Arkib Tag: proton saga

Pasangan UK ini buat parodi ASMR Bentley… guna Proton Saga!

JIKA anda sering meluangkan masa di aplikasi Tiktok dan anda sorang kaki kereta, algoritma pasti akan membawa anda menonton trend ASMR Bentley. Ramai pengguna Tiktok telah menghasilkan versi mereka sendiri yang lebih kelakar dari video asal.

Walaupun banyak versi tempatan kita dapat lihat dimana orang Malaysia menggunakan kereta-kereta seperti Perodua Myvi dan Axia, ada satu video menggunakan Proton Saga yang boleh menang jika ini merupakan satu pertandingan. Video ini bukan dihasilkan oleh orang Malaysia, sebaliknya oleh pasangan UK (United Kingdom)!

Jon Coupland, seorang warga UK yang juga peminat serta pengumpul Proton telah menggunakan akaun Tiktoknya untuk menghasilkan video tersebut. Dilihat Amy, isterinya membuat video parodi untuk ASMR Bentley menggunakan sebuah Proton Saga putih.

Dia menulis, “Feel and hear the luxury (rasai dan dengarkan kemewahannya)”.

Dalam video itu, Amy meniru semua kata-kata dan perbuatan model ASMR Bentley, dengan membisik “Proton” sebelum menyentuh logo pada bonnet depan kereta.

Dia juga memainkan jarinya pada gril dan rim Saga sebelum masuk ke dalam dan meneruskan babak-babak parodi dari video asal.

Bagi kami, video inilah terpaling ‘win’ untuk kategori ASMR Bentley ini.

@joncouplandcars Feel and hear the luxury🤣 #bentleygirl #bentleygirlmeme #bentley #asmr #proton #parody #asmrcar #funny #luxurylifestyle #car #protonsaga #protonsagaiswara #saga #protonuk #protonmalaysia ♬ original sound – Jon Coupland

Jika anda merupakan pembaca tegar Engear, anda pasti perasan bahawa nama Jon Coupland tidak asing di sini. Kami sebelum ini pernah membuat liputan dimana Proton Saga Black Knight miliknya memenangi acara berprestij Hagerty Festival of the Unexceptional 2021 di UK.

Kereta beliau juga pernah dipamerkan di Royal Automobile Club, London yang merupakan sebuah kelab eksklusif.

Proton Saga baru keluar kedai dah mati enjin dua kali, teruk kena sidai ni!

BAYANGKAN dua kali enjin kereta ‘mati’ pada hari pertama keluar kedai. Begitulah yang berlaku kepada pengguna Twitter (X) bernama ad nomey (@panggiladjela).

Menurutnya, pada 29 Julai lepas, dia telah mengambil Proton Saga baharu bersama dengan kakak dan abangnya di Proton KEB Auto TTDI Kajang.

Gambar oleh: Twitter @panggiladjela

Dia mulanya berasa teruja mengambil kereta pertamanya dan sempat bergambar bersama penasihat jualan. Selepas itu, Proton Saga tersebut menjalani rutin PDI (Pre-Delivery Inspection) sebelum diserahkan kepadanya.

Ad membuat pandu uji singkat di kawasan berdekatan dan selepas segalanya okey, dia menandatangani borang penerimaan kereta dan mahu ke kedai pemasangan filem penebat haba (tinted).

Walaubagaimanapun, belum sempat keluar dari parkir bilik pameran, enjin Proton Saganya tiba-tiba mati. Dia terpaksa menghubungi abangnya yang sedang dalam perjalanan ke kedai tinted untuk berpatah balik.

Abangnya memanggil penasihat jualan yang datang bersama juruteknik, dan Saga tersebut dibawa masuk semula untuk pemeriksaan. Selepas kira-kira 15 minit, kereta berjaya dihidupkan dan menurut juruteknik tersebut, hanya masalah kecil.

Selepas itu, mereka pun memandu semula menuju ke kedai ‘tinted’ dan kali ini, cuba anda teka. Ya, enjin Proton Saga itu ‘mati’ lagi! Kali ini di tengah-tengah jalan dan ia langsung tidak boleh dihidupkan.

Gambar oleh: Twitter @panggiladjela

Dia pun meminta bantuan pihak Proton dan insurans untuk memanggil trak tunda. Lebih malang lagi, kereta itu belum ada dalam sistem kedua-duanya (Proton dan insurans). Ad semakin berang dan tidak lama kemudian, Proton menghubunginya semula untuk bantuan trak tunda tetapi dengan kos ditanggung sendiri.

Selepas mereka kembali ke Proton KEB Auto itu, berlaku sedikit ketegangan kerana dikatakan pengurus cuba bersikap lepas tangan. Malah pengurus tersebut mencabarnya untuk membuat laporan polis.

Ad dan abagnya pun meninggalkan kereta itu di sana dan membuat laporan di Balai Polis Semenyih.

Yang kelakarnya, malam itu, mereka menerima panggilan daripada Proton KEB Kajang yang mempersoalkan tindakannya membuat laporan polis dan memintanya membuat aduan kepada Tribunal Pengguna.

Dalam perkembangan terkini, Proton KEB Auto TTDI Kajang menghubunginya dan memberitahu punca enjin mati adalah kerana terdapat skru longgar. Menurut mereka, kereta sudah okey tetapi mereka memerlukan beberapa jam lagi untuk ujian.

Anda boleh baca cerita penuh Ad di bawah. Setakat ini, ciapannya itu telah mendapat lebih 10,600 Retweet.

Hot Wheels Proton Saga akan dapat pakej dengan karya seni pertama dunia

ANDA biasa lihat kad pada bungkusan Hot Wheels dengan biasa dari syarikat Mattel itu. Tetapi selepas ini, Hot Wheels akan mengeluarkan pakej bungkusan dengan karya seni, buat pertama kalinya di dunia.

Dan ianya lebih bermakna dengan penglibatan Malaysia, dimana seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dipilih menjadi pemenang untuk rekaan karya seni itu. Kad istimewa itu juga akan digunakan untuk Hot Wheels Proton Saga! Ini sangat mengujakan.

Saw Jane Harn, dari Pulau Pinang menjadi juara pertandingan Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition 2023. Upacara penyampaian hadiah untuknya dan lima pemenang saguhati lain dijalankan di acara Art of Speed 2023 yang diadakan pada 29 dan 30 Julai di MAEPS, Serdang.

Hot Wheels Proton Saga akan mula dijual pada 2024. Ianya merupakan kolaborasi antara pengeluar mainan terkemuka itu dengan syarikat automotif negara yang dimeterai pada 2022. Proton Saga menjadi model Proton pertama diabadikan sebagai model die-cast skala 1:64.

Hot Wheels Proton Saga akan turut dijual ke peringkat antarabangsa sebagai koleksi singles, dimana Mattel Malaysia merupakan satu-satunya pengeluar.

Pertandingan Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition menjemput kanak-kanak seluruh negara untuk menghasilkan rekaan dengan tema “A Malaysian National Car”. Sebanyak 386 penyertaan diserahkan dari kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

“Selama lebih 50 tahun, Hot Wheels dikenali sebagai pencetus dan penggalak semangat daya saing dalam diri kanak-kanak untuk mendedahkan potensi sebenar mereka, kata Murat Ariksoy, pengurus besar, Mattel South Asia.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan Proton untuk pertandingan rekaan ini yang meraikan generasi masa depan untuk menyahut cabaran,” katanya.

Rekaan Saw membawakan pelbagai elemen sinonim dengan Malaysia dari burung enggang, bunga raya, dan Tugu Negara.

Menurut Azlan Othman, ketua rekaan Proton yang menjadi salah satu juri dalam pertandingan itu, “Elemen Malaysia dalam rekaan Saw merupakan satu maksud untuk negara kita yang cantik.”

Enam pemenang teratas pertandingan ini memperoleh hadiah produk Hot Wheels, barangan edisi terhad, dan peluang berjumpa Matt Gabe, ketua rekaan pakej Hot Wheels, yang turut hadir dari El Segundo, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Roslan Abdullah, timbalan ketua pegawai eksekutif Proton berkata: “Serentak dengan Mattel Malaysia menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini, Proton juga menyambut ulang tahun ke-40 pada 7 Mei tahun ini.”

“Saga pula berusia 38 tahun pada 9 Julai 2023, jadi Hot Wheels Proton Saga merupakan satu cara meraikan pencapaian ini.”

Peminat kereta dan Hot Wheels boleh menunggu pada Disember 2023 nanti dimana model Proton Saga ini akan mula dijual di lebih 150 negara.

Proton Saga kini guna transmisi 4AT dari Aisin pula?

PROTON Saga sejak 2019 telah menggunakan kotak gear automatik 4-kelajuan (4AT) dari Hyundai menggantikan CVT pada model sebelumnya. Tetapi kini difahamkan kotak gear 4AT yang digunakan adalah dari Aisin pula.

Ada kemas kini teknikal yang tidak diumumkan oleh Proton?

Menurut rakan media kami di Funtasticko yang memetik laporan Wapcar, Proton Saga telah menerima kotak gear 4AT dari Aisin sejak bulan lepas (Mei) yang menggantikan unit dari Hyundai.

Proton setakat ini belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenainya, dan harga juga masih kekal. Spesifikasi lain juga tidak berubah, bermakna ia masih Saga MC2 yang dilancarkan tahun lepas, hanya pembekal kotak gear sahaja yang berubah.

Hairan juga jika Proton tidak mengumumkan perkara ini. Pertukaran pembekal kotak gear ini juga bukanlah suatu berita yang buruk pun, malah boleh menjadi perkara positif jika ia mampu menambah baik aspek pemanduan dan penjimatan bahan api.

Proton Saga mengekalkan enjin 1.3-liter VVT dengan output 95p dan 120Nm tork. Saga 2022 dilancarkan dengan empat varian dan harga seperti berikut:

1.3 Standard MT: RM34,400
1.3 Standard Lite AT: RM38,300
1.3 Standard AT: RM38,800
1.3 Premium S AT: RM44,800

Anda boleh baca laporan penuh pelancaran Proton Saga MC2 di sini.

Empat sekeluarga maut dalam nahas di Lebuhraya PLUS

KEMALANGAN melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori tanah di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan menyebabkan empat sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi Selasa itu, Azriyani Abdul Latif, 45 tahun, dan tiga anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Qorni, 5 tahun meninggal dunia.

Sementara itu, seorang lagi anaknya yang dikenali sebagai Muhammad Fawwaz, 7 tahun, cedera parah.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.06 pagi.

Beliau berkata kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang melanggar bahagian belakang lori muatan tanah jenis Volvo. Impak pelanggaran menyebabkan kereta itu terbakar di bahagian bonet.

Katanya, terdapat dua mangsa yang tersepit dan kebakaran dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api.

“Mangsa yang terlibat adalah enam orang. Empat disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang dibawa ke Hospital Tapah oleh anggota EMRS Gopeng.

“Terdapat mangsa yang maut telah melecur di bahagian anggota badan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak polis dan ambulans. Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kereta tersebut dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila sampai ditempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri.

Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hot Wheels Proton Saga 1985 bakal dikeluarkan hasil kerjasama Mattel dan Proton!

SUDAH menjadi impian peminat permotoran dan pengumpul model die-cast di Malaysia untuk melihat model Proton dikeluarkan secara rasmi oleh Hot Wheels. Impian anda akan menjadi kenyataan kerana Proton Saga 1985 akan diabadikan dalam bentuk die-cast skala 1:64!

Ini merupakan hasil kerjasama antara Mattel Malaysia Sdn Bhd (MMSB) dan Proton, sempena sambutan ulangtahun ke-40 syarikat pengeluar mainan itu di negara ini.

Model Hot Wheels baharu itu dijangka akan mula dihantar dan dijual di seluruh dunia menjelang hujung tahun depan.

Penulis sebagai pemilik Proton dan pengumpul Hot Wheels pastinya mengalu-alukan projek dan kerjasama sebegini.

Diharapkan mereka boleh juga merealisasikan die-cast model-model ikonik Proton yang lain seperti Wira, Putra, Satria GTi, Satria R3, Satria Neo R3, Arena, dan Perdana. Malah masukkan sekali model terkini Proton seperti X70 dan X50, pasti menarik.

Untuk pengetahuan, Mattel mempunyai kilang pengeluaran di Perai, Pulau Pinang dan fasiliti itu merupakan pusat pengeluaran Hot Wheels terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran sembilan juta kereta seminggu.

Dalam perkembangan sempena ulangtahun ke-40 itu juga, MMSB mengumumkan bahawa mereka akan memperbesarkan kilang itu dengan kerja-kerja dijangka siap pada Januari 2023. Pembesaran ini dikatakan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 20 peratus menjelang 2025.

MMSB pada masa ini mempunyai 3,900 pekerja dan jumlah ini akan ditambah menjadi sekitar 4,300 orang selepas kilang itu dibesarkan.