Undang-undang jalan raya yang pelik dari seluruh dunia, pernahkah anda dengar semuanya?
UNDANG-undang jalan raya ditetapkan untuk menjaga keselamatan dan keselesaan memandu. Ramai yang tidak sedar bahawa anda sebenarnya memikul tanggung jawab yang cukup besar bila mengemudi kenderaan di jalan raya, bersama pengguna-pengguna lain.
Sedikit kesilapan atau kecuaian bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan, tetapi lebih buruk lagi, boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. Maka, undang-undang direka untuk mengurangkan risiko-risiko ini.
Kebanyakan undang-undang adalah hampir serupa seperti had laju dan larangan memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol. Tetapi terdapat juga undang-undang yang sedikit pelik. Jom kita lihatkan, adakah anda pernah tahu semuanya?
Di California, jika ada lima atau lebih kenderaan beratur di belakang, anda harus berhenti atau beri laluan. Kami setuju dengan undang-undang ini, kerana pemandu di Malaysia ada yang suka makan angin atau cari rumah sewa di lebuh raya.
Di California, terdapat had laju untuk kenderaan autonomi tanpa penumpang, iaitu 60 batu sejam (96km/j). Walaupun tanpa pemandu, kereta autonomi ini dibenarkan bergerak sehingga kelajuan itu.
Di California juga, anda dibenarkan menembak ikan paus dari dalam kenderaan anda. Ya, tidak diharamkan. Kenapa? Kami pun tidak pasti.
Di AS, negeri Hawaii mempunyai had laju lebuh raya paling rendah iaitu 60 batu sejam (96km/j). Negeri dengan had laju lebuh raya paling tinggi pula ialah Texas, iaitu 85 batu sejam (136km/j).
Finland mempunyai saman had laju berdasarkan jumlah pendapatan pesalah. Malah, seorang usahawan kaya pernah disaman dengan nilai USD130,000.
Di Jerman, untuk mendapatkan lesen memandu, anda bukan sahaja perlu lulus ujian memandu, tetapi juga perlu ada pengetahuan berkenaan mekanikal kereta. Sebab itulah Jerman menjadi negara paling mahal di dunia untuk mendapatkan lesen memandu!
Australia mempunyai undang-undang anti-hooning, iaitu larangan berlumba haram, melakukan burnout, dan memainkan muzik yang kuat. Anda boleh disaman melebihi AUD5,000 jika didapati bersalah.
Jika anda mendapat DUI (memandu di bawah pengaruh barang terlarang) di Thailand, anda boleh dijatuhkan hukuman untuk bekerja di rumah mayat. Anda perlu membawa mayat itu dan membersihkannya supaya anda merasai penderitaan mangsa.
Apa pendapat anda mengenai semua undang-undang ini? Ada yang sesuai untuk dibawa ke Malaysia?
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.