Arkib Tag: pengecaj

Pengecaj pantas DC 180kW di R&R Gambang kini beroperasi semula

BERITA baik untuk pemandu kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang menghala ke Kuantan atau Pantai Timur. Pengecaj pantas DC Fast Charger 180kW di Petronas hentian Gambang arah Timur kini kembali beroperasi.

Stesen pengecaj itu sebelum ini tidak boleh digunakan kerana menjalani kerja-kerja pembinaan sehingga 19 April. Jadi, ia kini beroperasi semula lebih awal dari tarikh jangkaan. Semasa dalam tempoh pembinaan, pengecaj mudah-alih DC Kempower 22kW digunakan buat sementara.

Pengecaj DC itu adalah di bawah rangkaian Gentari dan mempunyai dua nozel berkapasiti 90kW setiap satu dengan kos penggunaan RM2.20 seminit. Pengecaj-pengecaj ini boleh diaktifkan dengan aplikasi Setel atau JomCharge (kedua-duanya boleh didapati di Google Play Store dan Apple App Store).

Sementara itu, untuk mereka yang memandu pulang ke Kuala Lumpur, Petronas hentian Gambang arah Barat juga mempunyai pengecaj DC 50kW. Pengecaj ini mempunyai kadar RM1.20 seminit dan hadir dengan nozel jenis AC (Type 2) dan DC (CCS dan CHAdeMO).

Pemilik MINI EV di ‘utagha’ kini boleh caj kereta mereka di Gurney Plaza

AUTO Bavaria hari ini mengumumkan pengecaj kenderaan elektrik (EV) pertama untuk jenama MINI di zon Utara.

Terletak di tingkat enam Gurney Plaza Penang, fasiliti pengecaj MINI itu menampilkan tiga unit Wallbox Gen 3, mampu mengecaj kenderaan EV dan PHEV sehingga kapasiti 22kW. Proses mengecaj juga mudah, anda hanya perlu masukkan saja pengecaj di slot dan kereta akan terus dicaj.

Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Sime Darby Auto berkata: “Pada 2022, MINI Electric merangkumi lebih 30 peratus jualan model-model jenama ini di Auto Bavaria Penang, menunjukkan permintaan meningkat untuk EV di kawasan ini.”

“Fasiliti pengecasan baharu MINI di Gurney Plaza akan menyokong permintaan yang meningkat selain memberikan lebih akses pengecasan di zon Utara ini,” katanya.

Menurut Vi Thim Juan, Gurney Plaza merupakan lokasi ideal kerana ianya pusat beli-belah popular dengan lokasi strategik di tengah-tengah Pulau Pinang.

Tiga pengecaj MINI EV di Gurney Plaza Penang itu kini dibuka untuk orang awam. Waktu operasi adalah mengikut waktu pusat beli-belah itu, dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Malaysia dan Singapura jalin kerjasama untuk stesen pengecasan EV

MALAYSIA dan Singapura telah menjalin tiga perjanjian baharu semalam, termasuk dua darinya merangkumi ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Kerjasama ekonomi hijau merupakan yang pertama seumpamanya untuk Malaysia, dan dijangka mengukuhkan lagi kerjasama dikarbonisasi kedua-dua negara, menurut laporan The Straits Times.

Gambar oleh: Facebook Anwar Ibrahim

Salah satu elemen kerjasama ini akan merangkumi penetapan standard dan pemasangan stesen-stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV). Selain itu ia kana meliputi projek-projek solusi karbon rendah, khasnya penapisan hidrogen dan karbon, penggunaan, dan penyimpanan.

Kerjasama itu ditandatangani oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia dan Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura, dalam rangkuman lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa ini, tiada standard khas di Malaysia mengenai pengecasan EV. Walaubagaimanapun, selain dari model-model awal, kebanyakan pengeluar telah menggunakan sambungan Type 2 (dan CCS bagi DC) untuk kereta-kereta mereka. Jadi, kebanyakan pengecaj EV di Malaysia dilengkapi kabel Type 2.

Dengan adanya standard sebegini, pengeluar EV yang mahu membawa masuk kereta mereka ke Malaysia akan perlu mematuhi piawaian tertentu yang ditetapkan kerajaan untuk melepasi Vehicle Type Approval (VTA).

Hasilnya, ini akan mengurangkan kekeliruan di kalangan pengguna. Pengimport bebas yang membawa masuk EV seperti Tesla juga akan perlu mematuhi piawaian ini apabila ianya dikuatkuasakan nanti.

5,000 stesen pengecas EV bakal dibina di Malaysia

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan pembinaan 5000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) bagi memantapkan ekosistem EV sekaligus meningkatkan pendapatan ekonomi negara.

Ini selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba ini merupakan landasan yang baik bagi industri automotif negara yang melibatkan teknikal, penambahbaikan prasarana serta pengurusan.

“Oleh itu, keupayaan syarikat menghasilkan pembuatan EV di peringkat tempatan sepatutnya dapat membolehkan usaha pembinaan kemudahan itu dengan lebih murah dan mudah,” katanya.

“Kita juga tidak perlu bimbang untuk melakukan perjalanan jauh (menggunakan kenderaan EV) kerana adanya stesen mengecas ini di merata tempat.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MW EV Sdn Bhd dan syarikat EZ-Charge di Shah Alam.

EZ-Charge merupakan sebuah syarikat dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam inovasi penyelesaian elektronik pintar serta berkredibiliti dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di UK manakala MV EV Sdn Bhd merupakan syarikat Bumiputera tempatan yang berpengalaman luas dalam industri automotif.

BMW DC Fast Charger di Ara Damansara ini boleh diguna oleh orang awam

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan beberapa pengecaj pantas DC Fast Chargers di Auto Bavaria Ara Damansara dan ia boleh digunakan oleh orang awam. Ini merupakan yang pertama, dimana akan ada banyak lagi bakal dipasang di pengedar BMW i seluruh negara.

Usaha ini adalah sebahagian dari komitmen BMW untuk menyediakan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kami telah menerajui peralihan ke arah elektrifikasi bukan sahaja melalui portfolio kenderaan elektrik kami, namun juga dengan meluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan tempatan di seluruh negara.

“Kami telah menjalin kerjasama dengan GreenTech Malaysia untuk melahirkan sebuah ekosistem yang mampu menjulang mobiliti elektro, dan sedang meneruskan usaha untuk menunaikan komitmen tersebut bersama jaringan pengedar kami yang berdedikasi – bukan sahaja untuk pemilik BMW dan MINI, malah begitu juga dengan para pemilik kenderaan elektrik di Malaysia.

“Kami yakin langkah ini dapat meningkatkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, selain membantu menangani kekhuatiran pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik di Malaysia, misalnya bagi perihal melibatkan jarak operasi kenderaan.”

BMW Group Malaysia antara peneraju EV di Malaysia sejak 2015, iaitu tahun yang telah menyaksikan BMW i yang pertama dilancarkan di sini.

Sejak itu, lebih daripada 21,000 buah kenderaan BMW dan MINI berelektrik berjaya diserahkan di peringkat tempatan.