Arkib Tag: wrc

Proton Arena dengan jajan GTi di UK, untuk dijual RM14.7k sahaja!

PROTON Arena adalah antara model syarikat nasional itu yang tidak berapa laku semasa dijual dulu, tetapi kini menjadi buruan. Harganya masih keras, tinjauan ringkas kami di laman jualan menunjukkan harga masih sekitar RM25,000 hingga RM35,000.

Namun di United Kingdom (UK), terdapat sebuah Proton Arena untuk dijual pada harga £2,500 (RM14,739) sahaja! Arena dikenali sebagai Proton Jumbuck di pasaran-pasaran eksport seperti UK dan Australia.

Bukan sahaja harganya cukup menarik, malah unit Proton Jumbuck berwarna kuning ini siap ‘disalin’ dengan barang-barang Satria GTi!

Ini dapat dilihat pada bampar depan, fender sisi, dan bahagian dalaman seperti papan pemuka, tempat duduk Recaro, pedal, dan karpet original GTi. Aduh hensem…

Menurut pemiliknya, Paul Atkinson yang mengiklankan Jumbuck ini di laman Proton gti owners UK di Facebook, enjinnya juga adalah dari GTi, iaitu unit 4G93P 1.8-liter 16 injap.

Proton Jumbuck GTi ini dicat dengan warna kuning yang memberikannya imej sporti. Kemudian ia diberikan imej rali dengan barangan seperti cermin sisi WRC, mud flap, rim Momo 15-inci putih, dan paling penulis suka, sepasang lampu spot light bulat di depan!

Menurut Atkinson, Jumbuck ini hendak dijual kerana ada terdapat perubahan pada perancangannya. “Ia semakin sukar didapati kini, terutamanya yang telah dimodifikasi.”

“Ia sering mendapat banyak pujian dan agak laju (sekitar 140hp), enjin Evo generasi awal boleh ditukar terus,” katanya.

“MOT sehingga Ogos 2024, 100,000 batu, dan kereta berada di Grantham, Lincolnshire,” tulis Atkinson.

Bayangkan kalau Proton Arena sebegini ada di Malaysia, harganya pasti mencecah RM55,000 dengan mudah. Mungkin lebih. Ini kerana spesifikasi lain padanya cukup menggiurkan juga.

Berikut kami senaraikan apa yang dikongsi oleh Atkinson:

Modifikasi:

  • Enjin dan kotak gear Satria GTi (1.8 16v)
  • Hockley exhaust manifold
  • Custom stainless exhaust
  • Pipercross induction kit
  • Satria GTi interior
  • Deep dish steering wheel
  • Rear view camera
  • CB radio
  • Satria GTi body kit (front bumper & arches)
  • Evo front suspension
  • 15” Momo alloys (recently refurbed)
  • 195 50 15 Avon ZV7 tyres (new)
  • WRC style mirrors
  • WRC style mud flaps
  • Rally spot lights
  • Truckman cab
  • LED rear work lights
  • Air horns
  • Tow bar
  • Rear step

GR Yaris versi WRC oleh Toyota Jerman, terhad 300 unit sahaja

TOYOTA Gazoo Racing WRT membuat kemunculan dalam World Rally Championship di rali Monte Carlo 2017 dengan Yaris WRC. Sejak itu, Toyota telah memperoleh tidak kurang dari 33 kemenangan, empat kejuaraan pengeluar, dan lima kejuaraan pemandu.

Toyota Jerman mengambil serius pencapaian ini, dan mahu meraikan kejayaan Gazoo Racing dengan versi khas GR Yaris. Dikenali dengan GR Yaris WRC, versi ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 300 unit.

Sayangnya, ia juga terhad untuk pasaran Jerman sahaja, dan agak mahal, pada 42,490 Euro (RM216,354). Walaupun tidak semahal GR Yaris di Malaysia, ia masih mahal berbanding hatchback-hatchback kompak lain di pasaran sana.

Ada lagi berita buruk, kerana Toyota Jerman tidak akan sewenang-wenangnya menjual GR Yaris WRC ini kepada sesiapa yang mempunyai dana. Mereka yang berminat perlu membuat permohonan online sebelum 4 Disember ini.

Mereka yang terpilih mempunyai masa 14 hari untuk menyempurnakan tempahan mereka, dan penyerahan akan dibuat pada musim panas 2024.

GR Yaris WRC ini akan dipacu oleh enjin sama 1.6-liter turbo 3-silinder dengan kotak gear manual dan sistem pacuan semua-roda GR-Four.

Tetapi ia akan turut mendapat High Performance Package yang merangkumi LSD Torsen, rim aluminium 18-inci, suspensi prestasi tinggi, dan angkup brek berwarna merah dengan tulisan GR.

Kesemua 300 unit juga akan diberikan setup khas yang unik untuk setiap pelanggan. Tiada maklumat terperinci didedahkan berkenaan hal ini, tetapi setup ini akan menggunakan kepakaran dari pihak WRT.

Akhir sekali, pelanggan diberi pilihan dua warna iaitu putih atau merah.

Perkara lain tidak berubah dari GR Yaris biasa, termasuklah output 257hp, pecutan 0-100 dalam 5.5 saat, dan kecekapan bahan api sekitar 9.8 liter per 100km.

Subaru Impreza WRX STI 22B unit 000/400 akan dilelong, bermula RM2.37 juta sahaja

SATU cebisan sejarah automotif moden yang cukup bermakna dan penting akan dilelong dalam satu acara tidak lama lagi. Cebisan sejarah yang dimaksudkan ialah Subaru Impreza WRX STI 22B 1998 yang pernah menjadi milik mendiang Colin McRae.

Buat adik-adik generasi Tiktok, AI, dan sunatlaser, Colin McRae ialah seorang pemandu lagenda rali kelahiran British dan pernah menjadi warga British pertama memenangi World Rally Championship (WRC). Beliau juga membawa Subaru menjadi juara pengeluar WRC bagi 1995, 1996, dan 1997.

Baik, berkenaan Subaru Impreza 22B ini pula, ia merupakan satu dari tiga prototaip yang pernah dihasilkan, dari 425 unit pengeluaran kesemuanya. Tetapi unit yang akan dilelong ini merupakan yang terawal, dengan plak 000/400!

Impreza 22B hanya hadir dalam bentuk badan coupe 2-pintu, tidak seperti Impreza biasa dengan 4-pintu. Ia dikeluarkan sempena meraikan ulang tahun ke-40 Subaru dan juga kejuaraan ketiga berturut-turut mereka dalam WRC.

Colin McRae dan pembantunya Nicky Grist diberikan prototaip 22B ini dengan nombor binaan serupa 000/400.

22B milik McRae menggunakan nombor pendaftaran S447YOX, manakala 22B milik Grist menggunakan nombor S446YOX.

Di bawah hud dengan skop udara itu ialah enjin 2.2-liter 4-silinder bentangan Boxer yang menghasilkan 280PS dan sekitar 363Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan dan klac plat berkembar serta pacuan semua roda.

Unit Subaru Impreza 22B ini akan dilelong dalam acara Silverstone Auctions pada 26 Ogos depan. Harga ditawarkan adalah antara £400,000 hingga  £500,000 (antara RM2.37 juta hingga RM3 juta). Anda boleh lihat jentera yang akan dilelong itu di sini.

Prodrive P25 akhirnya didedahkan – Jelmaan Subaru Impreza B22 moden, 400hp, 25 unit sahaja

DALAM dunia Subaru dan pentas rali, hanya beberapa kereta yang betul-betul menjadi idaman para peminat, antaranya adalah Impreza 22B dari era 1990an. Hanya 424 pernah dihasilkan, tetapi Prodrive baru-baru ini mengumumkan akan menjelmakan semula Impreza 22B versi 2022.

Dan ini dia tuan-tuan dan puan-puan, perkenalkan Prodrive P25, akhirnya didedahkan. Setiap Prodrive P25 ini diasaskan dari casis Subaru Impreza dua-pintu.

Dari situ, Prodrive memulakan pengubahsuaian dengan memberikan lambakan karbon. Boleh dikatakan hampir semua komponen luaran adalah dari komposit karbon, termasuklah spoiler belakang WRC yang besar padanya.

Begitu juga di bahagian dalam, lebih banyak karbon digunakan seperti pada panel pintu serta tempat duduk ringan. Prodrive tidak memberikan sebarang angka rasmi, tetapi P25 ini mempunyai berat kurang dari 1,200kg disebabkan penggunaan karbon tadi.

Selain dari itu, unit janaan kuasa adalah dari Subaru moden iaitu enjin 2.5-liter boxer 4-silinder. Prodrive menaiktaraf enjin ini dengan bahagian dalam lebih kukuh, kemudian menambah turbo untuk menjana lebih 400hp.

Enjin ini digabungkan dengan kotak gear sequential 6-kelajuan, dan sudah tentu sistem pacuan semua-roda. Prodrive juga menambah sistem launch control ala WRC. Ini membolehkan P25 memecut ke 100km/j dalam hanya 3.5 saat.

Perubahan seterusnya meliputi bahagian suspensi, dimana Prodrive P25 ini mendapat topang McPherson dengan penyerap hentak boleh-laras. Spring dan bar anti-oleng juga dioptimakan untuk menakluki selekoh-selekoh jalanan.

Untuk brek pula, Prodrive P25 dilengkapi cakera 15-inci dengan kaliper 6-omboh, terletak di dalam rim Prodrive 19-inci.

Papan pemuka P25 menampilkan paparan berdefinisi tinggi yang boleh memaparkan maklumat seperti data pemanduan serta pelbagai mod untuk jalanan dan litar.

Prodrive menawarkan P25 dengan konfigurasi empat tempat duduk, tetapi jika anda mahukan roll-cage, tempat duduk belakang akan ‘dibuang’.

Hanya 25 unit akan dibina dan harganya pasti tidak murah. Prodrive P25 ini berharga dari £460,000 (RM2.48 juta) sebelum cukai VAT.

Prodrive P25 ini dijangka membuat kemunculan di Goodwood Festival of Speed 2022.

Skoda Fabia RS Rally2 taruhan terbaharu untuk 2022 – 1.6-liter turbo dengan 289hp/430Nm

NAMA Skoda mungkin jarang bermain di bibir peminat-peminat kereta sport namun mereka yang mengikuti WRC tahu bahawa pengeluar dari Republik Czech itu adalah antara pasukan yang disegani dalam sukan rali.

Untuk saingan dalam kategori Rally2 tahun ini, Skoda Motorsport akan menempatkan taruhan terbarunya iaitu Fabia RS Rally2. Ia dibangunkan berasaskan model Fabia generasi keempat yang diperkenalkan kira-kira setahun lalu.

Jika dibandingkan dengan jentera sebelumnya (Fabia Rally2), jentera baharu ini tampil dengan trenkuasa yang dioptimumkan, manakala aspek aerodinamik, elektronik, pengendalian dan keselamatan turut diberikan penambahbaikan.

Sejajar dengan peraturan yang ditetapkan oleh FIA, Fabia RS Rally2 dikuasakan oleh enjin turbo 1.6-liter empat liter yang menghasilkan 289hp dan 430Nm. Ia berasaskan enjin 2.0 TSI yang digunakan secara meluas dalam portfolio Volkswagen Group.

Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi 5-kelajuan sequential. Untuk memastikan ia mempunyai cengkaman yang secukupnya ketika beraksi, Skoda turut memasang differential mekanikal pada gandar hadapan dan belakang.

Transmisi berkenaan diberikan nisbah gear yang pendek untuk meningkatkan prestasi pecutan. Walaupun kelajuan maksimum tidak begitu penting dalam arena rali, Fabia RS Rally2 masih boleh mencapai kelajuan 200km/j.

Untuk casis pula, Fabia RS Rally2 dilengkapi dengan topang MacPherson yang dikatakan lebih tegar berbanding sebelum ini, serta strok peredam yang lebih panjang. Saiz rim dan cakera brek pula bergantung kepada peringkat perlumbaan.

Sebagai contoh, rim untuk permukaan asfalt berukuran 18-inci, dengan cakera 355mm di depan dan 300mm di belakang. Untuk permukaan berbatu (gravel) pula, rim 15-inci dan cakera 300mm depan dan belakang akan digunakan.

Untuk aerodinamik, Skoda Motorsport mendakwa Fabia RS Rally2 mampu menjana downforce dua kali ganda lebih tinggi berbanding model yang digantikannya. Ini disumbang oleh tirai udara dan splitter pada bampar hadapan, serta skirt sisi baharu. Skup udara yang terletak di atas bumbung pula bertindak untuk menyalurkan udara segar ke dalam kabin.

Turut tidak dilupakan adalah ciri keselamatan. Untuk model ini, syarikat itu menambah baik aspek impak sisi menerusi penggunaan sangkar keselamatan baharu, struktur penyerap tenaga yang diperbuat daripada busa serta panel pintu yang dibentuk menggunakan campuran karbon dan kevlar.

Jentera Ford Focus WRC Colin McRae yang ikonik ini akan dilelong, harga anggaran RM1.9 juta!

PEMINAT sukan rali sudah pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi dengan mendiang Colin McRae yang pernah memegang rekod kemenangan terbanyak dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan 25 kemenangan.

Tidak dinafikan, namanya mungkin lebih sinonim dengan Subaru yang membantu beliau merangkul kejuaraan dunia pertamanya pada 1995, namun tahukah anda bahawa McRae juga pernah bersama Ford?

Bagi saingan musim 1999, McRae menukar angin dengan menyertai pasukan Ford World Rally Team yang dioperasikan oleh M-Sport. Jentera Ford Focus WRC (Y4 FMC) yang dilelong oleh Silverstone Auctions ini membantu McRae memenangi banyak perlumbaan, termasuk yang paling sukar ketika itu iaitu The Safari Rally di Kenya.

Malah, pelumba kelahiran Scotland itu pernah hampir merangkul gelaran dunianya yang kedua dengan kereta ini namun terlepas disebabkan kemalangan teruk di peringkat keempat kejohanan Rally Great Britain.

Kesan daripada kejadian itu, kejuaraan dunia bagi musim 2001 menjadi milik Richard Burns yang mendahului McRae dengan perbezaan hanya dua mata.

Walaupun mengalami kerosakan yang teruk, Y4 FMC berjaya dibaik pulih oleh pasukan M-Sport dan digunakan semula oleh McRae dalam beberapa pusingan Kejohanan Rali Dunia pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, hayatnya tidak lama apabila ia dijual kepada pasukan lain untuk bersaing dalam siri kejohanan rali British Trials and Rally Drivers Association (BTRDA) selama beberapa tahun.

Selepas dibersarakan dari bertanding, Y4 FMC direstorasi semula kepada livery dan spesifikasi asal musim 2001. Ia masih membuat kemunculan-kemunculan awam namun bukan di atas litar berpasir seperti di zaman kegemilangannya, sebaliknya di acara pertunjukan seperti Goodwood Festival of Speed.

Menurut Silverstone Auctions, Focus WRC Y4 FMC ini masih boleh dipandu dan mudah untuk dikendalikan, walaupun pada hakikatnya ia merupakan sebuah kereta rali sebenar dengan pacuan empat roda, transmisi berjujukan dan sistem suspensi dan brek mengikut spesifikasi WRC.

Syarikat itu menjangkakan bidaan antara £300,000 hingga £350,000 (RM1.7 juta hingga RM1.9 juta). Pembeli bukan sahaja mendapat sesuatu yang boleh disifatkan sebagai koleksi berharga, malah juga fail lengkap yang mengandungi sejarahnya sebelum dan selepas WRC, artikel akhbar, FIA Passport Technique, kertas-kertas homologasi dan juga maklumat terperinci mengenai modifikasi dan cara pemanduan oleh M-Sport.