17.6 Nm @ 5,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat.

Suspensi skuter ini terdiri daripada fork teleskopik di depan dan penyerap hentak gas berkembar di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera bagi kedua-dua gandar, disokong sistem ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Antara ciri lain termasuklah:

  • lampu LED berserta DRL
  • winglet aerodinamik
  • port pengecasan USB (Type-A & Type-C)
  • rim 14 inci
  • tangki bahan api 10 liter
  • tinggi pelana 778 mm
  • sistem permulaan pintar tanpa kunci
  • panel meter LCD

Tiga warna pilihan disediakan iaitu Neon Pulse, Nano Grey dan Nordic Blue.

Yohe Helmets lancar 4 produk topi keledar, harga dari RM319

Yohe Helmets merupakan satu jenama topi keledar yang baharu sahaja diperkenalkan di Malaysia.

Jenama dari pasaran China ini dibawa masuk secara rasmi oleh pihak Hodaka Motoworld Malaysia Sdn Bhd.

Untuk permulaan, Yohe Helmets membawakan dua model topi keledar jet (868-2 & 886) dan dua model topi keledar modular (P4 & FG102SV).

Yohe 868-2 (RM319-RM339)

  • Cangkerang ABS
  • Saiz S/M/L/XL/XXL/XXXL
  • Visor berkembar

Yohe 886 (RM339-RM379)

  • Cangkerang ABS
  • Saiz S/M/L/XL/XXL/XXXL
  • Visor berkembar
  • Dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia

Yohe P4 (RM439-RM479)

  • Cangkerang ABS
  • Saiz S/M/L/XL
  • Pinlock
  • Visor berkembar
  • Sistem pengudaraan baharu

Yohe FG102SV (RM1,199)

  • Gentian karbon 6K
  • Saiz S/M/L/XL/XXL
  • Visor berkembar
  • Sistem pengudaraan baharu

Kesemua model topi keledar ini hadir dengan saluran bersepadu untuk pemasangan pembesar suara interkom Bluetooth.

Paling penting, keempat-empat topi keledar ini telah mematuhi standard homologasi ECE R22.06.

 

Suzuki DR-Z4S & DR-Z4SM 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM39,888

Suzuki Malaysia melancarkan dua model motosikal dwi-sukan untuk pasaran tempatan, iaitu Suzuki DR-Z4S 2026 dan Suzuki DR-Z4SM 2026.

Pelancaran model baharu ini turut menandakan kembalinya platform lagenda DR-Z yang menjadi lambang ketahanan, prestasi serta keupayaan serba boleh.

Harga jualan bagi kedua-dua model ini bermula dari RM42,988, namun 50 pelanggan terawal layak untuk menikmati harga istimewa RM39,888.

Spesifikasi DR-Z4S & DR-Z4SM

Kedua-dua jentera ini berkongsi nadi silinder tunggal 398 cc sejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi 5-kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan sekitar 38 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 27 Nm @ 6,500 rpm.

Selain itu, kedua-dua model dilengkapi dengan Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), terdiri daripada:

  • tiga mod tunggangan Suzuki Drive Mod Selector
  • empat mod kawalan cengkaman (termasuk mod Gravel)
  • sistem ABS yang boleh dimatikan

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • pendikit ride-by-wire
  • tangki bahan api 8.7 liter
  • sistem pencahayaan LED
  • panel instrumen LCD penuh
  • suis bar hendal yang ergonomik
  • fork hadapan terbalik KYB
  • penyerap hentak tunggal KYB

Dinamik tunggangan berbeza

Biarpun hampir serupa dari segi reka bentuk serta tetapan suspensi, kedua-dua jentera ini menawarkan dinamik tunggangan yang berbeza.

Untuk model DR-Z4S, suspensi KYB tersebut ditala untuk tunggangan off-road, dengan jarak pergerakan roda 280 mm depan dan 296 mm belakang.

Model ini dilengkapi dengan rim jejari saiz 21 inci depan dan 18 inci belakang yang dibaluti tayar dwi-kegunaan.

Brek pula menggunakan tetapan cakera saiz 270 mm depan dan 240 mm belakang.

Sementara suspensi DR-Z4SM pula direka untuk prestasi maksimum dan pengendalian sporti atas jalan berturap dengan jarak pergerakan roda 260 mm depan dan 277 mm belakang.

Model ini juga dilengkapi rim saiz 17 inci yang dibaluti tayar Dunlop Sportmax Q5A yang dapat memberikan cengkaman yang lebih baik.

Tinggi pelana DR-Z4S adalah sekitar 920 mm sementara model DR-Z4SM pula menawarkan pelana setinggi 890 mm.

Warna

Suzuki DR-Z4S ditawarkan dalam pilihan warna Champion Yellow dan Solid Iron Gray.

Suzuki DR-Z4SM pula hadir dengan pilihan warna Sky Gray dan Solid Special White.

 

Suzuki DR-Z4S 2026

Suzuki DR-Z4SM 2026

Honda Access lancar pakej aksesori “Bulldog Style” untuk Super-ONE, imbau kenangan City Turbo II

Bakal pembeli Honda Super-ONE EV kini boleh dapatkan pakej aksesori tulen “Bulldog Style” daripada Honda Access.

Ia direka untuk menonjolkan karakter yang lebih sporti, serta personaliti unik untuk EV kompak ini.

Senarai aksesori menarik untuk Super-ONE

Sekali imbas, ia dilihat sebagai satu penghormatan kepada model klasik Honda City Turbo II 1983 yang turut digelar “Bulldog” oleh golongan peminatnya.

Lebih-lebih lagi jika dilihat pada set decal sisi Bulldog yang menggunakan semula gaya tulisan City Turbo II.

Model asal memaparkan tulisan “Turbo II With Intercooler”, namun pada Honda Super-ONE ia membawakan mesej era baharu: “Bulldog With Electric Power”.

Terdapat juga spoiler tailgate berlekuk untuk imej yang lebih agresif, diikuti lampu kabus dwi-warna (putih atau kuning), serta rim ME-027 saiz 15 inci.

Akhir sekali, Super-ONE ini dikemaskan dengan pakej logo H hitam, serta emblem nama model dalam kemasan gelap.

Pelancaran rasmi tahun ini

Honda dijangka akan melancarkan model ini di pasaran Jepun menjelang pertengahan tahun ini.

Dengan berat sekitar 1,090 kg, Super-ONE EV merupakan antara kereta elektrik yang ringan di dalam kelasnya.

Ia juga mempunyai titik graviti yang lebih rendah berbanding kereta petrol setara, dan mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 274 km (data WLTC).

EV ini juga menawarkan mod pemanduan khas “Boost” yang mampu melonjakkan kuasa daripada 63 hp kepada 94 hp untuk pecutan yang lebih bertenaga.

Selain itu, ia mampu mensimulasikan penukaran gear tujuh-kelajuan dan sistem kawalan bunyi aktif yang meniru bunyi enjin pembakaran dalaman.

Mengikut laporan rakan media Paultan, model ini juga dijangka masuk pasaran Malaysia kelak.

Pusat 3S Leapmotor Glenmarie Cycle & Carriage dibuka secara rasmi

Cycle & Carriage mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S penuh pertama Leapmotor di Lembah Klang yang terletak di Glenmarie.

Ia merupakan outlet Leapmotor Cycle & Carriage yang kedua di Lembah Klang dan yang keempat di seluruh negara.

Kemudahan tersedia

Pusat 3S Leapmotor Glenmarie ini menampilkan identiti korporat yang terkini yang menawarkan persekitaran yang moden dan premium.

Dengan keluasan 22,497 kaki persegi dan keluasan binaan 14,120 kaki persegi, ia menawarkan kemudahan seperti:

  • ruang pameran yang boleh memuatkan tujuh kenderaan
  • ruang istirehat pelanggan
  • ruang mezanin
  • bilik perbincangan peribadi
  • bilik serahan khas
  • ruang pejabat khusus

Bahagian bengkel pula menempatkan lima ruang servis dan pembaikan, ruang cuci kereta dan ruang perincian kereta yang disokong oleh gudang alat ganti yang besar.

Terdapat sehingga 18 ruang parkir, dua pengecas AC dan satu pengecas DC yang disediakan.

Waktu operasi adalah seperti berikut:

  • Isnin-Sabtu (8 pagi-6 petang)
  • Ahad & Cuti Umum (11 pagi-5 petang)

Pusat servis pula dibuka dari jam 8 pagi-5 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi-12 tengah hari setiap Sabtu. Ia ditutup setiap Ahad & cuti umum.

Pusat 1S dan 3S baharu

Cycle & Carriage turut merancang memperluas rangkaian Leapmotor dengan pusat 3S dan 1S baharu pada masa akan datang.

Ia termasuklah pusat 3S di Johor Bahru serta pusat 1S tambahan di Petaling Jaya dan tanah besar Pulau Pinang.

Honda Vario 125 Street 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM7,468

Boon Siew Honda mengumumkan ketibaan model skuter baharu Honda Vario 125 Street 2026 untuk pasaran Malaysia.

Ia ditawarkan dalam pilihan warna putih atau ungu dengan harga jualan dari RM7,468.

Spesifikasi Vario 125 Street

Skuter ini dipacu oleh enjin silinder tunggal 125 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 11.3 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 11.9 Nm @ 5,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik CVT.

Skuter ini tampil unik dan tersendiri, disumbangkan oleh lampu utama LED yang tajam dan agresif yang digandingkan dengan rekaan bar hendal terdedah yang diilhamkan daripada skuter kembara.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Skuter ini menggunakan sistem brek kombinasi (CBS) cakera hidraulik dan dram mekanikal.

Antara kelengkapan lain yang tersedia termasuklah:

  • skrin paparan digital LCD
  • port pengecasan USB Type-C
  • sistem pencahayaan LED penuh
  • ruang bawah pelana 18 liter
  • sistem kunci pintar
  • rim 14 inci
  • tinggi pelana 769 mm
  • tangki bahan api 5.5 liter

Proton X50 kini ditawarkan dalam warna baharu Quartz Black

Proton mengumumkan penawaran warna baharu Quartz Black bagi model SUV Proton X50.

Ia merupakan susulan kepada kejayaan pengenalan model X50 Black Edition yang dilancarkan Mac lepas, dengan 200 unit habis terjual.

Momentum jualan kukuh

Sepanjang Mac 2026, Proton X50 terus mencatatkan momentum jualan yang kukuh dengan 3,265 unit terjual.

Ia sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai SUV popular di Malaysia bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini (7,571 unit).

Proton turut menawarkan pakej komitmen selepas jualan yang komprehensif bagi memberikan kemudahan dan ketenangan minda kepada pemilik.

Antaranya ialah:

  • servis asas pantas dalam tempoh 90 minit bagi pelanggan yang membuat tempahan awa
  • jaminan kenderaan disiapkan dalam tempoh 24 jam untuk kerja penyelenggaraan menyeluruh
  • kereta gantian & servis percuma (termasuk kos upah & alat ganti) jika pembaikan mengambil masa lebih tiga hari bekerja

Proton X50 facelift dilancarkan secara rasmi pada Julai tahun lepas, menampilkan perubahan besar luar dan dalam.

Ia turut hadir dengan enjin empat silinder 1.5 liter turbo menghasilkan 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan kotak gear DCT 7-kelajuan.

Untuk pasaran tempatan, SUV ini dijual pada harga seperti berikut:

• Proton X50 Executive – RM89,800
• Proton X50 Premium – RM101,800
• Proton X50 Flagship – RM113,300

Wing Hin Motorsports tonjol aksi cemerlang di pusingan pembukaan TGR GR86/BRZ Clubman Series Jepun

Wing Hin Motorsports menunjukkan aksi cemerlang di pusingan pembukaan Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series yang berlangsung baru-baru ini.

Program pembangunan pemandu Wing Hin Motorsports menampilkan Mitchell Cheah (Malaysia) yang dibantu oleh rakan sepasukan Jordan Johan (TGR Indonesia).

Untuk info, Wing Hin Motorsports merupakan juara keseluruhan bagi Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series yang berlangsung tahun lepas.

Aksi debut mantap

Biarpun kali pertama berlumba di Jepun, Chean, 28 tahun menunjukkan aksi mantap dengan menamatkan perlumbaan di tangga kedua.

Menurut Cheah, antara persiapan yang dibuat termasuklah menghabiskan masa dengan simulator untuk membiasakan diri dengan Litar Autopolis.

Beliau juga turut menjalani ujian singkat dengan jentera tersebut sebelum minggu perlumbaan, memandangkan ia bukanlah sebuah kereta yang senang untuk dikuasai.

Rakan sepasukannya, Jordan Johan menghabiskan perlumbaan di tangga keenam, naik satu posisi daripada kedudukan ke-7 dalam pusingan kelayakan.

Kedua-dua pelumba tersebut dibimbing oleh Masahiro Sasaki, pelumba Gazoo Racing dan Rookie Racing yang turut menerajui usaha Wing Hin Motorsports membuka laluan pembangunan bakat Asia.

Medan sebenar tajam kemahiran pemandu

Menurut Pengurus Pasukan Wing Hin Motorsports, program ini bukan sekadar memberikan masa ujian dan latihan, tetapi perlumbaan sebenar untuk mempercepat pembelajaran dan mempertajam kemahiran pemandu.

“Ini merupakan keputusan yang kukuh untuk memulakan musim ini, namun proses pembangunan akan diteruskan, dan kedua-dua pemandu mengakui cabaran di hadapan akan menjadi lebih sukar.

Terdapat tujuh pusingan dalam kalendar TGR GR86/BRZ Cup 2026 untuk tahun ini:

  • Autopolis (pusingan pembukaan)
  • Sugo (16-17 Mei)
  • Okayama (27-28 Jun)
  • Tokachi (8-9 Ogos)
  • Fuji (5-6 September)
  • Suzuka (3-4 Oktober)
  • Motegi (21-22 November)

Jaecoo 7 model terlaris di UK sepanjang Mac 2026, varian PHEV paling laku!

Jaecoo 7 dinobatkan sebagai kenderaan yang paling laris terjual di pasaran UK sepanjang Mac 2026.

Ini merupakan kali pertama sebuah model buatan China menerajui pasaran tersebut.

Varian PHEV paling laku

Sepanjang bulan lepas, Jaecoo mencatatkan pendaftaran 7 sebanyak 10,064 unit, mengalahkan model-model popular lain seperti
Ford Puma, Nissan Qashqai, Kia Sportage dan Vauxhall Corsa.

Dengan 15,559 unit didaftarkan setakat tahun ini, Jaecoo 7 kian menghampiri pemegang rekod Ford Puma dengan jualan sebanyak 16,128 unit.

Menurut Jaecoo, versi plug-in hybrid (PHEV) merupakan varian yang paling laku, menyumbang kepada 85 peratus daripada jumlah jualan sepanjang Mac.

Di UK, Jaecoo 7 dijual pada harga bermula £29,105 (RM155k) untuk versi petrol, dan mencecah £35,175 (RM188k) untuk versi PHEV.

Angka jualan meningkat

Pasaran UK juga menyaksikan peningkatan prestasi jualan sebanyak 6.6 peratus kepada 380,627 unit.

Berikut merupakan pecahan bagi setiap segmen kenderaan sepanjang bulan tersebut:

  • Petrol – 43.6 peratus
  • Kenderaan elektrik (EV) – 22.6 peratus
  • Hibrid (HEV) – 15.8 peratus
  • Plug-in hybrid (PHEV) – 13 peratus
  • Diesel – 4.9 peratus

10 kenderaan terlaris sepanjang Mac 2026:


1. Jaecoo 7 (10,064 unit)
2. Ford Puma (9,193 unit)
3. Nissan Qashqai (8,718 unit)
4. Kia Sportage (7,310 unit)
5. Vauxhall Corsa (6,315 unit)
6. Volvo XC40 (6,311 unit)
7. MG HS (6,135 unit)
8. VW Golf (5,890 unit)
9. Tesla Model Y (5,177 unit)
10. BMW 1-Series (4,936 unit)

 

10 kenderaan terlaris setakat tahun 2026:


1. Ford Puma (16,128 unit)
2. Jaecoo 7 (15,569 unit)
3. Kia Sportage (14,190 unit)
4. Nissan Qashqai (12,853 unit)
5. Vauxhall Corsa (10,552 unit)
6. Volvo XC40 (9,288 unit)
7. VW Golf (9,176 unit)
8. MG HS (9,147 unit)
9. Nissan Juke (8,512 unit)
10. MINI Cooper (8,109 unit)

 

 

Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia ditangguhkan

GTA Co. Ltd bersama Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd mengumumkan penangguhan acara Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia yang sepatutnya diadakan pada pertengahan tahun ini.

Keputusan tersebut dibuat setelah penilaian menyeluruh terhadap situasi global semasa terutama konflik di Timur Tengah.

Ia memberikan cabaran besar dari segi operasi dan logistik, memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya lokasi penganjuran Super GT di luar Jepun.

Selain itu, peningkatan mendadak kos kargo antarabangsa dan tambang penerbangan menjejaskan kemampuan untuk menganjurkan perlumbaan pada standard yang dijangkakan oleh kejuaraan, rakan kongsi serta para peminat.

Autobacs Super GT akan kembali ke Malaysia

Fahrizal Hassan, Rakan Kongsi Pengurusan Haro Sports & Entertainment mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kefahaman mereka dalam situasi mencabar ini.

“Perlumbaan (Super GT) akan kembali ke Malaysia, dan kami komited untuk menjadikannya dua kali lebih hebat,” jelasnya lagi.

Masaaki Bandoh, Presiden dan CEO GTA menambah, “Keputusan ini memang sukar, namun kami menghargai kefahaman peminat Jepun, peserta, penaja dan media.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Haro Sports dan semua pihak di Malaysia agar peminat di sini dapat menikmati aksi Super GT sekali lagi,” ujarnya.

Kedua-dua pihak GTA dan Haro Sports menegaskan komitmen mereka untuk membawa semula Super GT ke Malaysia apabila keadaan kembali stabil dan selamat.

Maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa.

Auto Bavaria lancar dua MINI Countryman edisi terhad

Bersempena musim perayaan, Auto Bavaria memperkenalkan dua model MINI Countryman edisi terhad, iaitu Shadowline dan Stealth.

Dihasilkan dalam unit terhad, setiap satu direka bagi pelanggan yang menghargai keistimewaan individu yang tersendiri.

MINI Countryman Edisi Shadowline membawakan kemasan luar hitam berkilat, digandingkan dengan jalur bonet untuk penampilan yang anggun.

Pemilik juga akan menerima kamera Leica Edisi Terhad sebagai badiah eksklusif.

Sementara MINI Countryman Edisi Stealth pula menampilkan kemasan luar hitam kusam,

Seiring dengan keunikannya, pemilik akan menerima set hadiah eksklusif berupa:

  • Beg kembara MINI
  • Pakaian premium MINI John Cooper Works
  • Tinta Solar Premium

Pelanggan yang mendapatkan MINI Countryman edisi Shadowline atau Stealth juga berpeluang menikmati tawaran perayaan menarik serta menyertai Sime Motors Raya Gold Rush.

Kedua-dua model edisi terhad ini boleh didapati di bilik pameran Auto Bavaria MINI di seluruh negara dalam tempoh tertentu sahaja.

MINI Countryman Shadowline

MINI Countryman Stealth