fbpx

Kos servis Nissan Kicks e-Power cecah RM3,624 untuk 100,000 km/5 tahun pemilikan

Nissan Kicks e-Power media drive 05

Dilancarkan pada Disember lalu di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, Nissan Kicks e-Power menggalas tugas berat bagi memacu kebangkitan semula Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Untuk pasaran Malaysia, Kicks e-Power diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Kita mendapat model generasi pertama versi facelift yang sebenarnya telah dilancarkan di negara itu empat tahun lalu.

Walaupun bukan produk yang paling segar di pasaran, ia menawarkan sesuatu yang baharu untuk pembeli kereta di Malaysia iaitu trenkuasa e-Power.

Tidak seperti sistem hibrid konvensional, enjin pembakaran dalaman di dalam sistem e-Power tidak menggerakkan tayar. Tugasnya adalah untuk mengecas bateri 2.1 kWj dan bateri itu pula akan menggunakan kuasa untuk memacu gandar depan.

Kedengaran menarik tetapi berapakah kos penyelenggaraannya?

Untuk perbatuan 10,000 km, 20,000 km, 50,000 km dan 70,000 km, pelanggan perlu membelanjakan sebanyak RM252.80 untuk penukaran minyak hitam, penapis minyak, pan washer dan pemeriksaan multipoin.

Ketika odometer mencecah angka 30,000 km, 60,000 km dan 90,000 km, pihak Nissan akan menggantikan penapis pendingin hawa, menjadikan kos keseluruhan RM367.80.

Untuk perbatuan 40,000 km dan 80,000 km pula, bendalir brek DOT3 akan digantikan bersama-sama dengan minyak hitam, penapis minyak dan pan washer. Untuk dua perbatuan ini, kos keseluruhan mencecah RM468.80.

Setelah odometer mencecah enam angka, anda perlu membelanjakan RM571.80 untuk servis yang melibatkan penukaran minyak hitam, penapis minyak, pan washer, palam pencucuh serta pemeriksaan multipoin.

Menurut ETCM, harga-harga yang disebut termasuk kos buruh tetapi tidak termasuk cukai perkhidmatan 8%.

Penukaran pertama untuk cecair penyejuk (coolant) akan dibuat pada perbatuan 160,000 km dan akan digantikan setiap 80,000 km. Penyejuk inverter pula akan mula ditukar pada 200,000 km dan seterusnya setiap 80,000 km.

Konklusi

Kos keseluruhan servis berkala Nissan Kicks e-Power adalah kira-kira RM3,624 untuk perbatuan 100,000 km/lima tahun pemilikan. Ini bermakna secara purata, pemilik perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM724.80 setahun atau RM60.40 sebulan untuk servis.

Pengiraan ini penting kerana selain bayaran ansuran, pelanggan juga perlu mengambil kira kos servis serta kos-kos lain seperti petrol, insurans dan tol sebelum membuat keputusan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved