GWM Malaysia catat prestasi terbaik H1 2026, sasar momentum positif menjelang akhir tahun
GWM Malaysia mengumumkan prestasi terbaik sepanjang tempoh separuh pertama 2026.
Sepanjang enam bulan pertama, GWM Malaysia merekodkan penghantaran sebanyak 3,166 unit, atau peningkatan sebanyak 42.4% tahun-ke-tahun.
Momentum jualan terus mengukuh daripada 1,294 unit suku pertama (Q1) kepada 1,872 unit pada suku kedua (Q2), dengan pertumbuhan sebanyak 44.7%.
Haval H6 HEV paling laris
Daripada jumlah tersebut, Haval H6 HEV mencatatkan jumlah jualan tertinggi dengan peningkatan daripada 656 unit kepada 895 unit.
Wey G9 Hi4 PHEV merekodkan pertumbuhan daripada 421 unit (Q1) kepada 707 unit (Q2), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai MPV mewah paling laris di Malaysia.
Sementara itu, Ora Good Cat EV hampir menggandakan jualan suku tahunannya dengan pertumbuhan 93% suku-ke-suku.
Jangka momentum positif menjelang akhir tahun
GWM Malaysia menjangkakan momentum positif menjelang akhir tahun 2026.
Keyakinan ini disokong oleh peningkatan penerimaan pengguna terhadap teknologi hibrid, diikuti barisan portfolio model yang semakin berkembang.
Selain itu, GWM Malaysia turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan PUA 402, serta penambahbaikan Akta Sewa Beli yang dijangka mengukuhkan keyakinan pengguna dan menyumbang kepada ekosistem automotif lebih sihat.
Jalin kerjasama dengan TnG
GWM Malaysia turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Touch ‘n Go dalam usaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan.
Menerusi kerjasama ini, setiap kenderaan baharu GWM yang didaftarkan mulai 1 Ogos 2026 akan hadir dengan tag RFID berjenama Touch ‘n Go x GWM sebagai kelengkapan standard.
Kemudahan ini membolehkan pelanggan menikmati pengalaman pembayaran tol yang lebih lancar dan mudah sejak hari pertama pemilikan.
Program ini hanya terpakai untuk pendaftaran kenderaan di Semenanjung Malaysia sahaja.
Promosi Merdeka
Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, GWM melancarkan kempen dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.
Pelanggan yang menempah kenderaan baharu sepanjang tempoh dan melengkapkan pendaftaran selewat-lewatnya 30 September 2026 layak untuk mengambil bahagian.
Enam pelanggan bertuah berpeluang untuk memenangi pulangan tunai tol sehingga RM1,000.
Untuk tempoh masa terhad, pelanggan juga boleh menikmati penjimatan sehingga RM30,000 bagi model-model terpilih sepanjang bulan Ogos.
Selain itu, GWM akan mengadakan sesi pratonton bagi model Ora 5 HEV yang akan berlangsung di pengedar terpilih di seluruh negara.
Dalam masa terdekat, GWM akan menganjurkan program jelajah di lokasi berikut:
- Vivacity Megamall, Kuching (30 Julai – 2 Ogos 2026)
- CarSifu Autoshow, Mid Valley Megamall (12 – 16 Ogos 2026)
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



