Arkib Tag: vellfire

UMW Toyota Motor capai jualan 10,931 unit pada Oktober, tertinggi dalam 5 tahun

UMW Toyota Motor menutup tirai bulan Oktober 2023 dengan jumlah jualan bulanan sebanyak 10,931 unit (10,709 unit Toyota, 222 unit Lexus), angka tertingginya dalam tempoh lima tahun.

Dengan pencapaian ini, jumlah jualan YTD setakat Oktober 2023 kini mencecah 87,422 unit, menunjukkan peningkatan sebanyak 9.1 peratus berbanding 80,153 unit yang dicapai dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Selaras dengan komitmennya untuk memperhalusi proses produksi, UMW Toyota Motor turut melakukan penambahbaikan berterusan di kompleks pengeluarannya di Bukit Raja dan Shah Alam, membawa kepada operasi yang lebih lancar dan peningkatan kapasiti pengeluaran.

Bukan itu sahaja, integrasi teknologi canggih dan amalan mampan di kedua-dua fasiliti juga menunjukkan dedikasi syarikat terhadap kaedah produksi yang lebih bertanggungjawab dan efisien, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam industri automotif.

Baru-baru ini, UMW Toyota Motor telah melancarkan Toyota Alphard dan Vellfire baharu bagi mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran MPV tempatan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. berkata kedua-dua Toyota Alphard dan Vellfire terus menjadi mercu tanda inovasi dan sofistikasi dalam lanskap automotif yang terus berkembang.

“Model-model baharu itu menetapkan standard baharu untuk kemewahan dan prestasi dalam segmen MPV, mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan kenderaan luar biasa yang melangkaui jangkaan.”

Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan pengalaman pembelian, UMW Toyota Motor mengadakan promosi “Celebrate the Symphony of Lights” sepanjang bulan ini.

Menerusi promosi ini, pelanggan Toyota berpeluang mendapat pembiayaan sehingga 100 peratus untuk model Toyota terpilih, dengan faedah tambahan bernilai sehingga RM15,000 untuk 12 model Toyota yang ditawarkan termasuk Toyota Vios dan Yaris baharu.

Bukan itu sahaja, program Toyota Service Savers juga menawarkan ansuran bulanan serendah RM18.

Toyota Alphard 2.4T Executive Lounge, Vellfire 2.5 dilancarkan di Malaysia

SELEPAS dibuka untuk tempahan pada Julai lalu, Toyota Alphard dan Vellfire serba baharu kini telah pun dilancarkan ke pasaran tempatan oleh UMW Toyota Motor selaku pengedar rasmi.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Alphard 2.4T Executive Lounge dijual pada harga RM538,000 tanpa insurans, manakala Vellfire 2.5 boleh didapati pada harga RM438,000 tanpa insurans.

Alphard dikuasakan oleh enjin 2.4-liter turbo T24A-FTS yang menghasilkan 278 PS dan 430 Nm, dilengkapi dengan transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan.

Sementara itu, Vellfire pula didatangkan dengan enjin 2.5-liter empat silinder 2AR-FE dengan output sebanyak 182 PS dan 235 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi jenis Super CVT-i tujuh kelajuan.

Kedua-dua model dibina menggunakan platform Toyota New Generation Architecture (TNGA) GA-K yang dikatakan 50 lebih peratus lebih tegar berbanding platform terdahulu.

Menurut Toyota lagi, penggunaan bushing getah pada kerangka pula dapat mengurangkan gegaran di dalam kabin sebanyak 30 peratus.

Platform berkenaan dipadankan dengan suspensi jenis topang MacPherson dan double wishbone. Penyerap hentak pada Alphard boleh melaraskan daya redaman mengikut frekuensi daripada permukaan jalan.

Sementara itu, Vellfire pula dilengkapi dengan Front Performance Brace yang berfungsi untuk meningkatkan ketegaran badan, sekaligus menjadikan ia lebih responsif.

Dari segi reka bentuk, Alphard dan Vellfire mengekalkan bentuk berkotak yang tipikal bagi MPV, dengan ukuran panjang 5,010 mm (5,005 mm bagi Vellfire) dan lebar 1,850 mm bagi memenuhi standard sistem parkir automatik di Jepun.

Lampu hadapan bagi kedua-dua model kini lebih langsing dan menggunakan teknologi Full LED, ditemani dengan lampu isyarat membelok berjujukan, lampu membelok (Cornering Lamps) dan lampu nyalaan siang LED. Untuk rim, kedua-dua model menggunakan rim aloi berukuran 19 inci dengan tayar 255/55.

Pilihan warna untuk Alphard adalah Platinum White Pearl, Precious Metal, Precious Leo-Bland dan Black, sementara Vellfire boleh didapati dalam warna Platinum White Pearl, Precious Metal dan Black.

Masuk ke dalam, Alphard didatangkan dengan kerusi jenis VIP dengan balutan kulit Nappa, fungsi Ottoman, pelarasan kuasa, pemanas dan penyejuk, serta buat pertama kalinya untuk Toyota, fungsi urutan.

Sementara itu, Vellfire pula mendapat kerusi eksekutif dengan balutan kulit sintetik dengan fungsi-fungsi yang sama seperti Alphard, cuma tanpa mekanisma kuasa untuk akses ke barisan belakang.

Ciri-ciri baharu lain yang terdapat Alphard termasuk meja lipat, unit kawalan jauh seperti telefon pintar untuk kawalan sistem pendingin hawa dan sistem audio, paparan berukuran 14 inci serta ioniser NanoeX.

Untuk rasa kabin yang lebih luas, Alphard dan Vellfire kini didatangkan dengan dua bumbung kaca panoramik dengan tirai yang boleh diperasikan secara berasingan.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 14 inci, sistem audio JBL dengan 15 pembesar suara, pencahayaan ambien dengan 64 warna dan Head-Up Display untuk Alphard.

Dari segi keselamatan, terdapat Toyota Safety Sense 3.0 dengan Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan Lane Tracing Assist (LTA), Road Sign Assist (RSA) dan Adaptive High Beam Assist (AHS) pada kedua-dua varian.

Selain itu, terdapat juga enam beg udara, cagak ISOFIX, Electronic Brake-Force Distribution (EBD) dengan Brake Assist (BA), Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC), Brake Hold dan Hill Start Assist Control (HAC).

Seperti semua model yang diimport dan diedarkan oleh UMW Toyota Motor, Alphard dan Vellfire didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Ada sarjan boleh pakai Alphard, Vellfire, Mercedes hasil ‘berkawan’ dengan sindiket – Ketua JSJ

HUJUNG minggu baru-baru ini hangat apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran keras terhadap mana-mana pegawai bawahannya yang masih bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Mohd Shuhaily berkata, situasi berkenaan harus diberi perhatian serius oleh setiap pegawai atasan atau penyelia dalam Jabatan dan Bahagian Siasatan Jenayah di seluruh negara.

“Dalam erti kata lain, dalam pasukan ini kelak, ada yang sanggup membunuh antara satu sama lain disebabkan duit.

“Satu sarjan boleh pakai Alphard, Vellfire, Mercedes. Perkara ini berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka,” katanya dalam Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia.

Ucapannya itu disiarkan dalam video oleh laman Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ).

Majlis amanat itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen, Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia.

Mohd Shuhaily berkata, penyeliaan oleh pegawai atau penyelia atasan ini adalah satu perkara yang sememangnya sedia ada dalam arahan penugasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau turut memberi amaran kepada semua 130 KBSJD yang gagal menjalankan tugas mengikut arahan pasukan PDRM.

“Sesiapa sahaja antara 130 orang ini yang masih gagal mengikut arahan, anda bukan sahaja saya akan tukarkan malah saya akan tulis notis cadangan di situ bahawa pegawai ini tidak layak untuk diberi kenaikan pangkat.

“Ini sebab mereka tidak layak diberi tanggungjawab menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi sedangkan dengan pangkat sedia ada pun anda gagal,” tambahnya.

Anda boleh tonton video tersebut di bawah:

Toyota Alphard, Vellfire serba baharu dibuka untuk tempahan, harga bermula RM438k

DALAM laporan prestasi jualannya bagi bulan Jun 2023, UMW Toyota Motor turut mengumumkan pembukaan tempahan bagi Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu.

Untuk pasaran Malaysia, syarikat itu akan menawarkan Alphard 2.4T Executive Lounge dan Vellfire 2.5. Kedua-dua model ini boleh ditempah di semua bilik pameran sah Toyota di seluruh negara dengan harga anggaran RM538,000 untuk Alphard dan RM438,000 untuk Vellfire.

Terdapat empat warna yang ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal, Precious Leo-Blond (Alphard sahaja) dan juga Black.

Berbeza dengan pasaran Jepun di mana Alphard ditawarkan dengan enjin 2.5-liter NA atau hibrid, Alphard untuk pasaran Malaysia dikuasakan oleh enjin turbo 2.4-liter DOHC yang dipadankan dengan transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan.

Sementara itu, Vellfire pula menampilkan enjin 2.5-liter (tidak pasti sama ada NA atau hibrid) dengan transmisi Super CVT-i tujuh kelajuan denan teknologi Sports Sequential Shiftmatic.

Menurut UMW Toyota Motor, model ini dilengkapi dengan Front Performance Brace yang dikatakan mampu memberikan pecutan yang lebih lancar serta pengendalian yang mantap dan stabil.

Selain itu, kedua-dua model itu juga akan didatangkan secara standard dengan lampu LED sepenuhnya, lampu isyarat berjujukan pada bahagian depan dan belakang, upholsteri kulit, trim kayu dan bumbung kaca panoramik.

Turut disertakan adalah sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, lampu membaca panel instrumen digital TFT berukuran 12.3 inci dengan gandingan paparan head-up, serta fungsi pemanas dan ventilasi pada tempat duduk depan dan barisan tengah.

Sebagai tambahan, tempat duduk kapten pada Alphard mempunyai fungsi urutan. Terdapat juga ciri Hybrid Long Slide yang membolehkan tempat duduk barisan kedua di dalam Alphard dan Vellfire digelongsor sehingga 480 mm.

Semua tempat duduk di dalam kedua-dua model MPV ini turut dilengkapi dengan struktur anti-getaran yang bertindak untuk mengurangkan rasa impak ketika melalui jalan yang tidak rata.

Dari segi keselamatan, Alphard dan Vellfire menampilkan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Road Sign Assist (RSA) dan Adaptive High-beam System (AHS).

Toyota Alphard, Vellfire (2023) tampil lebih luas dan mewah

MPV mewah kegemaran ramai iaitu Toyota Alphard dan Vellfire secara rasminya memasuki generasi keempat dengan pembaharuan menyeluruh melibatkan aspek casis, reka bentuk, enjin dan kelengkapan.

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, Alphard dan Vellfire kini dibina di atas platform TNGA (GA-K). Ia dikatakan 50 peratus lebih tegar berbanding platform yang digunakan pada model generasi ketiga.

Toyota Alphard

Untuk suspensi, Toyota menggunakan topang MacPherson pada bahagian depan dan double wishbone pada bahagian belakang, bersama penyerap hentak yang boleh melaras daya redaman berdasarkan frekuensi getaran dari permukaan jalan.

Selain itu, getaran pada kerusi barisan kedua juga dikurangkan sebanyak 30 peratus menerusi penggunaan bushing getah pada bingkai kusyen dan busa memori pada perehat tangan.

Penggunaan platform TNGA-K membuatkan model-model baharu ini lebih panjang berbanding sebelum ini dengan ukuran 4,995 mm, namun ukuran lebar dan tapak roda masing-masing kekal pada 1,850 mm dan 3,000 mm. Menurut Toyota, dimensi ini mematuhi saiz sistem parkir automatik di Jepun.

Seperti sebelum ini, Alphard dan Vellfire boleh dibezakan menerusi penggayaan luaran. Jika dibandingkan dengan Alphard, Vellfire mempunyai penampilan yang lebih garang dengan gril yang lebih besar, sudut bampar yang bersegi serta grafik berbentuk ‘U’ pada lampu belakang.

Reka bentuk ruang dalaman pula serupa bagi kedua-dua model, dengan konfigurasi enam tempat duduk dalam tiga barisan dan pelbagai teknologi serta kelengkapan moden.

Papan pemuka kini dilihat lebih kemas dan bersih tanpa kehadiran butang-butang dan tombol yang tidak diperlukan. Semua fungsi boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran 14 inci dan kluster instrumen digital 12.3 inci.

Bukan itu sahaja, lampu, suis dan corong pendingin hawa yang sebelum ini terletak pada bahagian sisi kini semuanya telah dipindahkan ke konsol pada bahagian siling. Terdapat juga tirai penghadang cahaya pada tingkap kiri dan kanan, serta moonroof yang boleh dibuka secara berasingan.

Walaupun ukuran tapak roda tidak berubah, Toyota mendakwa ruang kaki pada barisan kedua dan ketiga masing-masing bertambah sebanyak 5 mm dan 10 mm.

Untuk memudahkan penumpang keluar dan masuk, Alphard dan Vellfire dilengkapi dengan pemijak universal yang akan keluar pada ketinggian 220 mm dari tanah, pada bahagian kiri dan kanan kenderaan. Turut disertakan adalah pemegang panjang pada tiang C.

Untuk enjin, Alphard boleh didapati dengan enjin 2.5-liter (2AR-FE) dengan transmisi Super CVT-i atau enjin hibrid 2.5-liter (A25A-FXS) yang dipadankan dengan e-CVT.

Vellfire pula ditawarkan dengan enjin hibrid A25A-FXS yang sama dan enjin turbo 2.4-liter (T24A-FTS) dengan transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan. Kesemua varian ini boleh didapati sebagai pacuan roda depan atau empat roda (E-Four bagi varian hibrid).

Di Jepun, Alphard dijual pada harga bermula dari 5.4 juta yen (RM176,096) bagi varian Z dengan enjin 2.5-liter 2WD hingga 8.72 juta (RM284,363) untuk varian Executive Lounge dengan enjin hibrid dan pacuan E-Four.

Harga jualan Vellfire pula bermula dari 6.55 juta yen (RM213,598) untuk varian Z Premier dengan enjin 2.4-liter turbo 2WD hingga 8.92 juta yen (RM290,885) untuk varian Executive dengan enjin hibrid dan pacuan E-Four.

Ini rupa Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu

TOYOTA dikhabarkan akan mendedahkan Alphard dan Vellfire generasi baharu di Jepun pada bulan depan. Walau bagaimanapun, tauke-tauke dan para pengasas produk timbang kilo tidak perlu menunggu lagi kerana imej kedua-dua MPV mewah itu sudah pun tertiris dan tersebar di media sosial.

Seperti yang boleh dilihat, bentuk luaran Alphard dan Vellfire boleh dikatakan sama seperti kembar mereka iaitu Lexus LM, namun masing-masing mempunyai elemen reka bentuk tersendiri untuk tampil berbeza.

 

Alphard (unit berwarna putih) meneruskan tema gril besar seperti model sedia ada, namun pada hemat penulis, ia kelihatan lebih lebar. Lampunya pula telah direka semula menjadi lebih nipis dan tajam, manakala tersembunyi di bawahnya adalah kluster lampu nyalaan siang ala Hyundai Tucson.

Selain itu, rekaan bampar depan boleh dikatakan agak bersih dan kemas dengan hanya kemasan krom menegak dan trim hitam sebagai perumah lampu kabus.

Bahagian belakang juga telah direka semula. Perubahan terbesar di sini adalah tulisan ‘ALPHARD’ berlatarbelakangkan trim hitam pada bahagian tengah tailgate. Lampu masih lagi dalam bentuk melintang, namun ia dihiasi dengan grafik yang lebih menarik serta jalur-jalur krom.

Seperti biasa, Vellfire mempunyai ‘wajah’ yang lebih garang berbanding Alphard. Untuk model serba baharu ini, ia menampilkan gril yang dimuatkan dengan insert bar serta jalur krom yang ‘ditarik’ ke atas, sekaligus membuatkan bampar depannya kelihatan bersegi.

Bentuk lampu belakang tidak jauh berbeza dengan Alphard, namun Vellfire boleh dibezakan dengan kluster berbentuk U dan jalur lampu panjang pada bahagian atas.

Dari segi teknikal, Alphard dan Vellfire dibina menggunakan platform TNGA-K yang sama seperti LM baharu. Kedua-dua model ini dijangka hadir dengan pilihan enjin yang sama seperti MPV Lexus itu, iaitu enjin petrol 2.4-liter turbo dan hibrid 2.5-liter.

Lexus LM 2023 buat kemunculan, bakal kenderaan rasmi para menteri dan VIP

SALAH satu penampilan paling mendapat perhatian di Auto Shanghai 2023 yang sedang berlangsung adalah Lexus LM ini. Kini dalam generasi kedua, MPV ultra-mewah ini berevolusi dari model khas pasaran China kepada produk global.

Lexus yang merupakan jenama premium di bawah Toyota bercadang menjualnya ke lebih 60 negara. Pastinya Malaysia dalam senarai, kerana pasaran kita cukup berkenan dengan van peti ais ini. Malah Lexus LM sebelum ini juga telah dilancar di negara kita.

Dengan saiz besar dan gril depan warna badan, LM terkini telah direka semula, bahagian belakang tiada lencana tetapi diganti dengan tulisan “LEXUS”. Rimnya bersaiz 19-inci, tetapi tidak nampak begitu besar memandangkan saiz badannya yang telah bertambah.

Selain dari konfigurasi biasa tiga baris tempat duduk, Lexus LM juga ditawarkan dengan konfigurasi dua baris, empat tempat duduk. Ini paling ideal untuk dijadikan kenderaan pembawa VVIP.

Satu lagi perkara yang lebih besar dari gril depan LM ini ialah skrin 48-inci di depan tempat duduk belakang model dua baris. Lexus berkata skrin ini bukan hanya untuk hiburan, tetapi juga boleh digunakan untuk mesyuarat online.

Di bahagian konsol yang sama, terdapat peti sejuk, ruang simpanan, dan cermin peribadi dengan dua tahap pemalapan.

Penumpang belakang boleh berehat ditemani dengan lampu suasana 64-warna bersama 14 tema dan 50 warna kustom. Terdapat juga meja balutan kulit yang boleh disimpan di dalam perehat tangan bila tidak digunakan.

Satu ciri menarik ialah pengesan infra-merah di bahagian tengah atas ‘dinding’ sempadan bahagian depan dan belakang. Ianya mampu mengesan suhu penumpang belakang seperti muka, dada, peha, dan bahagian bawah kaki.

Ia juga menyukat berapa sejuk atau panas tingkap, panel kemasan, dan bahagian siling memandangkan bahagian ini terkesan oleh suhu luar. Setelah melakukan perkiraan, ia akan melaras suhu pendingin hawa kepada tahap paling selesa.

Lexus tidak mendedahkan perincian powertrain, tetapi maklumat mengatakan terdapat pilihan 2.4-liter turbo hibrid atau 2.5 hibrid. Selain rim 19-inci yang dipaparkan, akan terdapat juga pilihan rim 17-inci.

Selain itu, ketegaran casis telah ditingkatkan sebanyak 50 peratus berbanding model sebelum ini. Suspensi adaptif pula menggunakan injap omboh sensitif dalam penyerap hentak untuk mengesan permukaan jalan dan memberikan pemanduan selesa.

Keselamatan, keselesaan juga faktor penukaran Perdana kepada Vellfire – MOF

KESELAMATAN dan keselesaan menjadi antara faktor utama kerajaan memutuskan untuk menukar kereta rasmi menteri daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Proton Perdana 2.4 Premium

Faktor lain seperti yang dilaporkan sebelum ini ialah Proton tidak lagi mengeluarkan model tersebut di samping mengambil kira kos pembaikan dan penyelenggaraan.

Menurutnya, keputusan untuk menggantikan kenderaan itu dibuat pada Disember 2020 dan pada waktu itu, penggantian harus dilakukan kerana kenderaan digunakan telah tamat tempoh pajakan.

“Kereta anggota pentadbiran kerajaan telah tamat pajakan dan perlu diingatkan (penggantian perlu dilakukan) memandangkan ia melibatkan soal keselamatan dan keselesaan pengguna, di samping kos pembaikan,” kata Tengku Zafrul.

“Selain itu penyelenggaraan akan menjadi tinggi dan ketersediaan alat ganti pun makin berkurang sebab kereta itu (Proton Perdana) tidak dibuat lagi.

“Ia akan menjejaskan kelancaran penyelenggaraan anggota pentadbiran,” tambahnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH – Bayan Baru) yang bertanya keputusan kerajaan menukar kenderaan rasmi seperti diumumkan baru-baru ini.

Tambah Tengku Zafrul, kerajaan ambil maklum bahawa kenderaan tempatan perlu diberi keutamaan untuk kegunaan anggota pentadbiran.

Begitupun, katanya, Proton sendiri secara rasmi memberitahu kementerian tersebut pada dua tahun lepas bahawa mereka tidak lagi mengeluarkan model berkenaan.

Menerusi jadual sewaan yang disertakan, kadar sewaan Toyota Vellfire 2.5 adalah RM4,851.61 sebulan berbanding RM4,854.41.