Proton Saga 2026: Sedan aras mula dengan nilai hebat – pandu uji
Diperkenalkan pada tahun 1985, Proton Saga kekal menjadi salah satu model terpenting bagi landskap automotif tempatan.
Saga bukanlah sekadar sebuah mod pengangkutan dari titik A ke titik B, akan tetapi satu keperluan bagi mereka yang mahukan kereta yang selesa, canggih dan juga selamat.
Model facelift ketiga (MC3) yang dilancarkan tahun lepas hadir dengan pakej yang cukup kuat untuk memalukan pesaingnya.
Ini terbukti apabila jualan Saga berjaya mengatasi Perodua Bezza sepanjang bulan Januari 2026!
Kami berkesempatan untuk memandu uji Saga, dan berikut merupakan pendapat kami tentang sedan baharu Proton ini.
Reka bentuk Saga lebih premium
Sedan aras mula ini sudah pun melalui tiga fasa rekaan:
- Rekaan berkotak Mitsubishi (1985)
- Rekaan Proton asli (2008)
- Rekaan Geely (2025)
Memang tidak dinafikan, Saga baharu menawarkan imej yang lebih canggih, ditambah pula dengan muka hadapan yang selaras dengan model X Proton lain (X70 & X90).
Kalau dulu lampu DRL datang dalam pakej berasingan, Saga baharu ini datang dengan lampu DRL terbina dalam unit lampu utama.
Saga juga hadir dengan lampu projektor LED yang cukup terang untuk pemanduan waktu malam.
Imej Saga juga kini bertambah premium dengan kehadiran lampu belakang LED melintang penuh, selari dengan trend rekaan kereta semasa.
Sayang sekali, bahagian sisi sedan ini merupakan satu petunjuk Saga masih lagi kekal dengan platform sedia ada.
Kepada pemilik Saga baharu, anda seharusnya berterima kasih kepada Proton Savvy.
Kabin lebih canggih dan premium
Disebabkan dimensi asal yang tidak berubah banyak, ruang kabin Saga ini tidak dirasakan lebih luas berbanding model terdahulu.
Susun atur papan pemuka juga telah diberikan nafas baharu.
Varian Premium yang kami pandu uji ini hadir dengan skrin kluster digital 7 inci, diikuti skrin infohibur 9 inci di bahagian tengah.
Butang fizikal untuk kawalan iklim masih lagi dikekalkan, cuma dengan rekaan yang lebih ringkas, tombol dan butang pula dikecilkan saiznya.
Tidak dinafikan, Saga baharu ini menawarkan pengalaman yang rasa lebih mahal untuk sebuah sedan aras mula.
Tombol kawalan iklim tadi tidak terasa murah bila diputar, begitu juga halnya bila tuil lampu isyarat membelok dan penyeka kaca digunakan sepanjang pemanduan.
Sistem pendingin hawa juga memang cemerlang, itu adalah identiti kereta Proton sejak sekian lama.
Seperkara lagi, Saga kini sudah menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. Tanpa wayar!
Sistem audio juga menawarkan kualiti yang sedap sebagai peneman di dalam kabin yang senyap sepanjang perjalanan.
Pemanduan
Salah satu perkara yang membuatkan Saga baharu ini lebih menyerlah ialah enjin baharu 1.5 liter i-GT yang digunakan.
Enjin 1,499 cc ini berupaya menjana kuasa setinggi 120 PS @ 6,100 rpm dan 150 Nm @ 4,000 rpm, jauh lebih bertenaga berbanding enjin Campro 94 hp/120 Nm.
Jimat minyak? Sudah pasti.
Untuk setangki penuh Saga ini boleh bergerak sejauh lebih 500 km pun sudah lebih daripada memadai.
Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 6.5 liter untuk setiap 100 km.
Aspek ride & handling juga telah ditambah baik, menjadikan pemanduan Saga ini lebih mengujakan terutama bila berdepan dengan seksyen jalan yang berliku.
Talaan suspensi topang MacPherson dan torsion beam pada Saga ini juga lebih dekat dengan jiwa, pemanduan rasa sporti dan dalam masa yang sama aspek keselesaan tetap menjadi keutamaan.
Segala kekasaran dan gegaran berjaya ditapis dengan baik, menjadikan pemanduan Saga ini terasa mahal bila duduk di dalam walaupun jalan di luar menyerupai permukaan bulan.
Bunyi enjin juga tidak lagi mengaum macam zaman Campro dulu-dulu.
Enjin i-GT aspirasi semula jadi itu hanya menghasilkan bunyi dengungan frekuensi rendah yang langsung tidak mengganggu tumpuan pemandu ketika pedal pendikit ditekan rapat.
Saga bukanlah kereta sempurna
Di sebalik beberapa penemuan positif itu tadi, Saga bukanlah satu kereta yang sempurna.
Ada beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan supaya Saga ini menjadi lebih sempurna:
Satu, respons transmisi CVT yang cukup menyeksa jiwa terutama pada julat rpm yang rendah.
Pada kelajuan normal, tidak menjadi masalah, cuma Saga ini akan membuatkan anda sakit hati bila memasuki jalan yang ada banyak persimpangan lampu isyarat.
Atau Shah Alam Darul Bulatan.
Sukar untuk mendapatkan pola pemanduan yang lancar di dalam Saga disebabkan hal ini.
Sebagai seorang yang sudah terbiasa dengan kereta manual, penulis berharap Saga satu hari nanti dilengkapi dengan transmisi enam kelajuan.
Kedua, titik gigit pedal brek dirasakan terlalu jauh ke depan.
Bukanlah nak kata sistem brek Saga ini teruk pun sebab ia masih mampu menghentikan pergerakan kereta dengan baik.
Jadi, jika anda merancang untuk memandu laju Saga ini, sila pastikan kaki sentiasa bersedia untuk berdepan dengan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ketiga, tayar.
Tayar standard Atlas yang dibekalkan itu tidaklah teruk pun, atas jalan basah juga masih lagi ok, cuma ada lagi pilihan yang lebih baik dalam pasaran.
Sekiranya anda berminat jugak dengan Saga, pastikan ada bajet yang mencukupi untuk tukar tayar jika anda mahukan pemanduan Saga yang lebih meyakinkan.
Kekurangan kabin Saga yang boleh ditambah baik
Untuk ruang kabin pula, ada beberapa penambahbaikan yang boleh dibuat.
Satu, kadar kecerahan skrin kluster boleh direndahkan lagi supaya tidak terlalu silau pada waktu malam sampai kereta sebelah boleh perasan.
Dua, walaupun Saga sudah ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem operasi Altas itu tidak begitu stabil.
Kadang kala, sistem akan ‘restart’ sendiri secara tiba-tiba dan keadaan ini menyukarkan terutama ketika pemandu sedang bergantung kepada sistem navigasi pemetaan.
Ketiga, ada penyelesaian untuk masalah Apple CarPlay/Android Auto yang terputus secara tiba-tiba, iaitu penggunaan wayar USB.
Cuma, kedudukan port USB yang terlalu rapat dengan kepala lutut menyebabkan pemanduan menjadi tidak selesa, dah la Saga langsung tiada tempat rehat kaki kiri.
Keempat, posisi pemanduan Saga baharu ini dirasakan agak tinggi, walaupun sudah dilaraskan pada kedudukan yang paling rendah.
Ini menjadikan pandangan mata sudah hampir menyamai kedudukan cermin pandang belakang.
Keadaan ini amat menyukarkan pemandu terutama ketika menaiki atau menuruni kawasan parkir bertingkat.
Mungkin juga ini merupakan satu sesi pra-rasa untuk Saga Cross yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Mungkin.
Keselamatan mengatasi Iriz, Persona
Setelah sekian lama menanti, Proton akhirnya menyumbat segala keperluan keselamatan yang diperlukan untuk sebuah kereta aras mula.
Enam beg udara didatangkan standard untuk varian Premium, diikuti dengan ciri keselamatan termaju seperti:
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
- Amaran Bukaan Pintu (DOW)
- Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
Akhir sekali, Saga hadir dengan ciri Pemantauan Titik Buta (BSM). Satu penambahan yang amat-amat dihargai.
Iriz dan Persona pun tak dapat ciri ini tau!
Saga juga turut mendapat ciri penderia parkir depan dan belakang yang agak sensitif, dan mengganggu terutama ketika dalam kesesakan trafik.
Tidak dilupakan, amaran had kelajuan sekiranya sistem mendapati Saga ini dipandu melebih had yang dibenarkan.
Seperkara yang penulis mahu puji pada Saga ini ialah sistem amaran yang mengingatkan pemandu tentang kehadiran kanak-kanak (dan barang berharga) di belakang setiap kali enjin dimatikan.
Bunyi yang dihasilkan agak jelas dan nyaring untuk memastikan tiada seorang pun pemilik Saga menghidapi sindrom terlupa anak.
Hilang barang boleh diganti, hilang anak penyesalan menanti.
Kesimpulan
Melihatkan kepada pakej dan spesifikasi yang ditawarkan, Proton Saga ini bukan lagi model yang boleh anda pandang ringan.
Ia ada segalanya yang diperlukan pada sebuah sedan aras mula – kuasa, keselesaan, ruang, dan teknologi yang dapat memudahkan urusan harian.
Paling penting, harga yang mampu dimiliki kebanyakan pengguna yang mahu mencari kereta pertama.
Seperti mana Iriz yang dilancarkan pada tahun 2014, Proton Saga kini telah menetapkan satu standard baharu untuk segmen sedan aras mula.
Syabas Proton!
Spesifikasi ringkas Proton Saga 2026
- Enjin 1.5 liter i-GT kitaran Atkinson
- Kuasa 120 PS @ 6,100 rpm
- Daya kilas 150 Nm @ 4,000 rpm
- Transmisi CVT
- Pacuan roda depan
- Tetapan suspensi topang MacPherson/torsion beam
- Rim 15 inci
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






































