fbpx

Proton Satria Neo 2021 versi 5-pintu pula dilakar, paling sesuai jadi pengganti Satria?

proton satria neo 5-door 2021 01

SELEPAS membayangkan Proton Satria Neo 2021 beberapa minggu lepas, kini pakar manipulasi imej automotif terkenal, Theophilus Chin, melakarkan pula hatchback itu tetapi dengan versi lima-pintu.

Bagi kami, versi ini lebih realistik dalam masa sekarang kerana boleh dikatakan hampir tiada lagi hatchback baharu yang dikeluarkan dengan tiga-pintu.

Malah, model-model yang sebelum ini popular dengan penampilan tiga-pintu seperti Volkswagen Golf GTi, Renault Clio RS dan Ford Fiesta ST juga kini hanya ditawarkan dalam varian lima-pintu. Mungkin atas faktor permintaan?

Apa pun, kembali kepada subjek kita hari ini, lakaran Proton Satria Neo 2021 lima-pintu ini mungkin boleh menjadi pengganti paling sesuai untuk Suprima S. Jika Proton mahu mengeluarkan hatchback lima-pintu baharu yang sporti, kami rasa peminat juga tidak kisah jika nama ikonik Satria digunakan.

Sama seperti lakaran versi tiga-pintu sebelum ini, imej digital dengan nama Satria Theo (cara humor perekanya meletakkan nama) turut diasaskan dari Lynk & Co 02 iaitu model hatchback prestasi terbaharu dari kumpulan Geely.

Dapat dilihat rupa depan 02 ini diberikan rekaan Geely Emgrand S dan disulami dengan Infinite Weave bersama jalur merah di bawahnya seperti X50. Tetapi rupa sisi dan belakang diubah sedikit untuk disesuaikan dengan gaya lima-pintu.

Dapat dilihat ia mengenakan warna bumbung hitam yang memberikan kesan gaya ‘floating roof’. Kemudian, rekaan lampu belakang dihubungkan dengan bar krom yang nipis memanjang.

Dari segi mekanikal, menurut portal Paultan.org, kombinasi yang boleh digunakan oleh Proton adalah platform BMA yang sesuai untuk model segmen-B serta pakej enjin 1.5-liter 3-silinder turbo dan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Trenkuasa ini juga yang serupa pada Proton X50.

Theophilus Chin juga menyampaikan mesej dalam video lakarannya mengatakan disebabkan sambutan menggalakkan dari lakaran Satria Neo sebelum ini, beliau menyertakan sekali lakaran kokpit dan bahagian dalaman pula.

Pada pendapat anda, sesuaikah lakaran ini menyambung legasi Satria? Mereka yang menyatakan minat akan benar-benar membeli hatchback seperti ini atau akhirnya sangkut dengan SUV sahaja?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved