fbpx

Yamaha XSR155 Zeus kustom di Thailand, 100 unit habis licin beberapa jam sahaja!

Yamaha XSR155 Zeus Custom 06

ADA sebab mengapa motosikal Yamaha XSR155 begitu digemari di pasaran-pasaran Asia seperti Thailand. Ia dijual pada harga yang mampu milik, mudah dikendalikan dan mungkin yang paling menarik untuk pembeli-pembeli daripada golongan muda, mempunyai potensi tinggi untuk dikustomkan.

Menyedari potensi yang ada pada model ini, Yamaha Thailand menjalinkan kerjasama dengan Zeus Custom, pembuat motosikal kustom yang cukup popular di negara itu, untuk menawarkan XSR155 edisi khas.

Hanya 100 unit akan dihasilkan dan menurut laporan, kesemuanya habis terjual dalam masa beberapa jam selepas pelancaran.

Sentuhan pakar-pakar dari Zeus Custom berjaya mengubah penampilan XSR155 dari sebuah motosikal standard kepada café racer retro yang bergaya.

Secara keseluruhannya, imej baharu model ini tidaklah keterlaluan namun cukup untuk membuatkan ia menonjol biarpun dikelilingi oleh jentera-jentera lain di jalan raya.

Bagi mendapatkan penampilan ini, bar hendal yang asal dibuang dan digantikan dengan bar hendal jenis clip-on yang lebih rendah, manakala fender hadapan dan belakang dipotong.

Ini secara tidak langsung membuatkan motosikal ini kelihatan lebih kompak dan sporti pada masa yang sama.

Selain itu, Zeus Custom turut menggunakan unit baharu untuk lampu utama bagi memastikan ia berada pada ketinggian yang sama dengan bar hendal tersebut.

Sudah tentu, penampilannya sebagai sebuah café racer tidak akan lengkap tanpa kehadiran pelana nipis dengan tekstur ribbed serta balutan kulit hitam dan coklat.

Akhir sekali, bahagian-bahagian yang berwarna hitam seperti enjin, ekzos dan rim dipadankan dengan skema warna kelabu matte.

Logo Zeus Custom pada tangki minyak pula memberikan peringatan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya bahawa motosikal ini merupakan hasil tangan mereka yang pakar.

Bagaimanapun, sentuhan Zeus Custom terhad kepada aspek penampilan sahaja. Seperti versi standard, XSR155 edisi khas ini dikuasakan oleh enjin empat lejang bersesaran 155cc silinder tunggal dengan teknologi VVA yang menjana 19hp.

Ia juga kekal dengan fork teleskopik di hadapan, penyerap monoshock di belakang, brek cakera tunggal serta rim aloi berukuran 17-inci.

Harga XSR155 yang dikustomkan oleh Zeus Custom ini tidak dinyatakan, namun ia sudah pastinya lebih mahal jika dibandingkan dengan versi standard yang dijual pada harga 91,500 baht (kira-kira RM11,488).

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved