fbpx

Lambretta X250, G350 dilancarkan secara rasmi di Malaysia

Lambretta X250_Red_02

SELEPAS mengumumkan kemasukannya ke pasaran Malaysia pada April lalu, jenama skuter klasik Lambretta kini dengan secara rasminya melancarkan X250 dan G350.

Direka dengan daya tarikan klasik dan teknologi moden, X250 tampil dengan enjin silinder tunggal, sejukan cecair bersesaran 250 cc yang menjana 24.8 hp pada 8,250 rpm dan 24.5Nm pada 6,2500 rpm.

Model ini mempunyai ukuran panjang 1,922 mm, lebar 741 mm, tinggi 1,117 mm dan jarak roda 1,370 mm. Kapasiti tangki bahan apinya adalah 7 liter manakala berat keringnya mencecah 165 kg.

X250 mempunyai kerangka separa monocoque yang dipadankan dengan penyerap hentak berkembar pada bahagian depan dan belakang. Ia menggunakan rim berukuran 12 inci, dengan tayar 120/70 di depan dan 130/70 di belakang.

Selain itu, ia didatangkan dengan lampu LED, gabungan meter analog dan paparan LCD, brek cakera depan dan belakang berserta ABS untuk meningkatkan aspek keselamatan.

Sementara itu, G350 pula merupakan penawaran premium yang diinspirasikan dari dunia fesyen Milan. Ia mempunyai ‘nadi’ berupa enjin 330 cc silinder tunggal dengan sejukan cecair yang menghasilkan 25.8 hp pada 7,500 rpm dan 25.5Nm pada 6,250 Nm.

Dari segi saiz, ia sedikit lebih besar berbanding X250 dengan ukuran panjang 1,956 mm, lebar 770 mm, tinggi 1,129 mm dan tapak roda 1,400 mm. Ia mempunyai tangki bahan api berkapasiti 9.5 liter, dengan berat kering 173 kg.

G350 dibina menggunakan kerangka monocoque keluli dan mempunyai penyerap hentak berkembar depan dan belakang untuk sistem suspensinya. Ia juga menggunakan rim berukuran 12 inci namun dengan tayar Pirelli.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan lampu LED depan dan belakang, paparan digital TFT dan pengecas USB yang diletakkan di dalam kompartmen.

Sistem keselamatannya pula merangkumi brek cakera berukuran 240 mm pada bahagian depan dan belakang, serta ABS.

Harga jualan X250 dan G350 masing-masing bermula dari RM22,800 dan RM29,800. X250 ditawarkan dalam warna perak, hijau, putih, hitam dan kuning, manakala G350 pula boleh didapati dalam warna merah, putih dan hitam.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved