fbpx

Triumph Tiger Sport 660 jentera pertama 3-silinder dalam segmennya, padat ciri terkini

triumph tiger sport 660 02

PENGELUAR motosikal British iaitu Triumph Motorcycles memperkembangkan penawaran saiz pertengahan (middleweight) mereka dengan model terbaharu yang dikenali sebagai Tiger Sport 660.

Motosikal kembara ini menggunakan enjin yang sama dengan Trident 660 yang diperkenalkan pada awal tahun ini, sekaligus menjadikannya model pertama dalam segmen itu dengan enjin 3-silinder.

Enjin berkenaan tidak diberikan sebarang talaan, bermakna ia masih menghasilkan 81PS pada 10,250 rpm dan 64Nm pada 6,250 rpm. Ia menjanjikan penghantaran kuasa yang seimbang dari julat rev rendah hinggalah ia mencecah redline.

Namun, bukan itu sahaja kelebihannya. Kekerapan servisnya juga agak rendah iaitu setiap 16,000km atau 12 bulan.

Triumph mensasarkan Tiger Sport 660 untuk mereka yang mencari motosikal besar pertama dan juga penunggang veteran yang inginkan sebuah jentera yang serba boleh.

Bagi tujuan itu, badannya diberikan rekaan yang langsing, manakala tempat duduk diletakkan pada kedudukan yang agak rendah iaitu 835mm. Berat keseluruhannya pula adalah 206kg, agak ringan untuk motosikal dalam segmen ini.

Sistem suspensi terdiri daripada fork Showa Separate Function Fork (SFF) 41mm di hadapan dan monoshock Showa dengan ciri pelarasan pra-muatan di belakang.

Kuasa membrek dibekalkan oleh cakera berkembar berukuran 310mm dengan angkup Nissin dua piston di hadapan dan angkup piston tunggal yang dipadankan dengan cakera 255mm di belakang. ABS disertakan secara standard, manakala tayar yang digunakan adalah Michelin Road 5 dengan rim aluminium 17-inci.

Sementara itu, pakej elektronik yang disertakan merangkumi pendikit Ride-by-Wire dengan dua mod tunggangan iaitu Rain dan Road, dan juga Traction Control yang boleh diaktifkan. Semua ini boleh diakses menerusi paparan TFT berwarna yang dioperasikan menerusi butang pada bar hendal. Turut disertakan adalah klac Slip & Assist, serta lampu LED hadapan dan belakang.

Tiger Sport 660 mungkin bersifat sporti di atas kertas namun aspek kembaranya tidak diabaikan sama sekali. Bagi memastikan ia boleh menempuh perjalanan yang jauh dengan lancar, jentera ini dilengkapi dengan tangki bahan api 17 liter, cermin penghadang angin bersaiz penuh dengan pelarasan manual dan juga tapak untuk pemasangan pannier dan top box yang ditawarkan sebagai aksesori.

Bercakap tentang aksesori, Triumph menawarkan lebih 40 aksesori untuk model ini termasuk Quickshifter, fungsi pemanas pada grip, pengecas USB di bawah tempat duduk, sistem pemantauan tekanan tayar dan pelbagai lagi. Penunggang juga boleh mendapatkan sistem My Triumph untuk menggunakan sistem navigasi, mengakses GoPro dan membuat panggilan.

Tiger Sport 660 boleh didapati dalam tiga skema warna iaitu Lucerne Blue/Sapphire Black, Korosi Red/Graphite dan Graphite/Black. Bakal dilancarkan ke pasaran pada Februari 2022, ia ditawarkan pada harga bermula dari £8,450 (kira-kira RM47,870).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved