Arkib Tag: TRIUMPH

Triumph Speed 400, Scrambler 400 X kini di Malaysia – dari RM27k

TRIUMPH Motorcycles Malaysia secara rasminya melancarkan rangkaian Triumph T-Series ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua model iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X.

Speed 400 merupakan model roadster yang menyertai barisan moden klasik di samping Speed Twin 900 dan 1200, manakala Scrambler 400 X pula tampil dengan rekaan rugged yang diilhamkan oleh Scrambler 900 dan 1200.

 

 

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin TR-Series sejukan cecair silinder tunggal bersesaran 398 cc yang menghasilkan 40 PS dan 37.5 Nm. Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 5 dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Walaupun berkongsi ‘nadi’, Speed 400 dan Scrambler 400 X menawarkan tetapan casis tersendiri untuk memberikan posisi tunggangan yang berbeza.

Speed 400 didatangkan dengan fork terbalik 43 mm, penyerap hentak monoshock dengan tabung, rim aluminium aloi berukuran 17 inci di hadapan dan belakang, serta cakera brek hadapan 300 mm yang dipadankan dengan angkup radial empat piston. Ia juga lebih mesra penunggang dengan ketinggian pelana 790 mm dan berat keseluruhan sekitar 170 kg.

Sementara itu, Scrambler 400 X menggunakan sistem suspensi yang sama namun dengan travel yang lebih tinggi iaitu 150 mm. Versi ini juga dilengkapi dengan rim 19 inci pada bahagian hadapan, bar hendal yang lebih lebar serta brek cakera yang lebih besar iaitu 320 mm.

 

Bukan itu sahaja, tempat letak kakinya berada pada kedudukan lebih rendah, manakala pelana dinaikkan sedikit kepada 835 mm. Beratnya juga bertambah sebanyak 9 kg berbanding Speed 400.

Untuk sistem elektronik pula, kedua-dua model mempunyai pendikit Ride-by-Wire, Traction Control dan ABS dwi saluran yang boleh dimatikan pada Scrambler 400 X untuk tunggangan off-road.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED, skrin LCD dengan tachometer digital, baki bahan api dan posisi gear, soket pengecas USB-C dan immobiliser.

Harga jualan bermula dari RM26,900 untuk Speed 400 dan RM29,900 untuk Scrambler 400 X.

 

Triumph lancar Trident 660 dengan livery ‘Slippery Sam’

Triumph memberi penghormatan terhadap motosikal perlumbaan terkenalnya dengan melancarkan Trident 660 edisi khas yang menampilkan livery Slippery Sam. 

Triumph mencipta nama pada era 70an menerusi jentera Trident 750cc yang merangkul pelbagai kejuaraan pada waktu itu dan dikenali sebagai Slippery Sam. 

Sebagai penghargaan, Trident 660 bukan sahaja tampil dengan warna Slipper Sam malah turut dilengkapi dengan komponen tambahan yang tidak ada pada model Trident 660 biasa. 

Ini kerana Trident 660 edisi khas ini dilengkapi dengan Triumph Shift Assist (quickshifter), ‘belly pan’ serta ‘fly screen’. 

Untuk rekod, Triumph Slipper Sam yang berlumba pada era 70an itu beraksi dalam pelbagai litar pendek termasuk di Isle Of Man TT. Jolokan Slippery Sam itu diberi kerana jentera lumba pada waktu itu sering kebocoran minyak sehinggakan bahagian ‘fairing’ dan pelumba dipenuhi minyak di hujung perlumbaan. 

Triumph buka tirai 2024 dengan Daytona 660 – 94hp, 69Nm

Triumph Motorcycles membuka tirai 2024 dengan pelancaran Triumph Daytona 660 baharu. 

Daytona 660 menandakan kelahiran semula model ‘sportbike’ Daytona yang sebelum ini telah pun ditamatkan pengeluaran menerusi Daytona 765 Moto2 Edtiion pada 2021. 

Menariknya, meskipun dikuasakan unit tiga silinder 660cc yang sama terdapat pada Trident 660, enjin tersebut telah dinaik taraf dari pelbagai segi termasuk camshaft, crankshaft, cylinder dan sistem ekzos baharu. Hasilnya, Daytona 660 ini menawarkan 94hp dan 69Nm berbanding 81hp dan 64Nm. 

Meskipun begitu, Daytona 660 ini masih lagi berkongsi kebanyakan komponen dari Trident 660 termasuk kerangka utama, suspensi Showa SFF BP 41mm (tidak boleh laras) dan monoshock Showa pra-beban (boleh laras) selain dari panel meter digital dan TFT. 

Bagaimanapun, pakej brek pada Daytona 660 telah dinaik taraf kepada kaliper radial 4-pot berkembar depan dengan cakera brek 310mm. 

Dalam pada itu, kapasiti tangki adalah 14L (sama dengan Trident 660) dan berat bersih diletakkan pada 201kg. 

Menurut Triumph, Daytona 660 ini hadir dengan tiga mod menunggang yang merangkumi Road, Sport dan Rain serta fungsi traction control dan ABS. Sistem quickshifter pula adalah ciri tambahan (optional). 

Triumph Daytona kembali 9 Januari ini

Triumph Daytona bakal kembali pada tahun 2024 menerusi Daytona 660 dengan pelancaran dijadualkan berlangsung 9 Januari depan berdasarkan pengumuman terbaru yang dikongsikan di media sosial.

Triumph Daytona 660 itu bakal dikuasakan enjin tiga silinder 660cc yang sama diguna pakai pada Tiger Sport 660 dan Trident 660. 

Selain enjin, kami juga berasakan Daytona 660 itu akan turut mengguna pakai casis sama dengan Trident 660. 

Ini adalah kali pertama Daytona akan kembali ke pasaran global setelah jenama Britain itu menghentikan model Daytona 675 pada 2017. Walaupun kembali dengan Daytona 765 namun model itu hanya terhad kepada 1,530 unit dan hanyalah model penghargaan kepada kejayaan Triumph menjadi pembekal enjin Moto2 pada 2020. 

Untuk rekod, Daytona 660 ini dijangka menawarkan angka kuasa sama dengan Trident 660, sekitar 80hp dan 64Nm. Bagi peminat Daytona terdahulu pastinya rasa kecewa kerana model 675 terdahulu menawarkan 126hp dan 70.2Nm.

Selain itu, reka bentuk Daytona 660 ini juga berbeza terutamanya lampu hadapan yang jelas meminjam reka bentuk sama dengan Tiger Sport 660. 

Buat masa ini maklumat terperinci masih lagi samar namun segalanya akan terjawab pada 6 Januari depan. 

Triumph Bonneville Stealth Editions diperkenalkan untuk lapan model 2024

TRIUMPH Bonneville diperkenalkan dengan Stealth Editions bagi tahun 2024, bukan untuk satu atau dua model, tetapi lapan model berbeza.

Model-model tersebut adalah seperti berikut:

Bonneville Speedmaster Red Stealth Edition
Bonneville Bobber Purple Stealth Edition
Bonneville T100 Blue Stealth Edition
Bonneville T120 Blue Stealth Edition
Bonneville T120 Black Stealth Edition
Speed Twin 1200 Red Stealth Edition
Speed Twin 900 Green Stealth Edition
Scrambler 900 Orange Stealth Edition

Setiap satu model edisi ini hadir dengan rekaan unik pada tangki minyak, membawakan kemasan lukisan tangan dengan latar belakang warna berbeza.

Proses bermula dengan lapisan metalik ‘Silver Ice’ dikenakan pada setiap tangki, diikuti graphite ‘Sapphire Black’ yang dilukis dengan tepat dari gelap kepada cerah. Akhir sekali, beberapa lapisan jernih dibuat untuk memberikan balutan yang pekat dan menyerlah.

Kesemua edisi ini hanya boleh didapati selama setahun pada 2024 nanti. Sementara itu, anda boleh belek setiap model dan warna unik masing-masing dalam galeri di bawah.

Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition tiba di Malaysia – RM81k

SEBAGAI meraikan kejayaan dalam perlumbaan off-road Baja Aragon, Triumph mengeluarkan Tiger 900 GT Aragon Edition, dan ia kini di Malaysia pada harga RM81,000.

Apa yang berbeza berbanding Tiger 900 GT adalah skema warna khas Diablo Red, Matt Phantom Black, dan Crystal White.

Untuk Malaysia, Tiger 900 Rally Aragon Edition tidak akan dibawa ke sini. Jadi, anda yang mahukan versi suspensi gerakan panjang dan rim spoke pada Rally perlu memilih Tiger 900 Rally yang berharga RM84,600.

Selain dari warna khas tadi, Tiger 900 GT Aragon Edition serupa dengan model asasnya. Ia dipacu enjin 888cc inline-triple yang ditala untuk menjana 93.9hp pada 8,750rpm dan 86.78Nm tork pada 7,250rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear 6-kelajuan. Terdapat empat mod tunggangan pada Triger 900 GT iaitu Rain, Road, Sport, dan Off-Road, selain traction control dan Optimised Corner ABS.

Bercakap mengenai ABS, brek terdiri dari Brembo Stylema dengan cakera 320mm di depan. Tiger 900 GT ini mempunyai ketinggian tempat duduk boleh-laras antara 810mm dan 830mm. Berat motosikal ini ialah 194kg dan ia mempunyai kapasiti tangki bahan api 20 liter.

Ia juga dilengkapi soket USB 5-volt, ruang simpanan telefon pintar di bawa tempat duduk, dan suis bercahaya dengan joystick 5-arah.

 

Triumph Tiger Sport 660 kembali ke Malaysia – dua warna baharu, RM50,900

KINI di bawah wakil pengedar baharu, Triumph Tiger Sport 660 kembali ke pasaran Malaysia, ditawarkan pada harga RM50,900 tanpa pendaftaran dan insurans.

Dibina pada platform sama dengan Trident 660, Tiger Sport 660 menampilkan enjin triple-cylider (tiga silinder) yang sama.

Unit 660cc 12 injap DOHC dengan sejukan cecair itu menjana 80hp pada 10,250rpm dan 64Nm tork pada 6,250rpm. Ia digandingkan bersama transmisi 6-kelajuan dengan klac basah multi-plat. Tiger Sport 660 juga dilengkapi dengan dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain.

Sistem brek terdiri dari cakera 310mm berkembar di depan dengan kaliper Nissin dwi-omboh, manakala cakera 255mm di belakang. ABS dwi-saluran juga standard.

Motosikal ini mendapat suspensi Showa 41mm dengan fork terbalik di depan, dengan jarak gerakan 150mm. Di belakang pula menampilkan penyerap hentak monoshock Showa tunggal dengan pelarasan pra-muatan.

Triumph Tiger Sport mempunyai tangki minyak berkapasiti 17.2 liter dan tinggi tempat duduk 835mm. Ciri lain termasuklah lampu LED, paparan TFT dengan sambungan My Triumph, pilihan quickshifter, pengecas USB, dan Tire Pressure Monitoring System.

Pilihan warna untuk Triumph Tiger Sport 660 adalah seperti berikut:

  • Snowdonia White & Jet Black (baharu)
  • Jet Black & Graphite (baharu)
  • Korosi Red & Graphite

Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X beri pilihan lebih mesra poket untuk peminat

TRIUMPH barisan klasik moden sebelum ini terdiri dari model seperti Speed Twin 900 dan 1200 serta Scrambler 900 dan 1200. Kini siri itu ditawarkan dalam kapasiti lebih kecil, perkenalkan Triump Speed 400 dan Scrambler 400X.

Dibangunkan di Hinckley dan dikeluarkan di India oleh Bajaj, kedua-dua motosikal ini dikuasakan oleh enjin 398cc silinder tunggal baharu dengan penarafan Euro 5. Ia mampu menjana 39.5hp pada 8,000rpm dan 37.5Nm tork pada 6,500rpm, manakala output disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan.

Enjin sejukan udara ini juga menampilkan aci sesondol diimbang untuk mengurangkan inertia dan meningkatkan keselesaan semasa kelajuan rendah.

Antara perbezaan antara kedua-dua model adalah tinggi tempat duduk, dimana Speed 400 pada 790mm dan Scrambler 400 lebih tinggi, iaitu 835mm. Scrambler juga mempunyai berat 9kg lebih, iaitu 179kg berbanding 170kg untuk Speed 400.

Dari segi suspensi pula, Triumph Speed 400 datang dengan unit 43mm lebar dan travel 140mm untuk depan, dan 130mm travel untuk belakang dengan pelarasan preload. Bagi Scrambler 400X, ia mendapat suspense 150mm untuk depan dan belakang, dengan pemegang preload boleh laras untuk belakang.

Sistem brek adalah serupa untuk kedua-dua motosikal, terdiri dari cakera 300mm di depan dan 230mm di belakang. ABS dwi-saluran juga standard.

Saiz rim adalah 17-inci depan dan belakang untuk Speed 400, dibaluti tayar bersaiz 110/70 dan 150/60. Sementara itu rim bagi Scrambler 400X adalah 19-inci di depan tetapi 17-inci di belakang, dengan tayar 100/90 dan 140/80.

Spesifikasi lain pada kedua-dua motosikal merangkumi paparan analog dengan panel LCD untuk maklumat tunggangan, berserta lampu LED keseluruhan, dan tangki bahan api bersaiz 13 liter.

Speed 400 dan Scrambler 400X juga dilengkapi sistem traction control boleh laras, tetapi khas untuk Scrambler ialah suis pemadam ABS untuk kegunaan off-road.

Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X akan dilancarkan di India bulan ini, tetapi pasaran lain termasuk Malaysia hanya akan menerimanya awal tahun depan. Masih sempat untuk kumpul duit! Dikatakan juga motosikal-motosikal ini bakal mendapat jaminan dua tahun tanpa had perbatuan.

Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition – hanya 6 unit untuk Malaysia, harga RM90k

TRIUMPH Motorcycles Malaysia, yang kini berada di bawah naungan Didi Group, baru-baru ini mengumumkan kehadiran model edisi Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition ke pasaran tempatan.

Daripada 765 unit yang dihasilkan untuk pasaran global, hanya enam unit yang berjaya dibawa masuk oleh Triumph Motorcycles Malaysia. Harga jualan bermula dari RM89,900.

Bagaimanapun, jika anda membaca artikel ini bermakna anda sudah terlambat kerana menurut syarikat itu, keenam-enam unit telah pun dijual.

Street Triple 765 Moto2 Edition dihasilkan sempena penglibatan Triumph sebagai pembekal enjin bagi kejohanan Moto2. Ia dilengkapi dengan spesifikasi tertinggi pernah ditawarkan pada model Street Triple.

Pertama sekali, jentera ini didatangkan dengan panel badan yang diperbuat daripada gentian karbon serta logo Moto2 bahagian badan, bar hendal dan skrin TFT. Setiap unit juga mempunyai nombor siri pengeluaran bagi menekankan statusnya sebagai model edisi terhad.

Ia menggunakan sistem suspensi boleh laras Öhlins yang merangkumi fork NIX30 dan penyerap hentak tunggal STX40, manakala untuk brek pula, terdapat cakera berkembar berukuran 310 mm dan angkup Brembo Stylema pada bahagian depan.

Selain itu, model ini juga mempunyai bar hendal jenis clip-on yang lebih rendah berbanding varian RS. Tayar yang digunakan pula adalah jenis Pirelli Diablo Supercorsa V3.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat Cornering ABS, Cornering Traction Control dengan empat tahap, Front Wheel Lift Control dan lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Track dan Rider.

Street Triple 765 Moto2 Edition dikuasakan oleh enjin 765 cc tiga silinder yang ditala bagi menghasilkan 130 PS pada 12,000 rpm dan 80 Nm pada 9,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan ciri quickshifter.

Model ini diperkenalkan semasa majlis pembukaan bilik pameran Triumph Motorcycles Penang baru-baru ini. Merupakan salah satu daripada tiga bilik pameran yang dilancarkan oleh Didi Group, Triumph Motorcycles Penang dioperasikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd.

Triumph Batu Caves dilancarkan, pusat penjualan pertama di bawah Didi Automotive

TRIUMPH Motorcycles Malaysia akan merasmikan tiga pusat jualan baharu sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memperkembangkan rangkaian pengedaran dan memperkukuhkan jenama motosikal itu di negara ini.

Nampaknya Batu Caves menjadi lokasi pilihan pertama untuk pusat penjualan Triumph di bawah kendalian Didi Automotive. Ia dioperasikan oleh Gene Advance Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai rakan pengedar rasmi.

Menurut Didi Automotive, fasiliti baru di pusat pameran Triumph ini menyediakan pengalaman terbaik dalam industri kepada pelanggan, menawarkan kemudahan bertaraf dunia, kakitangan yang terlatih, serta servis selepas jualan dan khidmat pelanggan yang terbaik.

“Semangat Gene Advance terhadap motosikal dan dedikasi mereka yang teguh untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang cemerlang sepadan dengan nilai-nilai Triumph Motorcycles. Kecekapan mereka akan meningkatkan keupayaan kami untuk menyampaikan kegembiraan, kepuasan, dan kejayaan kepada peminat motosikal di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersempena dengan pelancaran ini, syarikat itu turut mengumumkan harga rasmi Triumph Trident 660 versi 2023 iaitu RM45,900.

Jentera naked ini dikuasakan oleh enjin sejukan cecair tiga silinder bersesaran 660 cc yang menghasilkan 81 PS pada 10,250 rpm dan 63.7 Nm pada 6,250 rpm. Ia dilengkapi dengan fork terbalik 41 mm dan penyerap hentak RSU dengan pelarasan pramuatan, kedua-duanya dari Showa.

Mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat barisan motosikal Triumph, boleh mengunjungi Triumph Batu Caves di No 1-3, Jalan Sri Batu Caves 9, Taman Sri Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor.

Triumph Tiger 1200 2022 di pasaran, 148hp!

Triumph sekali lagi menggegarkan industri permotoran dunia dengan pengenalan model terbaharu iaitu Tiger 1200 2022.

Terdapat lima jenis varian ditawarkan kepada pelanggan iaitu 1200 GT, 1200 GT Pro, 1200 GT Explorer, 1200 Rally Pro dan 1200 Rally Explorer.

Varian GT dilengkapi rim aluminium 19 inci hadapan dan 18 inci di belakang selain tayar yang lebih kepada penggunaan jalan raya biasa.

Bagi varian Rally pula, ia hadir dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang dengan tayar dual purpose.

Foto ihsan Triumph

Tiger 1200 baharu menggunakan enjin tiga silinder T-Plane dengan kapasiti 1,160 cc.

Ia mampu menghasilkan 148hp pada 9,000 rpm dan 130Nm tork pada 7,000 rpm.

Selain itu, Tiger 1200 mempunyai transmisi enam kelajuan, sistem pacuan syaf dan quickshifter (kecuali varian 1200 GT asas).

Foto ihsan Triumph

Kesemua model Tiger 1200 didatangkan dengan brek cakera berkembar angkup Brembo di hadapan dan belakang selain ABS two-channel standard.

Triumph turut memberikan sistem Blind Spot Radar pada model ini yang mana ia dibangunkan bersama Continental.

Berikut antara ciri-ciri lain terdapat pada Tiger 1200:

– Cornering ABS
– Traction Control
– Cruise Control
– Hill Hold Control
– Skrin TFT-LCD tujuh inci
– Sistem My Triumph Connectivity

Triumph Tiger Sport 660 jentera pertama 3-silinder dalam segmennya, padat ciri terkini

PENGELUAR motosikal British iaitu Triumph Motorcycles memperkembangkan penawaran saiz pertengahan (middleweight) mereka dengan model terbaharu yang dikenali sebagai Tiger Sport 660.

Motosikal kembara ini menggunakan enjin yang sama dengan Trident 660 yang diperkenalkan pada awal tahun ini, sekaligus menjadikannya model pertama dalam segmen itu dengan enjin 3-silinder.

Enjin berkenaan tidak diberikan sebarang talaan, bermakna ia masih menghasilkan 81PS pada 10,250 rpm dan 64Nm pada 6,250 rpm. Ia menjanjikan penghantaran kuasa yang seimbang dari julat rev rendah hinggalah ia mencecah redline.

Namun, bukan itu sahaja kelebihannya. Kekerapan servisnya juga agak rendah iaitu setiap 16,000km atau 12 bulan.

Triumph mensasarkan Tiger Sport 660 untuk mereka yang mencari motosikal besar pertama dan juga penunggang veteran yang inginkan sebuah jentera yang serba boleh.

Bagi tujuan itu, badannya diberikan rekaan yang langsing, manakala tempat duduk diletakkan pada kedudukan yang agak rendah iaitu 835mm. Berat keseluruhannya pula adalah 206kg, agak ringan untuk motosikal dalam segmen ini.

Sistem suspensi terdiri daripada fork Showa Separate Function Fork (SFF) 41mm di hadapan dan monoshock Showa dengan ciri pelarasan pra-muatan di belakang.

Kuasa membrek dibekalkan oleh cakera berkembar berukuran 310mm dengan angkup Nissin dua piston di hadapan dan angkup piston tunggal yang dipadankan dengan cakera 255mm di belakang. ABS disertakan secara standard, manakala tayar yang digunakan adalah Michelin Road 5 dengan rim aluminium 17-inci.

Sementara itu, pakej elektronik yang disertakan merangkumi pendikit Ride-by-Wire dengan dua mod tunggangan iaitu Rain dan Road, dan juga Traction Control yang boleh diaktifkan. Semua ini boleh diakses menerusi paparan TFT berwarna yang dioperasikan menerusi butang pada bar hendal. Turut disertakan adalah klac Slip & Assist, serta lampu LED hadapan dan belakang.

Tiger Sport 660 mungkin bersifat sporti di atas kertas namun aspek kembaranya tidak diabaikan sama sekali. Bagi memastikan ia boleh menempuh perjalanan yang jauh dengan lancar, jentera ini dilengkapi dengan tangki bahan api 17 liter, cermin penghadang angin bersaiz penuh dengan pelarasan manual dan juga tapak untuk pemasangan pannier dan top box yang ditawarkan sebagai aksesori.

Bercakap tentang aksesori, Triumph menawarkan lebih 40 aksesori untuk model ini termasuk Quickshifter, fungsi pemanas pada grip, pengecas USB di bawah tempat duduk, sistem pemantauan tekanan tayar dan pelbagai lagi. Penunggang juga boleh mendapatkan sistem My Triumph untuk menggunakan sistem navigasi, mengakses GoPro dan membuat panggilan.

Tiger Sport 660 boleh didapati dalam tiga skema warna iaitu Lucerne Blue/Sapphire Black, Korosi Red/Graphite dan Graphite/Black. Bakal dilancarkan ke pasaran pada Februari 2022, ia ditawarkan pada harga bermula dari £8,450 (kira-kira RM47,870).

Triumph kekal teguh, Bonneville Bobber idaman pencinta motosikal klasik

JUMLAH pengguna motosikal seluruh dunia yang kian bertambah saban tahun menjadikan setiap syarikat pengeluar kenderaan dua roda semakin kompetitif dengan menawarkan pelbagai model menarik untuk kegunaan ramai.

Selain itu, tidak dinafikan mereka yang ‘berjiwa custom’ juga semakin bertambah apatah lagi sumber kewangan dan barangan aksesori bukan menjadi masalah besar.

Sedar akan perkara ini, syarikat pengeluar motosikal Triumph terus kreatif dengan mengeluarkan pelbagai modul dengan performance luar biasa malah, memiliki reka bentuk yang mampu ‘mencairkan’ hati setiap individu memandang!

Gaya klasik model Bonneville Bobber tidak dinafikan mampu mencairkan mana-mana peminat motosikal. – Foto ihsan Facebook/BikeBound

Triumph – Perjalanan membina empayar yang luar biasa

Triumph merupakan satu jenama lama yang masih ‘segar’ di pasaran dengan menawarkan motosikal unik ala British berstatus mewah pada harga mampu milik.

Menggabungkan elemen moden dan rekaan klasik, ia menjadikan motosikal syarikat itu memiliki teknologi enjin terkini dan mudah diselenggara oleh si pemilik.

Untuk memenuhi kehendak dunia custom yang semakin berkembang seluruh dunia, Triumph memperkenalkan kembali motosikal pasca Perang Dunia Kedua yang mana ia menjadi simbol counter-culture.

Motosikal pra perang dunia kedua boleh dikatakan sebagai pendahulu kepada dunia permotoran dua roda ketika ini.

Menggunakan design seakan basikal, ia memiliki kerangka mengelilingi enjin dan kotak gear, seterusnya membentuk segi tiga akhir yang memegang gandar roda belakang.

Seperti basikal, ia tidak mempunyai sistem suspensionkecuali spring dan penyerap hentakan untuk roda depan. Kerangka jenis ini dipanggil hard tail.

Apabila motosikal ini kembali ke Amerika Syarikat dari Eropah, bekas anggota tentera membelinya untuk kegunaan harian.

Di sinilah bermula dunia custom secara meluas di mana antara modifikasi paling awal ialah pembuangan gad lumpur depan dan belakang yang kemudian digantikan dengan aksesori lebih minimalis.

Asal usul model Bonneville Bobber

Pemotongan gad lumpur belakang motosikal keluaran Triumph digelar bobbing. Ia  digunakan secara meluas sebelum terma baharu diguna pakai iaitu Bobber.

Sedar dengan permintaan luar biasa sehingga kini, Triumph menghasilkan modul ‘laku keras’ mereka iaitu Bonneville Bobber.

Bermula pada harga RM75,000 menjadikan ia lebih murah dan mampu milik berbanding motosikal cruiser berenjin V-twin 1200cc dari Amerika Syarikat atau mana-mana syarikat pengeluar lain.

Maka tidak hairan, Triumph semakin terkenal selain angka jualan seluruh dunia melonjak selepas ‘kelahiran’ Bonneville Bobber.

Justeru, apakah ramuan istimewa di sebalik kejayaan syarikat ini membina empayar seluruh dunia? Nak tahu lebih lanjut, berikut video review yang kami sediakan buat tatapan anda.