fbpx

Proton Saga MC2 2022 dilancar Khamis ini!

proton saga mc2 teaser 01

BERITA buat mereka yang ternanti-nanti, Proton Saga 2022 sah akan dilancarkan Khamis ini, bersamaan 12 Mei (lusa).

Pelancaran Saga dengan nama kod MC2 itu akan membawakan beberapa perubahan pada luaran, rekaan dalaman yang direka semula, dan penambahan ciri baharu.

Berdasarkan gambar-gambar teaser yang dikongsi di Facebook Proton Cars, ia memaparkan rim aloi 15-inci baharu yang akan ditampilkan pada varian Premium dan Premium S baharu. Juga dapat dilihat ialah kit badan untuk varian tertinggi dengan warna badan.

Pembaharuan pada muka depan terhad kepada penggunaan logo baharu bulatan yang menggantikan bentuk lencana. Logo ini mula digunakan pada Proton Iriz dan Persona facelift 2021.

Elemen Ethereal Bow pada gril juga hadir dalam kemasan merah sama seperti X50. Walaubagaimanapun bagi anda yang mahukan lampu LED seperti Bezza, harap maaf kerana Saga 2022 akan kekal dengan unit halogen.

Tiada gambar dalaman didedahkan oleh Proton, tetapi imej-imej tertiris menunjukkan Saga 2022 bakal mendapat konsol tengah yang direka semula dengan kemasan merah pada perumah pendingin hawa.

Roda stereng juga mendapat logo baharu, selain panel instrumen diberikan grafik merah baharu menggantikan perak.

Ciri lain yang bakal diterima oleh Saga 2022 termasuklah keyless entry, butang penghidup enjin, cermin sisi auto-lipat, pembuka but luaran, dan tempat duduk kulit, kesemuanya untuk Premium S.

Stability Control pula kini diberikan pada varian-varian bawah termasuk Standard AT, hanya varian Standard MT yang tidak dilengkapi ciri penting ini. Ya, Saga 2022 akan masih ditawarkan dengan kotak gear manual.

Tiada perubahan pada bahagian enjin, bermakna Saga 2022 akan terus dipacu oleh unit 1.3-liter Campro VVT yang menjana 95hp dan 120Nm tork.

Enjin ini akan dipadankan dengan kotak gear automatik 4-kelajuan dari Hyundai, selain dari manual 5-kelajuan untuk varian asas.

Anda boleh tonton pelancaran Proton Saga 2022 pada pagi Khamis nanti di laman Facebook Proton Cars.

Sementara itu, terdapat juga pautan untuk anda daftarkan minat terhadap sedan segmen-A ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved