Arkib Tag: restomod

Volvo P1800 Cyan GT adalah jentera grand tourer untuk abah-abah

PADA 2020, Cyan Racing memperkenalkan Volvo P1800 Cyan sebagai interpretasi moden kepada model P1800 yang popular pada era 60-an.

Namun dengan kerusi jenis bucket dan sangkar keselamatan titanium, kereta tersebut dilihat lebih sesuai untuk beraksi di litar dan mungkin terlalu hardcore untuk sesetengah pembeli.

Kini, Cyan Racing kembali dengan versi baharu yang masih lincah di jalan-jalan berliku namun lebih selesa untuk perjalanan jarak jauh.

Dikenali sebagai P1800 Cyan GT, ia tampil dengan beberapa penambahbaikan bagi menjadikannya sebuah kereta grand tourer yang sebenar.

Pertama sekali, jentera ini menggunakan sistem suspensi boleh laras sepenuhnya yang lebih lembut. Ia juga dilengkapi dengan sangkar keselamatan titanium berbeza yang dikatakan lebih selesa.

Ruang kabin pula tidaklah nampak seperti kereta lumba dengan adanya upholsteri kulit dan fabrik berwarna perang, serta tempat duduk yang lebih mesra pemandu. Tidak cukup dengan itu, bahan kedap bunyi juga ditambah untuk kabin yang lebih senyap.

Seperti versi standard, P1800 Cyan GT dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan kotak gear manual Holinger lima kelajuan.

Bagaimanapun, kuasa telah dikurangkan sedikit dari 414 hp kepada 345 hp. Menurut Cyan Racing, hal ini kerana trenkuasa tersebut ditala untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan dan bukannya untuk mendapatkan kuasa tinggi semata-mata.

P1800 Cyan GT akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad, dengan setiap unit mengambil masa kira-kira 12 hingga 15 bulan untuk disiapkan.

Edit Automotive g11 projek restomod dari Porsche 911, hanya 99 unit

EDIT Automotive mendedahkan g11, hasil kerja terbaharu mereka iaitu sebuah kereta sports dibina khas berasaskan Porsche 911 generasi keenam (997).

Direka oleh Petr Novague, setiap g11 membawakan falsafah keringkasan bertujuan memberikan pertalian terus antara pemandu dengan jentera. Sebanyak 99 unit dirancang untuk dihasilkan.

Berkenaan kereta yang menjadi asas, Porsche 911 (997) merupakan generasi keenam jentera sports itu yang dikeluarkan antara 2005 hingga 2013. Edit memilih generasi ini kerana ia menawarkan pengalaman mekanikal sebenar yang terakhir sebelum 991 tiba dengan stereng bantuan elektrik.

Penghasilan g11 bermula dengan 997 versi wide-body (badan lebar) seperti Carrera 4S dan 911 GT3, dengan pilihan enjin 3.6-liter atau 3.8-liter naturally-aspirated yang menghasilkan sekitar 325hp hingga 400hp.

Setiap enjin dileraikan, komponen-komponen haus diganti, dan bearing IMS baharu serta pelapik silinder stainless-steel dipasang. Selain enjin, Edit Automotive juga merombak semula bahagian dalaman dengan bahan-bahan premium dan mengekalkan rasa analog untuk pengalaman pemanduan unik.

Tetapi elemen seperti pendingin hawa, pemanas tempat duduk, dan Traction Control dikekalkan. Terdapat ciri tambahan seperti pengecas telefon dan sambungan Bluetooth,

Di luar, kereta direstorasi dengan bampar depan dan belakang kustom gentian karbon. Edit berkata rupa mengambil inspirasi dari Butzi Porsche original dimana 911 mendapat lampu belakang rendah dan dekat dengan jalan.

Suspensi asal ditukar dengan set Ohlins dengan penyerap hentak boleh-laras. Ciri lain termasuklah short-shifter, sistem ekzos prestasi, rim forged, dan brek baharu dengan cakera GT3 dan kaliper Brembo. Mahu lebih prestasi? Tambah sahaja brek karbon-seramik dan limited-slip differential.

Spesifikasi setakat ini semua mantap dan lazat. Bagaimana pula dengan pengerasnya? Bersedia untuk harga super premium untuk jentera restomod sebegini.

Harga bagi Edit Automotive g11 bermula dari 170,000 Euro (RM853,510) dan boleh dikustom lagi mengikut kehendak anda. Pelbagai pilihan boleh dibuat seperti warna cat badan, warna dalaman, dan bahan digunakan.

Setiap unit g11 juga akan diberikan nombor siri khas untuk menunjukkan eksklusiviti dan ketulenannya.

Singer Porsche 911 Turbo Study kali ini model cabriolet, enjin sejukan cecair dengan 510hp

MERAH, whale tail, rim hitam, semuanya cukup. Tidak banyak kereta yang begitu menarik perhatian pada 1980an dengan Porsche 911 Turbo generasi 964. Dan tidak banyak juga syarikat yang menghasilkan semula jentera klasik dengan prestasi moden seperti Singer.

911 Turbo Study terbaharu mereka ialah Porsche generasi 964 ini, dan ia juga merupakan model pertama Singer dengan badan cabriolet.

“Porsche pertama iaitu Sport 356/1 yang dikenali sebagai ‘Number 1’ merupakan cabriolet, dan glamor bumbung terbuka dengan prestasi tinggi ini telah menjadi sebahagian dari kisahnya sejak itu,” kata pengasas dan pengerusi eksekutif Singer, Rob Dickenson.

“Saya telah lama mahu meraikan aspek Porsche ini di Singer dan dengan Turbo Study kami menghasilkan semula keseronokan supercar pertama Porsche sambil mengekalkan prestasi serta penghalusannya.”

“Kami teruja kerana pemilik-pemilik kini dapat menikmati aspek-aspek ini dengan bumbung terbuka.”

Badan Singer 911 Turbo Study baharu ini ‘memakai’ warna Cadiz Red, dan ia dipacu oleh enjin flat-six yang masih menggunakan sejukan udara. Tetapi ia kini bersesaran 3.8-liter dan menjana 510hp, hasil sepasang pengecaj turbo.

Kuasa kekal disalurkan ke roda belakang, dan ia disalurkan melalui kotak gear manual 6-kelajuan. Brek pula adalah karbon-seramik untuk ‘menjinakkan’ kuasa tadi.

Setiap unit 911 oleh Singer mendapat kemasan dalam yang cukup menawan, tetapi ianya pasti lebih mudah dilihat bila bumbung dibuka.

Untuk 911 Turbo Study ini khasnya, ia menampilkan bumbung fabrik yang dilipat dan disimpan di belakang, mendedahkan kabin berwarna hitam dengan kemasan plaid merah pada panel pintu dan tempat duduk.

Warna ini digandingkan dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah. Ciri moden pada 911 Turbo ini termasuklah pengecaj telefon tanpa-wayar untuk pemandu dan penumpang.

Sayangnya, jika anda mahu menempah 964 Cabriolet ini atau sebarang Singer 911, ia akan mengambil masa sedikit lama. Singer berkata tempahan kini penuh sehingga beberapa tahun akan datang, mereka tidak mampu menerima sebarang tempahan baharu buat masa ini.

RML hasilkan restomod berasaskan Ferrari 250 GT, sumbat nadi V12 550 Maranello!

SEJAK tiga tahun yang lalu, syarikat kejuruteraan yang berpangkalan di Northampton, United Kingdom iaitu RML Group telah mengerjakan projek restomod yang diinspirasikan oleh Ferrari 250 GT SWB.

Kerja keras mereka yang terlibat nampaknya membuahkan hasil kerana model pra-produksi yang didedahkan ini kelihatan tidak ubah seperti 250 GT SWB yang sebenar, cuma dengan sedikit sentuhan moden.

Dikenali sebagai Short Wheelbase, jentera ini sebenarnya dibina menggunakan platform dan casis Ferrari 550 Maranello. Walaupun ukuran tapak roda dan kedudukan suspensi dikekalkan, kesemua panel badannya telah direka dan dihasilkan semula menggunakan karbon komposit.

Kehadiran elemen-elemen seperti gril dengan jeriji ‘sarang telur’, lampu bulat berkembar, but ram air, lubang udara pada bahagian sisi dan muncung ekzos quad membuatkan Short Wheelbase saling tidak tumpah seperti Ferrari itu.

Bukan itu sahaja, bagi mengekalkan konsep retro moden yang dibawa, RML turut mereka dan menghasilkan sendiri rim aloi 18-inci yang digunakan oleh Short Wheelbase. Rim itu dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero.

Entah kenapa, gambar kabin tidak disiarkan namun menurut RML, ruang itu bebas plastik dan setiap permukaan yang boleh disentuh diperbuat sama ada dari aluminium, kaca atau pun kulit. Selain kulit, syarikat itu turut menawarkan Alcantara dan fabrik dalam beberapa warna.

Walaupun ruang kabinnya menampilkan suasana klasik, pelbagai kemudahan moden turut disertakan bagi memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman pemanduan dengan lebih selesa. Antaranya adalah sistem pendingin hawa kompak, pemegang cawan dan kawalan elektrik untuk tingkap, tempat duduk dan cermin.

Tersembunyi di bawah bonet ialah enjin 5.5-liter V12 dari 550 Maranello yang mampu menjana 486PS dan 567Nm. Dengan transmisi manual 6-kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang, Short Wheelbase dikatakan mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 290km/j.

Bagi memastikan enjin itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, ia diberikan beberapa komponen baharu seperti inlet, sistem penyejukan dan ekzos. Syarikat itu mendakwa kereta ini boleh digunakan dengan baik walaupun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Dubai dengan suhu mencecah 50° C.

Selain itu, sistem suspensi turut diberikan perhatian. Jentera restomod ini menggunakan suspensi jenis double-wishbone pada bahagian depan dan belakang, serta anti-roll bar. Bukan itu sahaja, peredam adaptif Bilstein yang asal digantikan dengan unit Ohlins yang dikatakan lebih sesuai dengan karakteristik dinamiknya.

RML Group merancang untuk membina 30 unit Short Wheelbase, di mana 70 peratus daripadanya akan ditawarkan untuk pasaran eksport. Setiap satu dijual pada harga bermula dari £1.35 juta (RM7.6 juta) dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.

Jaguar XJ Coupe muncul semula selepas 40 tahun, kali ini oleh Carlex Design

DIPERKENALKAN buat pertama kali pada 1975, Jaguar XJ Coupe atau nama ringkasnya XJ-C bukanlah calang-calang model dari pengeluar kereta British itu.

Reka bentuknya yang memukau terbukti popular di kalangan pembeli ketika apabila lebih 10,000 unit berjaya dijual dalam masa hanya tiga tahun.

Kini, setelah lebih 40 tahun sejak pengeluarannya dihentikan, XJ-C muncul kembali sebagai projek restomod terbaharu syarikat kustom terkenal dari Poland iaitu Carlex Design.

Ia merupakan model pertama yang akan dilancarkan dalam barisan Carlex Jewel, yang mana fokus utamanya adalah untuk memodenkan kereta klasik.

Ya, XJ-C restomod ini sememangnya kelihatan moden namun ia juga tampil sporti dan agresif, terutamanya dengan rekaan lampu ala turbin, gerbang roda lebar, rim jenis deep dish dan diffuser yang menempatkan sepasang muncung ekzos berkembar. Sudah tentu, hanya satu warna yang sesuai untuk kereta ini iaitu British Green.

Mengekalkan imej elegan yang ditampilkannya, ruang dalaman sedan dua pintu ini didominasi oleh upholsteri kulit mewah berwarna coklat dan kemasan kayu ala mahogani pada stereng dan papan pemuka.

Secara keseluruhannya, kokpit XJ-C ini kelihatan begitu kemas dan ringkas tanpa kehadiran elemen-elemen moden seperti skrin sentuh dan kluster instrumen digital.

Jika XJ-C yang asal boleh didapati dengan enjin 4.2-liter enam silinder sebaris dan 5.3-liter V12, versi restomod ini didatangkan dengan enjin V8 yang menghasilkan 400hp.

Carlex tidak mendedahkan dari mana enjin ini diperolehi, namun apa yang pasti kuasanya disalurkan ke roda belakang.

Di samping itu, Carlex turut menggunakan sistem brek dan suspensi moden, serta meletakkan rollbar di belakang bagi membantu meningkatkan ketegaran casis. Syarikat itu mendakwa kereta ini cukup selesa untuk digunakan sebagai kereta harian.

Buat masa ini, maklumat mengenai jumlah yang akan dihasilkan dan harga tidak tersedia. Namun memandangkan ia edisi restomod yang eksklusif, jumlahnya pasti terhad dan harganya pula sudah tentu tidak murah.