Arkib Tag: video

Toyota akan guna pita aluminium untuk tambah baik GR Corolla 2024

SESEBUAH kereta akan biasa menerima perubahan-perubahan kecil yang tidak diwar-warkan sepanjang tempoh ia dijual. Pengeluar mungkin mengubah bentuk pengikat, menambah baik komponen yang mungkin rosak, atau mencari jalan agar kosnya boleh direndahkan.

Bagi Toyota GR Corolla 2024, tidak banyak yang berubah melainkan beberapa perkara; bolt baharu, sepasang corong udara, dan empat keping pita aluminium untuk aerodinamik lebih baik.

Kami tertarik berkenaan perkara terakhir, iaitu pita aluminium. Bagaimana benda yang sebegitu ringkas, ringan, dan murah boleh memberikan kesan dari segi aerodinamik. Sudah tentu ia memerlukan kajian mendalam dan ujian saintifik, takkanlah jurutera memandai pula, bukan?

Gambar oleh: Youtube Ken Gushi

Dalam satu video disiarkan oleh Ken Gushi menunjukkan perjalanannya memasang komponen 2024 pada kereta GR Corolla 2023 miliknya, pita pelekat itu dilihat sebagai satu naik taraf yang pelik juga baginya.

Pita itu hadir dalam pakej naik taraf 2024 bersama bolt subframe belakang baharu, bolt stereng baharu, corong udara, dan pita yang disebut tadi.

Anda mungkin menyangka pita itu akan membantu menutup ruang udara atau mengukuhkan bahagian fleksibel, sebaliknya ia mengawal discas elektrostatik.

Konsep ini telah dipatenkan oleh Toyota. Kereta menjana cas positif semasa dipandu, dan udara di sekitar itu juga dicas. Bila dua benda dicas positif bersentuh, udara di persekitaran itu terganggu.

Menurut Car Watch, idea ini telah wujud sejak pertengahan 2010 dan mula diuji pada Toyota 86. Semasa pembangunan model 86 facelift, jurutera Toyota mula mengenal pasti ‘kelakuan’ tidak konsisten dalam kalangan unit kereta ujian, terutamanya bila bahan bampar depan ditukar dari spesifikasi prototaip kepada spesifikasi produksi.

Ini menjurus kepada kajian discas elektrostatik dan penemuan bahawa pita aluminium menyelesaikan masalah ini dan secara magiknya menambah baik aerodinamik.

Drag race dengan bunyi paling merdu – Porsche Carrera GT vs Lexus LF-A

KERETA yang laju memang seronok, tetapi kereta laju dengan bunyi merdu pasti lebih baik. Enjin V10 dikatakan antara nadi paling merdu pernah dihasilkan.

Jika dilihat banyak kereta-kereta yang disenarai sebagai mempunyai bunyi paling merdu kebanyakannya menggunakan V10, sebagai contoh Porsche Carrera GT dan Lexus LF-A. Dan kedua-dua kereta ini akan berentap untuk perlumbaan drag paling merdu.

Yang mana lebih pantas? Kita akan ketahuinya hari ini.

Perlumbaan drag istimiewa ini diatur oleh laman Youtube Hagerty. Sebelum Carrera GT dan LF-A digandingkan, mereka membandingkan beberapa jentera 5-silinder.

Tetapi yang kita hendak fokuskan hari ini ialah jentera 10-silinder V10.

Wakil dari Jepun, LF-A yang merupakan supercar yang dihasilkan antara 2010 hingga 2012, dan hanya 500 unit pernah dikeluarkan.

Nadinya ialah unit 4.8-liter V10 72-darjah dengan sistem VVT-i. Ia menjana 553hp dan 480Nm tork, kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear automated-manual 6-kelajuan.

Sementara itu dari Jerman pula ialah Carrera GT, yang dikeluarkan sekitar 2004 hingga 2006, sejumlah 1,270 unit pernah dibina.

Porsche dengan enjin tengah ini dipacu oleh enjin V10 bersesaran 5.7-liter, cukup untuk 603hp dan 590Nm tork. Tidak seperti LF-A yang menggunakan kotak gear automatik, Carrera GT menghantar kuasa ke roda belakang melalui transmisi manual 6-kelajuan.

Jadi, yang mana akan memenangi perlumbaan kali ini? Jemput tonton video di bawah. Jika anda mahu terus ke perlumbaan antara Carrera GT dan LF-A, boleh terus ke minit 9:00.

Kenderaan tidak berhenti walaupun lampu pejalan kaki hijau, inilah Malaysia!

BANDAR raya seperti Kuala Lumpur pastinya sibuk dengan kenderaan dan pejalan kaki, terutamanya pada waktu puncak.

Baru-baru ini seorang lelaki meluahkan rasa kecewa apabila pengguna jalan raya di bandar raya ini tidak memberhentikan kenderaan walaupun lampu isyarat bertukar warna merah dan lampu lintasan pejalan kaki berwarna hijau.

Hijaz Ridzwan berkongsi satu video pendek berdurasi 15 saat di akaun Facebook miliknya tentang hal ini. Katanya, dia dan keluarga sedang berjalan dari hotel ke KLCC.

“Apabila sampai pedestrian crossing (lintasan pejalan kaki), alangkah terkejutnya kami apabila tidak ada satu pun kereta berhenti walaupun lampu mereka dah merah,” tulisnya.

“Nasib baik anak-anak tak terus lari lintas jalan. Selamat datang ke KL.”

Dia turut menambah dalam nota tambahan bahawa mereka melihat dengan mata sendiri bahawa lampu isyarat untuk kereta bertukar merah, bukannya isu lampu rosak.

Perkongsian itu telah mendapat lebih 3,400 Like, 1,800 komen dan 4,000 Share semasa artikel ini ditulis.

Ia mendapat pelbagai respon dari warganet yang rata-ratanya mengecam tindakan pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan lampu isyarat dan tidak meghormati pejalan kaki.

Kami memang bersetuju dengan komen warganet kerana pengguna jalan raya patut peka dengan sebarang isyarat, halangan atau papan tanda di depan. Kita semua belajar benda yang sama semasa mengambil lesen memandu, bukan?

Tetapi kita juga boleh mengambil kira faktor-faktor lain seperti papan tanda sebelum lintasan pejalan kaki, adakah ia jelas memaparkan maklumat, adakah ia dalam keadaan baik dan tidak dilindungi pokok dan sebagainya.

Mungkin juga faktor lintasan pejalan kaki yang kadang-kadang tidak konsisten, ada di tempat yang tidak disangka. Kebiasaannya, lintasan pejalan kaki diletakkan di simpang-simpang dengan lampu isyarat.

Jika diletakkan di jalan lurus yang panjang, terdapat kemungkinan pengguna jalan raya tidak perasan atau terpaksa brek mengejut di saat-saat akhir.

Apa pun, pandu dan tunggang dengan selamat semua, dan sama-sama kita hormati pejalan kaki.

Ini cara betul pandu Toyota GR Corolla, demo oleh Ken Gushi

TOYOTA GR Corolla semakin mendapat perhatian dan pelancaran global dijangka dibuat hujung tahun ini. Baru-baru ini, AutoGuide.com mengadakan satu sesi dimana pemandu Formula Drift Toyota, Ken Gushi berkongsi cara memandu sebenar dan menunjukkan kebolehan hot hatch itu di litar dan juga dirt (permukaan rali).

“Ini Toyota GR Corolla, dan kami akan tunjukkan kepada anda bagaimana memandunya di litar dan di dirt, dengan cara Gazoo,” katanya.

Gushi membuat perkongsian agak mendalam mengenai tips pemanduan asas lumba yang boleh diamalkan sesiapa sahaja sama ada di litar atau dirt.

GR Corolla dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang memberikan kelincahan serta cengkaman diperlukan dalam semua situasi pemanduan.

Perkongsian Gushi meliputi teknik membrek dan mengambil selekoh, sambil menerangkan perbezaan pengendalian kereta itu di litar berbanding di dirt.

Gushi juga berkongsi teknik betul untuk melakukan heel-and-toe bagi melancarkan pertukaran gear, mengekalkan keseimbangan kereta, seterusnya menjimatkan catatan masa di litar.

Toyota GR Corolla ini walaubagaimanapun dilengkapi kotak gear 6-kelajuan dengan sistem iMT (intelligent Manual Transmission) yang mampu membantu pemandu melakukan teknik heel-and-toe agar dapat lebih fokus kepada pemanduan.

Tetapi pemandu sejati pastinya mahu mematikan iMT ini dan melakuakan heel-and-toe sendiri.

Toyota GR Corolla dikuasakan oleh enjin sama dengan GR Yaris, iaitu 1.6-liter 3-silinder turbo yang mampu menghasilkan 300hp dan 370Nm tork.

Hatchback ini juga mempunyai mod pemanduan (Normal, Sport dan Track) yang akan menukar nisbah agihan kuasa antara gandar depan dan belakang.

Tonton video demonstrasi Ken Gushi di bawah, berapa ramai antara anda yang tahu mengenai teknik-teknik yang dikongsi?

Saksikan kereta kawalan radio (RC) drag race dengan Honda NSX dan F1 Red Bull, boleh menang?

DRAG race sudah menjadi kebiasaan di siaran Youtube Carwow, mereka telah menggandingkan bermacam jenis kenderaan. Antaranya trak pikap, lori, malah jentera Formula Satu. Jadi apa pula selepas ini?

Terbaharu, mereka meletakkan sebuah Honda NSX dan jentera Formula 1 di garisan permulaan. Tetapi kali ini ada pencabar ketiga, dan saiznya sangat kecil. Ya, kerana ia sebuah kereta kawalan radio (RC).

Sudah tentu bukan kereta RC sebarangan untuk berlumba dengan F1 dan supercar. Sebaliknya ianya adalah Arrma Limitless, iaitu kereta RC yang dikatakan memegang rekod kelajuan tertinggi di dunia. Dengan modifikasi tertentu, video-video di Youtube menunjukkan Limitless mampu mencapai kelajuan melebih 220km/j.

Sebelum berlumba, mari kita lihatkan sedikit spesifikasi ringkas dan angka-angka penting setiap kereta.

Untuk Honda NSX, di belakang kabinnya terdapat enjin 3.5-liter twin-turbo V6 berserta tiga motor elektrik (dua di tayar depan, dan satu membantu enjin di belakang). Ini menjadikannya sebuah supercar pacuan semua-roda (AWD).

Gabungan enjin dan motor elektrik menjana 581hp, 645Nm tork, dan pecutan dibantu oleh Launch Control.

Jentera F1 pula merupakan Red Bull Racing RB7 dari 2011. Walaupun sudah 10 tahun, F1 ini tetap berprestasi tinggi.

Enjinnya berkapasiti 2.4-liter V8 yang mampu menghasilkan 750hp, lebih berkuasa dari NSX tadi. Malah, F1 ini juga jauh lebih ringan, dengan berat hanya sekitar 750kg. Ia juga dipandu oleh seorang lagenda iaitu David Coulthard.

Berkenaan pencabar unik kali ini, Arrma Limitless bukan sahaja sangat ringan, ia juga mempunyai motor yang sangat berkuasa, pacuan semua-roda dan stereng aktif yang akan membantu ‘pemandunya’ memastikan kereta sentiasa bergerak lurus di kelajuan tinggi.

Dari segi harga, kereta RC Arrma Limitless paling murah antara dua lagi kereta (sudah tentu), tetapi jika Limitless menang drag race ini, kira membazir lah beli supercar atau F1 mahal-mahal kan?

Oh kami tidak mahu ‘spoil’ keputusan perlumbaan ini, maka anda harus tonton sendiri untuk ketahui keputusannya.

Inilah rupa Proton Iriz dan Persona 2021 – lancar 5 Ogos!

VIDEO teaser atau acah untuk Proton Iriz dan Persona 2021 telah didedahkan oleh Proton hari ini, seperti anda boleh tonton di bawah.

Kali terakhir hatchback dan sedan segmen-B Proton itu dikemaskini adalah pada tahun 2019. Jadi, apa yang baharu untuk 2021?

Proton Iriz Active

Untuk Iriz, nampaknya hatchback ini mengenakan gaya lebih rugged untuk membawakan imej ala SUV, boleh dilihat dengan cladding di sekeliling badan serta rel bumbung. Gaya ini sama seperti Perodua Axia Style.

Iriz Active juga dilihat mendapat rim multi-spoke baharu, dan model berwarna merah dalam video ini digandingkan dengan bumbung hitam.

Bahagian dalam juga diberikan kemasan berwarna merah – dilihat pada konsol tengah dan skrin infotainmen. Kemasan sama juga terdapat pada tempat duduk dengan jahitan merah.

Harus diingat nama Iriz Active ini belum rasmi, jadi sama-sama kita tunggu semasa pelancarannya Khamis nanti.

Proton Persona MC2

Proton Persona ini secara tidak rasmi dikenali sebagai MC2 atau Minor Change 2. Dapat dilihat panel pintunya dilengkapi kemasan kulit coklat.

Persona juga menampilkan rim baharu dengan 6-bilah dan jika anda nampak ia seperti lebih besar, ya anda tidak salah. Ia kini bersaiz 16-inci, 1-inci lebih dari sebelumnya. Nampaknya Proton mendengar maklum-balas dan kritikan anda semua!

Sama seperti Iriz, Persona juga dilihat mempunyai unit infotainmen floating atau jenis ‘terapung’, dan corong pendingin hawa dialih ke bawah.

Boleh kita jangkakan bahawa ia akan mendapat fungsi arahan suara “Hi Proton” yang boleh mengawal fungsi seperti cermin sisi dan pendingin hawa – sebelum ini hanya kawalan radio.

Selain itu, kedua-dua kereta menampilkan logo baharu Proton berbentuk bulat, bampar baharu, dan lampu LED. Berminat? Anda boleh layari ke sini.

Ini 9 model Mitsubishi paling lejen sepanjang masa

MITSUBISHI terkenal menghasilkan kereta-kereta padu dan ikonik seperti Evo, Pajero dan 3000GT. Jenama Mitsubishi boleh dikatakan antara jenama untuk enthusiast atau peminat tegar kereta, sama seperti Mazda dan Subaru.

Sebab itu kadang-kadang kereta mereka kurang laku sebab enthusiast tak ramai, dan jenama yang laku ialah yang menghasilkan kereta praktikal dan mudah dipandu untuk pemandu biasa.

Apa pun, mari kita lihatkan model-model Mitsubishi paling lejen sepanjang zaman. Peminat Mitsubishi wajib tahu!

1. Colt Galant GTO GSR Coupe 1975

Kereta-kereta sports Jepun pada tahun 1970-an banyak mengambil inspirasi Ford Mustang dan Colt Galant GTO GSR ini tidak terkecuali.

GTO bermaksud Gran Turismo Omologato, dan Galant ini disasarkan terus kepada Ford Capri, Opel Manta dan Toyota Celica.

Ia mendapat enjin 2.0-liter Astron 80, cukup untuk 115hp serta kelengkapan sporti seperti tepat duduk bucket, gril honeycomb, wheel arch khas, dan lampu belakang ala Mustang.

2. Lancer (A70) 1600 GSR

Inilah dia ‘atuk’ kepada Lancer Evo, dan telah mendominasi rali Group A. Enjin 1.6-liter 4-silinder padanya cukup lasak, membolehkan kereta ini memenangi Safari Rally Kenya dua kali (pada 1974 dan 1976).

3. Starion

Kalau korang peminat Jackie Chan, mesti biasa nampak. Mitsubishi Starion ini bukan setakat jadi bintang filem di Asia, tapi juga di Hollywood, dalam filem Cannonball Run 2.

Selain itu, Mitsubishi Starion juga cukup berjaya di litar, pernah memenangi perlumbaan SCCA (Sports Car Club of America).

Starion merupakan antara kereta Jepun pertama yang menggunakan enjin turbo lengkap dengan suntikan bahan api elektronik. Kira canggih untuk masa itu.

Satu kisah menarik mengenai namanya, ada yang berkata sebab Jepun susah menyebut ‘Stallion’, jadi mereka guna nama Starion.

Tapi ada juga yang berkata sebenarnya nama ini kombinasi perkataan ‘Star’ dan ‘Arion’. Mana satu versi yang korang rasa betul?

4. Pajero/Montero/Shogun

Tak sah rasanya kalau sebut Mitsubishi tanpa petik nama Pajero. Di sesetengah pasaran, ia juga dikenali sebagai Montero atau Shogun.

Generasi awalnya mesti biasa kita nampak, digunakan oleh JKR, polis, dan banyak jabatan kerajaan, tapi di dalam rali, Pajero cukup berjaya.

Pajero memenangi Dakar Rally sebanyak 12 kali! Ini memberikannya gelaran “King of the Desert”.

Sayang sekali nama Pajero akan ditamatkan. Edisi terakir dikeluarkan untuk pasaran Australia dengan hanya 800 unit.

5. FTO

Baik, model seterusnya ni pasti menggamit memori kaki Gran Turismo kerana ia antara kereta terawal kita dalam ‘karier’ perlumbaan.

Dalam kehidupan sebenar pun Mitsubishi FTO agak mantap, merupakan model sports FWD (front-wheel drive), dengan enjin V6 MIVEC, dihasilkan dari 1994 hingga 2000. Ia diletakkan antara model Eclipse dan 3000GT.

Betapa bagusnya kereta ini, ia memenangi anugerah Car of the Year selama dua tahun berturut-turut (1994 dan 1995) di Jepun.

6. Eclipse

Ini satu model yang cukup popular, disebabkan Need For Speed, Gran Turismo dan The Fast and The Furious.

Tapi ia bukan glamour semata-mata, Eclipse menawarkan platform mantap untuk kaki modifikasi dan track day terutamanya di pasaran Amerika.

Ia berkongsi enjin dengan Evo, jadi tiada masalah alat ganti sangat, dan banyak potensi untuk naik taraf.

7. 3000GT

Teknologi seperti aerodinamik aktif, all-wheel drive dan twin-turbo mungkin suatu kebiasaan hari ini, tapi bayangkan 20 tahun dulu, dah ada pada Mitsubishi 3000GT.

Ia lebih kepada kereta GT dan bukan sports car kerana badannya yang agak berat. Ini kerana ia padat dengan bermacam teknologi. Mitsubishi meletakkan segala teknologi dan pengetahuan mereka kepada kereta ini.

3000GT mendapat enjin 3.0-liter V6 yang manjana sekitar 324hp, kotak gear manual 5-kelajuan dan sistem agihan tork 45/55. Pecutan 0-100 ialah 5.5 saat dan untuk model VR-4, ia lebih laju; 4.8 saat.

8. Galant VR-4

Seterusnya ialah Galant VR-4, antara model Mitsubishi paling ikonik, juga terkenal di dunia rali. Kereta ini model pertama yang mendapat enjin ‘lejen’ 4G63T dengan sistem AWD dan juga four-wheel steering.

Galant VR4 dikira sedan yang agak canggih untuk zaman 80-an, pesaing terdekat dia Subaru Impreza.

9. Lancer Evo

Akhir sekali, tak lain tak bukan, Mitsubishi Lancer Evo. Ini kalau korang tak pernah dengar, tak tahu nak cakap apa lah.

Dengan latar belakang kejayaan rali, sedan high performance ini antara kereta all-wheel drive paling berjaya sepanjang masa.

Ada 10 generasi dan yang paling ikonik ialah Evo VI (atau dikenali sebagai Evo 6.5) Tommi Makinen Edition (TME). Ia dihasilkan untuk meraikan kejuaraan keempat Tommi Makinen dalam WRC.

Tapi tiada lagi produksi selepas Evo X yang terakhir. Pada 2016, satu Evo X Final Edition dikeluarkan sebagai ucapan selamat tinggal, berakhirnya satu legenda.

Mana satu dalam senarai ni yang paling ikonik bagi korang?