fbpx

SAS 2023 bawa industri aeroangkasa lebih dekat dengan anda, pelbagai jenis pesawat dipamerkan

selangor aviation show 2023 14

KITA sering merasakan industri aeroangkasa atau dunia penerbangan ini suatu yang mahal dan jauh dari diri kita. Tetapi mujurlah pameran-pameran seperti Selangor Aviation Show 2023 (SAS 2023) dapat membawakan kita melihat dunia ini dengan lebih dekat.

Lebih 30 buah pesawat dipamerkan, merangkumi pesawat peribadi, jet komersial, pesawat penumpang, pesawat aerobatik, pesawat tentera, dan helikopter swasta serta helikopter tentera.

Acara edisi ketiga yang diadakan di Skypark Regional Aviation Centre (RAC) di Subang ini juga menjanjikan 33 forum bersama 65 jemputan tempatan serta antarabangsa, selain pelbagai perjanjian persefahaman.

Walaupun kami selalu membuat liputan dan reviu kenderaan darat seperti kereta, SUV, dan motosikal, sekali-sekala dapat melihat benda-benda terbang sebegini menarik juga. Sesuatu yang refreshing, bak kata orang putih.

Antara yang menarik minat kami semalam adalah jet mewah Gulfstream G600, Cessna 700 Citation Longitude, dan Falcon 8X. Kemudian antara pesawat turbo prop yang dipamerkan adalah Beechcraft King Air, ATR 72-500 milik Fire Fly, dan banyak lagi pesawat ringan.

Paling unik untuk kategori turbo prop ialah Piaggio Avanti 2, dengan konfigurasi sayap flap tambahan di hidung depan serta enjin jenis ‘pusher’. Ia antara paling laju dalam kelasnya dan pernah digelarkan sebagai Ferrari of the Skies.

Satu jet peribadi yang paling menarik perhatian penulis ialah HondaJet, pertama kali penulis lihat di depan mata dan secara dekat. Ia mampu memuatkan antara empat hingga enam penumpang tidak termasuk juruterbang, dan kami juga sempat masuk ke ruang kabinnya.

Penulis juga tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat dua helikopter yang dipamerkan, iaitu Leonardo AW139 milik Weststar Aviation dan Eurocopter AS555 Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

AW139 merupakan pesawat yang sering digunakan untuk penerbangan offshore ke pelantar-pelantar minyak di perairan Terengganu. Sementara itu, Fennec pula berpangkalan di Lumut, Perak dan digunakan untuk kegunaan latihan sebagai misi utamanya.

Satu kejutan yang kami tidak sangka ialah persembahan aerobatik oleh Layang Layang Flying Academy. Menggunakan pesawat khas Game Bird GB1, ia diterbangkan oleh Kapten John ‘Scratchman’ iaitu bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan pelbagai aksi mendebarkan selama beberapa minit.

Terdapat juga ruang pameran dalam khemah bertutup yang menampilkan pelbagai lagi pameran seperti akademi penerbangan, teknologi dron, wakil-wakil dari agensi pertahanan negara, serta wakil antarabangsa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata SAS 2023 bukan sahaja platform bagi merapatkan jaringan pemain industri, bahkan ia juga dimanfaatkan untuk mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Boeing menjangkakan dengan peningkatan trafik udara, industri aeroangkasa memerlukan lebih 790,000 juruterbang dan lebih 754,000 juruteknik untuk 20 tahun akan datang.

“Ini bermakna lebih 1.5 juta peluang pekerjaan bakal ditawarkan untuk dua sub-sektor penerbangan ini,” katanya dalam acara perasmian semalam.

“Dengan peningkatan populasi dan urbanisasi, cabaran untuk menawarkan peluang pekerjaan berterusan dengan gaji bermaruah akan menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam penggal ini.

“Oleh yang demikian, kita mahu silibus pendidikan, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan keperluan dan kehendak industri penerbangan,” katanya.

Amirudin menjelaskan Selangor merupakan negeri pilihan bagi pemain industri dengan 67 peratus syarikat aeroangkasa dalam negara beroperasi di negeri berkenaan.

Pameran Selangor Aviation Show 2023 akan berlangsung dari 7 hingga 9 September 2023, dan masuk adalah percuma. Tetapi anda harus lawati laman webnya dahulu kerana syarat dan sekuriti agak ketat memandangkan kita masuk ke kawasan operasi pesawat.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved