Arkib Tag: undang-undang

KPDN laksana kajian kebolehlaksanaan Lemon Law di Malaysia

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Lemon Law bagi memperkasakan hak pengguna di negara ini untuk menuntut ganti rugi.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia sekiranya mereka menerima kenderaan bermotor yang rosak atau gagal mematuhi standard kualiti dan prestasi seperti dijanjikan pembekal serta tidak dapat dibaiki.

Foto AFP / Jimin LAI

“Setelah kajian selesai, satu keputusan dasar di peringkat kementerian akan dibuat sebelum penambahbaikan langkah kerja perundangan dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai sama ada Lemon Law akan diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna dalam pembelian kenderaan baharu dan terpakai sekiranya berlaku kerosakan.

Mengulas mengenai soalan tambahan Lip Eng agar Lemon Law tidak perlu melalui prosiding undang-undang seperti tribunal dan mahkamah agar pengguna dapat menuntut ganti rugi mereka, Armizan berkata, cadangan dikemukakan itu satu opsyen yang boleh dilaksanakan.

“Apa yang dicadangkan oleh Kepong (Lip Eng) satu opsyen yang saya fikir kita boleh laksanakan sebagai tindakan segera sebelum kajian menyeluruh itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan kajian kebolehlaksanaan itu juga tidak bermakna kerajaan ingin memperkenalkan undang-undang baharu.

“Sama ada kita memperkukuhkan akta perlindungan pengguna sedia ada dan pada masa yang sama kita tahu kajian ini mengambil masa.

“Kita dalam proses mempertimbangkan untuk meminda mana-mana undang-undang sedia (dan) memperkenalkan satu peraturan di bawah Akta 599 (Akta Perlindungan Pengguna 1999) untuk membolehkan proses tuntutan ini dibuat pada kadar segera,” katanya.

Undang-undang sedia ada cukup tegas, pemantauan dilakukan berterusan – Anthony Loke

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menafikan dakwaan yang mengatakan peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya di negara ini tidak tegas dalam mengambil tindakan terutama isu membabitkan pemandu lori.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan sememangnya berjalan sepanjang masa, malah ada yang telah pun diambil tindakan sehingga diheret ke mahkamah.

 

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Undang-undang kita yang sedia ada cukup tegas bukan saja bawah Akta Pengangkutan Jalan tapi juga Akta Pengangkutan Awam Darat.

“Mereka bukan saja boleh didenda sehingga RM500,000 jika didapati bersalah, malah boleh dipenjarakan serta dilucutkan hak kenderaan,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye yang meminta kerajaan mengambil pendekatan tegas mendisiplinkan sikap pemandu lori kurang berhemah susulan kemalangan yang menyebabkan dua kematian di Putrajaya baru-baru ini.

Anthony juga mengakui bukan mudah untuk kerajaan menyelesaikan isu melibatkan pemandu lori, namun pemantauan secara berterusan dilakukan.

Ujarnya, pihaknya juga memahami kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan yang berlaku, namun tidak sepatutnya mereka secara semberono mengatakan kerajaan tidak tegas dalam isu itu.

“Apa yang kita (MOT) tak tegas? Orang kata kita tak tegas dan pada masa sama pengusaha lori marah kita kerana terlalu tegas.

“Kita sampai menyita lori dan membatalkan lesen mereka. Itu memang tegas. Kadang kala orang ramai tak faham apabila semberono mengatakan JPJ tak ambil tindakan tegas,” katanya.

Tambahnya, penguatkuasaan yang dijalankan bertujuan memberi mesej kepada semua pihak terutama pengusaha supaya mematuhi peraturan jalan raya.

Kami di Engear TV setuju bahawa undang-undang sudah cukup tegas, malah bukan mudah untuk meminda undang-undang. Yang penting ialah penguatkuasaan menyeluruh dan konsisten agar pemandu lori khususnya sentiasa mematuhi undang-undang, selain keselamatan jalan raya sentiasa optimum.

Saman ekor boleh dipertikai di mahkamah – Pakar undang-undang

Pakar undang-undang, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan bahawa saman tembak laju atau saman ekor berfungsi seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sah di sisi undang-undang walaupun tidak ditandatangan.

Beliau bagaimanapun berkata, penerima notis atau pemilik kenderaan yang tidak melakukan kesalahan boleh mempertikaikan saman tersebut di mahkamah.

Menurutnya, ia hanya boleh dipertikai sekiranya tidak selaras dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana peraturan bawah akta tersebut.

“Saman ekor telah dilaksanakan berpuluh-puluh tahun. Ia berfungsi seperti AES. (Namun) AES sendiri saya tidak pernah dengar ia dipertikaikan di mahkamah.

“Untuk saman ekor, pemilik kenderaan akan menerima saman melalui pos dan perlu buat bayaran. Sekiranya gagal, penerima notis boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, tempoh tujuh hari diberikan dalam notis saman untuk pemilik kenderaan membuat bayaran atau menyatakan maklum balas mengenai kesalahan tersebut sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Di mahkamah, penerima-penerima saman boleh mempertikaikan saman tersebut dengan memberi alasan (bukti) bahawa mereka tidak melalui jalan tersebut,” jelas Nik Kamal.

Polis Johor sita lima Lamborghini yang dipandu secara berbahaya

LIMA supercar jenama Lamborghini yang dirakam memandu secara berbahaya di Lebuh Raya Senai-Desaru, Kota Tinggi pada Sabtu lalu telah pun disita pihak polis.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, pihaknya juga sudah membuka kertas siasatan terhadap lima pemandu kereta mewah berkenaan.

“Kita telah membuka satu kertas siasatan atas kes itu dan ia akan dilengkapkan dalam masa terdekat.

“Hasil ujian saringan awal air kencing kesemua pemandu terbabit adalah negatif bahan terlarang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Rakaman video berdurasi 71 saat yang tular itu memaparkan beberapa kereta Lamborghini dipercayai berkonvoi, memotong laluan secara berbahaya di lebuh raya berkenaan.

Kamarul Zaman sekali gus menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan atau undang-undang dan berhemah ketika menggunakan kemudahan awam itu.

“Kita mengalu-alukan kehadiran sesiapa saja yang ingin bercuti dan sebagainya di negeri ini, namun perlulah berdisiplin dan mengikut peraturan.

“Jalan raya dan kenderaan kini ada kamera litar tertutup, jadi berhati-hatilah. Pengguna jalan raya yang melakukan perkara tidak elok… andai dirakam dan ditularkan, ia akan menyebabkan anda diambil tindakan. Oleh itu, berhati-hati,” katanya.

Boleh guna telefon bimbit ketika memandu, dengan syarat ada alat bebas tangan atau pemegang – PDRM

PENGGUNA jalan raya yang meleret atau menyentuh skrin telefon untuk membuat atau menerima panggilan ketika memandu tidak melanggar sebarang undang-undang asalkan mereka menggunakan alat bebas tangan atau pemegang.

Menurut laporan The Star, di bawah Aturan 17A Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959, menggunakan telefon bimbit ketika memandu adalah dilarang kecuali jika ia digunakan bersama alat bebas tangan atau pemegang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Komisioner Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, peraturan tersebut jelas bahawa pengguna jalan raya tidak boleh memegang telefon bimbit semasa kenderaan bergerak atau berhenti dalam kesesakan lalu lintas atau di lampu isyarat.

“Menggunakan telefon bimbit tanpa pemegang dalam situasi sedemikian bermakna pemandu mengalihkan perhatian mereka daripada jalan raya. Ini boleh mendatangkan bahaya dan kesulitan apabila mereka dikehendaki meneruskan pemanduan apabila trafik bergerak semula,” katanya.

Tambah beliau lagi, pemandu juga boleh hilang kawalan jika mereka mencuba untuk mengambil telefon bimbit yang terjatuh di lantai sambil memandu. Ini kerana tangan perlu berada di stereng untuk menggerakkan kenderaan dengan selamat.

Tanpa alat bebas tangan atau pemegang, pemandu hanya boleh menggunakan telefon mereka ketika berhenti di ruang parkir. Bagaimanapun, mereka diingatkan untuk tidak berhenti di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah kerana ia merupakan satu kesalahan.

Ketika ditanya mengenai penggunaan jam pintar semasa memandu, Mat Kassim berkata ia dibolehkan kerana ia dianggap sebagai alat bebas tangan.

Pada 2020, pihak polus mengumumkan bahawa penggunaan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan atau pemegang semasa memandu bukan lagi kesalahan yang boleh dikompaun.

Sebaliknya, mereka yang didapati bersalah akan dibawa ke mahkamah dan dikenakan denda sehingga RM1,000 atau hukuman penjara sehingga tiga bulan. Untuk pesalah berulang, penalti akan digandakan.

Maki polis bertugas, jangan sampai anda menyesal!

SIKAP hormat-menghormati di jalan raya adalah suatu yang perlu diamalkan oleh setiap pemandu di Malaysia.

Ia bukan sahaja mencerminkan sikap budi pekerti rakyat Malaysia malah, mampu mengelak sebarang insiden tidak diingini termasuk gejala gangsterisme.

Terbaharu, insiden seorang wanita didakwa menghamburkan kata-kata kesat kepada anggota polis dalam satu sekatan jalan raya (SJR) amat mengecewakan.

Walau apa jua ‘situasi’ yang dihadapi, amat penting untuk kekal tenang dan tidak melakukan sebarang provokasi kepada penjawat awam.

Polis dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan wanita terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang turut tular di media sosial itu.

Wanita terbabit ditahan reman selama dua hari dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes lagi membabitkan pemandu jalan raya didakwa menganggu tugas penjawat awam.

Tidak berniat mengimbau kisah ‘pahit’, berikut antara kesalahan pernah berlaku untuk dijadikan iktibar.

Wanita maki polis

Seorang wanita didenda RM3,100 kerana bersalah memaki anggota polis bertugas dalam satu SJR dekat Jalan Persiaran Surian pada 31 Mac 2020.

Selain mengeluarkan kata-kata kesat, wanita itu juga dikatakan menghalang tugas penjawat awam dan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Empat lelaki halang tugas polis

Polis menahan empat lelaki di Slim River kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam pada 19 Oktober tahun lalu.

Kesemua mereka didakwa kerana tidak mengendahkan arahan polis untuk tidak berada di tempat awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tuduh polis ambil rasuah

Sepasang suami isteri menaiki sebuah lori ditahan polis selepas menuduh seorang anggota mengambil rasuah pada bulan Disember 2019.

Kedua-dua mereka dikatakan melakukan provokasi selepas ditahan polis atas pelbagai kesalahan trafik termasuk tiada lesen memandu dan insurans kenderaan.

Demikian antara tiga kes yang dapat kami senaraikan untuk dijadikan sebagai iktibar.

Untuk pengetahuan anda, terdapat banyak lagi kes individu melakukan provokasi dan menghalang tugas polis di jalan raya sehingga ke hari ini.

Nasihat kami, sentiasa patuhi dan hormati penjawat awam menjalankan tugas.

Jika anda berdepan penjawat awam yang ‘bermasalah’, sila gunakan saluran betul untuk membuat aduan.

Ketahuilah, sabar itu separuh daripada iman!