fbpx

Haval H6 HEV, boleh ke tapau Corolla Cross Hybrid, CR-V e:HEV? – Pandu Uji

HAVAL H6 HEV ENGEAR PANDU UJI (26)

Di peringkat global, trend pemilikan kenderaan elektrik dilihat menjadi semakin perlahan.

Rata-rata pengeluar utama automotif dunia mula menarik brek tangan dan membuat pusingan U untuk kembali menghasilkan kenderaan bahan bakar fosil untuk para pelanggannya.

Apa yang pasti, teknologi zaman purba itu masih lagi belum menemukan titik penghujungnya, dan ia kini ditambah baik dengan bantuan sistem hibrid untuk jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding kereta elektrik bateri (BEV) dan semestinya kereta ICE tulen.

Salah satu kereta hibrid buatan China yang sudah pun wujud di pasaran Malaysia ialah Haval H6 HEV.

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lepas, Haval H6 HEV merupakan pendatang baharu SUV segmen C untuk melawan pesaing seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan juga Proton X70.

Selain daripada pakej saiz, Haval H6 HEV juga datang dengan pakej harga yang cukup menarik perhatian – RM139,800, meletakkannya lebih murah berbanding dengan Toyota Corolla Cross Hybrid.

Adakah dengan taktik harga murah itu mampu menarik golongan pembeli daripada mendapatkan Corolla Cross, atau CR-V yang lebih sofistikated?

Kami berjaya mendapatkan unit pandu uji Haval H6 HEV untuk tempoh beberapa hari dan ini merupakan hasil penilaian kami:

 

1. Rekaan luaran

Dalam banyak-banyak SUV segmen C yang ada, boleh dikatakan Haval H6 HEV ini mempunyai rekaan yang agak selamat.

Tiada sebarang garis-garis tajam yang agresif, reka bentuknya membulat, tapi tidaklah terlalu pau rupanya macam Proton X70.

Muka depan tampak garang dengan kehadiran lampu utama LED serta struktur jeriji lebar ‘Star Matrix’, cuma rim 19 inci itu dilihat agak kecil bila duduk di bawah gerbang roda SUV ini.

Untuk bahagian belakang pula, ia mendapat bar lampu LED melintang penuh, serta gugusan empat unit lampu brek yang bertenggek pada spoiler.

Senang cerita, rekaannya memang biasa-biasa saja. Tiada apa yang ‘wow’. Melainkan kewujudan lencana HEV yang menandakan ia bukanlah SUV yang malas bergerak macam anak gajah.

Faktor rupa yang agak selamat itu juga berjaya menyembunyikan fakta bahawa ia sebenarnya sebuah SUV yang agak besar!

Dengan ukuran 4,683 mm x 1,886 mm x 1,730 mm, Haval H6 jauh lebih lebar dan lebih tinggi berbanding Honda CR-V, dengan kelebihan jarak antara roda yang lebih panjang.

 

2. Rekaan dalaman

Mengikuti trend semasa, Haval H6 HEV membawakan susun atur ruang kabin yang lebih minimalis.

Kelengkapannya juga serba lengkap, ada skrin digital 10.25 inci di hadapan pemandu, skrin infohibur 12.3 inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (ciri penting untuk sebuah kereta moden!), kawalan iklim dua zon, slot pengecasan peranti tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Pada bahagian konsol tengah, terdapat beberapa butang fungsi penting, cuma sayang sekali ia tidak menyertakan fungsi yang jauh lebih penting – kawalan suhu dan kelajuan hembusan angin sejuk.

Semuanya anda perlu selongkar sendiri menerusi skrin tengah. Hmmm… Sudah pasti ia mendatangkan kesulitan terutama ketika memandu seorang diri.

Penulis juga tidak begitu gemar dengan kemasan tiga tona yang menampilkan warna rose gold itu, rasa agak mengganggu tumpuan pemanduan.

Beralih kepada skrin hadapan, apa yang kami hargai ialah kesudian pihak GWM untuk tidak membanjirkan skrin tersebut dengan segala macam logo dan simbol-simbol yang menyemakkan mata memandang.

Reka letak dan grafik amat tajam dan mudah untuk dibaca, cuma sayang sekali kurang pilihan penyesuaian paparan disertakan untuk penulis yang lebih menggemari paparan meter kelajuan stail analog.

 

3. Pakej kuasa yang mengujakan

Ini merupakan antara SUV hibrid yang paling berkuasa di dalam kelasnya.

Haval H6 HEV dibekalkan dengan sistem enjin hibrid berkuasa 243 PS dan 530 Nm, terdiri daripada nadi empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm), motor elektrik tunggal (177 PS/300 Nm), kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan dan sistem pacuan roda depan.

Dengan mod Sport yang tersedia, Haval H6 HEV mampu memecut sepantas 7.75 saat dari pegun sebelum mencapai kelajuan 100 km/j.

Sebagai perbandingan, Corolla Cross Hybrid didatangkan dengan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson aspirasi semula jadi (NA) berkuasa 98 PS/142 Nm dan motor elektrik tunggal 72 PS/163 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS.

Manakala CR-V e:HEV pula mendapat nadi hibrid 2.0 liter NA yang digandingkan dengan dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 181 PS dan 335 Nm.

 

4. Pemanduan

Atas kertas memang nampak bertenaga, cuma hamburan kuasa yang diberikan oleh Haval H6 HEV tidaklah seagresif kereta sports atau kereta elektrik (EV) dengan tork yang menggila.

Saat pedal pendikit ditekan rapat ke lantai, anda boleh merasai pecutan yang responsif dan lancar tanpa menyebabkan leher anda kesakitan akibat daya G yang tinggi.

Kuasa ini sebenarnya sangat diperlukan ketika anda sedang memandu dengan ruang kabin yang sarat dengan penumpang dan barang, dan ketika itu perlu memotong lori treler lapan belas tayar di hadapan yang agak perlahan di jalan lama sebab terlebih muatan.

Satu perkara yang kami boleh puji SUV ini ialah tahap gegaran enjin yang langsung tidak dirasakan dari dalam ruang kabin.

Walaupun ada ketika SUV ini memerlukan kerahan tenaga ekstra, operasi enjin 1.5 liter turbo itu sangat cekap tanpa kehadiran bunyi bising dan gegaran yang disebutkan tadi.

Dengan dimensi yang agak besar, SUV ini masih lagi senang untuk dikawal, cuma roda stereng itu dirasakan terlalu besar – terasa macam pandu lori pun ada.

Aspek pengendalian juga memuaskan di mana ia lebih ditala untuk aspek keselesaan semua penumpang.

Sistem gantungan Haval H6 HEV bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran dan lubang yang muncul dari permukaan jalan raya, dan dalam masa yang sama tidak membuai dengan teruk di laluan yang berselekoh.

Sistem brek juga berfungsi dengan cemerlang untuk menghentikan pergerakan SUV yang berat ini daripada kelajuan tinggi, cuma pada kelajuan rendah anda memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan respons pedal supaya SUV ini tidak berhenti secara mengejut.

Menurut GWM, untuk satu tangki penuh Haval H6 HEV dikatakan mampu bergerak sejauh 1,000 km.

Angka tersebut sebenarnya telah pun dicapai oleh beberapa rakan media kami yang sudah menguji pandu SUV ini.

Berdasarkan pengalaman peribadi, penulis berjaya mencapai angka jarak pemanduan melebihi julat 700 km – angka impresif tersebut boleh dicapai walaupun penulis tidak memandu secara santai demi mendapatkan manfaat penjimatan bahan api.

Sudah pasti, ia amat berguna untuk pemanduan jarak jauh di mana anda tidak perlu untuk berhenti dengan lebih kerap untuk melakukan pengisian bahan api.

 

5. Keselesaan

Tatkala penulis amat berpuas hati dengan hamburan kuasa yang diberikan oleh SUV hibrid ini, ada perkara utama yang perlu diberikan tumpuan oleh GWM – keselesaan.

Untuk pemanduan jarak dekat, apa yang ditawarkan oleh Haval H6 HEV tidak akan mendatangkan masalah keselesaan yang ketara.

Namun bagi pihak berkeluarga yang kerap membuat pemanduan jarak jauh (balik kampung contohnya) mungkin sukar untuk mempertimbangkan SUV ini.

 

Apa yang penulis perasan ialah tempat duduk Haval H6 HEV tidak menawarkan sokongan bawah peha yang mencukupi.

Jadi, sepanjang masa kaki pemandu dan penumpang akan rasa tergantung dan ini akan membuatkan kita rasa lebih cepat penat.

Faktor dimensi yang besar membolehkan Haval H6 menyediakan ruang kaki dan kepala yang besar dan selesa, cuma ia tidak diseimbangkan dengan balutan upholsteri yang menyenangkan.

Terdapat fungsi ‘boss switch’ membolehkan pemandu melaraskan kedudukan kerusi penumpang hadapan sekiranya penumpang di sebelah terlena akibat kepenatan – ciri yang sangat diperlukan oleh suami mithali.

Dari segi praktikaliti pula, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan seperti beg bagasi dan plastik bungkusan dari pusat membeli belah terkemuka.

Jika anda mahukan ruang yang lebih besar, lipat sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan diberikan ruang kargo sebesar 1,485 liter.

Akhir sekali, kami dapati aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) Haval H6 HEV berada di tahap yang agak memuaskan.

Dengan penggunaan tayar yang lebih senyap, ia sedikit sebanyak membantu menjadikan ruang kabin Haval H6 yang lebih selesa, bunyi bising angin yang menderu juga turut ditapis dengan berkesan.

Cuma satu perkara yang penulis harus ingatkan, walaupun senyap, tayar standard yang digunakan pada Haval H6 HEV ini tidak sesuai untuk mereka yang menggemari corak pemanduan yang agresif.

Sedikit pelaburan besar amatlah diperlukan supaya anda boleh menikmati pemanduan berprestasi Haval H6 HEV yang lebih seimbang.

 

6. Hibrid, tapi boleh pandu macam EV!

Anda mungkin tertanya-tanya kenapa Haval H6 HEV hanya didatangkan dengan kotak gear 2 nisbah kelajuan sahaja.

Jawapannya mudah, Haval H6 HEV bergantung hampir sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak dan tidak memerlukan nisbah gear yang terlalu banyak.

Enjin 1.5 liter turbo itu hanya akan dihidupkan sekiranya pemandu memerlukan kuasa ekstra untuk pemanduan agresif.

Kapasiti pek bateri yang dibekalkan agak kecil, sekitar 1.7 kWh sahaja namun sudah cukup untuk membenarkan Haval H6 HEV ini berperangai macam sebuah EV tulen!

Jarak gerak yang ditawarkan tidaklah terlalu jauh sehingga berbelas-belas kilometer, namun penulis perasan Haval H6 HEV ini langsung tidak menggunakan kuasa enjin semasa memandu di tengah-tengah ibu kota pada julat kelajuan yang rendah.

Sehinggakan ada yang bertanya, “SUV ni elektrik ke?” disebabkan operasinya yang agak senyap.

 

7. Harga yang agak berbaloi

Pada ketika ini, harga jualan Haval H6 HEV untuk pasaran Malaysia bermula dari RM139,800, menjadikannya sedikit murah berbanding Toyota Corolla Cross Hybrid (RM142,000).

Sebuah lagi SUV segmen C popular, Honda CR-V e:HEV RS dijual pada harga RM195,900 di mana ia hadir dengan rupa paras yang lebih agresif, namun kurang berkuasa berbanding Haval H6 HEV.

Ini secara tidak langsung meletakkan Haval H6 HEV sebagai sebuah model pesaing yang cukup ampuh untuk menentang dua model buatan Jepun, dengan kelebihan dari segi harga, kuasa, dan praktikaliti yang ditawarkan.

 

Persoalannya, dengan kelebihan yang disebutkan di atas, adakah kehadiran Haval H6 HEV mampu menggoncangkan asas yang sudah dibina kukuh oleh dua pengeluar Jepun itu tadi?

Bagi penulis, jawapan sebenar kepada persoalan itu mungkin sukar untuk menggembirakan hati semua pihak.

Ini kerana setelah menilai antara ketiga-tiga SUV tersebut, penulis lebih menggemari aspek pemanduan yang ditawarkan oleh model buatan Jepun yang rasa lebih hidup dan terhubung dengan pemandu, keselesaan penumpang yang jauh lebih baik selain fungsi-fungsi penting yang lebih mudah untuk dioperasikan tanpa perlu bergantung harap sepenuhnya skrin tengah.

Penulis tidak menolak sepenuhnya kelebihan yang wujud pada Haval H6 HEV, namun faktor kepuasan pemanduan adalah lebih penting, jauh mengatasi apa yang cuba digula-gulakan oleh GWM pada model ini.

 

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: Empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved