Arkib Tag: smart Malaysia

Tiga lagi cawangan smart bakal dibuka – Kota Kinabalu, Kuantan, PJ

PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) mengumumkan bahawa smart Malaysia bakal membuka tiga lagi cawangan pengedar untuk negara ini, termasuk satu di Malaysia Timur.

Tiga cawangan baharu yang akan dibuka itu adalah di Petaling Jaya, Kuantan, dan Kota Kinabalu. Ia melalui kerjasama dengan Naza Automotive Group untuk smart Petaling Jaya, Hoi Keen Service Sdn Bhd untuk smart Kuantan, dan Fook Loi Eurocar Sdn Bhd untuk smart Kota Kinabalu.

“Matlamat kami adalah untuk melonjak ke peringkat seterusnya dan terus meluaskan liputan pasaran dengan produk dan perkhidmatan smart kami,” kata CEO PRO-NET, Zhang Qiang.

Menurut siaran media oleh smart Malaysia, rakan kongsi terpilih memainkan peranan penting dalam mewujudkan ruang bagi individu untuk meneroka produk dan perkhidmatan, selain daripada menyediakan pilihan pengecasan yang mudah.

“Fokus kami terhadap kestabilan melibatkan peningkatan kedua-dua stesen pengecasan AC dan DC dengan memastikan pengecasan yang cepat dan efisien untuk pemilik smart dan orang awam secara umum,” tulis siaran media itu.

Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit dalam dua minggu

KENDERAAN elektrik (EV) pertama yang diperkenalkan oleh smart Malaysia iaitu smart #1 sudah menerima tempahan mencecah 1,000 unit selepas kira-kira dua minggu selepas dilancarkan.

“Kejayaan smart #1 tidak hanya mencerminkan kecemerlangan produk, tetapi juga dedikasi kami untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar dan menyeronokkan.

“Perlindungan jaminan komprehensif, pakej percuma, dan tawaran pengecas rumah smartCharge adalah bukti komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

Tambah beliau lagi, pihak smart Malaysia juga sedang berusaha gigih untuk memastikan kereta diserahkan kepada pelanggan tepat pada masanya.

Untuk pasaran Malaysia, smart #1 ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus, dengan harga jualan bermula dari RM189,000 hingga RM249,000.

Ia didatangkan dengan jaminan bateri bervoltan tinggi selama lapan tahun atau 200,000km, jaminan komponen bervoltan tinggi selama lapan tahun atau 150,000 km, jaminan kenderaan selama empat tahun tanpa had perjalanan, dan jaminan alat ganti selama dua tahun tanpa had perjalanan.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapat manfaat daripada bantuan perkhidmatan jalanan 24/7.

Turut ditawarkan adalah pakej aksesori percuma bernilai RM2,000, data Internet percuma selama lima tahun dengan jumlah 60 GB, dan tawaran terhad pengecas AC smartCharge percuma bernilai RM3,200. Tawaran istimewa ini sah sehingga 31 Disember 2023.

Smart #1 dibuka untuk tempahan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM200k hingga RM250k

SELEPAS dipertontonkan kepada wakil media Julai lalu, smart #1 kini secara rasminya dibuka untuk tempahan di Malaysia.

Hatchback elektrik itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus, dengan harga anggaran bermula dari RM200,000 hingga RM250,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan.

Menurut smart Malaysia, tempahan untuk #1 (disebut hashtag one) boleh dibuat menerusi aplikasi Hello smart dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.

Apa yang menarik, 501 pelanggan pertama yang membuat pra-pesanan akan menerima manfaat #1 Early-Bird berbentuk kredit pengecasan bernilai RM1,001 yang akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas kereta diserahkan.

 

 

Varian Pro tampil dengan roda aloi 19 inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung halo panoramik untuk pencahayaan dan pemandangan semula jadi.

Ia dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 49 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 315 km berdasarkan kitaran WLTP.

Varian Premium pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, gril hadapan bercahaya dan bateri NMC berkapasiti 66 kWh dengan jarak pandu sejauh 440 km.

#1 Pro boleh didapati dalam lima warna luaran iaitu Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green. #1 Premium pula menawarkan pilihan Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow selain lima warna berkenaan. Kesemua warna ini dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.

Untuk ruang dalaman,#1 Pro menampilkan trim standard After Dark, manakala varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.

Dari segi prestasi, #1 Pro dan Premium kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik tersebut menjana 272 PS (200 kW) dan 343 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j.

#1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2 kW yang memerlukan enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus, manakala #1 Premium pula boleh menampung sehingga 22 kW yang boleh melakukan pengecasan yang sama dalam tiga jam sahaja.

Pengecasan pantas DC pula boleh dilakukan pada kapasiti sehingga 150 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro dan 29 minit untuk Premium.

#1 Brabus

Sebagai varian sporty, #1 Brabus tampil dengan tujuh kombinasi warna luaran. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte, Meta Black atau Cyber Silver. Bumbung berwarna hitam pula boleh berpasangan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.

Seperti varian Pro dan Premium, mereka yang memilih warna Atom Grey-Matte boleh mendapatkan bumbung yang sama dengan warna badan.

#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri NMC 66 kWj yang sama seperti #1 Premium namun jarak pandunya lebih dekat iaitu 400 km.

Prestasi pengecasannya juga sama dengan varian Premium iaitu tiga jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas AC 22 kW atau 29 minit dengan pengecas DC 150 kW.

EON Berhad dilantik sebagai pengedar rasmi smart Malaysia

Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) hari ini mengumumkan pelantikan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia.

Ini menjadikan EON, yang merupakan cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, sebagai pengedar sah smart kedua di negara ini selepas Hap Seng Smart.

Menurut PRO-NET, pelantikan EON sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia telah menambah jumlah pengedar elit bagi kenderaan jenama smart. Ini akan disusuli dengan lima lagi pengedar baru yang bakal diumumkan kelak.

Kerjasama ini juga akan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama EV itu di kalangan pembeli kereta di Malaysia menjelang pelancaran smart #1 pada suku keempat tahun ini.

Pelantikan EON yang merupakan pengedar pelbagai jenama mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia.

Perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi Proton dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta Proton eksklusif dan yang pertama.

“PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM berkata,”EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan.”