fbpx

Undang-undang sedia ada cukup tegas, pemantauan dilakukan berterusan – Anthony Loke

kemalangan lori malay mail 02

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menafikan dakwaan yang mengatakan peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya di negara ini tidak tegas dalam mengambil tindakan terutama isu membabitkan pemandu lori.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan sememangnya berjalan sepanjang masa, malah ada yang telah pun diambil tindakan sehingga diheret ke mahkamah.

 

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Undang-undang kita yang sedia ada cukup tegas bukan saja bawah Akta Pengangkutan Jalan tapi juga Akta Pengangkutan Awam Darat.

“Mereka bukan saja boleh didenda sehingga RM500,000 jika didapati bersalah, malah boleh dipenjarakan serta dilucutkan hak kenderaan,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye yang meminta kerajaan mengambil pendekatan tegas mendisiplinkan sikap pemandu lori kurang berhemah susulan kemalangan yang menyebabkan dua kematian di Putrajaya baru-baru ini.

Anthony juga mengakui bukan mudah untuk kerajaan menyelesaikan isu melibatkan pemandu lori, namun pemantauan secara berterusan dilakukan.

Ujarnya, pihaknya juga memahami kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan yang berlaku, namun tidak sepatutnya mereka secara semberono mengatakan kerajaan tidak tegas dalam isu itu.

“Apa yang kita (MOT) tak tegas? Orang kata kita tak tegas dan pada masa sama pengusaha lori marah kita kerana terlalu tegas.

“Kita sampai menyita lori dan membatalkan lesen mereka. Itu memang tegas. Kadang kala orang ramai tak faham apabila semberono mengatakan JPJ tak ambil tindakan tegas,” katanya.

Tambahnya, penguatkuasaan yang dijalankan bertujuan memberi mesej kepada semua pihak terutama pengusaha supaya mematuhi peraturan jalan raya.

Kami di Engear TV setuju bahawa undang-undang sudah cukup tegas, malah bukan mudah untuk meminda undang-undang. Yang penting ialah penguatkuasaan menyeluruh dan konsisten agar pemandu lori khususnya sentiasa mematuhi undang-undang, selain keselamatan jalan raya sentiasa optimum.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved