Rolls-Royce dedah enjin V10 hibrid baharu, 1475 hp tapi bukan untuk sedan mewah
Sebagai sebuah jenama automotif mewah, Rolls-Royce sebelum ini mengesahkan kesemua kereta keluarannya pada masa hadapan akan dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik bateri.
Namun, sebuah lagi syarikat Rolls-Royce yang berasingan baru sahaja mendedahkan enjin serba baharu, iaitu nadi hibrid bentangan V10 berkuasa 1,475 hp.
Berbeza dengan divisyen automotif, Rolls-Royce Holdings bertanggungjawab membangunkan unit enjin yang dikhususkan untuk kegunaan tentera.
Enjin V10 hibrid yang dimaksudkan itu merupakan sebahagian daripada mtu Series 199 yang terdiri daripada enjin enam dan lapan silinder, dan merupakan siri enjin yang paling laris terjual untuk kegunaan kenderaan tentera.
Sama seperti sistem hibrid yang terdapat pada kereta-kereta biasa, nadi diesel V10 tersebut boleh digunakan untuk mengecas pek bateri.
Kuasa elektrik daripada pek bateri itu tadi boleh digunakan secara terus oleh sistem elektrik kenderaan tanpa menghasilkan pencemaran bunyi atau jejak haba, sekaligus menyukarkannya dikesan oleh pihak musuh.
Selain itu, sistem hibrid ini sangat berguna ketika sedang memecut serta pemanduan berkelajuan tinggi.
Secara standard, ia mampu menjana kuasa setinggi 1,100 kW (1,475 hp), namun ketua unit pembangunan Rolls-Royce Power System, Christian Wolf mendedahkan pihaknya kini membangunkan versi yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,200 kW (1,609 hp).
Seperti yang telah disebutkan tadi, enjin V10 hibrid ini hanya dikhususkan untuk kegunaan tentera, dan ia tidak akan muncul dalam mana-mana kereta atau hypercar hibrid (kalau ada) daripada jenama automotif Rolls-Royce.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.