S3XY Stalks, penyelesaian untuk masalah yang tidak sepatutnya wujud!
Ramai yang memuji sedan elektrik Tesla Model 3 Highland yang nampak canggih itu, tidak kurang juga yang mengeji kerana ciri yang menyusahkan golongan pemandu tradisional.
Antara ciri yang dimaksudkan itu ialah ketiadaan tuil isyarat belok yang digantikan dengan butang sensitif sentuhan yang terdapat pada roda stereng.
Pembaharuan yang dibuat ini nyata tidak disenangi oleh mereka yang sudah terbiasa dengan tuil isyarat belok fizikal.
Berita baik, anda boleh mendapatkan penyelesaian masalah yang tidak sepatutnya wujud itu menerusi pembelian S3XY Stalks daripada pihak Enhance Auto.
Opsyen aftermarket itu tidak memerlukan pemilik untuk membuka pemasangan roda stereng, sebaliknya ia boleh dipasang secara terus pada kolum stereng.
S3XY Stalks tidak memerlukan sebarang pendawaian, sebaliknya boleh berkomunikasi secara terus dengan sistem kereta menggunakan teknologi Bluetooth.
Menurut Enhance, tuil bluetooth ini mempunyai bateri yang mampu bertahan sekurang-kurangnya setahun sebelum ia perlu digantikan.
Selain fungsi untuk menghidupkan lampu isyarat membelok, terdapat satu butang khas pada penghujung tuil untuk fungsi yang boleh disesuaikan pengguna.
Harga jualan bermula dari $343.69 hingga $363.69 (RM1,537-RM1,626) bergantung kepada model Tesla yang dipilih.
Selain Tesla Model 3 Highland, tuil ini juga turut sesuai dipasang pada Model S dan Model X.
Bagi kami, ini merupakan salah satu contoh penyelesaian ‘genius’ untuk masalah yang tidak sepatutnya wujud pada kereta zaman moden.
Kami bimbang satu hari nanti pihak pengeluar mungkin akan menawarkan tuil isyarat membelok sebagai satu opsyen, dan bukan sebagai barangan standard dari kilang – satu berita gembira buat geng yang enggan bagi signal di atas jalan raya.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.