Arkib Tag: tentera udara diraja malaysia

FA-50M TUDM: Status pembinaan 18 pesawat kini capai 26.7 peratus

STATUS pengeluaran dan pembinaan terkini bagi 18 pesawat pejuang ringan FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mencapai 26.7 peratus, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

KAI FA-50 Block 20

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, berdasarkan kepada jadual perolehan, dua pesawat pejuang ringan itu dijangka diterima pada suku ketiga 2026 dan selebihnya akan diterima secara berperingkat hingga penghujung 2027.

“Nilai perolehan (pesawat) ialah RM3.8 bilion. Perolehan pesawat ini berdasarkan perancangan TUDM, iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) yang menyasarkan perolehan pesawat platform tunggal dua tempat duduk yang berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan untuk tujuan latihan bakal juruterbang pejuang dan juga sebagai pesawat tempur ringan (LCA) bagi keperluan operasi,” kata Adly.

“Berdasarkan perancangan pesawat, LCA ini akan dipakai hingga 2045 berdasarkan polisi casting, pesawat pejuang serta akan melalui program mid-life upgrade iaitu bagi memastikan ia kekal beroperasi hingga 2055,” tambahnya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat FA-50M bagi kegunaan TUDM.

Gamabr oleh: Malaysia Military Review

Semasa pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama Korea Selatan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara.

SAS 2023 bawa industri aeroangkasa lebih dekat dengan anda, pelbagai jenis pesawat dipamerkan

KITA sering merasakan industri aeroangkasa atau dunia penerbangan ini suatu yang mahal dan jauh dari diri kita. Tetapi mujurlah pameran-pameran seperti Selangor Aviation Show 2023 (SAS 2023) dapat membawakan kita melihat dunia ini dengan lebih dekat.

Lebih 30 buah pesawat dipamerkan, merangkumi pesawat peribadi, jet komersial, pesawat penumpang, pesawat aerobatik, pesawat tentera, dan helikopter swasta serta helikopter tentera.

Acara edisi ketiga yang diadakan di Skypark Regional Aviation Centre (RAC) di Subang ini juga menjanjikan 33 forum bersama 65 jemputan tempatan serta antarabangsa, selain pelbagai perjanjian persefahaman.

Walaupun kami selalu membuat liputan dan reviu kenderaan darat seperti kereta, SUV, dan motosikal, sekali-sekala dapat melihat benda-benda terbang sebegini menarik juga. Sesuatu yang refreshing, bak kata orang putih.

Antara yang menarik minat kami semalam adalah jet mewah Gulfstream G600, Cessna 700 Citation Longitude, dan Falcon 8X. Kemudian antara pesawat turbo prop yang dipamerkan adalah Beechcraft King Air, ATR 72-500 milik Fire Fly, dan banyak lagi pesawat ringan.

Paling unik untuk kategori turbo prop ialah Piaggio Avanti 2, dengan konfigurasi sayap flap tambahan di hidung depan serta enjin jenis ‘pusher’. Ia antara paling laju dalam kelasnya dan pernah digelarkan sebagai Ferrari of the Skies.

Satu jet peribadi yang paling menarik perhatian penulis ialah HondaJet, pertama kali penulis lihat di depan mata dan secara dekat. Ia mampu memuatkan antara empat hingga enam penumpang tidak termasuk juruterbang, dan kami juga sempat masuk ke ruang kabinnya.

Penulis juga tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat dua helikopter yang dipamerkan, iaitu Leonardo AW139 milik Weststar Aviation dan Eurocopter AS555 Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

AW139 merupakan pesawat yang sering digunakan untuk penerbangan offshore ke pelantar-pelantar minyak di perairan Terengganu. Sementara itu, Fennec pula berpangkalan di Lumut, Perak dan digunakan untuk kegunaan latihan sebagai misi utamanya.

Satu kejutan yang kami tidak sangka ialah persembahan aerobatik oleh Layang Layang Flying Academy. Menggunakan pesawat khas Game Bird GB1, ia diterbangkan oleh Kapten John ‘Scratchman’ iaitu bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan pelbagai aksi mendebarkan selama beberapa minit.

Terdapat juga ruang pameran dalam khemah bertutup yang menampilkan pelbagai lagi pameran seperti akademi penerbangan, teknologi dron, wakil-wakil dari agensi pertahanan negara, serta wakil antarabangsa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata SAS 2023 bukan sahaja platform bagi merapatkan jaringan pemain industri, bahkan ia juga dimanfaatkan untuk mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Boeing menjangkakan dengan peningkatan trafik udara, industri aeroangkasa memerlukan lebih 790,000 juruterbang dan lebih 754,000 juruteknik untuk 20 tahun akan datang.

“Ini bermakna lebih 1.5 juta peluang pekerjaan bakal ditawarkan untuk dua sub-sektor penerbangan ini,” katanya dalam acara perasmian semalam.

“Dengan peningkatan populasi dan urbanisasi, cabaran untuk menawarkan peluang pekerjaan berterusan dengan gaji bermaruah akan menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam penggal ini.

“Oleh yang demikian, kita mahu silibus pendidikan, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan keperluan dan kehendak industri penerbangan,” katanya.

Amirudin menjelaskan Selangor merupakan negeri pilihan bagi pemain industri dengan 67 peratus syarikat aeroangkasa dalam negara beroperasi di negeri berkenaan.

Pameran Selangor Aviation Show 2023 akan berlangsung dari 7 hingga 9 September 2023, dan masuk adalah percuma. Tetapi anda harus lawati laman webnya dahulu kerana syarat dan sekuriti agak ketat memandangkan kita masuk ke kawasan operasi pesawat.

PM ucap selamat ulang tahun ke-65 untuk TUDM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-65.

Su-30 MKM TUDM. Gambar oleh: Kamarul Azizi

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat semua warga TUDM atas jasa dan khidmat bakti yang diberikan kepada rakyat dan negara.

“Selamat menyambut Hari Ulang Tahun TUDM ke-65 kepada seluruh warga TUDM,” tulisnya dalam satu hantara Facebook.

“Saya hargai komitmen semua anggota TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara. Jasa dan keringat kalian pastinya dihargai sekalian rakyat. Salut!”

TUDM hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-65 dengan tema “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara”.

TUDM mula terima CN-235 yang diubah suai untuk rondaan maritim

TENTERA Udara Diraja Malaysia telah mula menerima unit pertama dari tiga buah CN-235 dari Tentera Laut Amerika Syarikat (AS). Ketiga-tiga buah CN-235 akan diubah suai menjadi pesawat rondaan maritim (MPA).

Penyerahan pertama ini dibuat kira-kira tiga tahun setengah selepas AS menandatangai surat tawaran dan penerimaan untuk meningkatkan kebolehan serta kerjasama mereka dengan angkatan tentera Malaysia.

Unit pertama dari tiga CN-235 yang diubah suai menjadi pesawat rondaan maritim. Imej oleh: US Navy

Projek ini bertujuan menaik taraf tahap kepintaran, rondaan dan tinjauan (ISR) pesawat-pesawat berkenaan dengan kerjasama Naval Air Systems Command’s Security Cooperation Office dan Naval Air Warfare Center Aircraft Division (NAWCAD) AIRWorks.

Naik taraf ini merangkumi pakej misi rondaan maritim, radar tinjauan maritim, turet infra-merah elektro-optikal, datalink line-of-sight, dan stesen operator misi roll-on/roll-off.

Stesen-stesen mudah-alih dan tetap yang bersesuain juga diserahkan untuk meningkatkan kebolehan ISR pihak TUDM, menurut Tentera Laut AS.

Usaha ini telah dipantau dan selari dengan Maritime Security Initiative kerajaan AS, yang bertujuan membantu kerajaan Malaysia meningkatkan keselamatan dan kesiap siagaan maritim dalam wilayah Exclusive Economic Zone.

“Program CN-235 ini akan menjadi pengganda kekuatan yang signifikan kepada kebolehan ISR Malaysia dan akan terus menyokong usaha AS bersama Malaysia bagi memastikan keselamatan global di kawasan Indo-Pacific Command.”

CN-235 itu telah diterbangkan dari Indonesia untuk fasa ujian akhir pada September 2020, dan penerbangan ujian pertama dijangka dibuat pada Oktober depan.

Salah sebuah CN-235 milik TUDM untuk tugas pesawat pengangkut. Imej oleh: Airspace Review

CN-235 merupakan pesawat pengangkut dua-enjin jarak-sederhana yang asalnya dikilangkan oleh syarikat aeroangkasa Indonesia, Perseroan Terbatas Dirgantara Indonesia dan Construcciones Aeronáuticas SA di Sepanyol.

Kerja-kerja untuk baki dua pesawat serta stesen-stesen darat diteruskan dan dijangka siap tahun ini.

Jangan panik, pesawat terbang rendah untuk latihan operasi dan kesiagaan – TUDM

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah.

Ini kerana TUDM kini melaksanakan latihan operasi dan kesiagaan bagi aset-aset udara bermula 3 hingga 7 Mac 2022.

Dalam satu siaran di media sosial Facebook dan Instagram, kenyataan itu bertulis, “Latihan operasi dan kesiagaan ini bertujuan untuk menilai kecekapan anak kapal TUDM, anggota-anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.”

“Di samping itu, latihan ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.”

Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang latihan berlangsung, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu khususnya di sekitar negeri Selangor serta Pangkalan Udara Gong Kedak, Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Kuantan.

Kenyataan ini dikeluarkan dipercayai susulan orang ramai yang dikatakan risau melihat empat buah Sukhoi Su-30 MKM yang terbang rendah di beberapa kawasan seperti Shah Alam, Batu Caves dan Kuala Lumpur.

Pesawat pejuang itu berpangkalan di No 12 Skuadron di Gong Kedak, Terengganu.

Panglima Tentera Udara terbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi-30 MKM!

PANGLIMA Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM mencipta sejarah untuk muncul sebagai panglima tentera udara yang pertama menerbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi Su-30 MKM (M52-16).

Tan Sri Ackbal atau nama samaran (callsign) “Krueger” menerbangkan pesawat pejuang itu pada 28 Disember lepas bersama Pegawai Memerintah No.12 Skn Lt Kol Norazan Othman.

Menurut Utusan, ia merupakan penerbangan pertama beliau dengan pesawat itu sejak memegang tampuk jawatan sebagai Panglima Tentera Udara.

Ackbal juga adalah juruterbang penguji pesawat (test pilot) yang terlatih dengan ilmu dan kemahiran tinggi.

“Rekod beliau sebagai juruterbang penguji pesawat bermula pada tahun 1992 apabila beliau telah dipilih oleh Panel Pemilihan Khas TUDM untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat di International Test Pilot School (ITPS), Boscombe Down, United Kingdom,” menurut satu siaran di Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut kenyataan itu lagi, penerbangan itu adalah untuk menguji kesiagaan pesawat pejuang buatan Rusia tersebut.

“Ia selari dengan Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-19 iaitu ‘Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM’ bagi menentukan sistem dan sumber manusia yang sentiasa bersedia seperti keperluan readiness condition yang ditetapkan,” lapor Utusan.

Penerbangan itu turut disertai oleh dua lagi Su-30 MKM yang juga diterbangkan oleh juruterbang penguji TUDM.

Antara aset lain TUDM yang pernah diterbangkan Ackbal adalah BAE Hawk, Aermacchi MB-339, F-5 Tiger, Beechcraft King Air B200T dan MiG-29 N.

Sementara itu, Ackbal juga pernah menerbangkan beberapa pesawat termasuklah Jaguar, Aero Vodochody L-39 Albatross milik Republik Czech, BAE Hawk T1, Learjet Variable Stability Test Platform, BAE 146, Saab 2000, Beechcraft King Air, Air Gliders, dan pesawat aerobatik Extra 300.

Sumber gambar: TUDM