fbpx

Anak Malaysia pandu Proton Satria GTi di Jerman, beli dengan harga RM4.7k

proton satria gti jerman danial khairi thumb

ENTAH lah, tapi semacam satu perasaan yang sukar digambarkan bila melihat kereta buatan Malaysia berada di negara asing. Mungkin kerana kita tidak seperti Jepun, Jerman, Itali atau Perancis yang sudah biasa mengeksport banyak kereta ke luar negara, jadi bila terjumpa kereta-kereta kita, akan tercetus rasa bangga.

Kali ini kami ingin kongsikan pula seorang anak Malaysia, Danial Khairi yang megah memandu Proton Satria GTi di Jerman.

Danial berkongsi kepada Engear bahawa Satria GTi itu dibeli di sana dengan harga 1,000 Euro (RM4,694) pada 2017. Jika dilihat pada gambar-gambar, Satria GTi ini sememangnya versi eksport memandangkan ia versi pemanduan sebelah kiri (left-hand drive).

“Kereta dalam keadaan standard semasa dibeli, tetapi banyak juga perlu dibaiki dan ditukar. Selepas beli, saya bawa pulang kereta ini dengan towing (trak tunda),” kata Danial.

Menurutnya, harga Proton Satria GTi di sana bergantung kepada keadaan kenderaan. “Yang penting, lulus pemeriksaan,” tambahnya.

“Untuk membolehkannya dipandu semula, saya telah tukar komponen-komponen asas enjin seperti palam pencucuh dan kabelnya, penapis minyak, penapis bahan api, malah tangki minyak juga ditukar.

“Selepas perkara-perkara di atas, saya memeriksa dan buka semula sistem brek,” kata Danial.

Menurut Danial lagi, di Jerman dia tidak sewenang-wenangnya menghantar kereta ‘rare’ seperti Proton Satria GTi ini untuk servis dan penyelenggaraan.

“Saya beli jek, alat-alat diperlukan, baca buku manual. Nak hantar di bengkel itu boleh, tetapi harus pastikan mereka tahu serba sedikit mengenai kereta ini,” kongsinya.

Jika dilihat pada gambar-gambar di akaun media sosial Danial, beliau telah memandu Satria GTi ini ke merata tempat di Jerman, termasuklah melalui jalan bersalji. Siap ‘lepak’ dengan geng Volkswagen Golf Mk7 lagi!

Siaran terbaharu di Facebook Danial menunjukkan dia memandu GTi ini di sekitar Switzerland dan melayan jalan-jalan berbukit di Sustenpass, Innertkirchen.

Pasti seronok menikmati kelazatan Handling by Lotus sambil menghayati pemandangan indah dengan gunung-ganang. Jalan sebegini sememangnya sesuai dengan karakter Satria GTi.

Danial kini bekerja dan tinggal di Freiburg, Jerman. Difahamkan juga semasa di Malaysia, beliau pernah bekerja di jabatan powertrain dalam Proton sebagai pelatih dan untuk percubaan.

Syabas, Danial. Teruskan memandu Satria GTi di sana dan tunjukkan produk serta kemampuan Malaysia!

Sumber gambar: Facebook Danial Khairi

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved