fbpx

Panglima Tentera Udara terbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi-30 MKM!

panglima tentera udara sukhoi-30 mkm 06

PANGLIMA Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM mencipta sejarah untuk muncul sebagai panglima tentera udara yang pertama menerbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi Su-30 MKM (M52-16).

Tan Sri Ackbal atau nama samaran (callsign) “Krueger” menerbangkan pesawat pejuang itu pada 28 Disember lepas bersama Pegawai Memerintah No.12 Skn Lt Kol Norazan Othman.

Menurut Utusan, ia merupakan penerbangan pertama beliau dengan pesawat itu sejak memegang tampuk jawatan sebagai Panglima Tentera Udara.

Ackbal juga adalah juruterbang penguji pesawat (test pilot) yang terlatih dengan ilmu dan kemahiran tinggi.

“Rekod beliau sebagai juruterbang penguji pesawat bermula pada tahun 1992 apabila beliau telah dipilih oleh Panel Pemilihan Khas TUDM untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat di International Test Pilot School (ITPS), Boscombe Down, United Kingdom,” menurut satu siaran di Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut kenyataan itu lagi, penerbangan itu adalah untuk menguji kesiagaan pesawat pejuang buatan Rusia tersebut.

“Ia selari dengan Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-19 iaitu ‘Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM’ bagi menentukan sistem dan sumber manusia yang sentiasa bersedia seperti keperluan readiness condition yang ditetapkan,” lapor Utusan.

Penerbangan itu turut disertai oleh dua lagi Su-30 MKM yang juga diterbangkan oleh juruterbang penguji TUDM.

Antara aset lain TUDM yang pernah diterbangkan Ackbal adalah BAE Hawk, Aermacchi MB-339, F-5 Tiger, Beechcraft King Air B200T dan MiG-29 N.

Sementara itu, Ackbal juga pernah menerbangkan beberapa pesawat termasuklah Jaguar, Aero Vodochody L-39 Albatross milik Republik Czech, BAE Hawk T1, Learjet Variable Stability Test Platform, BAE 146, Saab 2000, Beechcraft King Air, Air Gliders, dan pesawat aerobatik Extra 300.

Sumber gambar: TUDM

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved