fbpx

RML hasilkan restomod berasaskan Ferrari 250 GT, sumbat nadi V12 550 Maranello!

RLM Short Wheelbase 02

SEJAK tiga tahun yang lalu, syarikat kejuruteraan yang berpangkalan di Northampton, United Kingdom iaitu RML Group telah mengerjakan projek restomod yang diinspirasikan oleh Ferrari 250 GT SWB.

Kerja keras mereka yang terlibat nampaknya membuahkan hasil kerana model pra-produksi yang didedahkan ini kelihatan tidak ubah seperti 250 GT SWB yang sebenar, cuma dengan sedikit sentuhan moden.

Dikenali sebagai Short Wheelbase, jentera ini sebenarnya dibina menggunakan platform dan casis Ferrari 550 Maranello. Walaupun ukuran tapak roda dan kedudukan suspensi dikekalkan, kesemua panel badannya telah direka dan dihasilkan semula menggunakan karbon komposit.

Kehadiran elemen-elemen seperti gril dengan jeriji ‘sarang telur’, lampu bulat berkembar, but ram air, lubang udara pada bahagian sisi dan muncung ekzos quad membuatkan Short Wheelbase saling tidak tumpah seperti Ferrari itu.

Bukan itu sahaja, bagi mengekalkan konsep retro moden yang dibawa, RML turut mereka dan menghasilkan sendiri rim aloi 18-inci yang digunakan oleh Short Wheelbase. Rim itu dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero.

Entah kenapa, gambar kabin tidak disiarkan namun menurut RML, ruang itu bebas plastik dan setiap permukaan yang boleh disentuh diperbuat sama ada dari aluminium, kaca atau pun kulit. Selain kulit, syarikat itu turut menawarkan Alcantara dan fabrik dalam beberapa warna.

Walaupun ruang kabinnya menampilkan suasana klasik, pelbagai kemudahan moden turut disertakan bagi memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman pemanduan dengan lebih selesa. Antaranya adalah sistem pendingin hawa kompak, pemegang cawan dan kawalan elektrik untuk tingkap, tempat duduk dan cermin.

Tersembunyi di bawah bonet ialah enjin 5.5-liter V12 dari 550 Maranello yang mampu menjana 486PS dan 567Nm. Dengan transmisi manual 6-kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang, Short Wheelbase dikatakan mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 290km/j.

Bagi memastikan enjin itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, ia diberikan beberapa komponen baharu seperti inlet, sistem penyejukan dan ekzos. Syarikat itu mendakwa kereta ini boleh digunakan dengan baik walaupun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Dubai dengan suhu mencecah 50° C.

Selain itu, sistem suspensi turut diberikan perhatian. Jentera restomod ini menggunakan suspensi jenis double-wishbone pada bahagian depan dan belakang, serta anti-roll bar. Bukan itu sahaja, peredam adaptif Bilstein yang asal digantikan dengan unit Ohlins yang dikatakan lebih sesuai dengan karakteristik dinamiknya.

RML Group merancang untuk membina 30 unit Short Wheelbase, di mana 70 peratus daripadanya akan ditawarkan untuk pasaran eksport. Setiap satu dijual pada harga bermula dari £1.35 juta (RM7.6 juta) dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved