fbpx

Porsche 993 Speedster Remastered by Gunther Werks – Ikon klasik dengan sentuhan moden

porsche 993 speedster gunther werks 08

PORSCHE 911 generasi 993 sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat jenama itu kerana ia merupakan model generasi terakhir dengan enjin penyejukan udara (air-cooled).

Sepanjang tempoh pengeluarannya dari 1994 hingga 1998, ia boleh didapati dalam beberapa varian dan bentuk badan seperti Coupe, Cabriolet, Targa, Turbo, GT2 dan Turbo Cabriolet.

Tidak seperti model generasi sebelumnya iaitu 964, tidak ada varian Speedster yang ditawarkan bagi 993 namun Porsche sebenarnya pernah menghasilkan dua unit. Satu untuk Ferdinand “Butzi” Porsche, cucu kepada Ferdinand Porsche, dan satu lagi untuk bintang televisyen terkenal Jerry Seinfeld.

Bagaimanapun, mereka yang betul-betul ingin memiliki 993 Speedster kini berpeluang untuk mendapatkannya menerusi Gunther Werks, iaitu sebuah syarikat kustom terkenal yang berpangkalan di California. Hanya 25 unit versi ‘Remastered’ ini akan dihasilkan, dengan pengeluaran dijadualkan bermula awal tahun hadapan.

Unit yang pertama telah pun dipertontonkan kepada orang ramai pada acara Monterey Car Week yang berlangsung baru-baru ini. Ia menampilkan warna Peninsula Cypan, upholsteri kulit berwarna Mandarin Orange dan rim rekaan ala Fuchs berukuran 18-inci.

Membina 993 Speedster Remastered bukanlah satu kerja mudah kerana Gunther Werks perlu berhadapan dengan isu ketegaran casis yang timbul selepas bumbung dipotong. Lebih teruk lagi, mereka tidak mempunyai model asal daripada Porsche untuk dijadikan contoh.

Bagi mengatasinya, syarikat itu menambah struktur pengukuh pada bahagian belakang, berserta dengan tonneau cover, roll hoop dan sangkar keselamatan. Turut digunakan adalah cermin penghadang angin daripada 964 Speedster, dengan bingkai yang diperbuat daripada gentian karbon dan keluli.

Selain itu, terdapat juga splitter gentian karbon pada bampar hadapan, ducktail spoiler pada bahagian belakang, cermin sisi aluminium serta muncung ekzos Inconel yang dihasilkan menerusi proses pencetakan 3D. Ruang dalaman pula menampilkan papan pemuka dan stereng gentian karbon, serta kemasan kulit dan Alcantara.

Tersembunyi di bahagian belakang adalah enjin boxer 4.0-liter enam silinder yang digandingkan dengan transmisi Getrag G650 enam kelajuan.

Walaupun tidak dilengkapi dengan pengecas turbo, enjin tersebut mampu menghasilkan 435hp dan 454Nm dengan adanya modifikasi seperti ECU Motec dan sistem ekzos stainless steel.

Dari segi pengendalian, 993 Speedster Remastered dilengkapi dengan sistem suspensi adaptif keluaran JRZ yang mempunyai tiga mod iaitu Composed, Sport dan Sport Plus. Turut disertakan adalah anti-roll bar depan dan belakang daripada Eisenlohr Racing. Tugas membrek pula diserahkan kepada angkup Brembo GTR enam dan empat piston.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved