fbpx

Stereng Tesla Model Y tercabut ketika memandu, padahal baru seminggu beli

Tesla Model Y stereng tercabut

TIDAK dinafikan, kenderaan elektrik (EV) keluaran Tesla adalah antara yang tercanggih di pasaran. Namun begitu, ia juga tidak asing dengan isu-isu kualiti seperti panel badan yang tidak sekata, cat terkopek, roda tidak sejajar dan macam-macam lagi.

Bagaimanapun, masalah yang dilaporkan oleh seorang pemilik Tesla baru-baru ini dilihat lebih serius dan boleh menyebabkan kemalangan jika tidak bernasib baik.

Dalam satu ciapan di Twitter pada 30 Januari lalu, @preneh24 mendedahkan bahawa stereng Tesla Model Y yang baru seminggu dibelinya tercabut ketika beliau sedang memandu di lebuh raya bersama keluarga.

“Keluarga teruja menerima penghantaran Tesla Y pada 24/1/2023. Sedang memandu di lebuh raya dan stereng tiba-tiba tercabut, nasib baik kerana tiada kereta di belakang dan saya dapat berhenti di tepi pembahagi jalan,” tulisnya.

Dalam ciapan seterusnya, pemilik itu berkata bahawa beliau sudah hilang kepercayaan terhadap Tesla dan mahu ganti rugi penuh. Ini kerana Tesla pada mulanya mengenakan bayaran sebanyak $103.96 (RM443) untuk kerosakan tersebut namun kemudian membatalkannya.

Apa yang membimbangkan, ini bukanlah kejadian yang pertama seumpamanya. Pada 2020, seorang pemilik Model 3 dengan perbatuan kira-kira 547 km mendapati stereng keretanya tercabut ketika ingin mengundur.

Ford dan Hyundai juga pernah mengeluarkan panggilan semula untuk menukar bolt yang mengikat stereng yang dikatakan boleh menjadi longgar, seterusnya mengakibatkan stereng tercabut.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved