fbpx

Maki polis bertugas, jangan sampai anda menyesal!

Polis sentiasa melakukan operasi berterusan dalam mengekang aktiviti lumba haram. - Foto oleh Hari Anggara
Polis sentiasa melakukan operasi berterusan dalam mengekang aktiviti lumba haram. - Foto oleh Hari Anggara

SIKAP hormat-menghormati di jalan raya adalah suatu yang perlu diamalkan oleh setiap pemandu di Malaysia.

Ia bukan sahaja mencerminkan sikap budi pekerti rakyat Malaysia malah, mampu mengelak sebarang insiden tidak diingini termasuk gejala gangsterisme.

Terbaharu, insiden seorang wanita didakwa menghamburkan kata-kata kesat kepada anggota polis dalam satu sekatan jalan raya (SJR) amat mengecewakan.

Walau apa jua ‘situasi’ yang dihadapi, amat penting untuk kekal tenang dan tidak melakukan sebarang provokasi kepada penjawat awam.

Polis dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan wanita terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang turut tular di media sosial itu.

Wanita terbabit ditahan reman selama dua hari dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes lagi membabitkan pemandu jalan raya didakwa menganggu tugas penjawat awam.

Tidak berniat mengimbau kisah ‘pahit’, berikut antara kesalahan pernah berlaku untuk dijadikan iktibar.

Wanita maki polis

Seorang wanita didenda RM3,100 kerana bersalah memaki anggota polis bertugas dalam satu SJR dekat Jalan Persiaran Surian pada 31 Mac 2020.

Selain mengeluarkan kata-kata kesat, wanita itu juga dikatakan menghalang tugas penjawat awam dan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Empat lelaki halang tugas polis

Polis menahan empat lelaki di Slim River kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam pada 19 Oktober tahun lalu.

Kesemua mereka didakwa kerana tidak mengendahkan arahan polis untuk tidak berada di tempat awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tuduh polis ambil rasuah

Sepasang suami isteri menaiki sebuah lori ditahan polis selepas menuduh seorang anggota mengambil rasuah pada bulan Disember 2019.

Kedua-dua mereka dikatakan melakukan provokasi selepas ditahan polis atas pelbagai kesalahan trafik termasuk tiada lesen memandu dan insurans kenderaan.

Demikian antara tiga kes yang dapat kami senaraikan untuk dijadikan sebagai iktibar.

Untuk pengetahuan anda, terdapat banyak lagi kes individu melakukan provokasi dan menghalang tugas polis di jalan raya sehingga ke hari ini.

Nasihat kami, sentiasa patuhi dan hormati penjawat awam menjalankan tugas.

Jika anda berdepan penjawat awam yang ‘bermasalah’, sila gunakan saluran betul untuk membuat aduan.

Ketahuilah, sabar itu separuh daripada iman!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved