Arkib Tag: satria

Proton Satria GTi menakluk litar Nurburgring, dipandu oleh anak Malaysia!

MUDAH untuk kita berasa bangga apabila melihat kereta nasional kita di luar negara, dan terbaharu, sebuah Proton Satria GTi tetapi bukan di sebarangan tempat. Sebaliknya di litar yang mendapat jolokan The Green Hell, tidak lain lagi iaitu Nurburgring Nordschleife, Jerman.

Lebih menarik lagi, ia bukan dipandu oleh warga asing, tetapi rakyat Malaysia sendiri!

Perkara ini dikongsi oleh pemiliknya iaitu Danial Khairi yang berhubung dengan Engear baru-baru ini. Menurut Danial, dia melawat dan memandu Satria GTi miliknya di litar Nurburgring itu pada 5 September lepas.

“Ini kali pertama saya memandu Satria GTi di sini, dan sudah lama mengimpikannya, sejak lima tahun lepas,” katanya.

Dia memandu Satria GTi itu dalam sesi Nurburgring Touristfahrten (pemanduan pelancong) dimana semua pemandu boleh membawa masuk apa jua kenderaan mereka ke dalam litar dengan bayaran mengikut jumlah pusingan.

“Asalkan kereta kita selamat dipandu, ada kelulusan penuh dari pemeriksaan Tüv. Tüv ni macam Puspakom di Malaysia,” terangnya.

Ianya bukan perlumbaan, malah anda perlu mematuhi undang-undang jalan-raya biasa semasa di dalam litar. Sebagai contoh, hanya potong di sebelah kiri (kerana stereng kereta di bahagian kiri). Cuma sudah tentu tiada had laju.

“Jadi, kami tak ambil catatan masa. Sesi ini bertujuan untuk memahami karakter kereta masing-masing.

“Lagipun kalau semua nak kejar masa, nanti kurang toleransi dan tiada beri ruang kepada pemandu lain,” tambahnya.

Danial melawat litar itu bersama dua rakannya iaitu Ruben dan Jochem. Tambahnya, bayaran dikenakan adalah 25 Euro (RM113) untuk satu pusingan.

Tetapi disebabkan kami ingin tahu juga anggaran catatan masa, Danial berkongsi bahawa keretanya mencatatkan masa kira-kira 11 minit.

“Tengok video catatan masa ditambah dengan masa untuk beri ruang kepada pemandu lain, dalam 11 minit. Kalau litar kosong dan tekan sehabisnya, mungkin boleh bawah 10 minit,” kata Danial.

11 minit sebenarnya agak bagus untuk pemanduan separa santai di litar sepanjang 20.83km dengan 160 selekoh itu.

Untuk konteks, kereta pacuan roda-depan terpantas di litar itu adalah Renault Megane RS Trophy R dengan catatan 7 minit 40.1 saat, rekod dibuat pada 2019.

Berkenaan modifikasi atau naik taraf pada GTi miliknya, Danial berkata tiada modifikasi serius melainkan tayar Nankang NS-2R dan sistem ekzos Gestec buatan Jerman.

“Saya sengaja tak ‘setup’kan kereta kerana nak tengok potensi dan prestasi asal suspensi talaan Lotus dan Proton.

“Ini kerana konsep di sebalik kereta ini adalah hot hatch yang boleh dipandu setiap hari termasuk di salji, jarak jauh, jalan berbukit, berselekoh, dan di litar.

“Di Nurburgring, terbukti pengendalian buat masa sekarang adalah memuaskan,” kata Danial.

Sebelum ini kami pernah berkongsi yang Danial memandu Satria GTi miliknya di Jerman dimana dia membeli kereta itu dengan harga kira-kira RM4,694.

Syabas, Danial! Dan teruskan bawa Satria GTi ini ke merata-rata kawasan di Eropah agar lebih ramai penduduk di sana tahu mengenai model ikonik Proton ini.

Sumber gambar: Danial Khairi dan Dutch DIY Mechanics

DSR lancar Proton Satria Neo S2000 Supercharged – Konsep yang menjadi realiti selepas 10 tahun

DREAM Street Restoration (DSR) baru-baru ini telah mendedahkan kepada umum sebuah Proton Satria Neo S2000 Supercharged binaan khas oleh mereka.

Satria Neo S2000 itu mengambil inspirasi dari jentera rali yang pernah berentap di kejuaraan Asia Pacific Rally Championship sekitar 2009 hingga 2011.

Disebabkan unit Satria Neo ini bukan untuk perlumbaan rali, ia tidaklah dilengkapi komponen seperti enjin dan kotak gear perlumbaan, sistem all-wheel drive, suspensi rali dan sangkar guling (roll-cage). Tetapi, ia masih diberikan beberapa elemen dan penghalusan khas oleh DSR.

Proton Satria Neo CPS R3 standard.

Pertamanya, Satria Neo ini menggunakan warna kuning khas yang berbeza dari CPS R3 yang pernah dikeluarkan oleh Proton. Berbanding CPS R3 yang menggunakan kod warna Canary Yellow, Satria Neo S2000 oleh DSR menggunakan kuning yang sedikit berbeza.

Menurut pemilik DSR, Suriya Sankaran, “Warna kuning pada Satria Neo ini ialah warna sebenar yang digunakan pada jentera rali S2000.”

Kemudian, DSR menggunakan kepakaran mereka untuk ‘menanam’ kristal holografik di dalam cat kereta dengan imej-imej dan grafik bertemakan Proton, R3, dan rali APRC.

Ini dapat dilihat pada kawasan-kawasan seperti bampar depan, hud, bumbung, spoiler, bampar belakang, pintu but, dan sisi. Kristal ini juga lebih jelas dilihat dengan kehadiran cahaya.

Selain itu, perubahan visual pada Satria Neo ini termasuklah bezel lampu berwarna hitam, unit lampu LED projektor, bampar depan dan belakang S2000, dan skirting sisi DSR.

Rim pula adalah 17-inci dibaluti tayar 215/45 serta brek Brembo di depan. Untuk suspensi, Satria Neo S2000 ini mendapat sistem boleh-laras dari Fawster Motorsport.

Kini kita ke bahagian enjin, unit 1.6-liter Campro CPS pada Satria Neo ini tidak melalui proses ‘blueprint’ seperti projek-projek lain DSR sebelum ini kerana enjin ini masih agak baharu, dengan perbatuan kira-kira 40,000km.

Tetapi enjin Satria Neo ini telah dipasang dengan unit supercharger, kotak udara gentian karbon DSR, dan sistem ekzos R3 sepenuhnya dari ekstraktor hingga muffler. Ini cukup untuk melonjakkan kuasa enjinnya dengan tambahan sekitar 40hp.

Enjin CPS pada Satria Neo ini dengan keadaan standard kilang menghasilkan 125hp. Dengan pemasangan supercharger, DSR akan menjalankan ujian dyno tidak lama lagi. Semasa lawatan Engear, Satria Neo S2000 ini belum menjalani dyno tetapi Suriya mensasarkan output sekitar 165 hingga 170hp.

Di bahagian dalam, perubahan terhad kepada tempat duduk Recaro SR3 dengan jahitan tulisan S2000, roda stereng Momo, tali pinggang keledar kuning, serta warna kuning pada beberapa panel papan pemuka.

Realisasi selepas 10 tahun

Menariknya, unit konsep Proton Satria Neo S2000 Supercharged yang pertama oleh Proton pernah dipertontonkan kepada umum dalam satu acara di Johor Bahru, pada 14 Julai 2012 iaitu genap 10 tahun lepas.

Proton Satria Neo S2000 konsep yang dipertonton pada 2011. Imej oleh: Apabila Jari Bergoyang

Sebanyak 300 unit dirancang untuk dibina, edisi terhad sebagai sambutan kemenangan Proton dalam kejuaraan rali APRC 2011. Walaubagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, model itu tidak dapat direalisasikan dan tidak pernah dijual kepada umum.

Kini genap 10 tahun kemudian, Satria Neo S2000 Supercharged berjaya dihasilkan oleh DSR, dan ia mempunyai pemilik yang akan memandunya di jalan raya.

Pelancaran Proton Satria Neo S2000 itu dibuat bersempena dengan pembukaan fasiliti baharu DSR di USJ, Subang Jaya.

Fasiliti dua tingkat ini menempatkan tiga ruang utama iaitu Street Performance Hub, Dream Hub dan Restoration Hub.

DSR mempunyai kepakaran merestorasi model-model Proton dengan casis C99 seperti Satria GTi, Putra dan Wira 1.8 EXi. Walaubagaimanapun seiring peredaran masa, mereka juga menambah rangkaian model yang boleh menjadi projek seperti Satria Neo ini, dan Proton Saga generasi pertama.

Dream Street Restoration (DSR) Services terletak di 13, Jalan TS 6/4, Taman Industri Subang, 47600 Subang Jaya, Selangor. Anda juga boleh melawat laman sosial DSR di Facebook dan Youtube.

Anak Malaysia pandu Proton Satria GTi di Jerman, beli dengan harga RM4.7k

ENTAH lah, tapi semacam satu perasaan yang sukar digambarkan bila melihat kereta buatan Malaysia berada di negara asing. Mungkin kerana kita tidak seperti Jepun, Jerman, Itali atau Perancis yang sudah biasa mengeksport banyak kereta ke luar negara, jadi bila terjumpa kereta-kereta kita, akan tercetus rasa bangga.

Kali ini kami ingin kongsikan pula seorang anak Malaysia, Danial Khairi yang megah memandu Proton Satria GTi di Jerman.

Danial berkongsi kepada Engear bahawa Satria GTi itu dibeli di sana dengan harga 1,000 Euro (RM4,694) pada 2017. Jika dilihat pada gambar-gambar, Satria GTi ini sememangnya versi eksport memandangkan ia versi pemanduan sebelah kiri (left-hand drive).

“Kereta dalam keadaan standard semasa dibeli, tetapi banyak juga perlu dibaiki dan ditukar. Selepas beli, saya bawa pulang kereta ini dengan towing (trak tunda),” kata Danial.

Menurutnya, harga Proton Satria GTi di sana bergantung kepada keadaan kenderaan. “Yang penting, lulus pemeriksaan,” tambahnya.

“Untuk membolehkannya dipandu semula, saya telah tukar komponen-komponen asas enjin seperti palam pencucuh dan kabelnya, penapis minyak, penapis bahan api, malah tangki minyak juga ditukar.

“Selepas perkara-perkara di atas, saya memeriksa dan buka semula sistem brek,” kata Danial.

Menurut Danial lagi, di Jerman dia tidak sewenang-wenangnya menghantar kereta ‘rare’ seperti Proton Satria GTi ini untuk servis dan penyelenggaraan.

“Saya beli jek, alat-alat diperlukan, baca buku manual. Nak hantar di bengkel itu boleh, tetapi harus pastikan mereka tahu serba sedikit mengenai kereta ini,” kongsinya.

Jika dilihat pada gambar-gambar di akaun media sosial Danial, beliau telah memandu Satria GTi ini ke merata tempat di Jerman, termasuklah melalui jalan bersalji. Siap ‘lepak’ dengan geng Volkswagen Golf Mk7 lagi!

Siaran terbaharu di Facebook Danial menunjukkan dia memandu GTi ini di sekitar Switzerland dan melayan jalan-jalan berbukit di Sustenpass, Innertkirchen.

Pasti seronok menikmati kelazatan Handling by Lotus sambil menghayati pemandangan indah dengan gunung-ganang. Jalan sebegini sememangnya sesuai dengan karakter Satria GTi.

Danial kini bekerja dan tinggal di Freiburg, Jerman. Difahamkan juga semasa di Malaysia, beliau pernah bekerja di jabatan powertrain dalam Proton sebagai pelatih dan untuk percubaan.

Syabas, Danial. Teruskan memandu Satria GTi di sana dan tunjukkan produk serta kemampuan Malaysia!

Sumber gambar: Facebook Danial Khairi

Proton Satria Neo dengan nadi K24A ini mencari pemilik baharu. Mantul!

TANYALAH mana-mana kaki kereta, pasti mereka akan mengakui bahawa Proton Satria Neo terkenal dengan pengendaliannya yang mantap dengan casis yang cukup tegar.

Cuma enjin standard kilang yang dibekalkan padanya kurang bertenaga, sama ada CamPro 1.6 atau CamPro CPS 1.6. Kalau CamPro 1.3 tu usah cakap lah…

Ia memerlukan enjin lebih berkuasa untuk memanfaatkan pengendaliannya yang ditala oleh jurutera Proton setelah mereka menuntut ilmu dengan Lotus.

Jadi, tidak hairanlah ada yang memilih untuk menukar nadi Satria Neo mereka dan pilihan popular merupakan 4G63 atau 4G93.

Tetapi bagaimana jika Proton Satria Neo mendapat jeritan VTEC? Ya, memang ada, seperti satu unit yang hendak dijual ini.

Ia bukan dibekalkan enjin B Series atau K20, sebaliknya terus K24! Unit K24 ini adalah dari Accord CL9 dan telah disumbat pada Satria Neo berserta dengan kotak gear manual 6-kelajuan yang ada padanya, menggantikan manual 5-kelajuan asal.

Ini menjadikan Satria Neo ini cukup mantap dan lazat! Geram pula penulis melihatnya. ‘Jajan’ lain pada Satria Neo ini juga bukan biasa-biasa, penuh barang Honda dan jenama aftermarket lain.

Terdapat juga komponen dari Civic FD2R, S2000, Integra DC5 serta Nissan Skyline R32! Suspensi pula adalah dari FTuned.

Berikut adalah barang yang disenaraikan dari iklannya:

CL9 K24A halfcut dengan kotak gear manual 6-kelajuan
CnC custom racing solid engine mounting
New racing clutch line
New Denso iridium plug
New oil seal full engine build (original)
New Ogura super single clutch
FD2R VTC gear and chain set
FD2R valve spring
New S2000 oil pump
DC5 oil pan
FD2R LSD
New Hybrid Racing Fuel rail kit
New Custom Racing 4core radiator
New DUAL original SPAL radiator fan
New Racing dash meter
New ELIXIR surge tank with 355 fuel pump
New Hankook V720 semi slick 205/50/15
R32 brake caliper
New DBA Australia brake rotor race series
New Endless CCRG track brake pad
Rear Project MU brake pad
New racing stainless steel braided brake hose
3-inch custom racing header full system
New racing bearing front and rear arms
Kenwork original racing wiring
Electronic power steering
New FTuned track inverted spec racing adjustable
Bride Japan bucket seat
Original racing kill switch
Rays racing wheel nut
Original Momo tuner
Lightweight bonnet
Full car soundproof removed

Harga dipinta adalah RM29,999 dan bagi kami, berpadanan dengan senarai barang padanya. Berminat mencari jentera touge atau track day? Boleh hubungi Sam Lee di 012-8962811 atau terus ke Facebook miliknya.

Proton Satria Neo 2021 versi 5-pintu pula dilakar, paling sesuai jadi pengganti Satria?

SELEPAS membayangkan Proton Satria Neo 2021 beberapa minggu lepas, kini pakar manipulasi imej automotif terkenal, Theophilus Chin, melakarkan pula hatchback itu tetapi dengan versi lima-pintu.

Bagi kami, versi ini lebih realistik dalam masa sekarang kerana boleh dikatakan hampir tiada lagi hatchback baharu yang dikeluarkan dengan tiga-pintu.

Malah, model-model yang sebelum ini popular dengan penampilan tiga-pintu seperti Volkswagen Golf GTi, Renault Clio RS dan Ford Fiesta ST juga kini hanya ditawarkan dalam varian lima-pintu. Mungkin atas faktor permintaan?

Apa pun, kembali kepada subjek kita hari ini, lakaran Proton Satria Neo 2021 lima-pintu ini mungkin boleh menjadi pengganti paling sesuai untuk Suprima S. Jika Proton mahu mengeluarkan hatchback lima-pintu baharu yang sporti, kami rasa peminat juga tidak kisah jika nama ikonik Satria digunakan.

Sama seperti lakaran versi tiga-pintu sebelum ini, imej digital dengan nama Satria Theo (cara humor perekanya meletakkan nama) turut diasaskan dari Lynk & Co 02 iaitu model hatchback prestasi terbaharu dari kumpulan Geely.

Dapat dilihat rupa depan 02 ini diberikan rekaan Geely Emgrand S dan disulami dengan Infinite Weave bersama jalur merah di bawahnya seperti X50. Tetapi rupa sisi dan belakang diubah sedikit untuk disesuaikan dengan gaya lima-pintu.

Dapat dilihat ia mengenakan warna bumbung hitam yang memberikan kesan gaya ‘floating roof’. Kemudian, rekaan lampu belakang dihubungkan dengan bar krom yang nipis memanjang.

Dari segi mekanikal, menurut portal Paultan.org, kombinasi yang boleh digunakan oleh Proton adalah platform BMA yang sesuai untuk model segmen-B serta pakej enjin 1.5-liter 3-silinder turbo dan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Trenkuasa ini juga yang serupa pada Proton X50.

Theophilus Chin juga menyampaikan mesej dalam video lakarannya mengatakan disebabkan sambutan menggalakkan dari lakaran Satria Neo sebelum ini, beliau menyertakan sekali lakaran kokpit dan bahagian dalaman pula.

Pada pendapat anda, sesuaikah lakaran ini menyambung legasi Satria? Mereka yang menyatakan minat akan benar-benar membeli hatchback seperti ini atau akhirnya sangkut dengan SUV sahaja?

Proton Satria Neo 2021 dibayangkan dengan 1.5 turbo dan DCT 7-kelajuan!

PROTON Satria mula diperkenalkan dengan berasaskan Mitsubishi Mirage dan kemudian pada 2006, generasi kedua hadir dengan nama Satria Neo.

Selepas beberapa versi dan dihentikan pengeluarannya pada 2015, tiada lagi penawaran model hatchback sporti dua-pintu oleh Proton.

Namun, nama Satria masih disebut-sebut hingga kini malah versi-versi prestasi seperti Satria R3, Satria GTi dan Satria Neo R3 masih dicari dan dihargai peminat.

Walaupun Proton belum mengeluarkan sebarang pengganti Satria Neo, mungkin lakaran ini boleh mengubati kerinduan anda pada hatchback legenda ini.

Proton Satria Neo 2021 ini dijelmakan hasil karya pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin yang dimuatnaik ke Instagram beliau, @theottle.

Walaupun ia bukan kereta sebenar, tetapi lakaran ini boleh dikatakan versi yang realistik kerana mengambil elemen-elemen terkini dalam rekabentuk Proton.

Model asas lakaran ini ialah Lynk & Co 02 iaitu model hatchback prestasi terbaharu dari kumpulan Geely, kemudian pintu belakang ‘dibuang’ untuk menjadikannya sebuah model tiga-pintu seperti Satria.

Dapat dilihat rupa depan 02 ini diberikan rekaan Geely Emgrand S dan disulami dengan Infinite Weave bersama jalur merah di bawahnya seperti X50.

Dari segi mekanikal, menurut portal Paultan.org, kombinasi yang boleh digunakan oleh Proton adalah platform BMA yang sesuai untuk model segmen-B serta pakej enjin 1.5-liter 3-silinder turbo dan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Trenkuasa ini juga yang serupa pada Proton X50.

Apa pendapat anda mengenai lakaran Proton Satria Neo 2021 ini? Adakah ia cukup selari dengan resepi asal Satria? Bayangkan pula ada versi R3 dari model ini dengan tambahan kuasa, casis lebih tegar dan pengendalian lebih mantap.

Boleh bersaing dengan Volkswagen Polo GTi dan Renault Clio RS!

Sumber gambar: Instagram Theophilus Chin

Proton Satria GTi yang tiptop ini mencari pemilik baharu, rupa macam baru keluar kilang!

SEBUAH Proton Satria GTi untuk dijual dan ia nampak seperti baru keluar dari kilang! Ini kerana Satria GTi ini baru sahaja melalui proses restorasi, dan ia juga kekal menggunakan alat ganti original/tulen.

Segalanya pada Satria GTi ini adalah ‘standard kilang’, dari rim, bampar, dan enjin.

Gambar: Facebook – Suriya Sankaran

Menurut iklan di Facebook yang dikongsi oleh Suriya Sankaran, GTi ini dimiliki oleh sorang pemilik sahaja sepanjang 20 tahun lepas. Ia dibeli pada November 2000 oleh seorang pemilik berusia 50 tahun.

Menurut iklan itu lagi, kereta ini tidak pernah dipandu jarak jauh, dan hanya digunakan di sekitar utara tanah air.

Lejen yang tidak perlu diperkenalkan

Jika anda tidak tahu apa itu Proton Satria GTi, mungkin anda masih terlalu muda atau tidak pernah mengikuti perkembangan dunia permotoran di Malaysia.

Satria GTi bukan sahaja diminati peminat kereta di Malaysia, malah menerima sambutan baik di pasaran luar negara seperti United Kingdom dan Australia.

Barisan Proton Satria GTi di litar Silverstone, UK. Gambar: Petrolblog.com

Selain dari enjin 4G93P 1.8-liter DOHC berkuasa 138hp dan 167Nm tork, magik kepada jentera legenda ini ialah pengendaliannya. Satria GTi menerima talaan Lotus pada casis dan suspensinya, menjadikan ia lebih gemar berada di jalan seperti Ulu Yam dan Litar Antarabangsa Sepang.

GTi juga mendapat komponen khas yang membezakannya dari Satria biasa seperti kit badan lebih agresif, rim 16-inci, ekzos berkembar, tempat duduk Recaro, pedal kaki khas, dan beberapa aksesori lain.

Berminat?

Gambar: Facebook – Suriya Sankaran

Berminat dengan khazanah automotif negara ini dan mahu menjadi pemilik baharu? Hubungi terus Suriya di +6012-3129567.

Suriya merupakan pengasas kepada Dream Street Restoration (DSR) yang menjalankan restorasi menyeluruh kereta-kereta Proton dengan casis C99 (Putra, Satria GTi dan Wira 1.8).

Hanya dua gambar ini sahaja yang dimuatnaik di Facebook beliau, ingin lihat lebih, anda sembang sahaja dengan Suriya.