Arkib Tag: Tesla Model Y

Tesla Malaysia umum potongan harga RM8k, Model 3 bermula dari RM181 ribu

Selari dengan pendekatan yang dibuat di pasaran global, Tesla Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan pengurangan harga jualan sehingga RM8,000 untuk dua model kenderaan elektriknya, iaitu Model 3 dan Model Y.

Ini bermakna, anda boleh mendapatkan sedan elektrik Tesla Model 3 versi RWD dengan harga bermula dari RM181,000.

Versi Long Range AWD pula kini berharga RM210,000 berbanding harga asal RM218,000, manakala varian Model 3 Performance pula kekal tidak berubah (RM242,000).

 

Mereka yang mahukan Tesla Model Y kini boleh mendapatkan versi asas RWD pada harga bermula dari RM191,000, berbanding harga asal RM199,000 semasa pelancaran rasmi dibuat.

Versi pertengahan Model Y Long Range AWD pula berharga RM238,800 (harga asal RM246,000) manakala varian Model Y Performance pula kini berharga RM280,000 (harga asal RM288,000).

Kesemua model kenderaan Tesla buat masa ini masih lagi dikecualikan daripada cukai import, duti eksais dan cukai jualan 100 peratus, di mana pengecualian ini adalah sah sehingga akhir tahun 2025.

 

Tesla Model 3

Tesla Model Y

Tesla Model Y dapat tiga warna baharu di Malaysia, Quicksilver berharga RM7,500

TESLA Malaysia kini menawarkan tiga warna baharu untuk Model Y, iaitu Quicksilver, Stealth Grey, dan Ultra Red. Perkara itu diumumkan di laman Instagram mereka.

Pertambahan warna ini menjadikan Tesla Model Y kini mempunyai enam pilihan warna, termasuk warna sedia ada Pearl White Multi-Coat, Deep Blue Metallic, dan Solid Black.

Hanya Pearl White Multi-Coat menjadi warna standard dengan setiap pembelian Model Y. Warna-warna lain adalah pilihan dengan tambahan kos. Bagi Quicksilver, anda perlu membayar tambahan RM7,500, sama dengan harga Stealth Grey.

Bagi warna-warna lain pula, Deep Blue Metallic dan Solid Black berharga RM5,000, manakala Ultra Red adalah paling mahal, iaitu RM11,000.

Warna-warna ini boleh dipesan dengan mana-mana varian Model Y, sama ada Rear-Wheel Drive (RM199,000), Long Range (RM246,000), atau Performance (RM288,000).

Peluang menangi Tesla Model Y dengan memasang panel solar di rumah

SYARIKAT solar kediaman terkemuka, Verdant Solar telah mengumumkan pemberian hadiah berupa sebuah Tesla Model Y bernilai RM204,000 untuk rakyat Malaysia yang memasang panel solar di kediaman mereka.

Menurut syarikat itu, pemberian hadiah tersebut adalah bertujuan untuk menggalakkan lagi penggunaan tenaga solar PV di peringkat kediaman.

Sehingga 2023, Verdant Solar telah memasang panel solar melebihi 18 megawatt puncak (MWp), jumlah yang boleh menguasakan 2,000 isi rumah.

Pencapai mengagumkan ini menyumbang kepada pengurangan karbon dioksida sebanyak 15,700 tan setahun dan penjimatan kos elektrik melebihi RM12 juta.

Berikut adalah langkah-langkah penyertaan untuk pengguna baharu:

Pengguna sedia ada juga berpeluang untuk memenangi Tesla Model Y dengan mengikut langkah-langkah berikut:

  • Rujuk rakan yang berminat untuk memasang panel solar di kediaman
  • Sekiranya rakan tersebut mendaftar dengan Verdant, anda layak untuk menyertai kempen ini
  • Peluang untuk menang bergantung kepada jumlah rujukan yang dibuat

Kempen ini berlangsung sehingga 31 Disember 2023 dan tertakluk kepada terma dan syarat.

Logo Tesla di ibu pejabat Cyberjaya sudah dinaikkan

LOGO Tesla dilihat sudah dinaikkan dan dipasang di depan bangunan ibu pejabat serantau mereka di Cyberjaya. Gambar itu dikongsi oleh Richard Ker di Facebook miliknya.

Terdapat gambar waktu siang dan malam menunjukkan kerja-kerja pemasangan dan menaikkan logo besar berbentuk huruf T dan tulisan “TESLA” tersebut.

Tesla pada Julai mengumumkan akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

Pejabat itu akan digunakan untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang terlatih.

Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.

Dalam laporan pada Julai itu juga, Tesla bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.

Tesla pada masa ini telah melancarkan dua model di Malaysia dalam masa beberapa bulan, bermula dengan Model Y dan terkini, Model 3.

Beli Tesla dapat pengecas rumah bernilai RM2,800 percuma, promosi hingga 31 Oktober 2023

TESLA Malaysia mengumumkan mereka yang membuat pembelian kenderaan akan mendapat Tesla Wall Connector bernilai RM2,800 secara percuma, tetapi tempahan perlu dibuat sebelum 31 Oktober 2023.

Tesla Wall Connector merupakan pengecas AC berjenama Tesla. Ia hadir dengan kabel sepanjang 7.3 meter dengan pengecas Type 2. Ia juga menyokong WiFi untuk pemantauan jarak jauh dan kemas kini perisian.

Terdapat terma dan syarat untuk tawaran ini. Pertamanya, Tesla Wall Connector mesti dipasang di alamat dalam boring tempahan kenderaan yang diberikan oleh Tesla Approved Installer. Ia juga tidak boleh dijual jika anda sudah mempunyai pengecas AC di rumah, kecuali anda mahu ‘mencabutnya’ dahulu.

Selain itu, untuk melayakkan anda mendapat Tesla Wall Connector itu, pemasangan mesti dibuat dalam masa tiga bulan selepas penyerahan kenderaan.

Kos pemasangan bernilai RM2,200 (RM2,500 di Sabah dan Sarawak) mesti ditanggung oleh pelanggan. Ini merangkumi peralatan seperti suis, pemutus litar, RCD, dan kotak pengagih.

Untuk kabel, ia berharga RM36 semeter bagi pendawaian standard, dan RM60 semeter untuk wayar bertutup.

Tesla Wall Connector di bawah program promosi ini hadir dengan jaminan 12 bulan oleh Tesla, selain jaminan tempoh sama untuk kerja-kerja pemasangan.

Jika pelanggan memohon Tesla Wall Connector tambahan untuk beberapa lokasi pula, mereka boleh membeli sehingga dua unit tambahan dari Tesla Store.

VIN (nombor identifikasi kenderaan) mesti diberikan semasa membeli pengecas ini, dan tidak boleh dibeli oleh orang yang bukan pelanggan.

Tesla Master Plan mahu perluas rangkaian Supercharger, pengecasan mudah untuk pengguna

TESLA secara rasmi kini di Malaysia, maka anda boleh dapatkan jaminan dan khidmat selepas jualan rasmi. Mereka melancarkan Tesla Model Y sebagai model pertama untuk pasaran negara kita. Ya, lebih banyak model selepas ini.

Dalam acara pelancaran itu juga, Tesla turut mendedahkan Master Plan mereka untuk pasaran Malaysia. Antaranya pengalaman mengecas holistik dimana anda boleh mengecas sehingga 120km dalam hanya lima minit dengan menggunakan Supercharger yang menyokong sehingga 250kW.

Mereka akan membina infrastruktur pengecasan di rumah untuk para pemilik dengan kadar sehingga 70km per jam. Untuk fasiliti pengecasan awam seperti Tesla Supercharger pula, ia akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik. Pemilik akan boleh mengecas sehingaa 400 atau 500km per jam.

Tesla juga mengumumkan bahawa mereka akan menambah rangkain Supercharger di luar Lembah Klang, antaranya di Johor dan Pulau Pinang. Ini akan membolehkan anda memandu Tesla ke luar negara, untuk ke Hatyai misalnya.

Buat masa ini semasa pelancaran, Tesla telah menyediakan rangkaian Supercharger pertama di ruang parkir Pavilion KL yang mampu menempatkan lapan kereta dalam satu masa. Menurut Tesla, fasiliti itu mengambil masa kira-kira dua minggu sahaja untuk disiapkan.

Di samping itu, Tesla telah bekerjasama dengan rakan niaga seperti Pavilion, Sunway, dan Quill untuk pembinaan rangkaian Supercharger pada masa akan datang.

Buat anda yang membeli Tesla juga, khidmat selepas jualan akan disokong oleh rangkaian pusat pameran, pusat servis yang juga lengkap dengan stesen Supercharger.

Belum dimaklumkan berapa jumlah yang akan dibuka, tetapi dengan gaya agresif mereka, kami rasa pasti cukup untuk menampung keperluan pemilik nanti.

Maklumat penuh mengenai Tesla Model Y yang baru dilancarkan boleh dibaca di sini. Apa pendapat anda mengenai kehadiran Tesla ke Malaysia?

Tak main dah grey import atau recond, Tesla Model Y rasmi di Malaysia dari RM199k

ANDA dah dengar di radio, dah baca di internet, inilah dia, jenama Tesla secara rasmi kini di Malaysia. Mereka turut melancarkan kereta pertama untuk pasaran kita iaitu Tesla Model Y, dalam acara yang dibuat di Pavilion Kuala Lumpur.

Tesla Model Y merupakan model terbaharu mereka yang juga kereta paling laris di dunia untuk suku pertama 2023. Ia ditawarkan dengan tiga pilihan di Malaysia, perincian seperti berikut:

Tesla Model Y RWD – RM199,000
Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

Ciri standard termasuklah jaminan lapan tahun atau 160,000km (yang mana dahulu), Autopilot asas, warna Pearl White Multi-Coat, rim 19-inci untuk Model Y RWD dan Long Range, serta rim 21-inci untuk Model Y Performance.

Selain itu, anda boleh menambah beberapa aksesori dan ciri seperti:

Warna Solid Black, Midnight Silver Metallic, atau Deep Blue Metallic – RM5,000
Warna Red Multi-Coat – RM10,000
Warna dalam putih – RM5,000
Rim 20-inci Induction – RM10,000
Navigate on Autopilot, Auto Lane, dan Autopark – RM16,000
Self Driving penuh – RM32,000

Anda boleh tempah sekarang dengan bayaran RM1,000 yang tidak boleh dipulangkan semula. Penghantaran pertama dijangka pada awal 2024.

Berikut adalah spesifikasi ringkas setiap model:

Tesla Model Y RWD – RM199,000

Pacuan motor tunggal (belakang)
0-100 dalam 6.9 saat
Kelajuan maksima 217km/j
Jarak pemanduan maksima 455km

Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000

Pacuan dua motor (depan dan belakang)
0-100 dalam 5.0 saat
Kelajuan maksima 217km/j
Jarak pemanduan maksima 533km

Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

Pacuan dua motor (depan dan belakang)
0-100 dalam 3.7 saat
Kelajuan maksima 250km/j
Jarak pemanduan maksima 514km

Tesla kini boleh ditempah di Malaysia! Bermula RM199,000 untuk Model Y

INILAH saat yang ditunggu-tunggu oleh peminat kereta elektrik (EV) di Malaysia. Tesla kini boleh didapati di negara ini kerana configurator di laman web rasminya telah diaktifkan.

Ini bermakna harganya juga sudah didedahkan. Berikut adalah model yang disenaraikan berserta harganya:

Tesla Model Y RWD – RM199,000
Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

Selain itu, anda juga boleh menambah beberapa aksesori dan ciri seperti:

Warna hitam, perak atau biru – RM5,000
Warna merah multi-lapisan – RM10,000
Warna dalam putih – RM5,000
Rim 20-inci Induction – RM10,000
Autopilot dipertingkat – RM16,000
Self Driving penuh – RM32,000

Anda boleh tempah sekarang dengan bayaran RM1,000 yang tidak boleh dipulangkan semula. Penghantaran pertama dijangka pada awal 2024.

Berikut adalah spesifikasi ringkas setiap model:

Tesla Model Y RWD – RM199,000

Pacuan motor tunggal (belakang)
0-100 dalam 6.9 saat
Kelajuan maksima 217km/j
Jarak pemanduan maksima 455km

Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000

Pacuan dua motor (depan dan belakang)
0-100 dalam 5.0 saat
Kelajuan maksima 217km/j
Jarak pemanduan maksima 533km

Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

Pacuan dua motor (depan dan belakang)
0-100 dalam 3.7 saat
Kelajuan maksima 250km/j
Jarak pemanduan maksima 514km

Stereng Tesla Model Y tercabut ketika memandu, padahal baru seminggu beli

TIDAK dinafikan, kenderaan elektrik (EV) keluaran Tesla adalah antara yang tercanggih di pasaran. Namun begitu, ia juga tidak asing dengan isu-isu kualiti seperti panel badan yang tidak sekata, cat terkopek, roda tidak sejajar dan macam-macam lagi.

Bagaimanapun, masalah yang dilaporkan oleh seorang pemilik Tesla baru-baru ini dilihat lebih serius dan boleh menyebabkan kemalangan jika tidak bernasib baik.

Dalam satu ciapan di Twitter pada 30 Januari lalu, @preneh24 mendedahkan bahawa stereng Tesla Model Y yang baru seminggu dibelinya tercabut ketika beliau sedang memandu di lebuh raya bersama keluarga.

“Keluarga teruja menerima penghantaran Tesla Y pada 24/1/2023. Sedang memandu di lebuh raya dan stereng tiba-tiba tercabut, nasib baik kerana tiada kereta di belakang dan saya dapat berhenti di tepi pembahagi jalan,” tulisnya.

Dalam ciapan seterusnya, pemilik itu berkata bahawa beliau sudah hilang kepercayaan terhadap Tesla dan mahu ganti rugi penuh. Ini kerana Tesla pada mulanya mengenakan bayaran sebanyak $103.96 (RM443) untuk kerosakan tersebut namun kemudian membatalkannya.

Apa yang membimbangkan, ini bukanlah kejadian yang pertama seumpamanya. Pada 2020, seorang pemilik Model 3 dengan perbatuan kira-kira 547 km mendapati stereng keretanya tercabut ketika ingin mengundur.

Ford dan Hyundai juga pernah mengeluarkan panggilan semula untuk menukar bolt yang mengikat stereng yang dikatakan boleh menjadi longgar, seterusnya mengakibatkan stereng tercabut.