fbpx

Skoda Fabia RS Rally2 taruhan terbaharu untuk 2022 – 1.6-liter turbo dengan 289hp/430Nm

skoda fabia rs rally2 05

NAMA Skoda mungkin jarang bermain di bibir peminat-peminat kereta sport namun mereka yang mengikuti WRC tahu bahawa pengeluar dari Republik Czech itu adalah antara pasukan yang disegani dalam sukan rali.

Untuk saingan dalam kategori Rally2 tahun ini, Skoda Motorsport akan menempatkan taruhan terbarunya iaitu Fabia RS Rally2. Ia dibangunkan berasaskan model Fabia generasi keempat yang diperkenalkan kira-kira setahun lalu.

Jika dibandingkan dengan jentera sebelumnya (Fabia Rally2), jentera baharu ini tampil dengan trenkuasa yang dioptimumkan, manakala aspek aerodinamik, elektronik, pengendalian dan keselamatan turut diberikan penambahbaikan.

Sejajar dengan peraturan yang ditetapkan oleh FIA, Fabia RS Rally2 dikuasakan oleh enjin turbo 1.6-liter empat liter yang menghasilkan 289hp dan 430Nm. Ia berasaskan enjin 2.0 TSI yang digunakan secara meluas dalam portfolio Volkswagen Group.

Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi 5-kelajuan sequential. Untuk memastikan ia mempunyai cengkaman yang secukupnya ketika beraksi, Skoda turut memasang differential mekanikal pada gandar hadapan dan belakang.

Transmisi berkenaan diberikan nisbah gear yang pendek untuk meningkatkan prestasi pecutan. Walaupun kelajuan maksimum tidak begitu penting dalam arena rali, Fabia RS Rally2 masih boleh mencapai kelajuan 200km/j.

Untuk casis pula, Fabia RS Rally2 dilengkapi dengan topang MacPherson yang dikatakan lebih tegar berbanding sebelum ini, serta strok peredam yang lebih panjang. Saiz rim dan cakera brek pula bergantung kepada peringkat perlumbaan.

Sebagai contoh, rim untuk permukaan asfalt berukuran 18-inci, dengan cakera 355mm di depan dan 300mm di belakang. Untuk permukaan berbatu (gravel) pula, rim 15-inci dan cakera 300mm depan dan belakang akan digunakan.

Untuk aerodinamik, Skoda Motorsport mendakwa Fabia RS Rally2 mampu menjana downforce dua kali ganda lebih tinggi berbanding model yang digantikannya. Ini disumbang oleh tirai udara dan splitter pada bampar hadapan, serta skirt sisi baharu. Skup udara yang terletak di atas bumbung pula bertindak untuk menyalurkan udara segar ke dalam kabin.

Turut tidak dilupakan adalah ciri keselamatan. Untuk model ini, syarikat itu menambah baik aspek impak sisi menerusi penggunaan sangkar keselamatan baharu, struktur penyerap tenaga yang diperbuat daripada busa serta panel pintu yang dibentuk menggunakan campuran karbon dan kevlar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved